KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Julai 17, 2010

Anak jantankah Najib Tun Razak untuk mansuhkan Akta Mesin Cetak & Penerbitan?



Tentu ada hikmah sangat besar mengapa Allah Ta’ala mentakdirkan Kumpulan Media Karangkraf memilih minggu lalu untuk melancarkan penerbitan peringkat nasional bagi tabloidnya, Sinar Harian. Paling tidak pun peristiwa bersejarah itu mendorong masyarakat, terutama khalayak media, kembali membicarakan soal kebebasan media dalam negara kita. Apatah lagi dalam konteks Sinar Harian yang bermottokan ‘Telus dan Tulus’ memang mengamalkan konsep kewartawanan yang bebas dan tidak memihak. 

Bak kata Penasihat Editorial Kumpulannya, Abdul Jalil Ali, “Sinar Harian dilabel pembangkang sebagai suara kerajaan manakala pada pihak kerajaan beranggapan Sinar Harian sebagai suara pembangkang. Namun... Sinar Harian tidak berpihak kepada mana-mana pihak dan berpegang kepada sikap neutral”. Setakat ini hakikat itu diakui semua pihak, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sendiri, yang dijemput merasmikan pelancaran akhbar itu. Besar kemungkinan beliau terikat dengan janjinya sebelum ini. 

Di hadapan pemilik dan pengamal media, Najib pada April 2009 pernah menyatakan bahawa media tidak semestinya menyebelahi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membuat liputan. Apa yang lebih ditekankannya ialah laporan yang bertanggungjawab, benar, adil dan berfakta.

Bagaimana pun itu tidak bermakna beliau senang hati dan bersedia menerima kecenderungan bebas itu berlanjutan sehingga ke tahap tidak menguntungkan parti dan kerajaannya. Hasrat sebenar beliau itu secara tidak langsung diluahkannya minggu lalu.

“Saya akui beritanya (Sinar Harian) kadang-kadang lebih ke sana (pembangkang), kadang-kadang lebih kita (BN), tapi saya harap lebih (kepada) kita sikit,” katanya sewaktu melancarkan akhbar berkenaan.

Mahu tidak mahu perlu kita akui bahawa setakat ini itulah tahap kebebasan media yang boleh diterima BN. Bahawa keterbukaannya untuk menerima perbezaan pandangan dan laporan tidak memihaknya hanya sekadar retorik. Realitinya masih jauh dari apa yang disebutkan itu. Cakap Najib itu seakan mengisyaratkan bahawa baginya kebebasan sesuatu media itu seeloknya perlulah melebihkan liputan dan kecenderungan yang menguntungkan BN berbanding pembangkang, biar pun sedikit. 

Ertinya, dalam keadaan parti itu sudah ada sebilangan media arus perdana yang hampir seratus-peratus memihaknya dan tidak langsung menampakkan kecenderungan menguntungkan pembangkang, BN masih menganggap perlu memastikan mana-mana media alternatif tidak merugikannya.

Maka apakah boleh diharapkan BN bersikap terbuka dan selesa dengan “kebebasan sementara” yang dipinjamkannya kepada media milik pembangkang?  Masalah permit penerbitan yang membelenggu akhbar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan Harakah sendiri seperti diketahui umum minggu lalu bagaikan menjawab persoalan itu.

Isu kebebasan media, terutama penerbitan akhbar oleh pembangkang sering diperbahaskan. Bagi membuktikan ketelusan dalam menjamin kebebasan media, BN sering memetik contoh keterbukaannya memberikan permit penerbitan kepada parti-parti pembangkang.

Bagaimana pun, hakikat bahawa kuasa melulus atau membatalkan permit tersebut terletak di tangan BN menyebabkan akhbar-akhbar pembangkang sentiasa dihantui kebimbangan.  Permit penerbitan menjadi belenggu agar mereka tidak terlalu bebas mengutarakan pandangan alternatif, terutama sehingga mencabar dan menggugat kekuatan BN.

Memang pada zahirnya BN sering menyebut hasrat mewujudkan media bertaraf dunia. Bahawa media perlu berperanan menyalurkan maklumat yang tepat. Media adalah pendidik rakyat supaya boleh berfikir secara terbuka dan bijak membuat pilihan saksama dalam apa jua perkara berhubung hidup mereka. Namun prinsip yang ideal itu setakat ini hanya tinggal impian Realitinya, BN terlalu sempit dan berat sebelah dalam pertimbangannya berhubung hal itu. 

Contohnya, sudah menjadi adat akhbar pembangkang mengutarakan pandangan kedua yang bersalahan dengan pendirian BN. Mana logiknya kita mengharapkan mereka senada dengan media arus perdana yang pro-BN?

Malangnya mereka sering dimomokkan kononnya menyiarkan berita menyalahi fakta, fitnah dan bohong. Laporan media pembangkang yang mendedahkan kelemahan dan kepincangan kerajaan dengan mudah dinilai sebagai menghasut rakyat membenci BN. Maka jalan singkat bagi menyelesaikannya ialah dengan menarik balik permit penerbitannya.

Anehnya, sudah ada beberapa kes di mana akhbar arus perdana kroni BN diseret ke mahkamah dan dibuktikan bersalah menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap pembangkang atau menyalahi ajaran agama. Tidak pula pernah kita dengar BN berura-ura membatalkan permitnya. Apakah itu adil namanya?

Mahu tidak mahu wajar diakui setakat ini permit penerbitan cenderung disalahgunakan BN sebagai senjata untuknya mengekang kebebasan akhbar pembangkang. Sedangkan negara ini sudah ada berbagai akta dan peraturan untuk menangani sebarang salah lapor atau perlanggaran undang-undang oleh media cetak.

Selain itu, kongkongan permit cetak juga dilihat sudah tidak relevan dengan dunia langit terbuka dan teknologi maklumat tanpa sempadan masakini. Maka, apakah demi kebebasan media, BN bersedia menghapuskan sama sekali peraturan mewajibkan permit penerbitan akhbar suatu masa nanti? - Mat Zain Mat Isa

Tiada ulasan: