KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Umno baru tersentak, kuasa Melayu telah lama terhakis - Teras


Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan kuasa politik orang Melayu sudah lama terhakis angkara Umno-BN akibat daripada kepincangan pemimpin-pemimpinnya. Katanya, kuasa politik orang Melayu juga hilang apabila pemerintah Umno yang melemahkan kuasa ekonomi akhirnya menjadikan orang Melayu sangat bergantung kepada kuasa politik oleh golongan elit Umno.

"Sebenarnya kepincangan politik Umno secara tidak langsung menjejaskan kuasa ekonomi Melayu akhirnya kuasa politik Melayu juga terjejas," katanya kepada Harakah.

Ternyata, katanya orang Melayu sudah menampakkan kefahaman lebih matang mengenai politik ini apabila golongan muda sudah tidak lagi dapat menerima kepimpinan Umno yang sangat tidak telus kerana mengamalkan kronisme politik.

Oleh itu tegas Azmi, mereka semakin menyangkal bahawa penyelamat Melayu sekarang adalah Umno, sebaliknya tanpa Umnopun Melayu boleh selamat jika amalan politik yang baik dipraktikkan. Beliau turut membidas dakwaan mengatakan Umnolah yang boleh menjadi penyelamat politik orang Melayu.

"Umno-BN menampakkan kejahilannya yang sangat ketara apabila melihat penyelamat politik Melayu hanya bergantung kepadanya semata-mata. Ini pemikiran yang sudah basi bahawa kehilangan kuasa politik orang Melayu ini hanya begrantung kepada Umno. Kita sudah sangat ketinggalan zaman dan kita nampak kejahilan politik yang sangat ketara apabila melihat bahawa penyelamat politik melayu hanya bergantung kepada Umno," katanya.

Tokoh NGO itu berpendapat, orang Melayu akan lebih selamat dan lebih terjamin kuasa politiknya apabila mereka mulai berani untuk membuat perubahan politik yang lebih jernih dan terbuka berdasarkan pegangan hidup Islam 

Ini kerana, tegasnya penyelamat Melayu itu adalah bergantung kepada penyelamat Islam, jadi politik Melayu tidak boleh bertahan dengan asas sekular yang dibawa oleh Umno tetapi harus kembali kepada politik Islam yang tulen. 

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa orang Melayu berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika mereka terus berpecah-belah sesama sendiri.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kuasa politik yang diperolehi orang Melayu sejak negara merdeka adalah penting kerana ia telah membolehkan mereka maju dalam pelbagai bidang. Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di dunia walaupun umat Islam negara ini hanya separuh dari jumlah penduduknya.

Tiada ulasan: