KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Oktober 17, 2010

Analisa Media >> Menentang Akta Mesin Cetak & Penerbitan secara lebih sistematik


PERJUANGAN membebaskan media di Malaysia, daripada kongkongan peraturan "karut-marut" dan akta ketinggalan zaman yang mencabuli prinsip asas demokrasi, perlu digerakkan dengan lebih sistematik dan menyeluruh.

Ia boleh tidak tertangguh lagi, sebaliknya wajar disegerakan, terutama sekali apabila menyaksikan ruang awam untuk perdebatan isu-isu rakyat melalui akhbar makin sempit.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang diasaskan hampir 10 tahun lalu mendapat dorongan baru bagi melonjakkan kembali agenda mengungguli kebebasan bersuara apabila semua lidah rasmi Pakatan Rakyat bukan setakat diganggu Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah sehingga kini, Suara Keadilan, masih belum diperbaharui permit penerbitannya.

Namun begitu, KAMI bukan sekadar responsif terhadap nasib malang akhbar alternatif, malah turut prihatin dengan kongkongan berterusan yang dihadapi pengamal media lainnya, termasuk para wartawan dan editor akhbar yang dikaitkan secara langsung dengan Umno-BN.

Bagi menyusun langkah untuk menimbulkan kesedaran awam tentang isu kebebasan media ini, KAMI telah mengadakan beberapa pertemuan dan majlis perbincangan, selain melakukan kunjungan hormat ke atas tokoh-tokoh media pada Ramadan lalu.

Banyak saranan dikemukakan peserta diskusi, antaranya, dengan mengadakan dialog bersama pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat sendiri.

Rupanya konflik berterusan pengamal media dengan pemerintah tidak begitu difahami, bukan sahaja oleh masyarakat awam, malah aktivis pembangkang juga agak jahil dengan kemelut yang dihadapi sejak sekian lama itu.

Ada pula yang mengambil jalan mudah dengan daleh bahawa kita mempunyai saluran lebih berkesan, yang tidak dikongkong elit penguasa, iaitu melalui media baru.

Justeru, hujah mereka, mengapa perlu kita bersusah-payah menentang akta drakonian, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), jika terbentang luas dunia maya, yang boleh dimanfaatkan tanpa tegahan?

Sama ada media tradisi seperti akhbar masih mempunyai pengaruh besar ataupun semakin kecil, terutama kepada kecenderungan mengundi semasa pilihan raya, ia bukan isu besar.

Bagi mewujudkan sebuah masyarakat berilmu dan bermaklumat, sebarang kongkongan, seperti yang ditimpakan oleh AMCP tidak boleh dibenarkan. Apatah lagi, akhbar masih merupakan medium utama majoriti rakyat negara ini mendapat info terkini dengan mudah dan meluas.

Dalam pertemuan KAMI dengan Prof Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam, di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor, beliau mencadangkan agar satu program sehari dianjurkan, bagi menarik perhatian masyarakat terhadap isu kebebasan media.

Beliau turut menyebut beberapa nama, dari kalangan pensyarah media, yang dilihatnya berupaya untuk menjelaskan dengan baik masalah yang dihadapi dunia persuratkhabaran.

Semasa di Suhakam, Prof Hamdan merupakan antara pesuruhjaya yang aktif memberikan respons positif terhadap tuntutan kebebasan bersuara. KAMI sendiri pernah mengadakan perbincangan dengan Suhakam, selain merakamkan beberapa aduan kes tertentu membabitkan pengharaman majalah Detik dan Wasilah.

Suhakam turut menganjurkan bengkel khas mengenai polemik kebebasan media dan rumusan yang dicapai agak memuaskan. Namun tiada langkah susulan yang bermakna daripada kerajaan.

Memang ada pandangan yang menggesa agar KAMI lebih lantang, bukan sahaja dalam menyuarakan tuntutan tetapi juga bersedia untuk mengambil tindakan  berani bagi "mengejutkan" pemerintah.

"Kempen kesedaran mungkin bermanfaat untuk menyuntik kefahaman, tetapi lebih penting adalah penggemblengan tenaga lebih besar, terutama membabitkan seluruh petugas media, untuk memberi kata dua kepada kerajaan," kata seorang bekas wartawan  dalam satu pertemuan yang dianjurkan KAMI..

Tiada ulasan: