KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Oktober 17, 2010

Kemunculan Zainuddin Maidin bawa padah pada Umno

UMNO keliru. Terpaksa mendapatkan khidmat bekas menteri, yang kalah dalam pilihan raya, untuk meneruskan talian hayat menghadapi PRU 13, yang mereka sendiri ramalkan, masa sukar bagi mengekalkan kuasa.

Kenyataan demi kenyataan dari Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang mahukan Umno perpaduan dengan PAS dan mengekalkan hubungan baik dengan MCA dan MIC, sebenarnya nasihat yang tidak diminta dan nasihat yang tidak berguna.

Orang Umno cukup kenal dengan Zam. Dia jadi menteri kerana 'kemalangan'. Zaman Tun Dr. Mahathir, Zam hanya dilantik menjadi Setiausaha Parlimen dan kemudiannya, di zaman orang lain jadi Perdana Menteri, dinaikkan pangkat menjadi timbalan menteri dan kemudiannya menteri.

Sebenarnya, inilah zaman malang buat Umno. Zam mengulangi sejarah pilu Umno dalam tahun 1969, apabila Menteri Penerangan kalah dalam pilihan raya. Ketika itu, Menteri Penerangan adalah Dato' Senu Abdul Rahman. Kebetulan juga, kedua-duanya dari Kedah.

Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Zam menjadi menteri, bukan sedikit orang Umno yang kecewa. Mereka tidak mampu melahirkan rasa kecewanya itu tetapi mereka 'menyampaikan mesej' melalui PRU 12, dengan mengalahkan banyak calon-calon Umno termasuk Zam sebagai tanda protes.

Hari ini, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menobatkan Zam sebagai seorang tokoh. Mungkin kerana Zam ada menulis buku mengenai Tun Razak Hussein, bapa Perdana Menteri yang menyebabkan budi Zam ini perlu dibalas. Tetapi, kepada Umno, Zam tidak diperlukan lagi sebenarnya, kerana orang tahu setakat mana kebolehannya.

Biasanya, bekas Menteri dari kalangan pemimpin Umno, mereka akan menjadi 'sampah hanyut' apabila bersara. Jika bernasib baik, adalah mana-mana pasaraya besar melantik mereka menjadi pengerusi, untuk diberikan elaun sara hidup selain mengejar 'logo atau sijil halal' yang dikeluarkan Jakim.

Ada sesetengahnya, terpaksa menubuhkan persatuan untuk bergerak kembali dalam arus perdana politik dan sesekali akan mengeluarkan kenyataan, supaya orang masih ingat dia masih ada. Itu sahaja.

Masalah yang dihadapi bekas menteri dari kalangan Umno, mereka ini bukan professional. Bila mereka pencen, mereka merayau-rayau mencari peluang perniagaa. Itulah sebabnya, ramai dari kalangan mereka, dilupakan begitu sahaja jauh sekali mahu dikenang kerana pernah berjasa.

Cuba bertanya kepada bekas Menteri Pertanian yang paling lama berkhidmat, Tan Sri Sanusi Junid. Pernah dia dijemput di mana-mana bahagian dan cawangan dalam Negeri Kedah untuk menyampaikan ceramah atau ucapan? 

Padahal dia pernah menjadi Setiausaha Agung Umno hingga Umno (lama) diharamkan. Dia juga pernah menjadi Naib Presiden Umno, sebelum tewas di tangan 'team wawasan' dalam tahun 1993 dahulu.

Kalau Sanusi yang banyak menulis buku (kompilasi ucapannya) dan pandai berpidato pun tak laku dan dianggap sebagai kupang tembaga sahaja di Kedah, siapalah Dato' Mustaffa Mohamad (bekas MP Sri Gading dan bekas Menteri Kebajikan Masyarakat), Tan Sri Musa Mohamad (bekas Menteri Pelajaran), Dato' Seri Azmi Khalid (bekas Menteri Dalam Negeri), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (bekas Menteri Penerangan).

Apakah ada yang masih ingat nama Tan Sri Ramli Ngah Talib dan apakah jawatannya yang terakhir? Begitu juga nama-nama seperti Dato' Seri Azalina Othman, Dato' Seri Zul Hasnan Rafique, Dato' Seri Aziz Shamsuddin dan ramai lagi.

Mereka ini sudah dilupakan. Tetapi, dalam ramai-ramai ini, muncul Zam yang cukup digemari wartawan Umno-online, untuk mendapatkan bahan berita darinya. Kononnya, dia merupakan perpusatakaan bergerak, hinggalah sanggup membuat pelbagai dakwaan yang mengelirukan.

Zam perlu tahu, PAS memang tidak berminat untuk berbincang soal perpaduan dengan Umno, sejak isu ini dihebahkan sedikit waktu dahulu. Umno yang terdesak mahu mengajak perbincangan ini, sedangkan PAS masih  berpegang kepada persefahaman yang sudah mereka jalin dengan KeADILan dan DAP.

Hari ini, ketika Zam teraba-raba supaya namanya sentiasa diingati, maka dia menulis dalam akhbar arus perdana yang sedang bertelagah dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz dan sesekali, menjadi bahan berita dari Umno-online.

Setakat ini, tiada mana-mana akhbar arus perdana lain, selain yang pernah Zam bertugas, memberi ruang secara meluas kepada Zam. Lebih penting, cara Zam mengeluarkan kenyataan, seolah-olah dia lebih banyak tahu dari pemimpin Umno sendiri. Sesekali, seolah-olah dia mahu memberitahu bahawa dia kenal dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Satu perkara yang penting, Zam kena tahu bahawa orang Umno Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sekarang ini masih marahkan Perdana Menteri kerana dari 31 bahagian di tiga negeri ini, hanya seorang sahaja ketua bahagian yang diberikan jawatan.

Ketua bahagian yang bertuah itu, Dato' Johari Baharom, Ketua Bahagian Kubang Pasu dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Yang 30 orang lagi, melopong mulutnya, kerana tidak mendapat apa-apa layanan dari Perdana Menteri.

Zam mungkin tahu hal ini, tetapi Zam tentunya tidak boleh bercakap apa-apa kerana ketika dia dilantik menjadi menteri pun dahulu, dia tidak memegang jawatan ketua bahagian. 

Maka, lebih baik diam daripada bercakap. Bimbang juga kalau dia bercakap banyak nanti dia kena libas dengan ketua bahagian yang memang tidak berpuashati dengan keadaan sekarang.

Najib tentunya tidak ada keyakinan dengan ketua-ketua bahagian dari utara tanahair ini kerana nyata mereka semuanya bermasalah. Jika mereka tidak bermasalah, mustahil Pulau Pinang dan Kedah tumbang manakala Perlis, walaupun menang, ia tidak banyak memberi sumbangan kepada kekuatan BN secara keseluruhannya. - SAFAR JUMAAT

Tiada ulasan: