KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Bulan Bahasa Kebangsaan nampak jenaka - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said

KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan diminta terlebih dahulu meluhuri undang-undang Akta Bahasa agar pelaksanakan PPSMI yang jelas melanggar Akta Bahasa dapat dielakkan dari berulang lagi dan jika diadakan Bulan Bahasa Kebangsaan pun tidaklah nampak 'jenaka' seperti hari ini.

Demikian ditegaskan oleh Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said sewaktu diminta mengulas sejauh mana keupayaan Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa dunia.

"Pemimpin kita tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Jadi sudah tentu amat sukar untuk kita mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

"Bahasa Melayu hanya boleh menjadi bahasa dunia melalui Bahasa Indonesia. Negara kita sendiri tidak menjaga serta memelihara bahasa sendiri. Jika di peringkat antarabangsa, pemimpin kita banyak bercakap bahasa 'orang puteh'," tegas beliau.

Pemimpin Indonesia misalnya apabila berucap di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu bercakap menggunakan Bahasa Indonesia. Satu-satunya peluang serta jaminan Bahasa Melayu untuk menjadi bahasa dunia melalui Bahasa Indonesia, tegas Pak Samad kepada Harakah.

Beliau berkata Bahasa Indonesia boleh dianggap bahasa dunia kerana mempunyai jumlah penutur melebihi 300 juta berbanding penutur Bahasa Melayu di Malaysia.

Pak Samad turut melahirkan rasa kesal kerana pemimpin negara ini tidak meluhurkan bahasa kebangsaan serta melanggar Akta Bahasa Kebangsaan. Jelasnya, dalam situasi pemimpin negara melanggar Akta Bahasa Kebangsaan, jika diadakan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan tidak ada ertinya.

Beliau menjelaskan, langkah kerajaan mengisyitiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan hanya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Sebaliknya, jika diluhuri undang-undang seharusnya Bahasa Kebangsaan diamalkan setiap hari dalam segala urusan.

Penasihat Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) itu menyifatkan pelaksanaan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan hanya sekadar tindakan 'simbolik' yang kononnya untuk mengangkat bahasa kebangsaan.

Tiada ulasan: