KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Umno masih buta teguran Tok Guru Nik Aziz - Dato' Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: PAS menyeru Umno agar bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan daripada pelbagai pihak.

Demikian kenyataan Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk kepada Ketua Penerangan Pemuda Umno, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican yang meminta Ulama Umno mengambil tindakan terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa perjuangan Umno tidak akan membawa ke syurga.

"Mereka kena lihat komentar Tok Guru dalam konteks ilmiah bahawa perjuangan Umno yang selama ini berlandaskan kebangsaan bercanggah dengan al-Quran dan sunnah," katanya kepada Harakah.

Jelasnya, pandangan Menteri Besar Kelantan itu adalah suatu peringatan kepada Umno agar kembali kepada dasar perjuangan Islam.

"Kenapa Umno begitu sensitif dengan kenyataan Tok Guru sehingga mendesak ulama Umno dan kerajaan mengambil tindakan?

"Saya fikir Tok Guru mahu Umno supaya berjuang dengan suatu dasar yang boleh membawa mereka sehingga ke akhirat dan tidak buat sesuatu yang sia-sia semasa hidup di dunia ini," tegasnya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kenyataan Tok Guru Nik Aziz yang mendakwa perjuangan Umno tidak boleh membawa orang parti itu masuk syurga, jelas mengelirukan dan menyimpang daripada ajaran al-Quran sebenar serta membuatkan agama Islam dipandang hina.

"Saya tak faham kenapa ulama-ulama Umno dan kerajaan atas nama al-haq tak boleh cakap dan ambil tindakan terhadap Nik Aziz.

"Dia cakap benda yang tak masuk akal. Dia cakap perjuangan Umno tak boleh bawa orang masuk syurga. Macam mana dia tahu siapa masuk syurga, siapa masuk neraka," tanya Reezal semasa berucap menyokong ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Persidangan Perwakilan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.

Tiada ulasan: