KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Husam ulangi royalti memang hak Kelantan, Najib mungkir janji

KUALA LUMPUR: Dalam satu rancangan forum, Agenda Awani (Astro Awani), Exco Kanan Kerajaan PAS Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa mengulangi pendirian agar kerajaan pusat memberikan hak royalti minyak kepada Kelantan.

Forum yang dikendalikan pengacara, Suhami Sulaiman itu turut menampilkan anak bekas Setiausaha Agung Umno (Tan Sri Mohammed Rahmat), Dato' Nurjazlan Mohammed yang juga ahli Parlimen Kulai.

Pada awalnya, forum selama 30 minit terbitan Astro Awani itu membincangkan isu banjir yang mana Husam dan Nurjazlan diminta mengemukakan idea 'luar kotak' bagi mengatasi masalah banjir.

Namun apabila topik forum beralih kepada persoalan pengurusan kerajaan, Husam menggunakan kesempatan yang ada bagi mengutarakan persoalan penganiayaan kerajaan BN yang menafikan hak royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau menyebut beberapa fakta mengenai perjanjian yang telah dibuat antara kerajaan negeri pada tahun 1974 ketika mula Akta Petroleum Negara diwujudkan yang mana ketika itu ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Petronas yang pertama.

Meskipun disindir beberapa kali oleh Nur Jazlan kononnya Husam 'lari topik', namun Husam berkeras menyatakan pendirian fakta bahawa beberapa telaga minyak termasuk Bintang, dan Cakrawala adalah berada dalam perairan Kelantan.

Beliau mengecam tindakan Kerajaan Malaysia yang sehingga ke hari ini menafikan hak rakyat Kelantan, malahan sanggup mendaratkan hasil bumi Malaysia itu di Thailand walaupun kedudukan Kelantan dengan pelantar minyak lebih dekat berbanding negara jiran.

Sementara itu, Ku Li sekali lagi menjelaskan beliau akan membuat penjelasan pada ceramah umum di Kelantan untuk menerangkan perkara sebenar berlaku dalam isu perjanjian minyak antara Petronas dengan negeri yang mempunyai aktiviti petroleum.

Menurutnya, isu minyak yang melanda Kelantan sekarang bukanlah isu politik kerana ia menyentuh kepentingan orang ramai dan perjanjian yang dimeterai antara Petronas dan negeri terbabit haruslah dihormati oleh semua pihak termasuklah Kerajaan Pusat.

“Masa belum ditentukan lagi, bila kita semua sepakat untuk menjelaskan perkara ini kepada umum, saya akan hadir memberikan penjelasan sebenar,” katanya kepada media mengulas isu minyak Kelantan yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat di Lobi Parlimen.

Tengku Razaliegh adalah individu yang bertanggungjawab mengasaskan Petronas yang ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 dan dengan termaktubnya Akta Kemajuan Petroleum pada 1 Oktober 1974, Petronas telah diberi hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan di dalam mengendali dan memajukan sumber petroleum di Malaysia.

Tiada ulasan: