KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Siasat segera Mr Political Toll yang jadi SU Politik PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengadakan siasatan segera ke atas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Mohd Shafie Abdullah berikutan pendedahan rasuah dan campurtangan yang disebut dalam ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong di Dewan Rakyat 7 Disember lalu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat memberitahu Harakah, siasatan segera itu perlu dilakukan memandangkan dakwaan yang membabitkan Shafie itu sangat serius, malah ia membabitkan nama baik Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"SPRM perlu bertindak segera memandangkan ia satu dakwaan yang serius, dan paling kita kesali hari yang sama (7 Disember) Choo Keong mendedahkan isu itu di Dewan Rakyat, Shafie menyerang Choo Keong.

"Hari ini Choo Keong telah membawa isu itu dibawah Perkara 80 Peraturan Mesyuarat, dan meminta satu siasatan ke atas serangan itu, dan Speaker telah setuju untuk menubuhkannya.

"Ini soal keselamatan ahli parlimen. Kita tidak mahu insiden yang sama yang pernah berlaku ke atas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Sing terjadi ke atas ahli parlimen lain," kata Dr Lo Lo yang juga satu-satunya ahli parlimen PAS di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, beliau mahu SPRM bertindak segera ke atas Shafie dengan mengadakan satu siasatan yang telus, berani dan tidak bias sepertimana yang berlaku sebelum ini kepada beberapa pimpinan Pakatan Rakyat.

"Kalau dalam isu membabitkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, hanya laporan dalam blog sahaja SPRM terus bertindak dengan pergi segera ke Kota Bharu untuk menyiasat, mengapa tidak dalam kes Shafie ini?

"Ini telah disebut dengan jelas oleh Choo Keong dan beliau sendiri sanggup mendedahkan buktinya. Ini disebut dalam ucapan Choo Keong semalam (7 Disember)," katanya lagi.

Dr Lo' Lo melahirkan harapan agar SPRM yang bakal diterajui 'pengemudi' baru, Dato' Abu Kassim akan memulihkan semula intergriti badan itu yang sebelum ini dicop sebagai perkakas BN.

Dengan pendedahan Choo Keong itu, beliau berharap Perdana Menteri juga bertindak untuk membersihkan namanya kerana ia satu keaiban kepada nama baik beliau, kata Dr Lo Lo lagi.

Dalam ucapan di Dewan Rakyat 7 Disember, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong telah mendesak SPRM dan DBKL memandang serius terhadap 'kegiatan' Shafie Abdullah ("Mr Political Toll") dalam pentadbiran DBKL dari gerai haram ke Development Order dan projek-projek tertentu di bawah kawalan DBKL.

Pada 5 November 2009 semasa perbahasan Bajet 2010 peringkat dasar Choo Keong telah membangkitkan beberapa perkara untuk perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Raja Nong Chik untuk meminta penjelasan.

"Perkara campurtangan Dato' Shafie telah jadi satu rahsia terbuka di DBKL. Saya berharap Dato' Bandar mengambil perhatian terhadap kegiatan 'Mr Political Toll' ini di dalam pentadbiran dan pengurusan DBKL," katanya.

Semua kakitangan tangan DBKL telah tahu dengan teliti perkara ini kecuali Perdana Menteri, Najib Tun Razak kerana beliau terlampau sibuk dengan pentadbiran negara, kata beliau.

Choo Keong mendedahkan, sebuah restoran (bukan gerai, kerana perluasannya lebih daripada 10 kaki kali 30 kaki) dibuat dengan melanggar semua undang-undang dan dibina di atas tanah kerajaan.

Sebelum ini di tapak yang sama telah ada gerai (bukan restoran) dan DBKL merobohkan gerai tersebut kerana ia melangar undang-undang DBKL dan menggunakan tanah rezab kerajaan, katanya.

Beliau mendakwa, Menteri pun tahu bahawa restoran tersebut dimiliki oleh orang kuat Persatuan Penjaja yang juga sahabat karib 'Mr Poltical Toll'.

Dalam perbahasan yang sama, Choo Keong juga menyentuh mengenai campur tangan Shafie dalam pemilihan jawatankuasa Surau al-Ehsaniah, di Rumah Pangsa Danau Kota, Wangsa Maju.

Choo Keong mendakwa, Shafie memberi senarai 29 ahli-ahli untuk menjadi jawatankuasa surau tersebut dan ia diterima dengan penuh oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Saya tidak percaya bahawa PM berminat dalam urusan demikian. Penduduk-penduduk di rumah pangsa Danau Kota amat marah tentang campurtangan beliau tetapi aduan mereka tidak ditimbang oleh Jawi," katanya.

Choo Keong turut bertanyakan soalan kepada menteri, mengenai kepentingan Shafie dalam syarikat Evergreen Sdn Bhd melalui pembekalan alatan kepada pusat-pusat Latihan Khidmat Negara semasa PM menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

"Saya tahu bahwa dia adalah sahabat karib John Tee, Pengarah Urusan, Evergreen Sdn Bhd? Apa kepentingan dia dalam Bukit Kiara Development Sdn Bhd melalui nama isterinya sebagai Lembaga Pengarah, dan apa kaitan dia dengan Maju Bangun Sdn Bhd syarikat yang mendapat kontrak melalui Khazanah Holding?," soalnya.

Selain itu, Choo Keong turut bertanyakan apa kepentingan Shafie perolehi dengan mendapat 30 lot tapak pasar malam 'Up Town Danau Kota' sedangkan 500 penduduk telah menandatangani petisyen meminta Dato' Bandar memindah pasar malam tersebut ke kawasan yang jauh.

"Takkan PM pun ada kepentingan dalam soal ini. Sama ada Shafie terlibat dalam kelulusan Development Order untuk membina shopping complex di atas sebidang tanah yang digazetkan dalam Deraf Plan KL 2020 untuk Masjid Desa Sri Hartamas?," soalnya

Choo Keong turut memberitahu Dewan Rakyat, pada 13 Ogos 2008, Ahmad Zaidi Ramlan telah membuat satu laporan rasuah terhadap Shafie kepada SPRM, namun tiada tindakan diambil terhadap beliau.

Bagaimanpun, Choo Keong berharap SPRM yang tidak lama lagi diketuai oleh Dato' Abu Kassim akan memain peranan yang bebas dan menyiasat perkara-perkara yang yang telah dibangkitkan dalam Parlimen terhadap Mr Political Toll.

"Dan saya juga berharap PM akan mengambil tindakan yang serius terhadap Setiausaha Politik yang memcemarkan nama baik beliau," tegasnya.

Tiada ulasan: