KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 07, 2008

Terkini: SUFIAH Rupanya DEDAP TIDAK BERBAU

By ARIFFUDDIN ISHAK

ENTAH dimana silapnya dan siapa yang perlu dipersalahkan... Kanak-kanak yang dianugerahkan kepintaran luar biasa atau ‘genius’ seperti Sufiah Yusof, kini menjalani kehidupan dalam gelombang hitam yang menjijikkan.

Tiada siapa pernah menduga kanak-kanak geliga yang dibentuk dalam acuan yang dianggap ‘cukup sempurna’ sepatutnya mampu menuai hasil dari kebijaksanaannya sendiri akhirnya kecundang di tengah jalan.

Kini dengan pengakuan Sufiah yang terbaru iaitu dia tidak menyesal dengan profesion terbarunya, sebagai high-class social escort, benarlah kata orang Sufiah bukanlah mawar harum tetapi dedap yang tidak berbau.

Jika 10 tahun lalu nama Sufiah Yusof pernah menggemparkan dunia kerana berjaya diterima masuk ke Kolej St. Hilda, Universiti Oxford, England, seawal usia 13 tahun, kini Sufiah mengulangi 'rekod' dengan menjadi perempuan Melayu pertama yang mengaku tidak bersalah menjalankan aktiviti sosialnya.

Kejayaan lampau yang menjadikan beliau sebagai pelajar termuda yang menjejaki kaki ke universiti untuk belajar matematik pada tahun 1997 cukup membanggakan bangsa Melayu.

Nama Sufiah kembali hangat diperkatakan pelbagai pihak sebagai ‘wanita Melayu penuh berahi’.

Sana-sini ada saja bisik-bisik mengenai kisah Sufiah yang dibongkar oleh wartawan akhbar tabloid, News of the Word tentang kehidupan baru yang menjadi pilihannya sendiri.

Akhbar itu turut melaporkan Sufiah mengiklankan ‘perkhidmatannya’ melalui internet dengan harga 130 pound (RM830) bagi setiap sesi.

Terbaru, akhbar tabloid itu menyiarkan hasil temubual wartawannya dengan Sufiah yang mendedahkan bahawa beliau mengakui tindakannya menjual tubuh memberikannya kehidupan yang jauh lebih seronok dan glamor!

Lebih hebat apabila beliau sendiri tidak pernah merasa jijik dan kesal malah memandang tinggi terhadap karier barunya sebagai seorang pelacur kelas atasan!

Persoalannya mengapa gadis sepintar Sufiah boleh terjebak ke kancah penuh hina dan menjijikkan itu?

Adakah kerana acuan hidup yang disediakan bapanya, Farooq Yusof menjadikan kehidupannya tertekan sehingga beliau memilih untuk terjun ke dunia penuh kehinaan sebagai menzahirkan rasa protes?

Atau benarkah mengenai cakap-cakap bahawa beliau terjebak dek kerana pengaruh anasir luar yang cemburu dengan kebijaksanaan wanita Islam seperti Sufiah?

Bagi penulis, biar apa jua telahan atau spekulasi yang dibuat mengenai Sufiah, kekuatan dalaman individu itu sendiri perlu dilihat dan diukur.

Atas dasar tanggungjawab sesama Islam, kerajaan Malaysia melancarkan misi ‘Selamatkan Sufiah’ yang di ketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

“Kita terpanggil untuk membantu menyelamatkan Sufiah kerana syarikat Sime Darby dan Kementerian Pelajaran bertanggungjawab menanggung kos pembelajaran Sufiah di Oxford dahulu.”

“Walaubagaimanapun kita perlu akur jika Sufiah enggan diberikan bantuan, kita hanya boleh berusaha untuk membantu, tapi semuanya bergantung kepada Sufiah sendiri.

“Kita nak bantu orang sakit, tapi kalau orang sakit itu enggan makan ubat...apa yang boleh kita lakukan,” tambah Mashitah lagi.

Tertekan? Memberontak? Terkongkong? Jika ini yang cuba disuarakan Sufiah mengenai perjalanan hidupnya selama ini, maka kita boleh andaikan bahawa kecenderungan ibu bapa Sufiah untuk melihat anak mereka berjaya adalah punca kecelaruan ini berlaku.

Tetapi persoalan besar yang perlu dirungkaikan ialah mengapa adik-beradik Sufiah yang lain tidak pula memberontak sedemikian rupa?

Ataupun kita cuba untuk beralih persepsi untuk mengatakan bahawa pengaruh persekitaran atau rakan-rakan adalah faktor kemusnahan hidup Sufiah?

Hakikatnya, walau berbakul-bakul andaian atau berguni-guni persoalan yang cuba kita singkapkan, ia sebenarnya perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak sama ada ibu bapa ataupun anak-anak untuk mempersiapkan diri masing-masing dengan akidah yang sempurna sebagai ‘pendinding’ atau perisai.

Keghairahan ibu bapa untuk melihat anak-anak berjaya perlu ada batasnya dan berlandaskan akal yang waras. Pendidikan agama sepatutnya diberikan prioriti ketika menyediakan acuan untuk anak-anak.

Jangan kita perjudikan masa depan anak-anak semata-mata untuk mencapai kepuasan yang tiada batasnya.

Bayangkan ketika zaman kanak-kanak yang sepatutnya penuh ceria dengan hilai tawa ketika bermain-main dengan rakan sebaya, Sufiah terpaksa menghabiskan waktunya untuk belajar.

Penulis tidak bermaksud untuk menongkang arus dengan mengatakan bahawa zaman kanak-kanak hanya untuk bermain-main...tidak sama sekali, tetapi biarlah berpada-pada!

Bagi remaja hari ini, terutamanya penuntut di institut pengajian tinggi (IPT), kisah perjalanan hidup Sufiah yang tergelincir akhlak ketika di kampus harus dijadikan iktibar.

Ada yang bertukar ‘wajah dan watak’ apabila menuntut di IPT sehingga merunsingkan ibu bapa di kampung.

Jangan jadikan universiti sebagai jurang pemisah antara anak dan ibu bapa.

Si anak, jangan leka dan alpa kononnya mereka cukup bagus dan bijak untuk memilih jalan hidup sendiri yang dirasakan versetail dengan gaya hidup serba moden dan mewah serta kian mencabar dan akhirnya kecundang dalam arus deras kejutan budaya.

Paling penting, pegangan agama dan akidah yang mantap perlu menjadi kiblat yang teguh dalam diri setiap individu agar tidak mudah goyah dan rapuh dengan mainan duniawi yang umpama topeng dan wayang! - mSTAR

Individu SEBOTAJ Umno Sudah DIKENALPASTI

By BERNAMA

UMNO sudah menerima gambaran awal mengenai individu-individu yang didakwa terlibat dalam tindakan mensabotaj parti itu pada pilihan raya umum Mac lepas.

Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jika terbukti bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk dipecat keanggotaan seumur hidup.

Beliau berkata setakat ini belum ada tindakan diambil memandangkan Jawatankuasa Disiplin parti masih tidak menerima sebarang laporan rasmi (bertulis) daripada mana-mana pihak.

"Ada suara-suara kita sudah dengar daripada anggota parti dan caloncalon yang kalah tetapi itu tidak mencukupi untuk kita memulakan prosiding disiplin terhadap mana-mana anggota parti, (kerana) mesti ada laporan bertulis (kepada Jawatankuasa Disiplin)," katanya di sini, Isnin.

Najib berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai isu perbuatan sabotaj oleh anggota Umno di peringkat Parlimen dan negeri yang dikenalpasti sebagai punca prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Terdahulu beliau merasmikan Ulang tahun Persidangan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur ke-30.

Najib turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan berkenaan supaya membuat aduan rasmi kepada jawatankuasa disiplin parti bagi membolehkan jawatankuasa itu menyiasat dan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terbabit.

Beliau berkata laporan rasmi boleh dikemukakan kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata beliau sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti akan turun ke peringkat bahagian dan cawangan untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada pemimpin-pemimpin negeri berhubung sebarang ketidakpuasan hati mereka.

"Mungkin mereka ada nak suarakan mengenai tuduhan, ketidakpuasan menggenai anggota parti dalam kawasan sendiri dan jika ada sebarang teguran, saya akan cadangkan supaya mereka buat laporan secara rasmi dan kemukakan kepada jawatankuasa disiplin untuk membuat siasatan dan kemudian baru kita tentukan tindakan yang akan diambil," katanya.

Sambil mengakui perbuatan itu sentiasa timbul setiap kali pilihan raya kerana tidak puas hati mengenai pemilihan calon dan politik dalam bahagian tertentu, Najib berkata walau apapun alasannya, sebagai anggota parti, tidak ada mana-mana pihak yang patut mengambil tindakan sehingga menyebabkan kekalahan parti.

"Soal duit tidak turun ke bawah ('menggelapkan' wang kempen) itu satu bab, tetapi lebih serius ialah bila kita membuat sesuatu yang boleh disifatkan sebagai sabotaj yang menyebabkan parti kalah," katanya.

Ditanya kemungkinan perbuatan itu membabitkan ramai anggota Umno dan kemungkinan ia boleh menjejaskan parti, Najib berkata:

"Kita tidak boleh ambil tindakan secara terburu-buru, namun kalau kita tutup mata pada perbuatan sabotaj itupun tidak betul juga".

Beliau berkata apa sahaja yang akan dilakukan, akan dibuat secara berhemah dan berasaskan kepada bukti yang nyata, bukannya berdasarkan tuduhan yang tidak berasas dan tanpa disertai bukti yang jelas.

Ditanya sama ada anggota parti yang didapati bersalah terbabit perbuatan mensabotaj parti akan dibenar menghadiri mesyuarat cawangan dan bahagian yang akan berlangsung tidak lama lagi, Najib berkata ia tertakluk kepada bila hukuman terhadap mereka dikenakan.

Ini, katanya bergantung kepada laporan yang diterima, bukti yang dikemukakan, proses siasatan dan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin.

TEKAD Menghapuskan PETUALANG Dalam Umno?

By BERITA HARIAN ONLINE

TINDAKAN sabotaj dalam apa keadaan sekalipun bakal mengundang kesan amat buruk, tambahan pula jika berlaku dalam kerajaan kerana ia boleh menghancurkan sesebuah negara.

Sabotaj biasanya dilakukan musuh bagi mengkucar-kacirkan pentadbiran, namun jika ia dilakukan oleh orang dalam, sama ada ahli atau pekerja sendiri, ia cukup menyedihkan.

Kita sepatutnya belajar daripada sejarah lalu yang mana kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 kepada penjajah Portugis sebahagiannya berpunca daripada tindakan khianat dan sabotaj orang dalam.

Oleh itu, apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyelar tindakan ahli parti, termasuk di kalangan Umno yang melakukan sabotaj hingga membawa kepada kekalahan calon Barisan Nasional (BN) di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu, kita amat memahaminya.

Malah, janji Presiden Umno itu untuk mengambil tindakan disiplin terhadap ahli Umno yang didapati terbabit melakukan sabotaj sememangnya wajar.

Akibat tindakan itu BN gagal mengekalkan kemenangan dua pertiga kerusi Parlimen.

Seperti dijelaskan Abdullah, 14 kawasan Parlimen terbabit pada awalnya dianggap mudah untuk dimenangi, namun disebabkan tindakan sabotaj oleh ahli parti, BN hanya mampu memperoleh 140 kerusi berbanding 222 kerusi dipertandingkan.

Lebih malang, BN bukan saja gagal menawan semula Kelantan, malah terlepas Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang ke tangan Pakatan Rakyat.

Sabotaj, cah keting, biar padan muka dan pelbagai konotasi lain, adalah istilah biasa dalam politik di negara ini. Kegagalan BN merampas Kelantan daripada Pas sejak 18 tahun lalu sebahagian besarnya akibat amalan buruk berkenaan.

Budaya buruk itu juga sering dikesan muncul setiap kali menjelang pilihan raya, malah ada ahli dan pemimpin Umno sendiri cukup gembira jika calon partinya kalah kepada lawan.

Realiti melampau ini masih menunjangi parti yang sudah berusia lebih 50 tahun itu.

Kita tidak tahu apa puncanya. Adakah ia sebahagian etika buruk dimiliki jiwa Melayu, tidak suka orang lain berjaya dan penuh dengan hasad dan dengki, yang dilihat sinonim dengan bangsa Melayu.

Mungkin sebelum ini, kesannya hanya gagal menawan Kelantan, sebaliknya dalam pilihan raya umum lalu, tindakan sabotaj, cah keting dan ‘biar dia tahu siapa kita’ bukan saja memalukan, malah hampir mengorbankan parti yang sebelum ini menjadi teras pentadbiran negara.

Kita berpendapat tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka terbabit, baik ahli mahu pun pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan jentera parti ketika pilihan raya, sebaliknya bertindak `membunuh’ calon dari parti sendiri.

Golongan ini yang boleh dianggap ‘musuh dalam selimut’ perlu disingkirkan daripada parti kerana selagi mereka berada di dalam parti, pelbagai kerenah akan timbul.

Di samping itu, pemimpin parti komponen lain, baik Gerakan, MCA dan MIC juga perlu menyiasat ahli atau pemimpin yang turut menjadi petualang sehingga menyebabkan BN kehilangan banyak kerusi di kawasan majoriti Cina dan India.

Hakikatnya, kita berpendapat bukan saja kalangan Umno terbabit dalam kegiatan sabotaj berkenaan, malah mereka daripada parti komponen lain turut menyumbang kepada kekalahan teruk BN.

Agak malang ramai daripada kita tidak pernah menghayati atau belajar sejarah lalu.

Kita perlu melihat kembali senario bagaimana kejatuhan empayar dan kerajaan lama yang berpunca daripada masalah dalaman, percakaran sesama sendiri, perasaan tidak puas hati, yang berakhir dengan kekalahan hingga hampir memadam segala impian.

Tragedi Malang Anak Genius: Sufiah Tak Kesal Jadi PELACUR

Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran.

By AGENSI

LONDON: Seminggu selepas kisah hidupnya sebagai pelacur terbongkar, wanita pintar matematik, Sufiah Yusof, membuat satu lagi kejutan apabila mengakui tindakannya menjual tubuh memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor, berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Malah, Sufiah membuat pengakuan berani sebagai 'wanita penuh berahi' yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000).

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui masih trauma dan terus dihantui pengalaman peritnya ketika zaman kanak-kanak apabila didera bapanya, Farrooq Yusof, termasuk sehari suntuk belajar matematik di dalam bilik amat sejuk atas alasan dapat menambah daya ingatannya.

Sufiah, janda berusia 23 tahun, mendakwa hubungannya dengan keluarga kini semakin renggang.

"Saya tergamam dengan apa yang berlaku kepada ibu. Ya, saya ada menghubungi mereka, tetapi saya tidak mahu mengandaikan pandangan mereka terhadap kehidupan baru ini. Saya tidak rasa kesal langsung. Saya lebih yakin dengan tubuh ini serta pekerjaan saya," katanya dalam temubual dengan wartawan tabloid, News of The World.

Sufiah memutuskan untuk membuat pengakuan itu selepas tabloid berkenaan sebelum ini mendedahkan kisah hidupnya yang melacur dengan mendapat bayaran kira-kira £130 (RM910) sejam.

Pendedahan tabloid berkenaan minggu lalu, menjadi perkembangan penuh tragik bagi Sufiah yang sebelum ini melalui kehidupan yang dipenuhi banyak peluang cerah, tetapi bertukar sebaliknya selepas melarikan diri dari universiti dan keluarga pada usia 15 tahun kerana tidak tahan dengan sikap buli bapanya.

Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, bapanya, Farooq dari Pakistan. Bapanya kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa.

Farooq juga pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli. Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun.

Kakak Sufiah, Aisha, 25, pula sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala abangnya, Abraham, 26, serta dua adik, Iskander, 21, dan Zuleika, 14, tinggal dengan Halimaton.

Mengimbau detik pertamanya bertukar daripada pelajar pintar kepada pelacur, Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran.

Ketika itu, dia dihimpit hutang termasuk bebanan kad kredit kira-kira £3,500 (RM24,500).

Namun, Sufiah tanpa segan silu atau rasa kesal, yakin statusnya sebagai pekerja seks memberi jawapan kepada semua permasalahannya.

"Saya menjadikan pelanggan tidak keruan dengan membacakan formula matematik ketika kami berasmara. Pelanggan saya sukakan kemampuan saya kerana dapat merangsang minda dan badan mereka secara serentak.

"Saya tidak berasakan semua pendidikan yang diterima selama ini sia-sia. Malah, saya lazimnya membawa kertas tugasan yang perlu diselesaikan sebelum temu janji dengan pelanggan," katanya.

Lapan tahun selepas mencipta nama sebagai pelajar pintar, Sufiah, dakwa tabloid itu, tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila memandang tinggi karier barunya sebagai pelacur.

"Ramai yang memandang rendah tugas sebagai teman sosial ini, tetapi saya tidak menganggapnya sedemikian. Lagi pun saya sememangnya mempunyai nafsu seks yang tinggi.

"Kini saya memperoleh semua seks yang saya ingini. Lelaki juga jauh lebih baik di ranjang dengan teman sosial berbanding teman wanita sendiri.

"Saya mempunyai pelanggan yang terpesona dengan keupayaan matematik saya. Malah, ada seorang pelanggan yang meminta saya membacakan kaedah matematik termasuk algebra ketika kami berasmara. Ia terbukti menjadikannya lebih seronok," katanya.

Sufiah juga mendakwa pendapatannya tidak kurang hebat kerana memberinya wang yang lumayan.

"Ya, saya menikmati kehidupan yang baik dan mampu mengawalnya. Saya bencikan pandangan masyarakat yang stereotaip mengenai tugas sebagai teman sosial. Ia jauh berbeza daripada tanggapan salah mereka.

"Pelanggan saya juga tidak kurang hebatnya dan melayan saya seperti puteri. Ada seorang lelaki yang sering saya temui di London membelikan saya pakaian Gucci berharga £700 (RM4,900) dan membawa saya ke Selfridges untuk memilih apa juga beg tangan yang saya mahukan.

"Pada sebelah malam, kami makan malam bersama dan dia membawa saya pulang ke hotel. Saya berasa seperti (aktres) Julia Roberts dalam Pretty Woman."

Tiada CAMPURTANGAN Khairy Dalam MT, Kata Anak Badawi

By UTUSAN ONLINE

ABDULLAH Ahmad Badawi hari ini sekali lagi menafikan campur tangan menantunya, Khairy Jamaluddin dalam pentadbiran parti dan kerajaan.

Perdana Menteri turut menyangkal dakwaan bahawa anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Jemaah Menteri merupakan barisan pak turut atau Yes man.

''Kononnya zaman saya ini tidak ada kebebasan, semuanya orang takut. Tetapi depa kata saya ni lembik... tapi orang takut kat si lembik ni.

''Seolah-olah semua yang ada dalam MT ini dan dalam Kabinet, bodoh belaka... Khairy seorang yang pandai, yang menentukan segala-galanya.

''Ini semua tuduhan yang tidak ada batasan, terus hentam begitu sahaja,'' tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada lebih 1,000 ahli daripada kumpulan penerangan parti itu di PWTC di sini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin UMNO serta pembangkang sebelum ini sering menuduh Khairy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO campur tangan dalam keputusan-keputusan kerajaan termasuk menentukan senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum lalu.

Mahathir SETUJU Tak HENTAM Anak Badawi Dengan BERSYARAT!

By AGENDADAILY

SEMENTARA itu dalam satu majlis di Ampang dekat Kuala Lumpur sekitar waktu yang sama Majlis Penerangan UMNO berlangsung di PWTC,Tun Dr Mahathir menegaskan beliau tidak akan bercakap selagi pimpinan UMNO tidak berhenti melakukan apa yang didakwanya salah hingga menyebabkan UMNO berdepan dengan tsumani politik semasa pilihanraya umum baru ini.

Namun katanya beliau akan hanya bersuara apabila diundang menghadiri sesuatu majlis untuk berucap, dan "tidak akan menjalankan kempen bersendirian" untuk menyuarakan pendapatnya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mempertahankan bahawa pada zamannya memerintah beliau tidak pernah menyekat sesiapa untuk menyuarakan pendapat mereka malah semasa beliau dicabar Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu pada tahun 1987, telah memberikan kebebasan kepada Tengku Razaleigh bersama pasukannya yang mencabar pelbagai jawatan dalam parti itu, termasuk Tun Musa Hitam yang pada masa itu mencabar timbalannya Tun Ghafar Baba.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas menghadiri majlis "Fikir-Fikir Bersama Mahathir" anjuran Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.

Kata Dr Mahathir beliau tidak ada niat hendak menjadi Presiden UMNO, sekali lagi atau Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi sebagai anggota UMNO dan sebagai rakyat Malaysia beliau berhak bersuara.

"Saya akan berhenti, Saya akan berhenti. Secara jujur saya akan berhenti jika mereka akan berhenti melakukan apa yang salah yang telah menyebabkan UMNO mempamerkan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini," katanya.

Beliau juga berkata cadangannya supaya peraturan undi bonus bagi pertandingan jawatan dalam parti pada Disember depan dihapuskan adalah juga bagi mengelakkan politik wang dan tekanan daripada pihak tertentu.

"Kita nak calon tak beli undi sebab nak jadi calon (bagi merebut jawatan dalam UMNO). Sebab untuk jadi calon seseorang itu kena dapat 60 bahagian," katanya.

Anak Badawi KILAS, Mahathir PENGKHIANAT?

Mengenai tuduhan Dr. Mahathir yang kononnya Abdullah menguasai media dan ‘terlalu berkuasa’ sehingga tidak ada pihak yang berani mengkritiknya beliau bertanya adakah bekas Perdana Menteri itu beranggapan semua ahli kabinet bodoh sehingga takut dan tunduk kepada beliau.

By HANAFIAH MAN

PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selama ini mengambil sikap berdiam diri di atas serangan yang dibuat oleh bekas bosnya Tun Dr. Mahathir Mohamad hari Ahad pertama kali membuat kejutan dengan ‘menyerang’ balik bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, beliau yang dikatakan terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak berani bersuara tetapi pada hakikatnya di zaman Dr. Mahathir pelbagai sekatan dan arahan dibuat olehnya.

“Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan semua orang takut tapi depa kata saya lembik... tapi orang takut kat si lembik seolah-olah dalam kabinet bodoh belaka... Khairy seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya.

“Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaja. Apakah pada masa dulu tidak ada sekatan-sekatan tertentu… bila Dr. Mahahtir mengambil alih jawatan dari Tun Hussein saya tahu reporter semua dipanggil jangan beri berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein. Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu bukan saya tak tahu," katanya pada sidang media selepas majlis Penerangan Presiden di PWTC.

Menjawab satu soalan sama ada beliau akan membuka fail dalam beberapa kes yang dibangkitkan berkaitan Dr. Mahathir semasa berkuasa dahulu, Abdullah berkata, beliau bukan jenis yang akan membuka fail tentang seseorang tetapi menyerahkan kepada agensi yang terbabit untuk mengambil tindakan sekiranya didapati ada kesalahan yang dilakukan.

Pengerusi DAP Karpal Singh dalam satu kenyataan Jumaat lalu mendesak Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan ke atas laporan yang dibuat terhadap Dr Mahathir kerana dakwaan campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara.

Menurutnya semasa perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Shafee Yahya ketika memberikan keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ariffin Jaka berkata Dr Mahathir telah mengarahkan beliau menutup satu fail dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan itu.

Mengenai tuduhan Dr. Mahathir yang kononnya Abdullah menguasai media dan ‘terlalu berkuasa’ sehingga tidak ada pihak yang berani mengkritiknya beliau bertanya adakah bekas Perdana Menteri itu beranggapan semua ahli kabinet bodoh sehingga takut dan tunduk kepada beliau.

Katanya, semasa zaman Dr. Mahahtir ada arahan agar berita orang tertentu jangan disiar dan ini arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Namun jelasnya, kini ahli-ahli UMNO sudah berani keluar dan bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu semasa Dr. Mahathir masih berkuasa.

Abdullah hairan kerana semasa Barisan Nasional (BN) menang besar pada tahun 2004, Dr. Mahathir berkata BN terlalu kuat dan ia perlu diimbangi dengan pembangkang.

“Bila pembangkang menang pada masa ini saya ingat dia nak celebrate tapi hentam kita balik,” ujarnya.

Apa yang jelas menurut beliau, rakyat tidak dapat menerima UMNO bersengketa pada masa ini.

Mengenai kritikan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah pula Abdullah memberitahu beliau dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh tidak membantu BN Kelantan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Ku Li perlu lihat pada diri, dia yang sebab kita kalah dan Kelantan jatuh ke tangan PAS. Selama PAS menguasai Kelantan ada sekali beliau cuba bawa balik supaya BN menjadi kerajaan, itu pun gagal juga," katanya.

Kelantan jatuh ke tangan PAS sejak 1990 menerusi kerjasamanya dengan parti Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh ketika itu.

Pada pilihan raya 2004, BN hampir merampas kembali negeri itu apabila memenangi 21 daripada 45 kerusi dan satu kerusi lagi pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

Mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri berkata beliau tidak ada masalah dengan timbalannya.

''Bukan macam Anwar yang melihat dirinya sebagai pemimpin alternatif kepada Dr. Mahathir.

''Sekarang (Anwar) anggap dirinya leader in waiting, dia boleh kata begitu tetapi pada masa ini sayalah Perdana Menteri,'' katanya.

Berhubung dakwaan para pemimpin PKR adanya kalangan ahli parlimen BN nak melompat parti Abdullah berkata mereka boleh cakap apa saja.

Menurutnya perbuatan melompat parti adalah satu hal yang tidak bermaruah kerana mengkhianati amanah pengundi.

Ditanya apakah kenyataannya yang pertama kali menyerang balik Dr Mahathir bererti beliau sudah set untuk berdepan head on dengan bekas Perdana Menteri itu mula sekarang, Abdullah menjawab beliau akan bercakap tentang apa yang perlu dikatakan.

Pada sidang akhbar itu Perdana Menteri juga mendakwa 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini diisytiharkan kawasan putih dan dijamin menang tetapi tewas kerana perbuatan sabotaj oleh ahli UMNO sendiri.

Katanya jika tidak kerana faktor sabotaj BN tidak akan hilang majoriti dua pertiga dan dua buah negeri iaitu Perak dan Kedah.

Beliau enggan menyatakan secara terperinci perbuatan itu.

Namun katanya laporan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Disiplin agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika diminta mengulas mengenai perkara yang sama berkata, kritikan berterusan Dr. Mahathir boleh dianggap sebagai perbuatan mensabotaj parti. - Agendadaily

Memahami SURAT MURSYIDUL AM Kepada PRESIDEN PAS

By ROSLI ALLANI

BERIKUT merupakan surat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi :

YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


YB Datuk Seri,

Alhamdulillah. Allah SWT. yang memiliki seluruh alam semesta serta sekalian kerajaan langit dan bumi telah memakbulkan doa dan munajat kita.

Setiap butir air mata umat yang telah gugur selama ini telah semakin terjawab sebahagiannya.

Berkat kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri, yakinlah kita bahawa tentu ada sesuatu yang tepat antara apa yang kita ikhtiarkan dan hajati selama ini dengan apa yang tersimpan “di atas sana” buat kita.

Bagaikan bersamaannya paksi Ka’abah dan Baitul Makmur, maka bersahut jualah akhirnya persamaan itu dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008 lalu.

Antara hajat di bumi dan takdir di langit yang tersusun rapi dalam satu persetujuan itulah kita kini sedang sama-sama tunduk, menangisi sebuah kesyukuran justeru terlalu khudhu’ menerima ujian kemenangan.

Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.

Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1, saya masih terasa akan perlunya kita untuk lebih berhati-hati.

Terkini, setelah membaca dan mengikuti rentak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai ‘era pembaharuan 100 hari’, mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.

Ia wajar berfungsi sebagai badan penentu keutamaan program bertindak mengisi pelaksanaan manifesto “negara berkebajikan” mengikut marhalah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan.

Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan saja buat sementara waktu.

Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira terlalu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita.

Buat diri saya sendiri, InsyaAllah; saya akan lebih berhati-hati untuk mendokong roh kesedaran ini.

Semoga keadaan kita yang sering saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNYA jua.

Wallahua’lam.

Nik Abdul Aziz Nak Mat
Mursyidul Am PAS

ULASAN: Surat yang disiarkan dalam akhbar Siasah 30 Mac- 5 April 2008, perlu difahami dengan teliti oleh semua pendokong Parti PAS khususnya di dalam memastikan Pakatan Rakyat yang tertubuh dapat diterima dengan baik oleh semua.

Bukan sahaja mereka yang tidak teragak agak memberi undi kepada Pakatan Rakyat tempohari tetapi mereka yang tidak keluar mengundi mahupun telah mengundi Barisan Nasional pada PRU ke 12 yang lepas.

Umum mengetahui pergolakan politik di dalam BN khususnya di dalam UMNO telah didalangi oleh beberapa individu di dalam dan di luar parti yang mengkucar-kacirkan keadaan akibat percaturan politik mereka.

Maka persoalan asas yang dibawa adalah kredibiliti dan kepimpinan yang ada pada Presiden mereka. Sekuat mana sesebuah pentadbiran dan organisasi, bila ditadbir oleh seorang yang lemah maka akan tetap menjejaskan keutuhannya.

Peluang akan dicari untuk memastikan pemimpin sebegini diturunkan samada desakan daripada dalam mahupun luar. Yang diusahakan adalah mewujudkan konflik. Sehinggakan krisis kepimpinan itu tidak dapat lagi ditampung dengan apa cara sekalipun.

Berundur atau konflik itu berterusan hingga meranapkan seterusnya dicaci dan dinista oleh pengikutnya. Itulah pilihan Pak Lah. UMNO hanyalah sebuah rumah kaca yang tidak kukuh sekarang ini.

Bukannya rumah kristal yang dicanai dengan sesempurna mungkin untuk memberikan kekuatan padanya. Kekalutan yang ada tidak memungkinkan mereka melancar serangan balas kepada Pakatan Rakyat walaupun ruang itu ada. Mereka hanya mampu bertahan.

Namun peluang tetap ada untuk mereka mengapi apikan permusuhan di antara komponen Pakatan Rakyat. Maka nasihat daripada Mursyidul Am itu hendaklah diperhatikan sebaik.

Setiap parti komponen perlu berhati hati, mengutamakan perpaduan dan persamaan di dalam melaksanakan agenda. Mustahil tiada persefahaman dan ‘common ground’ yang boleh disepakati.

Bila semua pihak saling memerlukan, maka perlulah saling menghormati. Yang penting akarnya berfungsi menyerap mineral untuk pohonnya membesar.

Kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat adalah signal sokongan rakyat yang cukup besar kepada mereka.

Membandingkan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki pada Julai 2007, di mana mereka juga sekadar memperolehi hampir 50 peratus undi, namun berjaya memperolehi 341 daripada 550 kerusi parlimen, maka Pakatan Rakyat perlu yakin akan kekuatan mereka.

Dan pendokong mereka khususnya daripada Parti PAS perlu memerhati bagaimana AKP bergerak di dalam sistem politik sekular di negara mereka sebagai sebuah parti yang tidak dilihat ideologikal sebagaimana di tempat lain.

Bahkan kemenangannya banyak disokong oleh kejayaannya mentadbir dan menjadi parti tempatan yang melaksanakan tugasnya dengan baik.

Berbeza dengan Turki, parti AKP diserang dari dalam dan luar negara dengan imej Islamis yang cuba dikaitkan dengan mereka, manakala perubahan yang berlaku di negara kita adalah hasil kebencian rakyat kepada sekatan media dan sikap angkuh sesetengah pihak sehinggakan mengamalkan sikap bermusuh dengan media luar negara.

Haruslah difikirkan pendekatan terbaik untuk memastikan kebangkitan rakyat tadi disalurkan dengan tindakan bijak daripada kepimpinan Pakatan Rakyat bagi memastikan rakyat benar benar pasti dan selesa dengan usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan kerajaan lima negeri untuk menjaga hak dan kepentingan mereka, bukan setakat berusaha untuk menaikkan nama dan parti masing masing. Rakyat sedang memerhati.

Jangan Cepat MELATAH Dengan Isu NEGARA ISLAM dan PAKATAN RAKYAT?

Mengapa PAS membiarkan beberapa pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan bencana kepada Pakatan Rakyat yang baru merangkak?

By TARMIZI MOHD JAM

INI komentar saya terhadap ulasan bernas Al-Husseyn pada posting "Menerajui Pakatan Rakyat: Apa Untungnya PAS?" dalam blognya alhusseyn.blogspot.com semalam berkenaan isu "Negara Islam" yang menjadi nukilan beberapa pemimpin PAS sehari dua ini.

Cukuplah kita mewar-warkan "Negara Berkebajikan" sebagai titik tolak penyatu antara PAS, PKR dan DAP.

Komen-komen beberapa pemimpin terkini, mudah dilihat sebagai jalan pintas mengundang bencana. Saya syorkan agar kenyataan dasar seperti isu yang diulas oleh Sdra. Al-Hussyen dilakukan oleh Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang.

Jangan kita (pemimpin lain PAS) ulangi kenyataan-kenyataan silap dan salah dalam permainan politik berkenaan isu yang terbukti sensitif di mata DAP itu.

Bunyinya memang manis, untuk menegakkan "Negara Islam" tetapi kesannya berdasarkan sokongan dan pakatan, cukup jelas mengandungi impak buruk.

Selesaikan isu ini secara "hikmah" dan tidak diwar-warkan di dada media. Jauhkan juga media yang kita kutuk selama ini dari dijadikan perkakas untuk menyampaikan masej tersebut.

Semuanya itu, memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kefahaman jelas terhadap dasar perjuangan dan kaitannya dengan masyarakat majmuk di negara ini.

Syabas Sdra. Al-Husseyn atas pandangan bernas itu. Moga dapat diperhalusi oleh sesiapapun tanpa mengira pimpinan PAS atau bukan PAS demi membuka lembaran baru Pakatan Rakyat secara konsisten!

Moga Allah SWT lindungi kita semua dari malapetaka hingga membawa kehancuran pada benih-benih "pakatan" ketika sinar Islam mula menyinsing di bumi Malaysia ini!

Mengapa Ramai TERPEDAYA Dengan PEMBAIKAN Dilakukan Umno-BN?

By TARMIZI MOHD JAM

LANGKAH Ahmad Shabery Chik, Menteri Penerangan yang baru - melakukan perubahan di RTM adalah jelas bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk mengubati kebejatan Umno-BN setelah dibedal pengundi pada PRU 12 lalu.

Ini suatu perkara yang patut diperhalusi oleh semua pihak yang bukan Umno-BN, khususnya dari Pakatan Rakyat. Ahli, penyokong hinggalah kepada para pimpinannya.

Ruang yang diberi kepada bloggers dalam Berita Perdana Jam 8 juga bermaksud demikian. Jika tidak ada udang di sebalik batu, sudah tentu tidak semudah itu bloggers diutamakan oleh sebuah kerajaan seperti BN yang menyifatkan mereka adalah "beruk-beruk" sebelum ini.

Begitu juga pertemuan yang bakal diadakan dengan pengendali blog patut dilihat sebagai kekuatan di pihak Umno-BN yang bakal melemahkan keyakinan rakyat terhadap Umno-BN yang selama ini dianggap penindas dan kejam.

Dari satu sudut, ia kelihatan baik dan menarik untuk rakyat. Shabery mengemukakan alternatif dan menolak sikap buruk BN selama ini terhadap rakyat.

Tetapi sebenarnya tujuannya satu, untuk menggamit keyakinan ramai terhadap Umno-BN kononnya mereka kini sudah sedar dan mahu bersikap pro-rakyat. Berubah dan berubah.

Isu yang sama turut memperdaya ramai bloggers dan pimpinan politik (mana-mana peringkat) apabila menyertai "tsunami undur" yang menuntut anak Badawi berundur dari jawatan Perdana Menteri.

Sebahagian besar dalaman Umno memang mahu anak Badawi berundur. Mahathir, anaknya Mukhriz, Ku Li juga tidak ketinggalan, barangkali Rafidah Aziz, Idris Jusoh, Shahidan Kasim, Abdul Rahman Bakar antara yang mahu anak Badawi itu undur!

Agenda Mahathir, Ku Li dan ramai lagi, akan mengisi pengunduran tersebut selain memanggil semula sokongan rakyat terhadap parti yang dianggap keramat oleh orang-orang Melayu itu.

Tujuannya satu, untuk mengukuh, menguat, menyegar, meremaja dan memantapkan Umno serta Kerajaan BN. Sebab itu anak Badawi perlu diundurkan. Dengan pengunduran itu, Umno kembali teguh dan orang Melayu sedia bersatu.

Mengapa kita dari (pembangkang) turut terhegeh-hegeh menyokong langkah tersebut?

Seolah-olah kita bersetuju anak Badawi undur? Seolah-olah suka sangat Khairy Jamaluddin tidak aktif di Tingkat 4, JPM? Seolah-olah kita mahu Umno kuat semula dengan menyokong segala pembaikan dalaman parti haprak itu.

Walhal, pengunduran anak Badawi, sama macam pembukaan ruang oleh RTM terhadap Sidang Dewan Rakyat dan program bersama bloggers yang disediakan Shabery Chik itu.

Tujuannya satu, untuk memartabat kembali Umno-BN. Betul atau tidak, terpulang kepada anda semua!

Sudah tentulah pada masa yang sama, ia akan menggugat Pakatan Rakyat apabila rakyat terpengaruh, terpedaya dan terpikat dengan perubahan dan pembaikan drastik pro-rakyat yang sedang dilangsungkan oleh Umno-BN itu.

Jadi apa untungnya? Apa baiknya kita menyokong dan melihat perubahan serta pembaikan Umno-BN yang dianggap menyebelahi rakyat secara total itu?

Banyakkah faedahnya yang mampu dipungut oleh Pakatan Rakyat dengan pengunduran anak Badawi dan ketiadaan Khairy?

Apa pula impak yang diperolehi jika Ku Li pula yang mnejadi Perdana Menteri selepas itu? Ini patut difikirkan agar kita memiliki kotak fikir yang sihat dan relevan!

Saya lebih bersetuju agar semua perkara itu disempurnakan oleh Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Rakyat nanti, atau apa-apa yang boleh dilakukan di bawah bidang kuasa Kerajaan-Kerajaan Negeri kini seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Banyak pembaikan yang dulunya diburukkan oleh pentadbiran haprak Umno-BN kini, boleh diberi nafas baru dan dimajukan secara efisyen. Carilah idea kreatif agar rakyat terus mengikuti perkembangan, pembaikan dan pembaharuan dalam pentadbiran.

Itu lebih baik dan memberikan impak berpengaruh kepada Pakatan Rakyat dari menyokong apa jua perubahan dan pembaikan yang sedang dicanangkan oleh Umno-BN dalam membetulkan tanggapan serong rakyat terhadap mereka sebagai parti yang sudah tidak relevan.

Moga tiada suara kencang yang menyokong apa jua yang dilihat baik dari pihak Umno-BN, melainkan kita meletakkan suatu terjahan bahawa itu semua ke arah untuk mengembalikan kekuatan Umno-BN bagi menghentam, mengunyah, dan membaham Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 nanti.

Rasanya semua percaya, apa jua tindakan Umno-Bn sekarang bertujuan untuk "menyerang" Pakatan Rakyat. Untuk merampas kembali lima negeri yang terlepas dan menawan semula kawasan Dun dan Parlimen yang dikuasai Pakatan Rakyat!

Jika kita gagal sedar, bererti hancurlah Kerajaan-Kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri itu "ditelan" oleh perubahan dan nilai pembaikan yang sedang dilakukan oleh Umno-BN sekarang.

Ingat, strategi Umno-BN yang berselidung disebalik projek kerajaan dan atas nama pembaharuan pro-rakyat itu, jauh lebih sulit untuk fahamkan kepada rakyat kelak.

Mahathir COME BACK? Anwar KE MANA PULA?

By REDHUAN D OON

MUSTAHILKAH Mahathir kembali berkuasa? Siapa kata? Ada perlembagaan kata? Jika tidak ada senario lain Umno boleh bersatu kuat.

Scenario yang kurang dastrik dari atas adalah mengikut kejutan pukulan pusingan pertama yang Anwar bakal berikan.

Mahathir boleh diangkat jadi penasihat Umno dengan kuasa menteri dan Ku Li di letak gantikan Pak Lah tanpa pertandingan tetapi perjanjian bersama.

Pak Lah pula boleh diletakkan sebagai menteri kanan tanpa portfolio sehingga krisis berlalu. Sekarang pun kita lihat Pak Lah kurang keluar berita atau muncul di TV.

Ini mesti ada taktik yang mereka tengah mainkan.

Senario terakhir Anwar ialah dia akan dapat berkuasa dalam masa terdekat sekiranya BN melakukan offside yang terlalu dasyat sehingga gol betul-betul terbuka.

Samada Umno kena kes mahkamah yang mengantungkan aktiviti mereka, atau terdapat kes yang Mahathir timbulkan nanti.

Tetapi jika Anwar bertindak, Pak Lah pun boleh bertindak juga, iaitu cepat-cepat membubarkan Parlimen untuk runoff kali kedua tahun ini yakni PRU13.

Bagi mengikuti komentar seterusnya sila klik DISINI.

Ahad, April 06, 2008

PAS Batu Pandang SERIUS, Sokong Ambil TINDAKAN Pada TUN MAHATHIR!

Menurut Setiausaha PAS kawasan, Haji Ismail Yahya (kiri) dakwaan Dato' Param Cumaraswamy amat serius dan ia bukan sahaja membuka perbincangan baru tetapi satu tindakan tegas patut diambil segera terhadap Tun Mahathir.

By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kawasan Batu memandang serius dakwaan dengan pendedahan UN Special Rapporteur, Dato' Param Cumaraswamy di dalam akhbar The Star minggu lalu yang mendakwa terdapat tanda-tanda bagaimana Tun Mahathir terlibat dalam memusnahkan sistem kerajaan di Malaysia.

Menurut Setiausaha PAS kawasan, Haji Ismail Yahya dakwaan Dato' Param Cumaraswamy amat serius dan ia bukan sahaja membuka perbincangan baru tetapi satu tindakan tegas patut diambil segera terhadap Tun Mahathir.

Dalam kenyataannya kepada The Star itu, jelas menunjukkan bagaimana Tun Mahathir terlibat dalam memusnahkan sistem kerajaan di Malaysia.

Param berkata biarpun hampir keseluruhan rakyat sebulat suara bersetuju bahawa sistem kerajaan telah dicemari dengan amalan rasuah, berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu, kesalahan amalan rasuah ini tidak boleh diletakkan ke atas PM, Abdullah Ahmad Badawi semata-mata .

"Ini kerana, kelemahan yang berlaku di bawah pentadbiran beliau (Abdullah) bukan terjadi dalam masa semalaman, tetapi diwarisi dari pentadbir sebelumnya. Sehubungan itu, Tun Mahathir sewajarnya disalahkan ke atas krisis yang berlaku dalam bidang penghakiman, polis dan BPR," tegas beliau.

Ismail tidak menafikan apa yang telah berlaku selama ini membuktikan betapa gejala rasuah, campurtangan badan kehakiman, kelembapan BPR dalam mengambil tindakan terhadap "jerung-jerung" utama, terangkum dalam dakwaan Param itu.

PAS Kawasan Batu menyokong penuh kenyataan Param untuk menyiasat dakwaan terhadap Tun Mahathir.

Ismail juga menyokong dakwaan-dakwaan Ezam Mohd Noor terhadap Tun Mahathir yang patut diambil tindakan.

"Berdasarkan testimoni bekas Pengarah BPR, Dato' Shafee Yahya, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ariffin Jaka dalam perbicaraan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000 seperti yang tertera dalam rekod mahkamah, bahawa terdapat bukti kukuh untuk menyiasat Tun Mahathir kerana salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang dilakukan beliau pada 1998. Sebagai mantan PM, tidak meletakkan beliau 'keistimewaan' untuk terlepas dari hukuman ke atas kesalahan semasa pentadbiran beliau," tegas Ezam.

Jawatan SPEAKER Atau TIMBALANNYA Diisi Wakil PAKATAN RAKYAT?

Cikgu Ishak Surin berharap, jawatan speaker itu akan menjadi milik Pakatan Rakyat bagi membuka lipatan sejarah baru Dewan Rakyat di negara ini.

By TARMIZI MOHD JAM

PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan agar jawatan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat (Speaker) diberi kepada mana-mana Ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat untuk diisi bagi meningkatkan peranan dewan tersebut demi kepentingan rakyat.

Ketika menegaskan perkara ini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah, Cikgu Ishak Surin hasrat ini penting kerana sepanjang jawatan itu disandang oleh wakil BN, kepentingan rakyat dipinggirkan apabila suara itu dilaungkan oleh wakil-wakil rakyat parti pembangkang.

Beliau menyokong penuh langkah Pakatan Rakyat mengemukakan calon bagi melantik Speaker dan Timbalannya di kalangan Pakatan Rakyat.

Ishak benar-benar kesal dengan sikap semua speaker dan timbalan speaker selama ini yang sering menolak dan tidak mengindahkan usul-usul tergempar pihak pembangkang untuk dibahaskan.

Sebaliknya, apa sahaja usul dari pihak BN diutamakan demi untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

Cikgu Ishak menyifatkan speaker dan timbalannya yang dilantik oleh BN selama ini sebagai tidak telus, tidak profesional dan berat sebelah.

"Ini sebenarnya tidak menguntungkan rakyat. Sebaliknya ia menjadi speaker, timbalan speaker yang memihak BN atas apa sahaja isu dan kepentingan. Mereka tidak adil!" tegas beliau ketika ditemui.

Beliau berharap pelantikan speaker dan timbalannya perlu mengikuti proses secara demokrasi dengan mendapat persetujuan serta sokongan 88 orang Ahli Parlimen di kalangan Pakatan Rakyat.

Pelantikan tersebut juga, tegasnya, harus mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen di kalangan pihak kerajaan bagi mendapat sokongan majoriti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah PRU 12 itu berharap, hasrat tersebut akan menjadi kenyataan bagi membuka lipatan sejarah baru Dewan Rakyat di negara ini.

PAS Sokong LANGKAH PRO AKTIF Kerajaan Selangor Terhadap SETINGGAN!

Sikap prihatin Kerajaan Selangor terhadap masa depan nasib peneroka bandar juga amat disanjung tinggi sebagai sebuah kerajaan berkebajikan.

By TARMIZI MOHD JAM

LAJNAH Hal Ehwal Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar barunya, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengurangkan bilangan setinggan di negeri ini sekaligus membebaskan mereka (peneroka bandar) daripada kitaran kemiskinan dan menjamin hak asasi rakyat untuk mendapat tempat kediaman yang selesa.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusinya, Haji Anuar Tahir kepada media hari ini.

Katanya, PAS menyedari Selangor merupakan negeri yang pesat membangun, maju dan rakyatnya perlu memperolehi rumah mampu milik.

Beliau amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang berjanji tidak akan menangani isu “setinggan” sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan polisi setinggan sifar yang menekan dan menindas peneroka bandar terbabit.

Sebaliknya, ujar Anuar yang juga AJK PAS Pusat, langkah Kerajaan Selangor yang terus menekankan hak perumahan untuk semua amat dialu-alukan dengan menentukan perumahan kos rendah mencapai spesifikasi minima yang lebih baik dan kondusif.

PAS juga menyokong penuh dengan cadangan garis panduan baru yang akan diwujudkan untuk menentukan hak dan kebajikan setinggan dipertahankan pada setiap masa.

Tambahnya, sikap prihatin Kerajaan Selangor terhadap masa depan nasib peneroka bandar juga amat disanjung tinggi sebagai sebuah kerajaan berkebajikan.

"Usaha mengeluarkan mereka dari kawasan setinggan untuk memberi anak-anak mereka masa depan yang lebih baik disamping untuk menjaga kepentingan hak kepada pemilik harta (property rights) dalam kawasan yang didiami setinggan tersebut, sangat dialu-alukan demi untuk kebaikan semua pihak," tegas Anuar.

PAS juga menyokong penuh cadangan Kerajaan Selangor yang akan memperkenalkan proses rundingan dengan semua pihak terbabit, termasuk badan-badan bukan kerajaan dan sektor korporat untuk memastikan semua pihak dapat memberi input dan mendapat maklumat yang sahih mengenai rancangan kerajaan.

Kepekaan Kerajaan Selangor, kata Anuar lagi, untuk tidak meneruskan kesilapan dan kezaliman dengan penguatkuasaan berat sebelah bagi mengisi kepentingan syarikat-syarikat kroni dalam menyelesaikan isu pekerja asing dan setinggan, amat diharapkan oleh rakyat.

PAS menyokong penuh inisiatif Menteri Besar, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengambil pendekatan baru mengikut proses yang sah dengan cara berimbang terhadap implikasi sosial dan komersial untuk pembangunan Selangor.

Saznizam DISERET Keluar SYORKAN Anwar MASUK Umno Pada FORUM

Peristiharan Bersama PAKATAN RAKYAT

Anwar UNDUR Dari YAYASAN MASA DEPAN!

By DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

SAYA ke Geneva selama 12 jam mempengerusikan Mesyuarat Exco Yayasan Masa Depan.

Kami meluluskan projek media bebas di Beirut, pusat gerakan rakyat di Maghrib, badan hak asasi di Yemen dan lain-lain. Projek terbaru ini menelan belanja hampir 10 juta ringgit.

Exco diberitahu keputusan saya mengundurkan diri sebagai Pengerusi Yayasan mulai Jun nanti.

Kami kemudian mengadakan pertemuan dengan wakil menteri luar Switzerland, duta Liga Arab, Turki dan lain-lain.

PENAFIAN Khalid KUKUHKAN Desas-Desus PILIHAN RAYA KECIL BTR

Keperluan untuk Anwar menyertai pilihan raya kecil BTR begitu mendesak sekali bagi mengelakkan Ahli-ahli Parlimen dari BN yang dikatakn sudah dirunding menyertai Pakatan Rakyat tidak berubah fikiran.

By TARMIZI MOHD JAM

DESAS-DESUS Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim akan melepaskan jawatan wakil rakyat di kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim masih belum terjawab sebaliknya memperkukuhkan desas-desus yang sudah menyelubungi politik Malaysia hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor itu, menafikan khabar angin kononnya beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Sebelum itu saya telah postingkan satu berita "Pilihan Raya Kecil P124 Parlimen Bandar Tun Razak Mei Depan?" bagi membuka pro dan kontra berkenaan isu ini. Anda boleh klik DISINI.

Penafian Khalid dipercayai ada kaitan dengan posting Blog Sanggahtoksago.Com semalam "Pilihan Raya Kecil P124 Parlimen Bandar Tun Razak Mei Depan?".

Dalam penafian Khalid, beliau menyifatkan terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang perkara berkenaan kerana penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya dan sekiranya Anwar membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik, beliau boleh bertanding di mana-mana 31 kawasan Parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum bulan lepas.

Dakwaan Khalid itu sebenarnya mengukuhkan lagi desas-desus bahawa antara 31 kawasan Parlimen milik PKR itu yang mempunyai asas kukuh untuk dilepaskan ialah kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Daripada segi undang-undang, Anwar boleh kembali aktif dalam politik mulai 15 April ini, setelah berakhirnya tempoh larangan selama lima tahun bagi beliau untuk berbuat demikian berikutan pensabitan kesalahannya dalam kes rasuah.

Bagaimanapun peraturan pilihan raya menetapkan bahawa pilihan raya kecil hanya boleh diadakan enam bulan selepas tarikh sesuatu pilihan raya sebelumnya.

Sekaligus, ia menafikan Berita Sanggahtoksago.Com yang meramalkan pilihan raya kecil di Bandar Tun Razak itu akan diadakan pada Mei depan.

"Adalah menjadi hak beliau untuk membuat keputusan bila dan di mana beliau hendak bertanding. Bagi (Parti) Keadilan (Rakyat), kami ada 31 kerusi.

"Bagaimanapun, sekarang saya tak mahu buat sebarang spekulasi kerana kami tak mahu menyusahkan sesiapa, termasuk penentang kami, supaya membuat persiapan yang tidak diperlukan," kata Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok, kepada pemberita apabila diminta mengulas spekulasi tentang perkara itu selepas menghadiri majlis jamuan bersama pengundi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di sini.

Khalid berkata PKR sedang mengambil langkah cukup berhati-hati, termasuk menganalisis keadaan di peringkat akar umbi serta faktor masa sebelum mengambil tindakan yang boleh membawa kepada diadakan pilihan raya kecil.

"Kami amat berhati-hati tentang masa dan keperluannya. Kami mahu memastikan keperluan diadakan pilihan raya kecil dan kemampuan kami untuk memenanginya," kata beliau.

Penjelasan Khalid itu dilihat pemerhati politik sebagai memperkatakan kerusi Bandar Tun Razak dan bukannya 30 kerusi milik PKR yang lain termasuk Lembah Pantai atau Permatang Pauh.

Menurut sumber, keperluan untuk Anwar menyertai pilihan raya kecil ini begitu mendesak sekali bagi mengelakkan Ahli-ahli Parlimen dari BN yang dikatakn sudah dirunding menyertai Pakatan Rakyat tidak berubah fikiran.


Sementara itu Naib Presiden PKR, Azmin Ali dilaporkan berkata, kesemua 31 Ahli Parlimen PKR bersedia untuk mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Bagaimanapun tidak menyatakan kerusi mana yang terlibat.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah untuk mendapatkan 30 kerusi parlimen bagi mencukupkan kerajaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

Ini katanya, jika dimaklumkan strateginya, dibimbangi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan peranannya bagi mengotorkan daftar pemilih di kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi, mereka perlu mengikut prosidur terlebih dahulu iaitu menunggu sehingga keputusan pilihan raya diwartakan iaitu selepas 60 hari, kemudian baru boleh diadakan pilihan raya.

"Sebenarnya kita tidak perlu tergesa-gesa dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) sedang menelitinya," katanya kepada wartawan semasa menghadiri Majlis Jamuan Rakyat bersama Adun Ulu Kelang, Shaari Sungib dan beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen Gombak di Dewan Serbaguna AU2, Taman Keramat, Hulu Kelang, dekat sini hari ini.

AZALINA Atur STRATEGI Tumpaskan KAK PIDAH?

By TARMIZI MOHD JAM

MENTERI Pelancongan, Azalina Othman Said nampaknya sedang bermain mata dan bersandiwara dengan Pergerakan Wanita Umno Malaysia apabila beliau mmebuat kenyataan tidak akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno yang kini disandang Rafidah Aziz pada pemilihan parti Disember ini.

Azalina hanya akan mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dimenanginya pada pemilihan parti 2004. Begitulah katanya, semalam.

Dengan nada sopan santun dan berbudi bahasa, menteri berjiwa "lelaki" itu memberi lasan untuk keluar dari kemelut berkenaan dengan menyetakan dalam suasana politik sekarang, jawatan tertinggi dalam pucuk pimpinan parti termasuk Ketua Wanita Umno bukan menjadi keutamaan baginya.

"Bagi saya yang menjadi keutamaan ialah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan Umno berikutan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Dalam keadaan sekarang kurang molek dan tidak manis kalau kita asyik sibuk untuk merebut jawatan tertinggi dalam parti,'' katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Menurut sumber, antara sebab Rafidah digugurkan dari kabinet adalah untuk memberi laluan mudah kepada Azalina merampas kerusi Ketua Pergerakan Wanita Umno itu.

Anak Badawi bukan sahaja tidak berkenan dengan Rafidah tetapi dikatakan akan melakukan "pembersihan" terhadap orang-orang Mahathir dalam kabinet dan kepimpinan Umno.

Jika Azalina menyifatkan Umno perlu mengamalkan pendekatan bertolak ansur dan yang penting Umno perlu kembalikan keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Apa yang disebut Azalina itulah sangat diinginkan oleh anak Badawi. Mahu mengukuhkan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno dan BN. Rafidah sudah tidak relevan sebab itu, nama Azalina disebut-sebut untuk menggantikan Rafidah yang sudah tua itu.

Bagaimanapun, menurut sumber, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang kononnya akan mengatur strategi dan menumpukan kepada usaha menguatkan BN dan seterusnya bekerja keras menawan semula lima negeri yang ditawan pembangkang, dilihat sebagai percubaannya untuk memancing minat wanita Umno terhadap gagasannya itu.

Ini menunjukkan Azalina sebenarnya akan bertanding menumbangkan Rafidah. Hanya dengan menjadi Ketua Pergerakan Wanita sahaja Azalina mampu memenuhi dan melaksanakan gagasan tersebut.

Tidak mungkin sekadar melontar idea dalam MT, ulas seorang penulis buku politik dari Jalan Pahang Barat.

Anak Badawi "CEMAS" GHANI OTHMAN Pula Sokong KU LI

Ghani yang dikatakan berskandal dengan Datuk Halimah cuba mengukuhkan (?) karier politiknya dengan "menyokong" Ku Li!

By TARMIZI MOHD JAM

PERHUBUNGAN Umno Johor nampaknya tidak akan menghalang mana-mana bahagian parti itu di negeri ini yang berhasrat mengadakan Persidangan Perwakilan Khas (EGM) bagi membincangkan hala tuju Umno dan kaum Melayu selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.

Isu EGM dibangkitkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno Gua Musang sebelum ini dan 26,000 pucuk surat yang mendesak agar semua Bahagian Umno di Malaysia mengasak Anak Badawi agar mengadakan EGM pada 12 Mei ini.

Ku Li mahu "bedah siasat" terhadap Umno mellaui EGM tersebut dibuat diperingkat kebangsaan mengapa, kenapa dan bagaimana Umno boleh kalah teruk di Semenanjung hingga bergantung kuasa dengan kekuatan parti rakan-rakan BN di Sabah dan Sarawak.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Abdul Ghani Othman menegaskan EGM boleh diadakan kerana langkah itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Ini membawa maksud, Ghani tidak menentang dan menyanggah saranan Ku Li sebaliknya memberi "lampu hijau" untuk semua Umno Bahagian dalam negeri Johor bebas mengadakan EGM itu.

“Tetapi ada peruntukan dalam perlembagaan Umno yang perlu dipatuhi oleh bahagian yang menganjurkan persidangan khas itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor semalam.

Ghani dianggap pemimpin yang tidak digemari oleh anak Badawi kerana beberapa kali percubaan menggugurkannya sebagai Menteri Besar Johor terhalang oleh Istana.

Anak Badawi mahu menabalkan Khaled Nordin sebagai Menteri Besar yang baru tetapi hingga kini, usahanya itu kecundang seperti tumpasnya untuk dia mencadangkan Shahidan kembali menyandang Menteri Besar Perlis dan Idris Jusoh kembali duduk kerusi Menteri Besar Terengganu.

Kini, pemerhati politik melihat, giliran Ghani untuk memulangkan paku buah kerasnya terhadap anak Badawi secara beradap.

Ghani mengulas hasrat Umno Bahagian Batu Pahat yang diketuai Dr. Mohd. Puad Zarkashi untuk mengadakan EGM pada 26 April ini. Ia dijangka diikuti oleh Umno Bahagian Parit Sulong yang belum menetapkan tarikh EGM mereka.

Fuad yang juga Ketua Penerangan Umno Johor dan pernah menjadi Setiausaha Politik Ghani, dilihat yang agak kritikal dan bersetuju denga langkah Ku Li agar semua bahagian mendesak Umno Malaysia mengadakan EGM pada 12 Mei ini.

Fuad antara ahli panel pada satu forum menilai keputusan pilihanraya 8 Mac yang dianjurkan oleh sebuah laman web di Hotel Singahsana Petaling Jaya pagi Selasa lalu yang berlangsung dalam suasana panas.

Selian Fuad, dua ahli penal forum itu ialah ahli parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda UMNO Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo.

Ucaputama pada forum itu disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ghani yang juga Menteri Besar Johor menegaskan sehingga kini beliau tidak mengetahui jumlah sebenar bahagian Umno di Johor yang berhasrat mengadakan EGM.

Dan sikap "mengetahuinya" itu tidak penting kerana ia bertujuan untuk mengasak anak Badawi undur dari kerusi Presiden Umno.

Jika mengadakan EGM itu mengancam kedudukannya, sudah tentulah semua bahagian Umno yang inginkan EGM itu boleh dicula dengan mudah.

Ghani berpendapat 40 peratus undi memihak kepada pembangkang kerana mereka protes dan bukan menyokong penuh parti berkenaan. Apakah Ghani masih mahu "bermain" dengan kekalahan beberapa kerusi BN dengan hujah tersebut?

Antara isu yang dimomok-momokkan oleh Ghani menyebabkan tercetusnya undi protes itu ialah kenaikan harga barang, keselamatan, rasuah dan kesesuaian calon.

Apa yang jelas, langkah Ghani mengizinkan semua Umno Bahagian mengadakan EGM memberi pukulan hebat kepada anak Badawi yang sudah tentu kalau boleh, tiada satu bahagianpun di Malaysia berbuat demikian kecuali Gua Musang.

Sekali lagi anak Badawi terhimpit ke dinding setelah senak dengan penolakkan Sultan Perlis dan Terengganu terhadap calon anak emasnya mengisi jawatan Menteri Besar.

Keadaan makin runcing, apabila kempen orang kuatnya, Muhamad Muhd Taib yang meminta agar ditiadakan pertandingan merebut jawatan peringkat Majlis Tertinggi (MT) kononnya akan berlaku "malapetaka" terhadap Umno, juga ditolak mentah-mentah oleh MT dan pertandingan terpaksa juga diadakan pada Disember ini.

Apakah yang akan mengasak anak Badawi ini selepas ini? Kita ikuti perkembangannya dari masa ke semasa.

Sabtu, April 05, 2008

PILIHAN RAYA KECIL Di P124 Parlimen Bandar Tun Razak Mei Depan?

Benarkah Anwar akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak? Ikuti ceramah perdana beliau malam esok 6 April 2008 di sana!

By TARMIZI MOHD JAM

MENURUT sumber, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu dalam tempoh terdekat ini.

Ia bertujuan untuk memberi laluan Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim menyertai pilihan raya kecil di situ sejurus Khalid mengistiharkan pengundurannya.

Kata sumber itu lagi, berbanding Parlimen Permatang Pauh dan Lembah Pantai, pilihan Anwar di kawasan ini tepat kerana ia selain dari membolehkan beliau bertanding, ia juga akan mengurangkan tugasan Khalid dan menumpukan sepenuhnya sebagai Menteri Besar.

Dalam pilihan raya lalu, Khalid menang dengan majoriti 2,515 undi. Calon bertahan BN, Datuk Tan Chai Ho mendapat 25,608 undi dan Khalid memungut 28,123 undi.

Peratusan keluar mengundi juga agak tinggi 75.72 peratus dengan undi rosak berjumlah 707 undi. Pada pilihan raya 2004, Tan meraih majoriti besar iaitu 17,527 undi.

Komposisi pengundi terdiri dari Melayu (52.73 %); Cina (39.47%); India (7.17%) dan lain-lain (0.61%).

Menurut sumber itu lagi, jika Anwar bertanding di Lembah Pantai atau Permatang Pauh, ia hanya akan kehilangan peranan Ahli Parlimen kawasan terbabit dan masalah Khalid untuk fokus membangunkan Selangor akan sedikit terganggu dengan tugasannya yang mungkin tidak efisyen di Bandar Tun Razak.

30 Ahli Parlimen Sarawak TETAP Akan SERTAI PAKATAN RAKYAT?

Sidang Media selepas anak Badawi mengadakan pertemuan khas dengan semua Ahli Parlimen BN Sarawak bersama Taib Mahmud, semalam!

Bayangkan jika benar (?), 20% (dari RM80 bilion) keuntungan Petronas diagihkan kepada Sarawak, maka sudah tentu peralihan kerajaan akan menguntungkan rakyat negeri itu, selain barangkali tawaran-tawaran sebagai penyandang dalam kabinet baru Pakatan Rakyat itu nanti.

By TARMIZI MOHD JAM

BENARKAH semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sarawak memberi jaminan kepada anak Badawi semalam, bahawa tiada seorangpun daripada mereka yang akan melompat parti untuk menyertai pembangkang, dalam apa keadaan sekalipun?

Jaminan adalah perkara biasa dalam politik. Anwar Ibrahim dulupun memberi jaminan tidak akan menumbangkan Timbalan Presiden Umno, Ghafar Baba. Tetapi akhirnya, Ghafar membawa diri bersama beg plastiknya.

Malah, Tun Musa dan Mahathir berpeluk-pelukkan pada Perhimpunan Agung Umno sebagai bukti umum, mereka tidak bercakaran. Tetapi tidak lama kemudian, Musa meletakkan jawatan TPM kerana tidak serasi dengan Mahathir.

Desas-desus menyebut ramai Ahli Parlimen Sarawak itu yang akan melompat bersama Ahli Parlimen BN dari Sabah ke dalam Pakatan Rakyat makin kencang sehari dua ini. Tempohnya sehingga 13 April ini. Baru pengumuman akan dilakukan.

Saya difahamkan, Anwar akan mengumumkan proses peralihan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak itu pada 13 April ini. Pada 14 April, tempoh edah Anwar tidak boleh bertanding pilihan raya tamat.

Ini bererti, Anwar boleh menyertai atau bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil bagi membolehkan beliau menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya mengetuai Kerajaan Persekutuan selepas itu.

Malam esok, 6 April Anwar akan berceramah di Parlimen Bandar Tun Razak bersama Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut. Ada signal yang akan disampaikan kepada pengundi di sana.

Signalnya, menurut sumber, Khalid Ibrahim akan melepaskan jawatan Ahli Parlimen bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding. Lembah Pantai dan Permatang Pauh, sebenarnya tidak menjadi pilihan Anwar, tetapi Bandar Tun Razak dianggap tepat oleh kebanyakan pemerhati politik.

Apa jua jaminan Ahli-Ahli Parlimen BN di Sarawak kononnya tidak akan terpengaruh dengan cubaan pembangkang 'membeli' mereka, malah akan sentiasa berpegang kuat kepada prinsip menyokong penuh kepemimpinan anak Badawi dan Ketua Menteri, Taib Mahmud, pada peringkat negeri akan dibuktikan selepas 13 April ini.

Saya sedikitpun tidak hairan, jika semua mereka di Sarawak itu menyatakan pendirian akan tetap menyokong BN. Ia cuma ucapan lisan dan keputusan sebenar belum menjadi fakta.

Cuma sikap lurus bendul anak Badawi yang menyatakan "saya sebagai Perdana Menteri, selain memberi jaminan tiada seorangpun yang berniat atau tergamak untuk melompat parti" akan memakan dirinya, seperti mana nasihat dari tuan-tuan penasihat dikeliling-kelalangnya menjelang pilihan raya umum lalu.

"Mereka berjanji tetap menjadi ahli BN, wakil rakyat BN dan menyokong penuh kepemimpinan saya," kata anak Badawi selepas mengadakan perjumpaan dengan semua 30 Ahli Parlimen dan 62 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Sarawak serta pemimpin empat parti komponen, semalam.

Kedatangan anak Badawi yang tiba kira-kira jam 9.20 pagi untuk lawatan sehari ke Sarawak, adalah khusus bagi mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin parti komponen dan wakil rakyat BN di negeri ini untuk menyelesaikan desas-desus "ancaman" Ahli-Ahli Parlimen BN Sarawak yang akan menyertai PKR.

Betapa seriusnya perkembangan itu, anak Badawi turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Taib Mahmud. Mereka benar-benar bimbang dan jika semua Ahli parlimen itu melompat, bermakna tumbanglah BN dan terbentuklah kerajaan baru pimpinan Anwar Ibrahim.

Menurut sumber, pada pertemuan tertutup dengan wakil rakyat itu, Taib Mahmud turut memberi jaminan kepada anak Badawi bahawa sokongan BN Sarawak tetap padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen di Sarawak juga bukan barang yang boleh dijual beli.

Itu sekadar jaminan "penyedap rasa"! Hakikatnya, Taib Mahmud sedang gundah gulana dengan perkembangan terkini yang melanda Sarawak itu.

Bayangkan jika benar (?), 20% (dari RM80 bilion) keuntungan Petronas diagihkan kepada Sarawak, maka sudah tentu peralihan kerajaan akan menguntungkan rakyat negeri itu, selain barangkali tawaran-tawaran sebagai penyandang dalam kabinet baru itu nanti.

Penganalisa politik menyifatkan ungakapan-ungkapan yang digunakan oleh Taib Mahmud sarat dengan kebimbangan dalam usaha meyakinkan anak Badawi itu terhadap tiadanya gerakan Ahli-ahli Parlimen BN untuk meninggalkan komponen tersebut.

SIBER: Kebebasan BERSUARA Bukan Tiket HEMTAM KROMO!

By MOHAMAD SOFEE RAZAK

MEDIUM fitnah memfitnah kini bukan lagi sekadar melalui komunikasi harian atau televisyen, akhbar dan majalah, malah trend fitnah kini sudah dianjak ke alam siber yang membolehkan sesiapa saja melakukan perkara tidak sopan boleh dibaca serta ditonton di seluruh dunia secara percuma.

Ini akan memberikan impak negatif lebih-lebih lagi kepada generasi muda. Melalui kemudahan internet yang kini begitu meluas digunakan, wajah dan realiti fitnah menjadi lebih mudah, cepat dan mampu menarik pengunjung maya melayari laman web fitnah itu.

Disebabkan terlalu ikutkan kata hati dan perasaan serta akibat maklumat dan kenyataan yang salah, cuai serta tidak tepat, seorang pengamal blog terkenal dan sebuah akhbar alternatif milik parti politik baru-baru ini diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Star membayar ganti rugi bagi saman fitnah sebanyak RM7 juta kepada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi dan kepada universiti berkenaan.

Ini adalah siri terbaru dan contoh terkini saman mega yang dituntut plaintif kepada pembuat dan penyebar fitnah.

Dalam buku Mengenali Undang-Undang Media dan Siber (2002) tulisan Dr Mohd Safar Hasim, dinyatakan bahawa saman tuntutan ganti rugi mega bermula dengan kes saman fitnah Tan Sri Vincent Tan terhadap majalah Malaysian Industry dan beberapa wartawan pada 1994 yang nilai ganti rugi diberi Mahkamah Tinggi ketika itu ialah RM10 juta.

Pampasan begitu tinggi ini mengejutkan sistem perundangan serta kehakiman negara dan selepas itu tuntutan saman mega menjadi lumrah di negara ini.

Jumlah ganti rugi dan remidi yang tinggi serta lumayan diharapkan dapat menyedarkan semua pihak supaya sentiasa memastikan sebarang kenyataan, dakwaan, pendapat serta idea yang ingin disebar dan dikongsi dengan orang ramai hendaklah betul, bersesuaian dan diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai saja, bukannya diambil daripada cakap-dengar yang tidak diketahui hujung pangkalnya atau diceduk terus daripada sembang dan gosip di kedai kopi.

Semua pihak perlu membuat penapisan kepada setiap maklumat diterima bagi mengelak ia mencipta dan menyebar fitnah kepada orang ramai.

Penghakiman dan perintah yang dibuat oleh mahkamah baru-baru ini adalah ekoran penerbitan sebuah artikel yang didapati sarat dengan unsur fitnah bertajuk Dr Nordin Kardi Ciplak Karya Saya? Mohon Penjelasan, pada sekitar 2006 dalam laman web defendan.

Satu lagi artikel bertajuk NC UUM Penciplak pula disiarkan dalam sebuah akhbar tabloid sebuah parti politik. Defendan dalam kes ini tidak hadir membela diri di mahkamah atau memasukkan sebarang pembelaan kepada semua kenyataan yang dibuat.

Oleh itu, mahkamah dalam kes berkenaan memutuskan supaya defendan pertama membayar ganti rugi RM2 juta kepada plaintif pertama dan RM2 juta lagi kepada plaintif kedua.

Di samping itu, Ketua Pengarang dan editor akhbar terbabit juga turut diarah membayar RM3 juta kepada plaintif pertama dan kedua. Benarlah pepatah Melayu lama yang menyatakan 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' sangat sesuai dan wajar dijadikan panduan dan teladan kepada semua.

Mahkamah dalam kes ini mengambil kira jumlah pengunjung yang ramai terhadap laman web kelolaan defendan dan juga bilangan pembaca terhadap akhbar berkenaan menyebabkan plaintif terdedah dan berada di dalam kancah skandal, sensasi dan kontroversi umum.

Ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada persepsi negatif kepada kesucian, ketinggian dan standard dunia intelektual di negara kita. Kesan buruk fitnah yang dibuat juga boleh mendorong masyarakat memandang rendah dan sinis kepada institusi ini.

Keadaan ini sudah tentu memberi impak serius kepada imej dan integriti intelektual plaintif pertama adalah seorang sarjana ternama dan plaintif kedua sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi utama negara.

Fitnah yang dilemparkan meletakkan plaintif berada di dalam ketakutan, kehinaan serta kebencian masyarakat yang akan menyebabkan reputasi mereka boleh terjejas teruk dan kesannya boleh merosakkan status dalam bidang profesional masing-masing.

Sebarang usaha memperkecil dan mempermainkan kredibiliti institusi pengajian tinggi, individu atau mana-mana organisasi di negara kita perlu disekat dan penulis serta pengamal blog dan pengendali laman web perlulah bertanggungjawab ke atas segala isu, pendapat, komen atau apa saja yang dilontarkan kepada umum.

Akhbar, media cetak dan elektronik lain juga perlu adil, telus dan seimbang dalam proses penyampaian maklumat kepada rakyat agar apa yang ingin disampaikan berkesan menemui sasaran.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia, pengiktirafan itu tetap ada batasan menurut fasal (2), (3) dan (4) agar ia tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan.

Bukanlah tujuan undang-undang fitnah melarang orang bersuara atau mengeluarkan buah fikirannya.

Kebebasan hakiki dalam memperkata dan mengekspresikan sesuatu sememangnya tidak pernah wujud biarpun di negara maju sekalipun demi memastikan keharmonian dan kerukunan rakyat.

Kebebasan yang tidak terkawal hanya akan membuka pintu fitnah, hasutan, propaganda dan sebagainya berleluasa dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi, sosial dan politik di dalam negara.

Oleh sebab itulah di bawah undang-undang fitnah pertimbangan yang wajar dibuat antara memelihara maruah dan reputasi individu atau organisasi dan pada satu pihak dengan memelihara kebebasan bersuara dan mengkritik pada satu pihak lagi.

Di samping itu, kita juga mempunyai akta khusus dalam menangani masalah ini iaitu Akta Fitnah 1957 di mana seseorang itu boleh dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan perbuatan yang boleh merendahkan diri seseorang pada mata masyarakat; tindakan yang boleh menyebabkan seseorang dicemuh, dihina, dibenci dan dikeji; perlakuan yang boleh merosakkan reputasi dalam jawatan, profesion dan perniagaan seseorang; dan bertujuan merosakkan kredibiliti seseorang.

Dalam kes Sim lawan Stretch (1936) 2 ALL ER 1237, yang diguna pakai dalam semua kes fitnah di Malaysia yang mana mahkamah di England memutuskan bahawa perbuatan fitnah adalah sebarang bentuk penerbitan kenyataan yang menunjukkan reputasi seseorang dan kecenderungan menurunkan seseorang dalam penilaian ahli masyarakat berfikiran waras amnya, atau membuat mereka menjauhi atau mengelaknya.

Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa perbuatan fitnah bukanlah perkara main-main yang boleh dianggap enteng dan lepas tangan.

Mengikut peruntukan undang-undang negara kita, secara amnya ada dua jenis fitnah iaitu fitnah sivil dan fitnah jenayah. Fitnah sivil dibahagikan kepada dua iaitu libel atau fitnah dalam bentuk bahan bercetak serta kekal dan slander iaitu fitnah secara pertuturan atau lisan.

Bagi kesalahan fitnah jenayah pula, statut yang boleh dirujuk ialah Kanun Kesiksaan di bawah Seksyen 499 sehingga Seksyen 502. Jika seseorang disabitkan mengikut kanun jenayah berkenaan, ia membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di sini membuktikan bahawa elemen fitnah sama ada kenyataan, tuduhan dan maklumat palsu boleh dizahirkan dalam pelbagai medium sedia ada sama ada secara tradisional ataupun melalui perantaraan teknologi moden seperti internet terutama melalui blog, portal, hab, laman web, e-mel dan juga melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang semakin popular sekarang. Fitnah kini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana juga dan sesiapa saja dapat menerima, membaca dan menyebarkannya.

Dianggarkan negara kini memiliki hampir 500,000 blog dan pengendali laman blog tertinggi di dunia selepas Eropah dan Indonesia.

Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata ini menjadikan penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.

Blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

Kajian juga mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi maklumat yang dipaparkan dalam blog.

Semua mengakui akan hakikat serta fungsi ICT, internet terutama laman web seperti blog dan SMS yang sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam mempengaruhi pemikiran dan sensitiviti rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Prasarana dan inovasi ini diaplikasikan secara maksimum serta mempunyai rangkaian yang begitu sistematik.

Wahana internet dan SMS kini menjadi saluran paling berkesan serta pantas untuk menyampai dan menyebar segala-galanya kepada rakyat yang mungkin dipandang rendah oleh banyak pihak sebelum ini.

Internet, SMS dan lain-lain sewajarnya digunakan sebagai wahana menyebarkan ilmu, dakwah dan maklumat berfaedah, menjadi medan berinteraksi secara intelek dan berakhlak serta bertindak sebagai saluran komunikasi yang paling efektif.

Semua medium komprehensif ini semakin banyak mempengaruhi gaya dan budaya hidup masyarakat moden hari ini, di mana trend terbaru ini perlu diaplikasi menurut perspektif agama dan undang-undang yang ada, bukannya berpaksi hawa nafsu dan kepentingan peribadi semata-mata.

Apa yang penting di sini ialah semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan agar ia tidak menjadi fitnah ataupun berunsur fitnah yang boleh membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain.

Tanggungjawab ini perlu dipikul semua pihak agar kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas fitnah dan tidak sewenang-wenangnya memusnahkan masa hadapan, kebolehan dan kelebihan orang lain dengan wujudnya budaya memfitnah yang tidak bermoral ini.

Penulis Mohamad Sofee Razak lulusan Sarjana Komunikasi Massa dan Sarjana Muda Undang-Undang UiTM kini berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara.

Psikologi: Personaliti Sufiah TERCABAR?

Mungkin juga tingkah laku Sufiah adalah dalam bentuk penyaluran (displacement) iaitu satu bentuk mekanisme untuk melepaskan desakan-desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat.

By SAPORA SIPON

CERITA Sufiah Yusoof, kanak-kanak genius matematik yang mendapat tempat di Universiti Oxford ketika usianya baru sahaja 13 tahun bukanlah cerita gembira.

Setelah melalui beberapa garis hidup yang menyedihkan, kini Sufiah didapati memperoleh pendapatan dengan menjadi pekerja seks.

Pelbagai andaian dikaitkan dengan apa yang berlaku terhadap Sufiah. Namun, adalah juga sukar untuk menjelaskan apakah sebenarnya penyebab kepada tingkah laku Sufiah yang berubah daripada kanak-kanak yang bergambar bangga dengan topi graduan di luar Kolej St. Hilda yang berprestij kepada pekerjaannya sekarang.

Hanya Sufiah yang mengetahuinya kerana beliaulah pelaku kepada tingkah lakunya.

Dari sudut psikologi, ada yang mengaitkan dengan apa yang dialami semasa proses membesar. Ia dikaitkan dalam peringkat-peringkat perkembangan personaliti sepertimana yang dijelaskan dalam teori psikoanalitik oleh Sigmund Freud.

Dalam penerangan mengenai pembentukan personaliti Anal Aggressive, Freud menjelaskan, sekiranya ibu bapa terlalu ketat kawalan dan rigid peraturannya maka kanak-kanak akan bertindak balas secara agresif dengan tidak mematuhi akan kehendak ibu bapanya.

Tindak balas menentang ini akan menjadi asas bagi pembentukan personaliti yang melahirkan ciri-ciri seperti amarah dan tidak teratur yang ekstrem.

Ramai yang kuat berpendapat bahawa bapanya yang menjadi segala punca kepada masalah yang dihadapi Sufiah.

Mungkin juga tingkah laku Sufiah adalah dalam bentuk penyaluran (displacement) iaitu satu bentuk mekanisme untuk melepaskan desakan-desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat.

Misalnya, rasa marah terhadap bapanya disalurkan kepada bentuk tingkah lakunya.

Bukan sahaja faktor ibu bapa Sufiah yang boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Mungkin juga ia berdasarkan prinsip keseronokan di mana segala tingkah laku didorong oleh kehendak untuk memperoleh keseronokan dan berusaha mengelak daripada pengalaman yang menyakitkan.

Mungkin juga Sufiah melakukannya atas dasar untuk memperoleh keseronokan. Manusia melakukan satu tindakan adalah hasil daripada proses pelaziman dan mereka lebih cenderung mengulangi apa-apa aktiviti untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan.

- Apa yang ditulis di atas adalah hanya andaian-andaian kepada faktor yang menyumbang kepada tingkah laku Sufiah.

Hanya Sufiah yang dapat memberi jawapan kepada segala persoalan dan permasalahan yang menimpa dirinya.

Namun bantuan dan bimbingan perlu diberikan kepada Sufiah untuk beliau dapat meneruskan kehidupan dengan baik.