KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, September 20, 2008

'Api perkauman' produk lama BN pertahan serambi kuasa

Muqaddimah: Isu perpaduan antara kaum seolah-olah dilihat tergugat terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-12, yang akhirnya menyebabkan ada pihak cuba 'mencucuh api' bagi menyalakan kemarahan sesetengah pihak. Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang juga mangsa tahanan ISA ketika 'Operasi Lalang' 1987 cuba melihat isu ini dari perseptif terkini.

Secara umumnya apa pandanagn YB terhadap isu dan tahap perpaduan di negara ini?

Mahfuz: Bagi saya tahap perpaduan cukup baik di negara kita cuma ada kelompok tertentu yang cuba untuk mempolitikkan persoalan perkauman yang sempit ini dan akhirnya mengakibatkan terjejasnya persoalan perpaduan.
Namun saya melihat dari segi akar umbi rakyat secara keseluruhannya, memperlihatkan bahawa perhubungan antara kaum di negara kita tidak ada masalah.Sejak dahulu lagi sebenarnya tidak ada masalah tetapi oleh kerana ada sekelompok orang politik ini mereka menggunakan soal perkauman sempit dengan meletakkan kononnya ia kerana kepentingan agama dan bangsa yang sengaja diapi-apikan dan akhirnya ia menjadikan perpaduan itu dilihat seolah-olah goyah.
Sebenarnya dari segi realiti kehidupan rakyat, saya lihat tak ada masalah, mereka hidup dalam ketenangan, namun saya tetap bimbang mereka yang hidup dalam ketenangan ini apabila diusik emosinya ia akan menyebabkan dia dipengaruhi soal emosi dan sentimen yang akhirnya menjejaskan perpaduan.

Maknanya ada pihak yang sengaja mencetuskan isu ini untuk kepentingan politik?

Ia, benar.

Timbul isu kenyataan pedih Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail, hingga menyebabkan kemarahan Parti Gerakan dan MCA. Sejauh mana isu ini sebenarnya berlaku dan menggoncang perpaduan, atau ada muslihat di sebaliknya?

Saya melihat isu ini bukan isu Ahmad Ismail, beliau hanya pencetus yang keluarkan kata-kata sahaja.Sebenar isu ini bukan setakat ucapan Ahmad Ismail pada waktu itu, sebelum ini selepas pilihan raya sudah berkali-kali soal perkauman ini dibangkitkan dan cuba ditimbulkan oleh kelompok Umno sendiri, bila mereka hilang kuasa politik di lima negeri terutamanya di Perak dan Pulau Pinang, lalu mereka cuba timbulkan isu-isu yang menggambarkan ketakutan di kalangan Melayu seolah-olah Melayu sedang digigit oleh kaum lain, tetapi hakikatnya isu ini dibangkitkan hanya kerana kehilangan kuasa dan kepentingan politik sempit.
Adalah tidak adil apabila kita nak nyatakan bahawa kepentingan Melayu terhimpit tergugat kerana DAP menguasai Pulau Pinang atau DAP ada di Selangor dan Perak. Adalah tidak adil kesempitan hidup orang Melayu ini dieksploitasi yang sebenarnya telah berlaku dalam 50 tahun Umno, Perikatan dan akhirnya BN memerintah.
Jadi tidak wajar untuk kita nak membangkitkan perkara-perkara soal perkauman kononnya orang lain nak ganggu hak kita. Begitu juga dalam isu kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tentang UiTM.
Apa keperluan Umno buat perarakan di kalangan mahasiswa jika bukan hanya kerana kepentingan politik sempit mereka? Sedangkan Umno sendiri telah laksanakan hal demikian. Umpamanya 10 peratus kuota bukan Bumiputera kepada MRSM, Matrikulasi dan sebagainya.
Bagi saya isu Ahmad Ismail ialah hanya semata-mata nak menonjolkan bahawa Umno adalah hero Melayu tatkala kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu.
Sebelum ini Umno sendiri ada cuba tonjolkan bahawa merekalah hero kepada bangsa Melayu selepas hilang kuasa. Dan hari ini baru kita lihat kononnya Umno berani maki bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Kohd Tsu Koon tetapi semasa waktu mereka (BN) pegang kerajaan Pulau Pinang Umno tak buat sesuatu pun untuk jaga kepentingan Melayu.
Ia tak lebih kerana ada segelintir kecil Ahmad Ismail, yang didalangi kelompok kepentingan Umno, Umno lah yang cetus isu ini untuk timbulkan kebimbangan di kalnagan Melayu, hakikatnya merekalah yang takut hilang kuasa lebih besar selepas hilang kuasa di lima buah negeri.

Menyentuh isu kehilangan kuasa, kita tengok Pakatan Rakyat cuba bentuk kerajaan baru. Pelbagai isu ditimbulkan kepada rakyat kononnya jika Pakatan Rakyat memerintah, dikatakan Melayu akan jadi boneka kepada Cina, apakah maknanya?

Ini hanya andaian dan usaha untuk gagalkan pembentukan kerajaan baru sekaligus untuk berikan talian hayat kuasa politik Umno-BN sedangkan rakyat di bawah ini amat terasa tertekan dengan kehidupan di bawah BN, untuk berikan perkhidmatan yang baik.
Ini satu andaian yang kita katakan bahawa perkara yang belum kita lihat terjadi tetapi nak dakwa Melayu jadi alat kepada Cina. Apakah selama ini Melayu Umno tak jadi alat kepada BN? Kalau kita nak ukur mengikut realiti, ukuran ialah dalam tempoh 50 tahun BN memerintah, apa yang Umno buat untuk kepentingan Melayu?
Bagi saya dan rakyat melihat apa yang tergambar kepada soal Melayu yang menunjukkan Melayu Umno ini sebenarnya menjadi televisyen kepada 'remote kontrol' yang dipegang oleh orang lain atau bangsa lain.
Dia hanya jadi televisyen dalam perkara-perkara tertentu, saya rasa tak wajar nak katakan bahawa jika berlaku perubahan kerajaan kepada Pakatan Rakyat, Melayu akan jadi alat kepentingan kepada kaum lain ini tak wajar.
Hal ini umpama sebelum kahwin kita dah dakwa wanita itu dah mandul sedangkan kita belum kahwin lagi dengan dia. Dalam keadaan hari ini Umno seolah-olah membayangkan kepada rakyat bahawa jangan ubah kerajaan sebab kalau ubah nanti kepentingan Melayu tergugat ini sebab mereka nak kuasa mereka diteruskan.

Mutakhir ini, timbul pula seakan campur tangan di kalangan pihak berkecuali seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu perpaduan ini, apa pandangan saudara?

Saya melihat sebelum ini belum pernah berlaku.Kenyataan Panglima Angkatan Tentera tiba-tiba muncul dalam suasana seperti ini timbul kenyataan ini. Sudah tentu dilihat semua pihak ada unsur-unsur untuk campuri urusan-urusan politik dalam negara.
Keduanya dilihat seolah-olah ada unsur-unsur untuk melibatkan tentera dalam konspirasi politik dalam negara ini untuk timbulkan keadaan yang resah. Isu Ahmad Ismail itu juga dilihat bila media memainkan perdebatan antara Ahmad Ismail, Koh Tsu Koon dan pemimpin MCA dan Umno negeri yang sokong Ahmad Ismail.
Ia dilihat seolah-olah ada satu agenda untuk menimbulkan satu krisis politik kaum dalam negara kita yang akhirnya boleh menyebabkan isu-isu pergaduhan itu mungkin boleh menjadi alasan kepada pihak tertentu dalam kemelut politik tak menentu ini dan dilihat ia adalah suasana yang baik untuk sebahagian agenda talian hayat Umno itu dapat dipanjangakan melalui pengambilalihan pihak tentera dan pengisytiharan mageran dan sebagainay.
Bagi saya dalam hal ini saya melihat tentera tidak sepatutnya diletakkan dalam percaturan politik yang amat sempit dan jijik oleh kepenatingan Umno BN.

Secara umumnya adakah saudara melihat isu perkauman ini benar-benar berlaku di kalangan rakyat atau ia berlaku dalam komponen BN sahaja?

Ia bukan rakyat yang berhadapan dengan masalah perpaduan kerana rakyat tidak ada masalah dengan soal perpaduan, hubungan antara kaum dan agama cukup baik dan sebelum ini rakyat boleh hidup dengan aman dan baik antara satu sama lain tanpa mempersoalkan hak perkauman.
Tetapi yang berhadapan dengan masalah ialah dalaman BN itu sendiri yang mana mereka antara satu sama lain bercakar soal kepentingan yang menyebabkan sebenarnya komponen BN itu yang tidak berpadu.
Dalaman BN itu sebenarnya berhadapan krisis keyakinan, Umno berhadapan krisis keyakinan Melayu, MCA gerakan pula berjadapan krisis keyakinan kaum Cina dan MIC pula hilang kepercayaan di kalangan India, akibat mereka hilang kepercayaan sokongan daripada masyarakat ini, dan inilah yang berlaku pada tahun 1987 yang mana menyebabkan saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Isu perkauman di waktu itu yang tertonjol antara Dato' Seri Najib Tun Razak dan Lee Kim Sai (MCA) lalu berlaku pertembungan dan perdebatan isu Melayu-Cina hingga akhirnya usaha Umno untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur dengan bangkitkan semangat nak bakar rumah orang Cina, nak tumpahkan darah Cina.
Ketika itu Umno mengharapkan kembalinya sokongan orang Melayu ke atas mereka dan di pihak MCA pula mereka mengharapkan agar kembalinya sokongan orang Cina ke atas mereka. Dan akhirnya ketika itu memang ia berjaya.
Agenda itu tercapai dan akhirnya himpunan di Kuala Lumpur dibatalkan dan akhirnya pemimpin pembangkang seperti saya di 'kambing hitamkan' dan ditahan di bawah ISA sementara Najib dan Kim Sai diberi cuti rehat di Australia di waktu itu.

Adakah peristiwa tersebut mungkin berulang kembali?

Saya katakan tak mustahil jika rakyat berbilang kaum tidak ada kebijaksanaan dan akan berlaku sedemikian, sebab saya lihat selepas pilihan raya ada berlaku isu perkauman cukup kuat dimainkan oleh Umno terutama di negeri-negeri yang ditawan Pakatan Rakyat seperti Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Namun saya melihat bahawa kematangan rakyat berada pada tahap yang cukup baik yang akhirnya tidak terpedaya dengan momokan perkauman yang cuba dijalankan Umno/BN berikutan hilangnya kuasa mereka.
Ia bergantung kepada soal emosional ini yang terlalu mudah untuk di bakar perasaannya itu, tetapi kalau kebijaksanaan mengatasi emosi kita, saya rasa Umno tak berjaya buat demikian.

Seruan kepada rakyat?

Saya harap orang Melayu Islam tidak terperangkap dengan isu perkauman ini, dan lebih-lebih lagi dalam kita menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan ini yang mendidik kita jadi umat yang bertakwa dan seharusnya kita perlihatkan sifat yang lebih mula bersedia untuk berbincang dan berhubungan dengan semua kaum dan tak terpengaruh dengan agenda politik sempit BN.
Saya juga seru kaum-kaum lain supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang sentuh soal perpaduan seperti isu Islam dalam forum-forum yang bincang persoalan Islam yang gambarkan menggugat kepentingan Islam itu sendiri.Saya juga harap kalangan Pakatan Rakyat juga semuanya kena lihat agenda negara kita, masa depan perpaduan negara ini untuk memastikan agenda kita berjaya.
Harapan rakyat dalam situasi terdekat ini ialah mahu melihat kerajaan Umno-BN ini jatuh oleh kerana kegagalan mereka mentadbir negara dari semua aspek, justeru saya harapkan tidak ada pihak yang memberi perspektif negatif terjadap usaha Pakatan Rakyat ini untuk membentuk kerajaan baru yang sebenarnya dimahukan rakyat itu sendiri sebab kita nbak pastikan kembalikan persoalan perpaduan mantap dan tidak lagi menggunakan kepentinagn politik sempit dan perkauman yang akhirnya meghancurkan tamadun negara.

Tiada ulasan: