KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 04, 2008

Sudah terhentikah gerakan muqabalah selepas muktamar?

SERIUS... mungkinkah terdapat isu-isu penting darihal muzakarah atau muqabalah dari kedua-dua tokoh penting yang menggerakkan usaha murni itu


BAHANG Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, menyambut selesainya Muktamar PAS Ke 54 di Ipoh. Kepanasan isu muzakarah yang membakar dan menarik perhatian rakyat, bagaikan terpadam ditimbus sekam pilihan raya itu.

Usaha media utama untuk melaga-lagakan pemimpin PAS dengan pemimpin parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat melalui laporan mereka, terbukti gagal. Sindir-sinis, kritikan dan terjahan mereka tidak melekat.

'PAS mahu Hadi Awang jadi PM, bukan Anwar' antara propaganda Utusan Malaysia mencemperakan dokongan akar umbi. Beberapa kritikan pedas perwakilan Muktamar Pemuda PAS terhadap Anwar Ibrahim turut menyulami media utama.

Sekalipun difahami apa yang dibangkitkan, namun rasa kecewa dan tidak puashati terhadap corak dan gaya kepimpinan Pakatan Rakyat oleh KeADILan dan DAP, dilontarkan secara nyaring pada Muktamar tersebut.


TEGAS... Dato' Presiden PAS dengan tegas mempertahankan usaha muqabalah dan akan meneruskannya dengan Umno selepas muktamar

Tanpa selindung, tanpa sembunyi. Satu persatu 'peluru' dimuntahkan baik oleh perwakilan dari Pemuda, Muslimat, Ulama mahupun negeri dan kawasan.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa sedari awal sudah melabuhkan mesej ketika merasmikan Muktamar Pemuda parti itu. Beliau mengingatkan agar ahli-ahli parti akur dengan keputusan Majlis Syura berhubung dengan isu muzakarah Umno-PAS. Melanggar displin parti, jika diengkari, tegasnya.

Sementara itu, Timbalan MUrsidul Am PAS, Dato' Dr. Haron Din ketika menggulung perbahasan turut meminta agar ahli PAS tidak mempertikaikan keputusan Majlis Syura kerana ia seolah-olah memperkecilkan keputusan sebulat suara itu.

Majlis Syura bukan 'terompah kayu' atau 'rubber stamp' kerana ahli-ahlinya melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diputuskan oleh parti, tegas Dr. Haron.
Semangat yang sama disokong penuh oleh perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat, Nik Zawawi Salleh.

"Dewan Ulama sokong keputusan Majlis Syura untuk bermuqabalah dengan Umno," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden.

Sewaktu penggulungan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua ahli parti itu agar menerima secara terbuka isu muqabalah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno kerana ia dibenarkan dalam Islam dan merupakan ajaran al-Quran.

"Sekitar 80-an PAS anjur lagi muzakarah tetapi Umno pula tidak bersedia, dan bila berlaku tsunami politik barulah dia ajak kita muqabalah. Kita dijemput, dipanggil, dipelawa dan dihulur tangan untuk muqabalah, maka kita sebagai pendakwah, kita mesti bersikap terbuka menerimanya," tegas beliau.

Namun isu ini belum reda. Suhunya menurun selepas Muktamar di Ipoh kerana ada pilihan raya kecil di Permatang Pauh yang membabitkan Anwar Ibrahim.

Sebenarnya, terlalu banyak penjelasan dan jawapan perlu diberikan tentang isu muqabalah yang sebelum ini disebut muzakarah. Apapun, strateginya, ahli-ahli mesti diberi faham agar keputusan dicapai secara kolektif.

Sekalipun, pro dan kontra mematangkan parti, namun dalam isu muzakarah atau muqabalah ini, ia bagai terhenti untuk berfikir dan berfikir. Walhal, usaha murni ini sudah disepakati untuk diteruskan...

Tiada ulasan: