KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 26, 2008

Setelah PM tolak, Agong perlu panggil Ketua Pembangkang

Muqqaddimah: PERKEMBANGAN sejak 16 September lalu begitu mencemaskan. Banyak isu dan persoalan timbul. Cadangan Ketua pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim agar diadakan sidang Parlimen tergembar sudah ditolak Perdana Menteri. Pilihan lain yang ada, menghadap Yang Di-Pertuan Agong. Pengarang Berita Harakah, TARMIZI MOHD JAM menemui Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan untuk mendapatkan penjelasan tentang beberapa isu yang sedang diperdebatkan.

Sekarang timbul kemelut politik apabila Pakatan Rakyat yang dipelopori Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mendakwa 35 orang ahli parlimen dari BN telah 'menyeberang' menyertai Pakatan. Tetapi Perdana Menteri telah menolak sidang tergempar Parlimen yang dipohon oleh Anwar. Boleh profesor jelaskan sedikit hal ini?

Dari segi teorinya Perdana Menteri tidak wajar menolak permintaan itu kerana ini melibatkan soal yang sangat-sangat penting yakni sama ada kerajaan yang ada sekarang sah atau tidak. Ini kerana kalau dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu benar maka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajib meletak jawatan.
Ini yang dikehendakki oleh Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Soalan yang melibatkan sama ada kerajaan yang memerintah itu masih mempunyai sokongan untuk terus kekal mentadbir negara - atau negeri kalau di peringkat negeri - perlu diselesaikan tanpa tangguh-tangguh kerana ia melibatkan banyak keputusan yang kesahannya bergantung kepada kerajaan yang ada itu sah atau sebaliknya. Dan dakwaan ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Parlimen, bukan sebarangan orang.

Kalau sidang tergempar Parlimen ditolak, apa cara lain untuk Pakatan menubuhkan kerajaan baru ini? Memujuk Yang Dipertuan Agong?

Saya berpendapat Anwar boleh terus mempersembahkan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Perkara 43(4) tidak pun mewajibkan bahawa proses mempastikan kebenaran dakwaan Anwar - yang menyatakan bilangan ahli parlimen yang menyeberang - semestinya melalui undi tidak percaya di parlimen.
Apalagi di dalam keadaan permintaan Anwar telah ditolak oleh Abdullah; dengan kata lain Anwar mempunyai sebab yang cukup kuat untuk menyembahkan nama-nama itu terus kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai beberapa peranan dan kuasa khusus yang boleh digunapakai dalam situasi sekarang. Baginda boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk membincangkan apa sahaja perkara yang dirasakan perlu. Apa peranan Yang di-Pertuan Agong dalam situasi sekarang?

Di dalam teori Perlembagaan yang melatari peruntukan-peruntukan Perlembagaan kita, baginda mempunyai peranan untuk mempastikan bahawa Perlembagaan ini berjalan tanpa diganggu.
Jika ini berlaku baginda boleh mengambil langkah-langkah yang drastik untuk mengetepikan gangguan itu. Baginda bertindak seperti doktor bedah yang perlu melakukan pembedahan pintasan - 'bypass surgery' - bagi mengeluarkan sekatan yang sengaja dibuat untuk menyelamatkan diri.
Apabila beliau menolak mentah-mentah permintaan Anwar itu Abdullah sebenarnya telah melakukan sesuatu yang menghalang proses biasa Perlembagaan. Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak; sama ada memanggil parlimen melalui kuasa simpanannya - lihat Perkara 55 - atau mungkin menyingkirkan Perdana Menteri yang menganggu proses Perlembagaan itu.
Ini pernah berlaku di salah sebuah negeri di India sekitar hujung 1960an apabila Gabenor menyingkirkan ketua menteri yang menghalang undi tidak percaya terhadapnya.

Apabila timbul persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini. Tapi apa yang berlaku?

Ini yang berlaku di Malaysia sekarang. Berbanding dengan negara-negara lain termasuk United Kingdom, India, Australia hatta negara-negara di luar Westminster pun seperti Jepun dan Thailand perubahan kerajaan berlaku dengan mudah dan pantas. Tidak terkial-kial dan degil untuk terus berkuasa meskipun isyarat sudah begitu jelas.
Memang benar, hanya Yang di-Pertuan Agong yang boleh bertindak kerana Perdana Menteri sudah jelas menghalang. saya fikir Majlis Raja-Raja boleh bersidang dan membuat resolusi segera. Atau Anwar pergi ke mahkamah untuk memohon perintah mandamus bagi meminta Abdullah meletakkan jawatan.
Apa yang Anwar perlu lakukan ialah buktikan kepada mahkamah yang majoriti ahli parlimen menyokong beliau dan Abdullah tidak berhak untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Bolehkah kita bergantung dengan kerajaan sedia ada (BN) tatkala kesahihan kerajaan tersebut sendiri sedang dipertikaikan seperti sekarang?

Sudah tentu tidak kerana takkanlah kita hendak mengharapkan ia menjadi hakim bagi mengadili kesnya sendiri. Dan memang sudah jelas kerajaan sedang menggunakan segala pengaruh dan kuasa yang ada untuk menyelamatkan dirinya. Ini amat menyedihkan. Malah memalukan. Seluruh dunia melihat sistem politik kita yang amat primitif dan tidak 'sporting' ini.

Tapi bolehkah pula Anwar menghadap Yang Di-Pertuan Agong jika protokol dengan ketat digunakan? Apakah terdapat halangan nanti?

Memang ada protokol tapi saya fikir pegawai-pegawai istana janganlah terlalu jumud dan statik. Mereka perlu mempertimbangkan bahawa ini soal penting; soal sama ada kerajaan yang ada ini sah atau sebaliknya. Isu ini perlu diselesaikan segera.
Jangan tangguh-tangguh. Dalam keadaan sekarang protokol soal yan kecil dan tidak penting. Takkanlah dalam situasi gawat dan kritikal kita masih nak bercakap soal protokol.

Wajarkah Yang Di-Pertuan Agong menjemput Ketua Pembangkang untuk menghadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa akan menyokong Pakatan Rakyat dalam kerajaan baru?

Saya fikir ia bukan sahaja wajar malah ia menjadi tanggungjawab baginda. Ini kerana sebagai Raja Berperlembagaan, Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan dan baginda perlu mempastikan bahawa kerajaan yang memberi nasihat itu sah kedudukannya di sisi Perlembagaan.
Dalam rangka ini baginda bertanggung jawab mengambil apa sahaja inisiatif yang selaras dengan peranan itu. Dan juga demokrasi. Tindakan menolak dan menghalang sidang khas parlimen oleh Barisan Nasional menentang demokrasi dan Perlembagaan.

Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong mendapati dakwaan Anwar adalah benar dan Anwar memang mempunyai sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen, adakah Agong boleh menitahkan agar Abdullah meletak jawatan?

Saya fikir begitulah. Yang diPertuan Agong perlu menitahkan Abdullah meletakkan jawatan kerana ia perlu untuk baginda melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baru. Sebenarnya tindakan seperti itu tidak drastik kerana pada hakikatnya Abdullah sudah tidak berhak menjadi Perdana Menteri sebaik-baik sahaja Anwar memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Jadi Yang diPertuan Agong sekadar mengkafan dan mengkebumikan Abdullah sahaja. Baginda sebenarnya tidak membunuh karier politik beliau. Dalam soal ini baginda tidak berpolitik sebagaimkana yang dilihat oleh pegawai-pegawai istana yang tertentu; mereka ini nampaknya kabur dengan peranan dan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

Bagaimana kalau Abdullah enggan?

Abdullah tidak boleh melawan. Saya tidak fikir beliau boleh berbuat apa-apa sekiranya Yang Di-Pertuan Agong menitahkan beiau meletakkan jawatan. Lagipun Umno sendiri yang sekarang mahukan beliau berundur tidak akan sanggup mempertahankan beliau.

Bagaimana profesor melihat kemelut ini dari sudut Perlembagaan? Dan dari segi politik, agaknya apa yang akan terjadi jika tiada respon dari Agong dan sidang tergempar Parlimenpun gagal diadakan?

Jika tidak ada sebarang tindakan diambil oleh Yang diPertuan Agong negara akan terus tenggelam di dalam kekeliruan dan krisis. Kita sudah lihat bagaimana kerajaan terus berdegil meskipun kesahan kedudukan mereka sudah dipersoalkan.
Mereka terus enggan untuk diadili oleh parlimen. Dan ini ditonton oleh seluruh rakyat dan dunia. Perlembagaan hanya menyediakan formula dalam keadaan biasa; apa yang kita lalui sekarang memang luar biasa dan tidak pernah berlaku sejak 1957.
Sebab itu Yang Di-Pertuan Agong perlu tegas. Baginda tidak boleh teragak-agak kerana sejarah akan menghukum baginda sekiranya baginda memilih untuk bersikap pasif. Perlembagaan dan negara mesti diselamatkan.

Tiada ulasan: