KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, September 20, 2008

Said Zahari tidak tolak kemungkinan ISA boleh cekup Anwar

Gelombang reformasi kedua telah lama tercetus sejak Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan.

Tokoh wartawan veteran, Said Zahari berkata gelombang reformasi tidak perlu menunggu Anwar ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa untuk melihat kebangkitan amarah rakyat.

"Kita lihat betapa hebat gelombang tersebut sewaktu pilihan raya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini, maka tidak perlulah kita menunggu dia ditahan sekali lagi untuk melihat kebangkitan rakyat," ujarnya kepada Harakah.

Ditanya mengenai kemungkinan Penasihat KeADILan itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, beliau tidak menolak kebarangkalian tersebut.

"Sehingga kini kita telah menyaksikan pelbagai kejadian berlaku, apatah lagi setelah pertukaran portfolio yang dibuat Perdana Menteri serta timbalannya sudah pasti mempunyai sebab yang tersendiri.

"Namun setiap pemimpin pembangkang sememangnya terdedah kepada risiko untuk ditahan pihak berkuasa," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan hal demikian boleh juga terjadi melihat kepada kegugupan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menangani situasi politik sejak kebelakangan ini.

"Abdullah begitu gugup sejak perkembangan mutakhir ini dan jika sekiranya beliau merasakan keadaan begitu tergugat, ia (penahanan pemimpin pembangkang termasuk Anwar) boleh berlaku.

"Apalagi dalam satu kenyataannya baru-baru ini, Abdullah menyatakan Anwar boleh menjadi ancaman kepada negara dan Syed Hamid pula telah membayangkan kemungkinan itu terjadi," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Said turut mengulas mengenai realiti pelan 16 September sebagai tarikh peralihan kuasa Pakatan rakyat terhadap kerajaan BN.

Katanya, jika benar Anwar telah mempunyai ahli-ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baru ia seharusnya dibuktikan.

"Anwar kena buktikan, bukan sekadar kata-kata," tegasnya.

Walau bagaimanapun tambahnya, Pakatan Rakyat perlu menunggu proses mengikut prosedur Perlembagaan yakni ianya perlu dibuat sewaktu palimen bersidang.

"Sekarang ia bergantung kepada sejauhmana kejayaan Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menunjukkannya kepada rakyat, saya percaya ia akan menjadi kemuncak kepada pembentukan kerajaan yang baru kelak," demikian katanya.

Pergolakan dalaman Umno-BN telah sekaligus mengocak kestabilan negara sehingga memaksa Abdullah melakukan tindakan drastik yang mengejutkan semua pihak.

Tiada ulasan: