KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 31, 2009

Bota sedang realisasikan 16 September, mampukah Nasharuddin seret Adun lain bersamanya?

Merdeka! MB Perak, Nizar Jamaluddin mengangkat tangan Nasharuddin tanda ukhwah sesama Pakatan Rakyat setelah beliau keluar meninggalkan Umno

RAKAN saya BADRUL MUNIR menyorot isu pelompatan Adun Bota, Nasharuddin Hashim ke dalam KeADILan: YB Nasaruddin Hashim kini menjadi tokoh penting memulakan episod baru dalam mewarnai lanskap politik negara. Beliau mengejutkan banyak pihak terutama Umno dan Barisan Nasional (BN). Umno khususnya ibarat jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kalah di Kuala Terengganu menerima pula dengan nasib malang, kemasukan Nasaruddin dalam Pakatan Rakyat.


Sebelum ini, posisi Nasaruddin dalam keadaan cukup selesa ketika menjadi Pengerusi FELCRA dan Ahli Parlimen Parit. Beliau merupakan seorang yang berjiwa lembut dan mudah didekati. Barangkali jiwa dan peribadinya tidak sesuai berada dalam Umno.


Sebelum pilihanraya Mac 2008, pemerhati politik melihat Nasaruddin mempunyai potensi menggantikan Dato' Zaim Abu Hasan sebagai Ketua Umno Bahagian. Pengaruh beliau semakin meluas terutama selepas menjadi Pengerusi FELCRA. Laluan untuk menjadi Ketua Bahagian nampak cerah.


Kalau beliau kekal menjadi ahli Parlimen dan sekaligus menjadi Pengerusi FELCRA ternyata kewibawaan beliau lebih terserlah dari Zaim. Namun, laluan ini menjadi semakin payah apabila beliau tidak diberikan kepercayaan bertanding di parlimen Parit dalam pilihanraya umum lalu.


Beliau dialihkan bertanding di DUN Bota. DUN Bota adalah kubu kuat Pakatan Rakyat. Pemerhati politik berpendapat seolah-olah wujud konspirasi untuk menjatuhkan Nasaruddin apabila beliau bertanding di DUN Bota. Nasaruddin dilihat diturunkan pangkat daripada Parlimen bertanding di DUN.


Hal ini menunjukkan 'perang dingin' antara Dato' Zaim dengan Nasaruddin yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian sudah bermula sebelum pilihanraya lagi.


Memanglah sebelum pilihan raya Nasaruddin pernah menyatakan hasrat untuk tidak mencabar Dato' Zaim sebagai Ketua Umno Bahagian. Tetapi mana-mana ahli politik sudah tidak akan berdiam diri jika terdapat tekanan yang menggugat survival politiknya.


Beliau bukan sahaja diturunkan pangkat apabila hilang status sebagai ahli parlimen tetapi juga Pengerusi FELCRA walaupun ada janji semasa pilihan raya lalu untuk terus mengekalkan beliau sebagai Pengerusi FELCRA walaupun berada di DUN.


Sebenarnya Nasaruddin berjiwa lembut. Tetapi beliau sudah tentu tidak merelakan sahaja jika diri beliau 'dicantas' dan diperlakukan semahunya.


Justeru 'perang dingin' antara beliau dengan Zaim menjadi semakin panas setelah pilihan raya umum terutama menjelang Mesyuarat Tahunan Cawangan Umno. Dato' Zaim ingin memastikan ketua cawangan yang dipilih dalam mesyuarat agung cawangan terdiri daripada sekutunya.


Perebutan Ketua Umno Bahagian Parit semakin sengit apabila cawangan-cawangan Umno dari DUN Bota banyak menyebelahi Nasaruddin. Tetapi Dato' Zaim menguasai cawangan-cawangan Umno dalam DUN Belanja, selain sayap Pemuda dan Wanita Bahagian.


Sudah tentulah Dato' Zaim menang kerana mempunyai sokongan tersebut. Tetapi sebenarnya Nasaruddin kalah kerana beliau memang sejak awal lagi tidak ada 'political will' untuk mencabar ketuanya demi sayangkan parti.


'Perang dingin' dianggap akan berakhir setelah pemilihan ketua bahagian tetapi rupa-rupanya berlanjutan setelah itu. Cakap-cakap pemerhati dari kedai-kedai kopi di Bota mendakwa ramai pendokong Nasaruddin yang memegang jawatan ketua-ketua kampong akan digugurkan. Fenomena ini makin mengguris hati Nasaruudin.


Politik cantas mencantas dalam Umno ini memang tidak sesuai bagi Nasaruddin yang berjiwa lembut. Semasa menjadi Ahli Parlimen Parit dan Timbalan Ketua Bahagian Umno, beliau boleh dikatakan tidak menyerang PAS.


Beliau lebih suka bersikap rasional dan mengambil pendekatan lebih lunak dengan PAS. Persepsi beliau terhadap Pakatan Rakyat mula positif apabila melihat sendiri watak aktivis ahli-ahli parti yang berada dalam Pakatan Rakyat.


Ketika tragedi ribut di FELCRA Nasaruddin tahun lalu beliau melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan Unit Amal PAS Kawasan Parit membantu mangsa rebut. Unit Amal melakukan kerja-kerja secara berpasukan bergotong-royong mendiri dan memperbaiki rumah yang dipukul ribut. Berbading dengan Umno ketika itu datang hanya untuk menjengukkan muka sahaja sekadar 'buat syarat' sahaja. Nasaruddin juga ada merungut, "di mana Pemuda Umno?".


Penyertaan Nasaruddin dalam Pakatan Rakyat adalah jawapan kepada tindakan-tindakan Dato' Zaim sebelum ini. Wibawa Zaim sudah tentu terjejas sekali lagi. Pada pilihan raya 1999, wibawa beliau sebagai pimpinan Umno Bahagian terjejas kerana di bawah kepimpinannyalah BN kehilangan ketiga-tiga kerusi, Dun Bota, Dun Blanja dan Parlimen Parit. Kali ini lebih memalukan lagi.


Nasaruddin bukan sahaja mengambil langkah yang tepat menyertai Pakatan rakyat tetapi masa yang diambil juga amat bersesuaian. Beliau memilih waktu yang paling segak selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Kekalahan BN mengesahkan lagi Umno sudah ditolak rakyat.