KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 05, 2009

Jangan lekehkan: Media baru sebenarnya menguasai informasi sejagat

Krew wartawan Harakah, Intan Abdullah dan Irwan Muhamad Zain diketuai Pengarang Berita, Tarmizi Mohd Jam menghabiskan masa lebih dua jam berbincang dan menginterbiu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah di pejabatnya.

SEBELUM Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, beliau pernah membuat kajian tentang potensi Pakatan Rakyat untuk menawan tujuh buah negeri. Pendapat atau kajian beliau itu dipertikaikan tetapi keputusan pilihanraya umum yang lalu membuktikan kajian yang dibuat itu ada kebenarannya.Hasil kajian, mendapati peranan media baru seperti web dan blog amat berpengaruh menyebarkan idea-idea politik Pakatan Rakyat untuk menang besar seterusnya menawan lima negeri. Bagi berkongsi pendapat tentang media baru dan kebebasannya, TARMIZI MOHD JAM bersama rakan INTAN ABDULLAH dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN menginterbiu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, DR ABU HASSAN HASBULLAH pada 24 November lalu di pejabatnya. Beliau sering diundang sebagai ahli panel dibeberapa rancangan televisyen.

Kita mulakan dengan membincangkan tentang kebebasan media. Pada pandangan Dr, adakah kebebasan media di negara ini sudah berada di tahap yang boleh dibanggakan atau media kita masih lagi dikongkong dengan pelbagai dasar yang ada?

DR ABU HASSAN: Pada pandangan saya pertamanya kita perlu mengucapkan juga terima kasih kepada ruang yang dibuka setidak-tidak selepas era 1980an ketika era Dr Mahathir pada pandangan saya pada era 80an itu media itu amat terbatas.Media sangat terkongkong dari aspek penerbitan, dari aspek pengurusan dan dari aspek pengedaliannya.Keterbatasan itu sangat ketara tetapi untuk masa sekarang ini terdapat ruang-ruang yang sudah dibuka. Sedikit bebas. Tetapi ruang keterbukaan itu masih kecil lagi dan ruang kebebasan itu bukanlah bermaksud kita sudah memahami prinsip-prinsip kebebasan media yang sebenar. Maksud saya pasaran media itu, keterbukaan media itu harus dilihat dari pelbagai posisi.

Apa maksud Dr dengan "pelbagai posisi" itu?

Posisi pertama adalah penerbitan. Penggalakan penerbitan media harus diberikan secara meluas. Maksudnya pembangunan media untuk menghuraikan kebebasan media harus dilihat dari aspek sejauh mana kepercayaan untuk membuka pasaran media secara lebih mudah dan lebih meluas. Setiap organisasi, institusi atau syarikat yang mahu menerbitkan media mereka harus diberi kebenaran dan lesen itu hendaklah menjadi satu sistem yang meraikan kebebasan bukan yang menghalang kebebasan media.
Posisi yang kedua pula ialah kebebasan dari aspek kewartawanan. Ini juga penting kerana kebebasan media bukan hanya dari sudut kebebasan penerbitan tetapi merangkumi pembangunan kewartawanan. Maksudnya kewartawanan haruslah lebih terbuka, lebih jelas, lebih bebas untuk melakukan laporan, rencana pemberitaan dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran, ketetapan dalam menyampaikan informasi kepada masyarakat.Posisi yang ketiga adalah kita harus lihat dasar. Kebebasan juga terletak pada dasar yang diadakan. Maksudnya dasar media hendaklah berpihak kepada massa, kepada orang ramai.
Jika orang ramai dalam abad ke 21 yang kita panggil abad informasi maka setiap orang mempunyai hak untuk mendapat maklumat maka setiap orang juga mempunyai hak untuk meyebarkan maklumat. Kita masih berada pada kepercayaan kebebasan diperingkat ragu-ragu dan keliru. Maksud saya diperingkat pembuat dasar kepercayaan terhadap kebebasan media masih ragu-ragu, masih keliru. Di mana kita masih melihat jika diberikan kebebasan akan ada media yang akan melaporkan perkara-perkara yang negatif, melaporkan perkara-perkara subversif, anarkis dan sebagainya.
Dari sudut penerbitan kita masih percaya jika diberikan kebebasan maka penerbitan akan mengeluarkan berita-berita yang mengandungi unsur fitnah dan hasutan.Jadi saya merasakan kerana kita sudah lapan tahun berada dalam abad ke 21, maka lingkaran kebebasan media itu harus lebih terbuka dari aspek dasarnya mestilah memihak kepada massa iaitu keinginan orang untuk mendapatkan informasi dan massa juga akan menyampaikan informasi. Jadi perlu ada perubahan dasar, perubahan sistem di mana media kita harus diberikan lebih ruang yang lebih luas untuk membangunkan kepercayaan informasi, kita harus lebih bebas, lebih terbuka dan lebih pragmatik.
Jadi kita jangan mengatakan kalau kita memberikan kebebasan maka ia akan disalahgunakan. Pandangan saya pendapat sebegini merupakan satu pendapat yang menentang informasi. Kita harus berfikir jika semakin luas ruang media itu dibuka maka akan lebih luas ruang untuk pengetahuan dikembangkan. Kita jangan membuat tanggapan salah jika kita memberikan kebebasan maka orang akan lebih cepat melakukan jenayah. Itu salah.

Adakah saudara mengatakan bahawa kebebasan media yang disekat ini menyebabkan pengetahuan kita terbatas dan seterusnya menghalang kemajuan sesuatu bangsa?

Semakin banyak pengetahuan yang diperolehi semakin maju sesuatu bangsa itu. Kita jangan sempitkan fikiran kita atau pendapat kita dengan mengatakan kebebasan media akan menyebabkan sesuatu masyarakat atau bangsa itu akan menjadi penjenayah. Kita tidak boleh mengatakan jika diberikan kebebasan media akan lebih cepat sesuatu tamadun itu akan runtuh.
Kita ambil contoh, kalau kita tidak melaporkan tentang peperangan, bagaimana rakyat kita akan memperolehi pengetahuan tentang bahaya perang, tentang akibat yang akan ditanggung jika perang berlaku. Kalau kita tidak laporkan maka rakyat kita akan buta pengetahuan tentang peperangan. Kita harus tahu, andainya berita yang dilaporkan itu sama ada ia negatif atau positif ia akan membentuk pengetahuan.
Dari pengetahuan itu masyarakat akan menilai baik dan buruknya. Kita harus memberikan kepercayaan kepada masyarakat untuk menilai sendiri. Jangan kita sekat kerana kita yang menilainya. Masyarakat berhak untuk membuat penilaian sendiri dan mereka berhak untuk mendapat pengetahuan. Kenapa tidak kita ambil contoh negara-negara yang lebih maju.
Memberikan kebebasan kepada media kerana mereka meraikan pengetahuan. Mereka membenarkan rakyat mereka mendapatkan pengetahuan. Kita sudah ada banyak akta kenapa kita harus takut hendak memberikan kebebasan media. Saya tetap berpendapat kebebasan akan membangunkan pengetahuan. Jadi media merupakan alat atau jentera terkuat dalam membangunkan pengetahuan kepada masyarakat. Malanglah kalau kita memusuhi media itu. dalam apa saja bentuk media itu akan menyebarkan pengetahuan.

Sekarang wujud media baru seperti internet dan sebagainya. Pada pandangan Dr, sejauh mana media baru ini memberikan maklumat atau pengetahuan kepada masyarakat kita?

Kita tak boleh nafikan peranan yang dimainkan oleh media baru dalam memberikan informasi atau pengetahuan kepada masyarakat. Kita ambil contoh sebelum wujudnya you-tube. Dari kajian yang saya buat, masyarakat kita hanya mendapat pengetahuan cuma lapan peratus kerana hanya membaca sebanyak tiga buah buku setahun. Tapi sejak ada you-tube, masyarakat kenal Astonia, kenal Slovakia, orang kenal Bosnia dan kenal Belarus.
Dulu kita membaca tentang perang di Bosnia. Media juga melaporkan perang di Bosnia. Tetapi pengetahuan kita tentang perang Bosnia masih lagi terbatas. Bila adanya you-tube, bila adanya blog, bila adanya facebook kita lebih mengetahui dahsyatnya sengketa di Bosnia. Kenapa itu terbentuk? Kerana kebebasan media yang membentuk pengetahuan kepada masyarakat kita. Disebabkan ini saya merasakan bahawa kebebasan media itu perlu diadakan untuk masyarakat kita menjadi sebuah masyarakat yang kuat jauharinya dan kuat budimannya. Jauhari itu kebijaksanaannya.

Jadi, pada Dr kebebasan media kita berada ditahap berapa peratus?

Pada saya, kebebasan media di negara kita masih berada ditahap 20 peratus. Kita perlu yakin jika kita memberikan kebebasan media maka kita akan membentuk tamadun pengetahuan kepada masyarakat kita. Dan bila tamadun pengetahuan ini terbentuk maka saya yakin negara kita akan bertambah maju seperti mana negara-negara lain yang memberikan kebebasan kepada media mereka.

Tadi Dr mengatakan kita berada di tahap ragu-ragu. Sejauhmana akta-akta yang ada seperti ISA, OSA dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak ini menghalang kebebasan media dan penyebaran pengetahuan kepada masyarakat?

Banyak terdapat desakan-desakan megatakan kita terlalu banyak akta yang menyebabkan masyarakat kita tidak boleh bergerak. Maka wujud desakan agar akta-akta yang dikatakan menghalang kebebasan media ini dihapuskan. Seperti yang saya katakan akta ini menghalang, akta ini menjadi tembok yang menghalang kebebasan media, menghalang informasi seterusnya menghalang pembentukan pengetahuan. Disebabkan ini kita sering berada di sisi ketakutan, sisi ragu-ragu dan sisi salah faham.
Oleh sebab itu saya mengatakan akhbar mempunyai etikanya sendiri iaitu etika yang berprinsipkan jauhari dan budiman dan saya yakin media akan faham. Jadi perlu adanya desakan untuk menghapuskan akta-akta ini. Kita perlu faham, kita sudah ada undang-undang yang cukup. Jika mereka melakukan jenayah dengan penulisan mereka, kita ada kanun keseksaan dan sebagainya jika ia menyebabkan sengketa.
Kita mesti halang dasar-dasar yang menyebabkan terhalangnya informasi dan pengetahuan.Kita perlu berfikir bahawa media merupakan jentera untuk menyebarkan informasi dan pengetahuan dalam usaha kita untuk mewujudkan bangsa yang bertamadun. Sebab itu ramai sarjana dalam negara ini yang berpendapat akta-akta ini perlu dihapuskan jika kita serius mahu mencapai matlamat 2020, mahu menjadikan negara kita lebih maju darisegi masyarakat yang mempunyai pengetahuan yang luas. Jadi pada saya akta-akta ini perlu dihapuskan dan pembuat dasar juga tidak perlu takut untuk membenarkan pengetahuan diraikan melalui kebebasan media.

Tentang kajian Dr, ketika pilihanraya umum yang lalu, media alternatif atau media baru berkembang pesat. Boleh Dr jelaskan lagi peranan media baru ini yang telah mengatasi media konvensional dalam menyebarkan maklumat dan berita kepada masyarakat?

Mengikut kajian yang saya paparkan semasa pilihanraya umum yang lalu kemuncaknya peningkatan media alternatif seperti blog dan portal disebabkan oleh ruang keterbukaan, ruang kebijakkan dan ruang kebebasan media konvensional seperti akhbar dan televisi tidak lagi dipercayai sebagai sempadan media yang bebas. Masyarakat sudah berpendapat media konversioanal seperti akhbar dan televisi tidak bebas, tidak terbuka dan tidak bijak.
Lalu masyarakat berpindah dengan begitu cepat kepada media alternatif. Dan media alternatif ini pula sebenarnya bukanlah satu media yang sangat berpengaruh dan sangat kuat kuasanya tetapi kerana budaya pengurusan media dan dasar media di negara kita yang tidak berpihak kepada kebebasan maklumat, kepada pembangunan kebijakkan maklumat.
Perkembangan ini sangat menarik kerana kita juga jangan keliru dengan memuncaknya perkembangan media altrenatif, sekaligus memberi gambaran bahawa jika berlakunya perubahan dasar, jika berlaku perubahan kepercayaan menguruskan sistem, undang-undang dan pengurusan media konvensional makan media konvesional juga akan kembali memuncak dan mendapat sambutan.Tetapi kerana sekarang ini media konvensional terdapat banyak halangan dan sekatan untuk berkembang dari aspek dasar dan undang-undang maka media alternatif lebih mendapat sambutan.
Percaya jika media konvensional tidak dihalang atau dikongkong ia akan mendapat lebih sambutan. Sebab itu kita kata media konvensional ini tidak akan hilang. Ia tidak hilang buat masa ini cuma kurang mendapat sambutan. Untuk memulihkan ini, segala halangan dan sekatan yang telah kita bincang harus dihapuskan maka ia akan kembali mendapat kepercayaan masyarakat. 70 peratus kepercayaan sudah berpindah kepada media alternatif kerana keterbukaan dan kebijakkan media alternatif ini.

Dr pernah menyebut tentang adanya 500 ribu blog dalam pelbagai bentuk dan sebahagian besarnya merupakan blog politik. Ini satu percambahan yang sihat. Adakah media baru ini tidak terikat dengan peraturan atau undang-undang seperti yang dikenakan kepada media konvesional?

Media alternatif ini tidak terikat dengan akta mesin cetak. Mereka juga tidak tertakluk kepada akta-akta yang menyekat media konvesional. Akta rahsia rasmi juga sukar dikenakan kepada blog atau portal. Ini memberikan ruang kepada media alternatif untuk berkembang. Cuma malangnya sekarang kita sudah dengar ada cubaan untuk membuat akta atau peraturan keatas media alternatif ini. Kalau ini berlaku, amat malanglah kepada perkembangan pengetahuan kerana sekali lagi masyarakat akan dihalang dari meraikan pengetahuan dan informasi. Ini akan menyebabkan kita akan tersingkir dari abad informasi atau abad ke 21 ini.

Macam mana perkara ini nak dikaitkan dengan penahanan Raja Petra?
Raja Petra dikatakan kerana tulisannya dipercayai boleh menganggu gugat keamanan negara. Itu pendapat mereka yang menahan mereka. Sejauh mana logiknya penanahanannya itu kerana kalau kita lihat Malaysia-Today itu, sebagai pengamal media dan pengkaji media saya lihat tidak ada unsur-unsur subversif dalam portalnya itu.Raja Petra ditahan kerana tulisannya disyaki boleh mengakibat huru-hara. Dan pandangan itu merupakan pandangan politik. Tetapi dari segi kebebasan media, penahanan Raja Petra ini amat mengecewakan kerana dari segi mengembangkan informasi, portalnya itu tidak langsung menghalang malah beliau sedang meraikan pengetahuan.

Kerajaan kini bercadang menubuhkan Majlis Media Kebangsaan (MMK). Apa respon awal Dr tentang syor ini?

Sebenarnya cadangan untuk menubuhkan MMK, dasar media kebangsaan dan apa sahaja yang disebut sebagai polisi media kebangsaan sudah berlaku sekian lama. Seingat saya sudah berlaku sekitar 1970-an lagi. Desakan ini terjadi kononnya kita memerlukan sebuah majlis, sebuah dasar bagi membina struktur media di negara ini. Dari aspek penterjemahan kebebasan, informasi, penyelarasan dasar undang-undang dan sebagainya.
Jadi saya tidak tahulah kemungkinan ia tidak berjaya ditubuhkan akhir-akhir ini ada lagi desakan untuk menubuhkan dasar media kebangsaan atau DMK yang akan menggabungkan pula akhbar, media bercetak, media elektronik termasuklah media alternatif, blog dan sebagainya.Dengan mengatakan dasar ini akan mewujudkan suatu struktur yang jelas. apakah sistemnya, undang-undangnya, apakah maksud kebebasanya, dengan maksud bukan untuk mengawal dan mengurus selia masalah pembangunan media kebangsaan agar lebih pragmatik.

Ada yang beranggapan apabila ia dikelolakan oleh kerajaan maka ia akan bersifat pro kerajaan. Perlu mematuhi polisi dan segala dasar yang diputuskan kerajaan. Tidak kira sama ada ianya BN atau Pakatan Rakyat.

Saya bersetuju dengan pandangan itu tetapi saya ingin menyatakan MMK jika benar serius untuk ditubuhkan ia haruslah menjadi centre atau pusat pembangunan media, pusat pendidikan untuk melatih wartawan agar lebih profesional, pusat pembangunan polisi iaitu untuk membangunkan industri media di peringkat akhbar, televisi, majalah, internet dan sebagainya.Seterusnya, ia adalah pusat untuk pembinaan atau pengurusan peraturan dan sebagainya. Ia tidak boleh berpihak kepada mana-mana, jika tidak ia akan gagal. maka sekali lagilah dasar itu akan gagal, dan sistem itu akan gagal dan sekali lagilah kita akan bersidang untuk menubuhkan dasar-dasar kedua, ketiga dan sebagainya.
Biar harus difahami bahawa penubuhan DMK harus difahami sebagai satu center atau pusat yang menguruskan tiga sektor ini, iaitu pembangunan pendidikan journalisma, kewartawanan, pembangunan industri media, dan pembangunan polisi undang-undang, etika dan sebagainya bagi membolehkan media itu diuruskan secara jauhari lagi budiman dan merayakan unsur demokratis dan juga informasi.Ia tidak boleh menghalang ini, jika niat atau kandungan penubuhan MMK untuk mengawal, menghalang kebebasan media. Nah! Ia akan gagal.

Berbalik kepada isu blog. Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyebabkan kerajaan terpaksa mengakui peranan blog sebagai salah satu media berkesan, sehingga RTM mengadakan rancangan "Blog" untuk meredakan keadaan. Apa yang Dr lihat?

Pada pandangan saya, kita mempunyai satu budaya latah. Apabila saya sendiri menyatakan kita ada 500,000 blog yang kita ada dan 70 peratus keputusan pilihan raya adalah dibentuk, dipercayai, dipengaruhi kesan daripada informasi blog dengan cepat. Dan kita pun berfikir untuk membuat sesuatu yang berkaitan dengan blog.Jadi apa yang kita buat sekarang ini tidak berpandukan kajian. Kita tidak mempunyai cara mengurus dengan baik sehingga menyebabkan apa sahaja yang kita hendak lakukan itu sekadar mungkin untuk melepaskan batuk di tangga. Ia sekaligus menyebabkan perayaan informasi itu tidak terjadi.
Jadi kita sendiri menentang budaya blog itu kerana internet ini adalah budaya yang merayakan maklumat, memajukan maklumat, yang ini kita tiada.Bagi saya, semua itu adalah budaya inisiatif yang baik untuk bersama-sama tetapi ia tidak tercapai jika kita tidak memahami bahawa internet itu adalah pengetahuan. Ini bermaksud pengisian itu perlu berubah dan mesti berasaskan intelektualisme. Rancangan blog itu sendiri mesti berasaskan pengetahuan. Saya yakin mana-mana blog.
Maka rancangan itu yang tidak merayakan maklumat itu gagal. Ada banyak blog yang sangat subversif, mengisi fitnah sahaja dan ia tidak akan menerima sambutan. Mungkin satu hari sahaja akan ramai orang datang ke blognya, untuk menonton rancangannya sebagai satu contoh kemudian orang akan lari.

Meskipun itu menunjukkan keterbukaan, tetapi baru-baru ini Syed Hamid Albar mahu mengadakan kod etika untuk para bloggers. Adakah ini sihat?

Dari awal lagi saya menyatakan bahawa media itu etika. Kemungkinan pada masa ini, daripada satu sisi saya bersetuju. Tetapi daripada satu sisi journalisma kita begitu kurang etika akhir-akhir ini. Jadi kod etika itu adalah satu proses untuk menstrukturkan dan memberi binaan agar wartawan kita faham akan tugas mereka, jika begitulah kandungannya.Untuk mencapai matlamat jauhari lagi budiman, maka kita harus sokong.
Tetapi kandungan kod etika itu tidak menepati ciri-ciri itu, seolah-olah untuk mengawal kebebasan, maka ini adalah ancaman kepada pengetahuan. Bagi saya kod etika yang sebenarnya hendaklah merupakan struktur yang dirujuk sepertimana ada konsep aplikasi komputer 'help' itu maka wartawan, katakan contohnya saya wartawan hendak menulis tentang kebakaran rumah maka saya tidak tahu boleh atau tidak saya melaporkan 15 orang mati. Atau tidak boleh sebenarnya. Maka saya akan klik kod etika, tidak boleh. Dan saya akan mengerti bahawa masyarakat ini tidak boleh menulis tentang kematian sebab dia bertentangan dengan budaya dan sebagainya. Itulah kod etikanya.
Tetapi jika ia satu undang-undang untuk menghalang kebebasan informasi maka tidak sepatutnya terjadi. Pada pandangan saya kod etika adalah struktur untuk membolehkan media diuruskan secara jauhari lagi budiman membantu para wartawan dan pengamal media memahami konteks budaya, ekonomi, sosio dan politik agar tidak bertentangan dan memusnahkan tamadun. Dari awal saya berpegang kepada prinsip setiap pengurusan media itu bertolak daripada pembangunan dari akhlak dan syariah, berpegang bahawa media itu sebagai etika dan produknya sebagai ar-risalah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hi there! I just wanted to ask if you ever have any issues with hackers?
My last blog (wordpress) was hacked and I ended up losing a few months of hard work due to no data backup.
Do you have any methods to protect against hackers?


Feel free to visit my website: http://www.barknetwork.com/