KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 31, 2009

Dua Exco Kerajaan Perak jumpa Najib di Pekan?

Masih menjadi tandatanya? Ke manakah mereka dan benarkah Najib Tun Razak sudah menawarkan habuan yang lumayan?

WEB Malaysiakini melaporkan perkembangan terbaharu tentang desas-desus dua Exco Kerajaan Perak mahu melompat ke BN: SEJAK beberapa hari lalu, dua exco kerajaan Perak daripada PKR mencetuskan pelbagai spekulasi akan menyertai BN susulan tindakan wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim meninggalkan Umno hujung minggu lepas.

Petang ini, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-duanya Jamaluddin Mat Radzi (foto, kiri) dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya.

Malaysiakini melaporkan PKR sedang memantau dengan dekat perkembangan dua exconya ini, termasuk kemungkinan berada di Pekan setelah kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri sejak empat hari lalu.Difahamkan parti itu sudah mendapat maklumat bahawa kedua-duanya "berkemungkinan besar" bersetuju meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sumber-sumber parti itu memberitahu, BN paling cepat melalui Mohd Najib sendiri akan mengumumkan perkembangan mendebarkan ini esok - setelah ura-ura berbuat demikian petang tadi tidak berhasil.

Bagaimana pun sumber-sumber itu tidak dapat memastikan sama ada mereka berdua betul-betul berada di Pekan atau masih di Ipoh. Seorang wakil rakyat PKR di Kedah juga dalam usaha didekati untuk melompat kepada BN.

Sementara itu PKR Perak mendakwa Mohd Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

"Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10 Februari," kata pengerusi perhubungannya Osman Abdul Rahman dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami percaya ada usaha-usaha oleh BN untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib, termasuk menggugurkan kes rasuah mereka. "Osman menambah, beliau yakin pertuduhan terhadap kedua-dua exco Perak itu "palsu yang direka cipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik."

Jika Jamaluddin dan Osman sah meninggalkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan mentadbir dengan kelebihan satu kerusi - setelah mengambil kira penyertaan Nasharuddin. BN buat masa sekarang menguasai 27 kerusi, sementara Pakatan Rakyat 32, termasuk lapan PKR dan 18 DAP (lihat jadual).