KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 01, 2009

"Gila Kuasa" dan "Rasuah, Politik Wang" dalam Umno sekarang - kata Kapten (B) Zahar Hashim


SELEPAS kontroversi dengan pendedahan skandal Eurocopter dan digantung keahlian Umno selama tiga tahun, bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato' Zahar Hasyim mengisytiharkan sertai PAS pada 24 Disember lalu.Banyak perkara yang menyebabkan beliau dan penyokongnya membuat keputusan untuk meninggalkan Umno. Bekas Adun Lindungan dan Taman Medan ini sudi untuk berkongsi cerita dengan Harakah mengenai keputusan nekad yang telah diambil. Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM dan wartawan IRWAN MUHAMMAD ZAIN serta jurugambar MOHD NASIR SUDIN bersama beliau di kediamannya, di Subang Jaya pada 26 Disember lalu.

Dalam isu pembelian Eurokopter oleh Kementerian Pertahanan, Dato' telah buat kejutan dan akhirnya jadi isu kontroversi. Kerajaan menangguhkan pembelian kononnya ada masalah kewangan negara. Boleh Dato' cerita sikit apa yang terjadi dalam pembidaan tersebut?


KAPTEN DATO' ZAHAR: Masalah pokoknya proses tender itu tidak mengikut cara biasa yang dilakukan. Kita tengok dari segi spesifikasi dalam dokumen tender itu seolah-olah macam tender sudah memihak kepada pembekal iaitu Eurocopter.

Umpamanya macam peralatan yang Eurocopter tidak ada... mereka kata tak penting tapi kalau Eurocopter ada dan helikopter lain tidak ada, yang itu dikatakan penting. Sebagai contoh dalam dokumen tender itu dikatakan salah satu kegunaan helikopter ini untuk mengangkut tentera yang
cedera atau rakyat yang sukar dapatkan ambulan macam di Sarawak atau pendalaman lain.

Secara logiknya kalau untuk tujuan itu sepatutnya pintu belakang helikopter itu penting tapi Eurocopter tiada. Helikopter lain yang masuk tender itu ada pintu belakang. Eurocopter cuma ada pintu tepi. Satu lagi kebiasaannya roda helikopter tak macam roda kapalterbang yang boleh masuk bila dah naik. Helikopeter selalunya, rodanya sentiasa kat luar tapi Eurocopter rodanya boleh masuk. Itu dikatakan penting. Dari situ kita dah boleh nampak spesifikasi itu sudah memihak kepada Eurocopter.


Mungkin ada perkiraan lain selain yang Dato sebutkan tadi?

Dari segi 'flight test'. Kalau kita beli kereta pun kita ada 'test drive'. Kita nak beli helikopter yang bawa lebih dari sepuluh orang dan harganya puluhan juta seunit. Macam mana boleh buat pilihan tanpa ujian helikopter dari pembida lain. Kalau mereka kata sudah uji Eurocopter, itu tidak adil
kerana hanya uji satu saja.

Sepatutnya uji semua helikopter yang masuk pembidaan. Dalam salah satu klausa dokumen tender itu sudah disebut, setiap pembida mesti bersedia membenarkan pihak kerajaan melawat premis pembuat dan melakukan ujian penerbangan.

Alasan yang mereka bagi juruterbang tentera udara ini 'pakar'. Ini dipertikaikan sebab wakil di Malaysia iaitu pembida-pembida yang lain semuanya bekas juruterbang tentera udara yang berpengalaman. Yang sudah ada 20 ribu jam penerbangan bukan saja pernah bawa helikopter Nuri tetapi pernah bawa Eurocopter.

Sebab bila mereka berhenti dari tentera udara mereka bekerja dengan Malaysia Helikopter Services yang gunakan Eurocopter untuk hantar pekerja-pekerja di platform. Kalau kita kaji, saya rasa Jabatan Pertahanan ada data-data yang menunjukkan helikopter terhempas sebab kesilapan
juruterbang berapa peratus, jatuh sebab cuaca berapa peratus atau berapa peratus sebab teknikal. Tak silap saya punca utama berlaku kemalangan melibatkan kesilapan juruterbang.

Nampaknya isu 'ujian' diperlekehkan oleh jawatankuasa tender ini...

Begitulah. Mereka kata mereka sudah buat ujian Eurocopter semasa LIMA di Langkawi. Bila helikopter itu menyertai pameran LIMA, kita hanya duduk sebelah saja (ini dikatakan ujian), macam makan angin dalam sepuluh atau lima belas minit. Itu sudah dianggap ujian. Tapi sebenarnya ujian ini ada perkara-perkara tertentu yang perlu dilakukan bukan 'joyride'. Kalau di LIMA itu bukan ujian tetapi 'joyride'. Tapi kalau ada buat ujian terhadap Eurocopter kenapa tak buat untuk yang lain juga.

Dari segi harga, ada kontroversi tak?

Dari segi harga juga kita pertikaikan. Kita ada keratan akhbar daripada Dubai. Keratan akhbar daripada Perancis pada tahun Disember 2007. Ini lapan bulan sebelum tender kita dimana kerajaan India membatalkan tender membeli Eurocopter kerana didapati ada subahat antara Eurocopter dengan ahli lembaga tender. Kalau kita tengok harga itu, harga yang ditawarkan kepada India dengan yang ditawarkan kepada Malaysia jauh bezanya. Tapi Kementerian Pertahanan kata spesifikasi lain. kalau lain bagitahulah apa yang lainnya sampaikan beratus juta harganya. Ringkasnya proses menilai tender itu tidak telus.

Maknanya proses biadaan tidak telus?

Yang sebenarnya ketiga-tiga pembida tak puashati kerana kita dikehendaki membayar deposit tender RM1juta. Mereka pun banyak masuk tender-tender antarabangsa, jadi mereka tahu lah cara-cara negara lain proses tender tapi kita tak ikut proses sebenar. Sampai sekarang sudah setahun kerajaan pegang deposit tender itu. Itu yang saya persoalkan. Ketelusan itu. Kalau dibuat secara telus kita tak akan bantah. Yang kita tak puashati sebab tidak telus.

Tapi laporan PAC mendapati tiada sebarang penyelewengan dalam tender Europkopter ini...

Saya baru dapat salinan laporan PAC itu. Kita sedang menyediakan komen kita. Saya tengok banyak tidak tepat terutama tentang helikopter Kazan Kolona. Saya sedang kaji laporan tersebut dan kita akan hantar surat kepada Kementerian Pertahanan.

Dalam satu perjumpaan pemimpin Umno di PWTC dengan Perdana Menteri, Dato' telah mengkritik Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan beberapa dakwaan. Apa yang Dato kritik?

Ada dua perkara. Yang pertama isu peralihan kuasa. Tahun ini tahun pemilihan, tak boleh ada rundingan antara Presiden dan Timbalan Presiden untuk serah kuasa macam "Bagi saya sambung dua tahun lepas tu saya bagi awak". Dalam tata etika parti pun jelas, tak boleh tawarkan
jawatan, tak boleh janjikan kontrak. Ada dalam tata etika itu. Peralihan kuasa ini jelas langgar etika itu. Tahun ini tahun pemilihan, bertandinglah. Kalau Abdullah cukup pencalonan dia bertandinglah.

Kalau dia tak nak bertanding, tarik diri sajalah. Lama sebelum pemilihan mereka sudah buat perjanjian, Najib jangan bertanding, "lepas dua tahun saya serah jawatan Presiden". Saya hantar surat tiga hari selepas majlis di PWTC. Kalau kita lihat ramai ahli Umno tidak setuju cara peralihan
kuasa ini sebab itu mereka percepatkan dan Abdullah tidak bertanding.

Dari segi itu pun kita nampak mereka (Abdullah) salah.Keduanya, Abdullah panggil semua ketua cawangan seluruh Malaysia. Letakkan mereka di Hotel Regent, bagi duit belanja seratus dua ratus ringgit seorang. Bagi sejadah, bagi kain pelikat. Majlis itu katanya perjumpaan dengan PM. Kalau perjumpaan dengan PM kenapa cuma ketua cawangan Umno saja. Panggillah semua ketua cawangan MCA dan MIC. Kalau buat atas nama Presiden Umno nampak jelas itu rasuah.

Ini kerana dia guna duit kerajaan, duit JASA. Orang Umno banyak kerja JASA. Mereka bagi tahu berapa juta duit JASA digunakan. Sebab itu, projek JASA terpaksa dibatalkan kerana nak tampung program Abdullah jumpa ketua cawangan. Ini selepas pilihanraya umum lalu.


Jadi apa kandungan surat Dato' itu?

Surat saya itu cuma minta Majlis Tertinggi tangguhkan penguatkuasaan tata etika itu. Kalau ikut tata etika, bagi hadiah semua tu tak boleh buat dalam tempoh enam bulan sebelum dan selepas tarikh mesyuarat agung. Oleh kerana Presiden sudah buat dan Timbalan Presiden dah buat saya kata tangguhkan penguatkuasaan tata etika itu.

Kalau tak tangguhkan, perlu ambil tindakan terhadap Presiden dan Timbalan kerana sudah langgar tata etika ini.Tak boleh ada dua tata etika, satu untuk Presiden dan Timbalan, satu lagi untuk ahli biasa atau pemimpin-pemimpin bahagian dan cawangan.

Apa respon Majlis Tertinggi Umno terhadap surat Dato itu?

Surat pertama saya dijawab tak relevan. Ringkas saja. Tapi saya rasa yang dia marah sangat sebab isu Eurocopter itu.


"Penggantungan" ini menyebabkan Dato' sertai PAS? Atau ada sebab lain?

Banyak orang buat spekulasi dan tuduhan saya sertai PAS sebab kena gantung. Itu salah. Bila BN kalah di Selangor, Khir Toyo ni sebenarnya dipaksa letak jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.Ada konspirasi antara beberapa ketua bahagian dengan Muhammad Taib jumpa Abdullah supaya tukarkan Khir Toyo ini.

Tak ada alasan kukuh nak tukarkan Khir Toyo. Kalau nak kira kalah, di Kedah pun kalah, kenapa tak tukar Mahadzir Khalid? Di Perak pun kalah, kenapa tak tukar Tajol Rosli? Kenapa cuma Khir Toyo kena letak jawatan.Saya ingatkan Muhammad Taib masa dia jatuh dulu, Abu Hassan buat macam-macam pada dia. Saya seorang saja yang pertahankan dia. Abu Hassan beri amaran kepada ketua bahagian supaya jangan calonkan Muhammad Taib dalam pemilihan Umno, hanya boleh calonkan dia seorang saja. Saya pertikaikan.

Apa jadi dengan keputusan itu?

Akhirnya dia pinda keputusan itu. Calon Abu Hassan itu wajib, calon kedua dan ketiga baru boleh Muhammad Taib. Jadi saya ingatkan dia, masa dia jatuh, Abu Hassan naik, orang pijak-pijak dia. Sekarang bila Khir Toyo jatuh, dia buat benda yang sama juga. Yang saya kecewa sangat, mungkin kerana dia nak sangat jadi Timbalan Presiden, dia arahkan semua bahagian di Selangor calonkan dia sebagai Timbalan Presiden. Yang dia tahu PJ Selatan saja tak akan calonkan dia. Dia campurtangan dalam pemilihan peringkat bahagian. Umpamanya mesyuarat Perwakilan Pemuda bahagian, jelas bekas Ketua Pemuda bahagian melanggar setiap peraturan mesyuarat dan perlembagaan. Dia tak iktiraf lebih 15 cawangan tak diberitahu sebab.

Cawangan-cawangan ini hanya tahu mereka tak layak di hari mesyuarat pemilihan Pemuda bahagian.Jadi kita hantar bantahan, tapi ditolak begitu saja oleh Muhammad Taib. Masa mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian pun banyak kesalahan yang dilakukan. Kita hantar bantahan kepada Pusat, kemudian Pusat hantar kepada negeri. Jadi bila hantar kepada negeri yang 'control'nya Muhammad Taib, jadi dia luluskan juga. Hari bahagian buat mesyuarat pemilihan, kita dah nampak dari segi perlantikan wakil Umno Selangor sudah diatur supaya PJ Selatan akan tetap undi Muhammad Taib. Masa pencalonan Presiden dan Timbalan kita calonkan Tengku
Razaleigh dan Muhyiddin tapi bekas ketua pemuda ini dia calonkan Najib dan Muhammad Taib.

Undi angkat tangan, kita dari atas pentas nampak jelas calon kita ramai. Tapi sebab wakil perhubungan yang kira tu wakil Muhammad Taib dia kata Najib dan Muhammad Taib menang lebih enam undi. Macam mana boleh lebih? Jawatan lain pilihan kita menang lebih 30 undi. Kalau semua jawatan, calon pilihan kita menang kenapa jawatan Presiden dan Timbalan calon kita kalah? Jadi nampak ada konspirasi kat situ. Masa pemilihan itu anak Muhammad Taib pun dibenarkan masuk.

Jadi lepas itu saya dan yang lain-lain sudah kecewa dengan Umno. Masa itu kita dah bincang nak keluar Umno. Kita bincang. Tapi bila saya digantung, ia macam memudahkan lagi untuk saya keluar. Mungkin Tuhan tu memang nak saya masuk PAS.

Barangkali ada yang menambat hati Dato' dengan perjuangan PAS ini. Banyak parti lain, tapi pilih PAS. Boleh cerita sedikit?

Saya jenis tak baca surat khabar dan tak tengok TV sebab terlalu memihak kepada BN. Saya cuma baca blog dan website macam Harakhadaily. Saya dapat kesimpulan bahawa PAS memang kuat agama. Jadi, cuma tuduhan BN saja bahawa PAS gunakan agama untuk politik. Saya dari awal lagi pentingkan agama.

Selama ini program yang saya buat di bahagian saya adalah program amal jariah.Kita buat kebajikan untuk orang miskin dan kita bayar gaji seorang ustazah untuk bagi ceramah-ceramah agama. Jadi sebelum ini lagi saya sudah tumpukan kepada program kebajikan dan agama. Yang muda-muda kita buatlah program sukan dan sebagainya. Mulanya kita ada dua pilihan, yang muda-muda ni nak masuk KeADILan. Yang veteran nak masuk PAS. Tapi akhirnya bila saya buat keputusan nak masuk PAS, yang muda pun nak ikut sekali. Alhamdulillah kita sepakat untuk sertai PAS.

Sejak bila Dato' terlibat dalam Umno?

Saya sertai Umno 1981. Masa itu rakan-rakan sekolah saya di MCKK, Dato' Shahril, Dato' Ajib dan Dato' Rustam (Ahmad Maher) bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan sudah aktif dalam Umno.Masa itu saya kerja dengan sebuah syarikat dari Jerman yang akhirnya tawarkan saya sebagai pemegang saham utama sebab nak tubuhkan syarikat Bumiputera. Ringkaskan cerita, tahun 1989, pemilihan pertama Umno baru setelah Umno lama diharam, saya bertanding Ketua Bahagian dan menang. Di PJ Selatan saya jadi Ketua Bahagian sejak 1998 hingga digantung (Dis 2008).

Masa itu gaji saya pun lumayan, RM15 ribu sebulan. Saya sudah tinggal di banglo ini dan sudah guna Mercedes. Yang menariknya, rakan kongsi saya dari Jerman itu galakkan saya buat kerja-kerja kebajikan.Kebetulan juga tahun itu arwah sepupu saya nak bertanding ketua cawangan Subang Jaya ini. Jadi dia kumpul semua saudara mara dan lantik saya sebagai Pengerusi Biro Kebajikan dan Pendidikan Cawangan.

Bila sudah dilantik saya buat aktiviti. Saya banyak buat kelas tuisyen dan sebagainya. Masa itu saya tak tahu pun pasal politik ini. Subang Jaya masa itu dalam bahagian Puchong.Tahun berikutnya saya dipilih Naib Ketua Cawangan. Tahun 1985 ada pemilihan, saya sokong Mazlan Dato' Harun.

Pengaruh saya kuat sebab saya suka campur dengan orang-orang bawah. Mazlan ni dia pandai politik, jadi dia pegang saya dari awal. Bila dia menang dia lantik saya jadi Bendahari Bahagian. Mula tahun 1985 saya aktif.Kemudian tahun 1987, kerana saya aktif, ketua-ketua cawangan tengok saya yang buat kerja jadi mereka calonkan saya bertanding Ketua Bahagian. Jadi bila orang calonkan saya bertanding. Tapi kalah.

Lepas itu saya pergi Mekah dan sudah fikir nak pencen. Cuma pada tahun 1987, masa Umno diharamkan, Muhammad Taib jadi Pengerusi Perhubungan, dia dilantik jadi Pengerusi Penaja untuk tiga bahagian iaitu bahagian dia sendiri iaitu Hulu selangor, Hulu Langat dan Puchong.Mazlan kecewa bila tak dilantik jadi pengerusi penaja, itu sebab dia masuk Semangat 46.

Tapi orang dia masih ramai dalam jawatankuasa penaja itu. Jadi usaha nak hidupkan Umno Puchong tak menjadi. Muhammad Taib panggil saya dan bagitau saya dilantik jadi Pengerusi Penaja Bahagian Puchong.Tahun 1989, pemilihan pertama Umno baru, saya bertanding dan menang. Di PJ Selantan saya jadi Ketua Bahagian sejak 1998.


Berapa penggal Dato jadi Adun?

Mula-mula saya jadi Adun Lindungan satu penggal. Masa tu dalam Parlimen Puchong. Bila persempadanan semula, saya jadi Adun Taman Medan. Dah masuk dalam Parlimen PJS.

Mengapa selepas itu Dato' tidak bertanding, sedangkan Dato orang nombor satu di Umno Bahagian PJS?

Masa Pilihanraya 1999, saya sakit kanser. saya sedang jalani rawatan kimoterapi, jadi saya tulis surat kepada Dato' Abu Hassan supaya tidak calonkan saya. Bila sudah pulih, tahun 2004, KhirToyo minta saya bertanding tapi saya tolak sebab pada saya kalau asyik saya saja (bertanding) bila orang lain nak merasa jadi Adun. Jadi dia pilih Timbalan Ketua Bahagian, Haji Wahab bertanding.

Ada tuduhan dari Umno yang Dato' seperti "kacang lupakan kulit" dan "tidak mengenang budi" kerana meninggalkan Umno. Apa respon Dato'?

Saya berani cabar 190 ketua bahagian yang lain siapa yang lebih banyak menyumbang duit peribadi kepada Umno? Yang dia orang lupa, masa 1987 masa Muhammad Taib susah nak hidupkan Umno, dia minta saya tinggalkan perniagaan saya itu. Tumpu sepenuh masa kepada politik. Dia kata bila sudah berjaya kita akan bagi saguhati. Jadi saya pegang itu dan minta adik ipar saya jalankan perniagaan saya. Saya buka pejabat dengan lima orang pekerja yang dibayar gaji sepenuh masa.

Sampai tahun 1993, saya bertugas sepenuh masa sebagai ketua bahagian dan Adun. Jadi bila buka pejabat dan tumpu sepenuh masa, orang datang rumah saya malam-malam kerana mereka tahu nak jumpa Kapten, boleh jumpa di pejabat bahagian. Yang itu mereka lupa yang saya sanggup tinggalkan perniagaan untuk jaga Umno.

Tapi tahun 1994, Muhammad Taib sendiri yang tanya saya tak nak minta apa-apa ka? Jadi saya cakap kalau Tan Sri nak bagi, bagilah apa-apa pun. Jadi dia bagi saya tanah di Puchong dan dekat area Sunway.Mereka tidak tahu, ketua bahagian yang lain dapat tanah cuma bayar premium 50 sen sekaki. Tapi tanah yang saya dapat saya kena bayar kepada PKNS bukan setakat premium tapi 17 peratus daripada jualan kerana tanah di kawasan Sunway dulu tu kawasan setinggan dan PKNS tak dapat nak buat apa-apa dengan setinggan. Jadi saya cadangkan kepada PKNS, saya bina flat untuk mereka. Masalah setinggan selesai.

Saya sudah bayar RM120 juta kepada PKNS. Kalau ketua bahagian lain, dapat tanah jual (ali baba) tapi saya usahakan sendiri. Tanah dekat Sunway tu kalau saya nak duit cepat, saya boleh jual kepada Sunway tapi saya fikirkan soal setinggan yang ada di situ mana nak pergi kalau tak dibina rumah untuk mereka. Tanah tu diberi kepada saya pada tahun 1994, hingga sekarang tak habis lagi.

Masa ekonomi tak elok, kita hentikan projek. Sekarang kita sambung balik. Yang memudahkan saya kerana penduduk setinggan itu adalah ahli Umno bahagian saya. Jadi mereka beri kerjasama. 70 peratus yang diberi kepada saya itu saya bina rumah kos rendah untuk rakyat.Perancangan asal saya nak bina hotel dan kilang di kawasan tersebut. Tapi bila Khir Toyo minta kita bina rumah di kawasan itu masa ada kes gaduh di Taman Medan dulu, kita batalkan perancangan kita dan ikut arahan Pengerusi Perhubungan Umno.

Bila sudah bina rumah kos rendah ini, PKNS dapat RM120 juta. Kerajaan negeri dapat kutip duit cukai pintu dan duit bil air. Kalau masa setinggan dulu, mereka tak bayar cukai pintu dan bil air, bil api.Jadi kita bukan dapat 'free' sebaliknya kita dapat dan kita usahakan sendiri dan beri manfaat juga kepada kerajaan negeri. Ini mereka tak nampak.

Tidakkah tindakan Dato' sertai PAS akan terjejas atau diganggu oleh pihak tertentu dalam Umno?

Dalam Agendadaily, Muhammad Taib kata saya ni masuk PAS sebab sekarang di Selangor pembangkang yang 'control', jadi saya nak projek lain. Tapi yang sebenarnya, PKNS, kerajaan negeri dan MB puji saya sebab inilah satu-satunya syarikat Bumiputera yang dapat tanah dan usahakan sendiri. Bayaran pun lancar kepada PKNS.PKNS sendiri yang tawarkan kepada kita supaya buat satu lagi projek perumahan kos rendah di Shah Alam. Bagi saya, projek itu pun kalau siap dalam masa tujuh tahun pun saya sudah umur 67 tahun. Untuk saya, anak-anak dan cucu saya sudah cukup.

Saya difahamkan, Khir Toyo ada datang memujuk Dato' sehari sebelum Dato sertai PAS agar tak tinggalkan Umno...

Saya anggap dia sebagai kawan dan dia anggap saya sebagai guru. Jadi malam itu dia datang jumpa saya dan berjanji kalau dia menang Ketua Pemuda dan Muhyiddin menang Timbalan, mereka akan usahakan supaya pergantungan saya ditarik balik. Tapi saya bagi tau dia, keputusan ini bukan saya fikir sehari dua tapi sudah lama dan saya tak boleh terima kepimpinan Muhammad Taib.

Kalau saya ubah fikiran, saya akan kecewakan pengikut saya yang lebih kecewa dengan Umno. Masa dia dilantik jadi MB, orang lain duduk makan tapi saya tak buat macam tu. Saya duduk terus dalam bilik mesyuarat. Jadi bila dia masuk tengok saya sudah ada kat dalam, dia datang dan peluk saya serta bagi tau dia perlukan orang macam saya.

Jadi saya berterus terang dengan dia dan dia nampak saya ini ikhlas bukan buat sesuatu untuk kepentingan. Jadi dia tahu apa yang berlaku di bawah bukan macam Muhammad Taib yang tidak turun ke bawah. Dia tahu macam mana saya jaga Umno PJ Selatan dan dia tahu saya tidak kedekut. Dia tahu saya dapat tanah ini dari Umno dan saya banyak sumbangkan kepada Umno. Saya rasa lebih dari separuh yang saya dapat saya bagi balik kepada Umno. Saya berani cabar termasuk Abdullah dan Najib. Siapa lagi banyak sumbang duit peribadi kepada Umno.

Dato' sertai PAS bersama 28 Ketua Cawangan dan 13 AJK Umno Bahagian PJS. Respon cawangan selebihnya, Pemuda, Puteri dan Wanita?

Setakat ini, saya sendiri pun tak suruh sesiapa pun ikut saya. Mereka sendiri yang nak ikut saya. Jadi cadangan keluar dari Umno itu bukan saya minta atau paksa sebaliknya mereka sendiri yang buat. Cuma cadangan masuk PAS itu saya buat. Kalau saya ubah fikiran mereka akan kecewa. Saya tak jumpa sesiapa pun. Ketua Wanita atau Ketua Puteri saya tak jumpa. Ketua Pemuda tak payah cerita sebab dia menang pun cara menipu. Jadi kalau nak ikut cara saya jaga Umno PJ Selatan ini susah.


Berdasarkan pengamatan dari dalam Umno, apa yang tak kenanya Umno hingga bukan sahaja Dato', Tun Mahathirpun sanggup meninggalkan Umno?

Pokoknya Umno sendiri pun sudah umumkan kepada orang ramai pasal rasuah. Bila sudah rasuah segala-galanya tak betul. Rasuah ini sudah sampai ke cawangan-cawangan. Bila yang
atas sudah rasuah susahlah. Jadi puncanya rasuah.

Khbarnya Dato' telah menyerahkan Pejabt Umno Bahagian PJS kepada PAS untuk dijadikan markaz atau pejabat. Adakah ini milik Umno PJS atau milik peribadi?

Surat khabar tu banyak silap. Sebenarnya bangunan itu saya sewa beli. Saya gunakan bangunan itu khusus untuk Umno. Bila sewa beli, ia bukan milik saya lagi. Jadi salah bila kata saya wakafkan pejabat itu kepada PAS sebab saya masih sewa lagi. Tapi kebetulan Ketua PAS PJS (Yang DiPertua) cari pejabat, jadi saya ada pejabat dan ada kakitangan yang turut sertai PAS secara sukarela seramai lima orang. Saya bagi tau Ketua PAS PJ Selatan tak perlu cari pejabat lain. Guna pejabat yang saya sewa dan kakitangan yang saya bayar gaji itu.

Dato juga serahkan sebuah van jenazah Umno PJS kepada PAS?

Bukan serah kepada PAS. Van itu milik syarikat saya cuma saya letak nama Umno Bahagian PJS pada Van itu. Ada logo Umno. Kakitangannya pun kakitangan syarikat saya. Jadi ia cuma tukar logo saja dari Umno kepada PAS. Termasuk kakitangan sekali yang sukarela sertai PAS. Mereka akan kendalikan van itu.

Mengenai program bantuan kepada orang susah yang Dato' aktifkan dalam Umno dulu, katanya Dato' akan teruskan atas nama PAS pula... Betulkah begitu?

Ini saya buat dulu dalam Umno. Biasanya mereka ini datang jumpa saya dan mengadu susah. Bila datang pejabat, kita anggap mereka ini orang susah, jadi serta merta saya akan bagi RM150. Dalam tempoh sebulan kakitangan akan pergi buat lawatan ke rumah untuk sahkan mereka perlu dibantu sebagai tinjau sebelum beri bantuan lain. Kalau betul susah kita akan terus beri bantuan bulanan sebanyak RM150 sebulan. Sebenarnya sebelum saya keluar Umno, saya sudah bercadang mahu mulakan bantuan barangan dapur kepada mereka ini yang terdiri dari lebih 100 keluarga.

Selepas ini, program ini akan diteruskan atas nama PAS?

Ya. Kita akan teruskan atas nama PAS pula. Mungkin lebih ramai lagi orang susah dapat dibantu. Semua perbelanjaan saya tanggung. Ini kebajikan untuk masyarakat kita.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Syabas Dato'.Perjuangan demi menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini telah dibukakan olehNya pintu hati Dato' untuk bersama-sama di dalam jemaah. Teruskan perjuangan suci mu hingga ke akhir hayat.
Kita goncang dan gegarkan segala pintu kefasikan, kemunafikan dan kekafiran di dalam mana-mana perjuangan yang menentang hukum Allah.
Sekali lagi kepada Dato', syabas, syabas dan syabas saya ucapkan. Tiada kata-kata yang dapat saya ungkapkan lagi.
TAKBIR !!!