KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 31, 2009

Nasaruddin kejutkan tidur lena pemimpin Umno, akhirnya Tajol terpelanting!

Jarang anak Melayu Perak berani bertindak sendirian seperti apa yang dilakukan Nasaruddin. Secara tiba-tiba, nama dan gambarnya menjadi bahan berita. Malah nama Bota dan Parit meniti bibir ke bibir!

SEORANG kawan lama, IDRIS SAMAD minta publishkan pandangannya tentang pelompatan Adun Bota: TINDAKAN lompat Dato'Nasaruddin Hashim setidak-tidaknya menjadi bahan berita besar akhbar-akhbar arus perdana minggu ini. Jika Nasaruddin tidak melompat, tidak mencetuskan berita seperti ini, tiada siapa di kalangan pemimpin Umno yang terkejut dan bangkit dari tidur yang panjang.

Tentunya yang paling gelabah dan malu besar, bekas MB Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali. Tajol seperti terkena sumpahan ketika menjadi MB Perak, bukan sahaja gagal mencapai kejayaan besar malahan mengulangi sejarah hitam Allahyarham bapanya, Tan Sri Mohd Ghazali Jawi ketika menjadi MB Perak dahulu.

Nasaruddin tentulah mempunyai cukup kekuatan untuk melakukan lompat ini. Jika tidak, mustahil dia berjaya melakukannya. Kini, dia berada di Indonesia, atas urusan yang tidak diketahui, sama ada perniagaan atau bercuti. Yang pasti, Nasaruddin sudah berjaya melarikan diri dari panggilan-panggilan telefon yang bertujuan memujuknya, supaya membatalkan hasratnya untuk melompat.

Dalam politik Umno Perak, memang tiada kejayaan besar mana-mana individu kecuali Allahyarham Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab. Kebetulan, suatu ketika dahulu, Peraklah negeri yang mempunyai paling ramai perwakilan Umno apabila mempunyai 24 bahagian (Parlimen).

Namun, mereka (dari Perak) gagal menterjemahkan kekuatan mereka, sebaliknya terus menerus menjadi penyokong kepada calon-calon dari negeri-negeri lain.

Politik Umno Perak cukup berwarna-warni. Mereka berkomplot dan berklik. Tajol Rosli digelar 'Mat kaji dan teliti' kerana terlalu perlahan bertindak ketika menjadi Menteri Besar. Setiap permohonan yang dihantar kepadanya akan dikaji dan diteliti, sebagai jawapannya kepada pemohon.

Akhirnya, disebabkan Tajol Rosli dilihat terlalu perlahan, berjalan seperti siput, maka Nasaruddin merasakan Tajol Rosli perlu ditinggalkan.

Nasib baik Umno Perak ada Nasaruddin. Jika dulunya ada Datuk Radzi Manan yang turut menyerang Tajol Rosli, kini, Radzi sudah menyepi kerana bekerja kuat untuk bertanding dan menang kerusi MT. Radzi mungkin sudah menyampah dengan Tajol Rosli, sikit-sikit merajuk, sikit-sikit menjauhkan diri. Selepas BN Perak kalah dalam PRU 12, Tajol Rosli didakwa menghabiskan banyak masa untuk menangis dan bukan mengajak rakan-rakan dalam Umno supaya bangkit kembali, untuk memperkemaskan jentera.

Ketika Tajol menangis, kawan-kawannya yang lain tidak sanggup menangis bersama-samanya. Mereka menanti arahan dari Tajol. Namun, mereka bukan sahaja tidak menerima apa-apa arahan, malahan mereka gagal berjumpa dengan Tajol, sama seperti sukarnya mereka berjumpa Tajol ketika beliau masih menjadi Menteri Besar dulu.

Hari ini, Nasaruddin berjaya melakukan sesuatu yang tidak ada sesiapa memikirkannya. Nasaruddin bukanlah Zahid Hamidi atau Aziz Shamsuddin di Perak. Ketika menjadi Ahli Parlimen Parit, Nasaruddin hanya dilantik menjadi Pengerusi Felcra, jawatan tidak glamour.

Padahal, ketika Ainon Khariyah Mohd Abas menjadi Ahli Parlimen Parit, sekurang-kurangnya dia dilantik menjadi Setiausaha Parlimen.Ertinya, dalam politik Umno, Nasaruddin bukan setanding dengan nama-nama besar dari Perak tetapi apabila Nasaruddin berani bertindak melompat parti (dan diharapkan tidak berpatah balik walaupun dipujuk), namanya kini bolehlah dibariskan dengan nama besar seperti Allahyarham Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab.

Keberanian Nasaruddin ini, jika mahu disamakan dengan tindakan beberapa bekas pemimpin Umno yang meninggalkan Umno dan menyertai Parti Melayu Semangat 46 seperti Datuk Zainal Abidin Zin, Datuk Saidin Mat Piah, Datuk Tajuddin Rahman dan Datuk Khalid Nasir juga tidak adil. Mereka yang menyertai Semangat 46, secara beramai-ramai tetapi Nasaruddin bertindak sendirian.

Jarang anak Melayu Perak berani bertindak sendirian seperti apa yang dilakukan Nasaruddin. Secara tiba-tiba, nama dan gambarnya menjadi bahan berita. Ketika ada kawan-kawannya menyifatkan dia sebagai pengkhianat, tetapi tindakan Nasaruddin sebenarnya banyak menyedarkan pemimpin-pemimpin Umno yang sedang lena.

Cerita mengenai Nasaruddin mahu meninggalkan Umno sudah kedengaran sejak sebulan yang lalu. Namun, Nasaruddin masih mengambil masa untuk melakukannya dan memberi peluang BN menghadapi PAS di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Baguslah kalau Tajol Rosli membuat keputusan mahu melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak. Inilah yang dituntut Radzi ketika dia menyerang Tajol Rosli dahulu. Namun, pemimpin di Kuala Lumpur yang melantik Tajol Rosli seperti tidak ada telinga untuk mendengar desakan Radzi itu. Malahan, langkah awal yang pernah diambil bekas MB Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak memberi kesan kepada Tajol.

Umno Perak sedang bergelora sebenarnya. Kes pemilihan Umno Bahagian Larut masih belum selesai. Pengunduran dan kekalahan beberapa penyandang jawatan Ketua Umno bahagian sudah cukup memberi gambaran, orang Umno Perak tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan parti jika parti kalah. Mereka melarikan diri dari tanggungjawab apabila Umno dilihat lemah.

Semua orang sedang menunggu apakah tindakan Nasaruddin ini akan menjadi titik permulaan bagi beberapa ADUN lain lagi yang turut tewas dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian? Seperti kata bekas Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Datuk Ahmad Fakeh Adam, jika ketua bahagian lebih penting dari ADUN, dia juga akan memikirkan alternatif untuk meneruskan perkhidmatannya kepada rakyat di DUN Lintang.

Jika Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari bercadang mahu meneliti hanya calon yang setia sahaja dipilih menjadi calon, bererti Umno Perak sudah terlepas pandang sebelum ini, memilih calon yang mereka sendiri tidak tahu tahap kesetiaannya.

Ketika Ramly bercadang mahu meneliti setiap calon, Ramly sendiri tidak tahu apakah dia juga akan dicalonkan semula dalam PRU 13 yang akan datang dan jika Tajol Rosli tidak kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dalam tempoh terdekat, apakah Ramly masih kekal sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Negeri?

Tiada ulasan: