KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 21, 2012

Pakatan tidak, BN tidak: Mahasiswa kini bangkit bertenaga untuk "membunuh" AUKU 1971 dengan bergaya

KOMENTAR SAFAR JUMAAT


Ketika beberapa kelompak mahasiswa bangkit secara terang-terangan menentang Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) mungkin ada yang beranggapan, ia perbuatan tidak wajar bagi seorang yang bergelar mahasiswa. Ini kerana, anggapan mereka yang menganggap mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran sahaja dan tidak ambil tahu hal luar dan hal dunia luar, sudah tidak terpakai dalam situasi sekarang.

Dulu, mungkin Auku perlu tetapi kini, ia mungkin sudah lapuk. Kematangan mahasiswa sekarang bukan lagi kematangan mahasiswa tahun 60 an dan 70 an. Keadaan sudah berbeza dengan persekitaran yang semakin banyak berubah.

Yang tidak mahu berubah, mereka yang duduk dalam Umno dan BN. Itulah sebabnya, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berkali-kali memberi ingatan kepada orang-orangnya "berubah jika tidak mahu rebah".

Sepatutnya, kebangkitan mahasiswa ini dianggap sebagai sesuatu yang subur. Ia bukan perlu dilawan atau dibetak, tetapi mereka perlu ditemui dan dirundingi. Jika mereka didekati, mustahil keadaan seperti apa yang berlaku sekarang boleh terus berlaku.

BN sepatutnya sudah mempunyai kesedaran. BN sudah mempunyai banyak pengalaman di dalam mendepani mahasiswa. Kebangkitan mahasiswa bukan berlaku semalam tetapi sudah pernah berlaku pada tahun 70 an.

Kenapa BN tidak mahu belajar dari pengalaman terdahulu? Satu perangai kepimpinan BN ialah mereka tidak pernah mengambil pengajaran dari apa yang pernah berlaku dan paling mudah, akhirnya nanti mereka menyalahkan pihak lain.

Ambil contoh kekalahan BN (Perikatan) dalam tahun 1960 (dikira awal 70 an) di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor dahulu. BN tewas di Pulau Pinang di tangan Gerakan sebelum Gerakan menyertai BN sepatutnya tidak menyebabkan BN hilang akal bila mereka tewas dalam tahun 2008 yang lalu.

Apakah peristiwa kebangkitan pelajar pada tahun-tahun 70 an dahulu (dan sebahagiannya sudah menyertai Umno sekarang) tidak cukup memberi pelajaran dan pengajaran kepada BN?


Yang kelakarnya, ada seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang ingin menjadi hero dalam pertembungan antara mahasiswa dengan kerajaan ini. Malangnya, hasratnya itu menjadi bahan gelak kawan-kawannya yang lain dalam Umno dan BN.

Malahan, di belakang hero ini, dia dikatakan menjadi bahan umpatan. Kata mereka yang tidak bersetuju dengan tindak-tanduk "hero plastik" ini, "kita tunggu pilihan rayalah. Tengok, PM masih pilih dia lagi atau tidak".

Dari rekod Umno, kalau setakat berjawatan timbalan menteri dan ahli MT, tidak jadi masalah untuk digugurkan dari menjadi calon dalam pilihan raya. Contihnya, Datuk Abd Rahman Bakar (Marang). Dia adalah ahli MT dan Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika digugurkan dari senarai calon BN dalam PRU yang lalu.

Nasib yang sama pernah dialami Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed. Ketika beliau digugurkan dari kerusi Ahli Parlimen Titiwangsa, beliau adalah ahli MT dan Timbalan Menteri Kesihatan.

Ini sekadar dua contoh yang "hero plastik" dalam Umno boleh belajar. Tak usah mendabik dada, "saya ahli MT" setiap kali bercakap kerana dari beberapa sumber yang layak dipercayai, ramai juga ahli MT yang tidak bercakap sepatah pun dalam mesyuarat bulanan MT yang dipengerusikan Presiden parti.

Hari ini, apabila mahasiswa bangkit, mereka sebenarnya mahu keluar dari bawah tempurung yang dikenakan oleh pihak universiti. Pihak universiti pula meletakkan tempurung kerana mahu menjaga hati pimpinan parti tertentu supaya jawatan yang mereka sandang di universiti, terus kekal.

Tidak hairanlah kalau ada Naib Cencelor (VC) Universiti (IPTA) sekarang, sudah pernah dikaitkan dengan dakwaan rasuah. Tetapi disebabkan ada kepentingan politik parti pemerintah, si anu ini boleh dilantik menjadi VC. Apakah tidak malang nasib universiti dan apakah kesannya kepada mahasiswa?

Memang ada beberapa orang pemimpin pelajar di universiti, siang dan malam berada di pejabat-pejabat menteri. Mereka diberi habuan dan dibantu dalam menganjurkan program. Tidak hairan mereka ini akan rajin muncul di dada-dada akhbar membuat kenyataan menentang kebangkitan mahasiswa yang tidak pro kerajaan.

Apabila mahasiswa bangkit menggugat, tentulah ada yang rasa tergigit. Antara gugat dan gigit ini, Umno dan BNlah yang paling terasa peritnya. Banyak perkara yang mereka mahu disembunyikan, terdedah. Ini cukup merunsingkan.

Lebih menarik, dulu kerajaan tidak mempunyai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pengajian Tinggi ini hanya satu jabatan sahaja di bawah Kementerian Pelajaran. Kini, KPT sudah mempunyai Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan KSU sendiri.

Malahan, ada beberapa orang Ketua Pengarah. Namun, kehadiran mereka di situ tidak mampu membendung kebangkitan pelajar-pelajar. Kenapa ya? Ada rasa kekaguman yang amat tinggi bila mendengar seorang mahasiswa yang dikenakan tindakan digantung tiga semester kerana tindakan menurunkan "bunting" foto Presiden Umno di luar Pejabat Umno.

Katanya, dia tidak akan merayu kerana dia tidak pernah menghormati mereka (yang bertindak mengantungnya) itu. Malahan, dengan berani dan tegas, mahasiswa tahun tiga UPSI ini berkata, lebih baik pihak universiti memecatnya daripada menggantungnya.

Bukan ramai manusia (termasuk mahasiswa) yang mempunyai cukup keberanian seperti ini. Tentulah ada sesuatu yang terbuku di hatinya hingga dia bertindak begitu ke depan! Namun, biasalah, mana ada orang yang berani menyokong keberanian yang jarang-jarang berlaku seperti ini dalam zaman ini?

Akan datang nasihat, mungkin dari angin-angin sepoi-sepoi bahasa, "wahai para mahasiswa, belajarlah. Ibu bapa menghantar anda ke universiti kerana mahu anda menjadi pelajar yang berjaya dan cemerlang". Walaupun kita tahu suara itu datang dari mana, tetapi kerana suara-suara itulah akhirnya universiti di Malaysia melahirkan semakin ramai lelaki yang lembut perwatakannya dan tidak ada semangat untuk melawan.

Kata seorang usahawan berjaya, tidak guna ada kepandaian jika tidak ada keberanian dan tidak ada gunanya kekuatan jika kita penakut. Kebangkitan mahasiswa ini adalah satu lambang keberanian! Cuma apakah kita mahu menerima keberanian ini atau kita semua menganggap keberanian akan menyebabkan penyelewengan yang dilakukan terdedah.

Tiada ulasan: