KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 21, 2012

Siswa Bangkit: Apakah "minatangnya" Auku 1971 yang ditentang gila-gila oleh mahasiswa sekarang?

SISWA MENGGUGAT


Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku 1971) digubal Kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh Raja pada 27 April 1971. Merupakan akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya. 

Akta ini dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995. Auku bertujuan memberikan penubuhan, pengawalan, dan pentadbiran Universiti dan Kolej Universiti dan apa-apa jua perihal yang bersangkutan dengannya.

Banyak peruntukan di dalamnya, terutamanya seksyen-seksyen baru yang dimasukkan selepas pindaan pada tahun 1975 yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Akta Pindaan A295, seperti Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang.

Matlamat utama terhadap pindaan yang dibawa dalam tahun 1975 tersebut yang kekal sehingga kini ialah menghalang: penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan penggabungan di antara badan-badan pelajar.

Merujuk kepada Auku sendiri dan juga Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti, kuasa Jawatankuasa Tatatertib yang dianggotai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) ini adalah amat luas dengan meliputi kuasa menyiasat, menjalankan pendakwaan, mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut, dan membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman sekiranya pelajar yang dipertuduh itu didapati bersalah.

Tidak ada jaminan pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut akan mendapat perbicaraan yang adil oleh kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri dari orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang. 

Tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam Auku mahupun di dalam Kaedah Tatatertib Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut.

Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang turut di dakwa atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh seorang peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000. 

Diskriminasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Auku sepatutnya dipinda bagi memasukkan peruntukkan yang membenarkan seseorang pelajar diwakili oleh peguam pilihannya sendiri jika dia dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti.

Seksyen 15D pula menjadi ancaman utama kepada pelajar, terutamanya kepada pelajar yang sedang dipertuduh di bawah sebarang kesalahan jenayah diluar, di mana pelajar terbabit hendaklah digantung pengajian hinggalah kesnya selesai. Peruntukan ini jelas berlawanan dengan prinsip "a man is innocent until proven guilty" kerana pelajar terbabit telahpun "dihukum" sedangkan kesalahannya belum dibuktikan lagi. 

Jika didapati bersalah pelajar terbabit secara automatik akan dipecat dan sekiranya didapati tidak bersalah, akan diterima kembali untuk menyambung pengajian. Tetapi kita semua maklum bahawa sesuatu kes di mahkamah akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. 

Berdasarkan kepada Kaedah Tatertib Pelajar-Pelajar, mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas sesuatu kesalahan boleh dikenakan mana-mana satu atau gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai yang berikut, iaitu: amaran; denda dilarang daripada mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian tertentu Universiti bagi tempoh yang ditetapkan; digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi tempoh yang ditetapkan dan dipecat dari universiti.

Apa yang menjadi masalah, peruntukan ini adalah umum dan ia tidak menentukan urutan hukuman yang mesti diikuti. Bentuk hukuman yang hendak dijatuhkan adalah berdasarkan kepada budibicara Jawatankuasa Tatatertib tanpa dipandu oleh apa-apa peraturan tertentu. 

Oleh sebab itu soal kesetimpalan (proportionality) juga boleh dipertikaikan di mana dalam beberapa kes, terdapat pelajar yang terus dikenakan hukuman dipecat dari universiti meskipun didapati bersalah melakukan kesalahan kali pertama dan kesalahan tersebut bukanlah kesalahan yang besar seperti jenayah rompak ataupun rogol.

Tiada ulasan: