KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, September 26, 2007

Kali Ini Shahrizat Mahu Bekas Pesalah Seksual Dihukum Pakai Cip dan Gelang Khas Pula!

Agaknya Rafidah membisikan sesuatu agar Shahrizat membuka al-Quran di hadapannya itu untuk mengatasi isu jenayah seksual kanak-kanak. Betul ke? Rafidahpun 2 X 5, walhal al-Quran itulah yang dicari Pak Lah dalam puisinya...


Nurin Jazlin Jasimin telah membuka mata Shahrizat bahawa Malaysia tidak aman untuk kanak-kanak. Masih ramai yang hilang dan belum ditemui...

Inilah contoh terbaik betapa mesra dan eratnya tangan Pak Lah membelai bahu pelakon Cina tersohor itu. Ia sebahagian Islam Hadhari yang dicanangkan dan kesan buruknya terpaksa dihadapi oleh rakyat seperti Nurin...


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

“SHAHRIZAT buat hal lagi,” kata seorang teman yang menefon saya dari Johor Bharu. Dia bekas student Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaysia. Mengaji bersama-sama saya dulu.

“Anta baca paper hari ini. Orang yang pernah kena penjara sebab lakukan seks dengan kanak-kanak akan diwajibkan pakai cip dan gelang khas,” celah dia lagi. Ini menimbulkan minat saya untuk mengetahui respon beliau.

“Shahrizat memang camtu. Bila ada insiden yang melibatkan kementerian dia, cepat-cepat dia bentangkan idea gila-gila. Dia ingat syornya itu baik sangat,” tambahnya lagi.

“Tapi, sepanjang ingatan akulah, Shahrizat ni tak pernah cadangkan idea-idea dari pandangan Islam bila berlaku apa-apa musibah. Dulu, dia pernah cadang pakai cawat besi kepada wanita elakkan dari jenayah rogol…” Kawan saya itu terus berleter.

Saya sudah membaca laporan akhbar yang dimaksudkan oleh kawan saya itu. Disiarkan pada muka depan dalam Berita Harian pada 21 September 2007. Tajuknya “Bekas pesalah seksual kena pakai gelang khas” memang menarik perhatian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil berkata individu yang pernah dipenjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, akan diwajibkan memakai cip dan gelang khas selepas dibebaskan. Ia bertujuan bagi membolehkan polis mengawasi gerakan bekas banduan itu.

Kata Shahrizat lagi, sistem pengesan pelaku jenayah seksual itu adalah elemen jaringan bersepadu yang akan diperkenalkan oleh kementeriannya dengan kerjasama polis.

Apapun yang diperkatakan, bunyinya cukup indah. Mengawasi orang yang telah bebas dari penjara atas kesalahan seksual. Dari satu sudut ia kelihatan baik tetapi mengapa orang yang telah bebas dari penjara masih dipantau secara ketat.

Tanpa cip dan gelang khas, mungkin pantauan biasa tidak dilihat keterlaluan dan melampau. Apabila dikenakan cip dan gelang khas, ia bukan sahaja memalukan bekas-bekas banduan ini tetapi tanpa disedari “kebebasan” yang diraih setelah menjalani hukuman penjara tidak bermakna langsung kerana kehidupannya masih dipantau oleh polis.

Bukankah pantauan, dikenakan cip dan gelang khas itu juga suatu hukuman bukan penjara? Tetapi pantauan adalah penjara bentuk baru tanpa gerigi besi. Maknanya mereka tidak mengecapi kebebasan selepas keluar penjara.

Adakah ini erti “kebebasan” seorang banduan. Soal dia akan melakukan jenayah lain, itu soal nombor dua, kerana ia belum berlaku. Mengenakan cip dan gelang khas itu tentu sekali memalukan bekas banduan tersebut dan menjatuhkan maruah kaum keluarga mereka.

Bagi banduan yang ada anak isteri, ibubapa, sudah tentu hukuman tanbahan di luar keputusan mahkamah ini tidak adil. Memalukan anak-anak. Menjatuhkan maruah isteri dan ibubapa mereka.

Pada hemat saya, sanggahan ini tidak bermakna saya membela bekas banduan itu. Tetapi melihat bagaimana kebebasannya sebagai manusia dicabut atas nama pertaturan dan undang-undang ciptaan manusia juga.

Cuba bayangkan, maklumat bekas-bekas banduan terbabit turut disiarkan dalam internet. Orang ramai serta pihak berkuasa boleh merujuk laman web berkenaan jika berlaku sebarang kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Maksudnya, bila terjadi kes melibatkan kanak-kanak, maka hit orang ramai untuk melihat dan menelah, meneka dan menuduh kepada si polan-si polan dalam web tersebut, tentu sekali mendadak meningkat. Ini fenomena kurang sihat yang patut dihindarkan.

Pelbagai andaian (bersangka buruk) dengan mudah akan dilakukan oleh orang ramai terhadap mereka. Ia sama seperti orang berjumpa bomoh untuk mendapatkan jawapan kepada angkara yang telah berlaku. Tuduhan, sangka buruk dan telahan, menjadi mainan semata-mata.

Tetapi, dalam isu ini, kerajaan sendiri yang membina tembok agar orang ramai menuduh yang bukan-bukan terhadap mereka, apabila terpapar wajah dan biodata barangkali pada laman web terbabit.

Sekalipun Shahrizat kata jaringan keselamatan bersepadu itu terkandung dalam Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) yang akan digubal dalam tempoh terdekat, namun ia tidak mempunyai apa-apa erti sebenarnya. Ini kerana ia jelas tidak mendatangkan “ketakutan” kepada bekas banduan untuk mengulangi kesalahan dan jenayah yang sama.

Sebenarnya, pada hemat saya, penggunaan cip dan gelang khas hanya untuk memudahkan polis mengawal atau menjejaki suspek jika berlaku sebarang jenayah. Bunyinya bagus tetapi ia telah menarik hak kebebasan rakyat sesebuah negara untuk hidup secara aman.

Mengapa pihak polis tidak jejak dengan cara lain, yang tidak mencabut hak kebebasan manusia?

Paling teruk, kenyataan Shahrizat berbunyi: “Kita tidak mahu apabila keluar penjara, dia bebas ke mana-mana dan melakukan jenayah lagi. Ini untuk menjamin keselamatan kanak-kanak. Kita tidak mahu ada lagi kes seperti yang berlaku pada Nurin.”

Mengapa Shahrizat tidak mahu “membebaskan” bekas-bekas banduan ini? Sedangkan dari segi undang-undang, mereka telah bebas dari penjara. Mengapa Shahrizat mahu “memenjarakan” mereka dalam kampong yang luas, tidak mahu mereka ke mana-mana? Ini suatu persoalan hak asasi manusia dan warga negara Malaysia, yang patut dipersoalkan.

Betul! Untuk menjamin keselamatan kanak-kanak. Tetapi adakah kanak-kanak hanya diperlakukan begitu hanya oleh bekas-bekas banduan ini sahaja? Bukan orang-orang sekeliling mereka yang tidak pernah melakukan jenayah.

Berapa ramai, bekas banduan ini terlibat dalam jenayah yang kita bincangkan ini? Dan berapa ramai jenayah itu dilakukan oleh mereka yang tidak pernah masuk penjara?

Dan suatu persoalan besar mendahului siasatan ialah apakah kes Nurin Jazlin dilakukan oleh bekas banduan seksual seperti yang dimaksudkan Shahrizat? Seolah-olah telah jelas, yang melakukan jenayah terhadap Nurin (http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/takziah-untuk-keluarga-nurin-jazlin.html) ialah bekas banduan jenayah seksual. Sedangkan, polis masih teraba-raba menjejaki penjenayah terbabit.

Pada hemat saya, Shahrizat patut kembali kepada ajaran Islam hakiki dalam menangani isu ini. Ia adalah isu jenayah. Kenapa Shahrizat tidak pernah membongkar kitab suci yang dikhabarkan oleh Imam Islam Hadhari? Mengapa tidak diselak ilmu Al-Ghazali?

Bukan sahaja, Shahrizat ketemu hukum dan hakam, cara dan pendekatan untuk mengatasi jenayah itu, tetapi Shahrizat juga akan dipertemukan hingga hukum dan hakam memakai pewarna rambut yang boleh di bawa sembahyang ataupun tidak.

Sekalipun saranan Shahrizat berbunyi indah dan baik, jaringan keselamatan bersepadu yang terkandung dalam CPP, namun ia tidak lebih dari kerja-kerja yang sia-sia, tidak upaya untuk membendung gejala dan jenayah ini dari terus membarah.

Pada hemat saya, penggubalan aturan ini tidak menghapuskan jenayah tersebut sebaliknya menebalkan dendam kesumat mereka terhadap Shahrizat dan kerajaan

Ini kerana, akar umbinya tidak dicegah dan dimusnahkan. Apakah akar umbi itu? Shahrizat bolehlah bertanyakan Majlis Fatwa atau berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kalau tak faham juga, tanyalah Institusi Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

Barangkali, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan boleh memberi tazkirah kepada Shahrizat berkenaan penggunaan cip dan gelang khas, erti kebebasan dan rasa hormat kepada bekas banduan, yakni hormat sesama manusia.

Jangan kerana setitik nila, maka semua banduan tadi dicip dan digelangkhaskan. Berapa ramai banduan yang teranaiya, banduan yang insaf, banduan yang mahu kembali ke pangkal jalan. Terbantut taubat mereka, jika cip dan gelang khas ini terus menjadi hantu dan syaitan yang berlegar dalam diri mereka.

Bagi saya, pandangan serong dan sinis Shahrizat ini hanya menyimbah minyak ke api sahaja. Ini bukan kerja kerajaan yang bertanggungjawab. Juga bukan kerja seorang menteri yang prihatin dengan nilai dan norma masyarakat.

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Tiada ulasan: