KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, September 10, 2007

RESPON 2: Sokong Komentar Tarmizi Mohd Jam

Assalammualikum. Wbr. Wbk!

Saya terpanggil untuk berkongsi idea dengan para pembaca laman web ini. Hati kecil saya “tersentuh” untuk mengetuk keybord komputer dan melakar-lakarkan beberapa pengalaman dalam Pas yang tidak sepatutnya berlaku, terjadi. Tulisan Tarmizi dan Tok Misai membuka bahasan saya.

Pertama sekali, saya ucapkan tahniah kepada Tarmizi kerana membuka demensi baru setelah Pas bermuktamar untuk kali ke 48 tahun. Dalam muktamar itu, kebangkitan golongan muslimat dengan “suara yang keras” dan usul yang “panas” adalah bukti, Pas pastinya akan menghadapi “kritikan” dari dalam, apabila tiba masanya.

Seperti Pas membuat reformasi dalamannya, menjatuhkan Presiden parti itu, Datuk Asri Muda, dan kemudiannya menggantikan Allahyarham Yusuf Rawa, seorang ulama yang disegani. Dari sikap “berani” ahli-ahli parti “mengkritik” dan membuat “reformasi dalaman” pada waktu itu, maka muncullah “Kepimpinan Ulama” yang menjadi teras perkembangan Pas hingga ke hari ini.

Untuk menjadi parti yang “telus”, Pas perlu sentiasa bermuhasabah. Menuding jari ke dalam diri. Melihat jati diri sendiri dan meneruskan perjuangan dalam keadaan sihat walafiat. Ketelusan dalam jamaah amat penting supaya Pas terus dilihat baik dan ternampak baik. Jika ada, gejala kurang sihat menyelinap masuk ke dalam parti, ia perlu dibanteras habis-habisan. Pas tetap Pas. Pemimpin silih berganti.

Pas tidak seperti Umno jika tidak melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh Umno. Maksud yang lebih tepat, gejala kurang baik yang dilangsungkan oleh puak-puak Umno, jangan sesekali ditiru oleh Pas seperti yang disebut oleh Tarmizi dalam tulisannya.

Kalau Umno buat kerja baik, Pas juga buat kerja baik, orang ramai tidak akan kata, “Pas tiru Umno” tetapi, jika apa yang ditiru itu, saka yang tidak baik dari Umno, maka ahli-ahli dan orang ramai akan beratib “Pas Sudah Serupa Umno”.

Kesimpulan dari tulisan Marhain Tua dan WM Web Antu lebih menumpukan kepada “menyekat” pandangan kritis yang sedemikian rupa dari merebak atau menjadi “pengetahuan” umum oleh para parti lawan.

Mahu tidak mahu, apapun yang akan terjadi, seorang penulis lazimnya bersifat “lilin membakar diri” seperti perjuangan menegakkan “reformasi” dulu, kini dan selamanya, adalah serupa.

Semua pejuang “reformasi” untuk menuntut kemerdekaan, menghalau penjajah dan mengisi kemerdekaan, mengalami “nasib malang” yang sama. Tetapi, hakikatnya, mereka mendahului keperluan itu sekalipun bakal menerima “hentaman” dan “tikaman” bertubi-tubi.

Pas pada alat baru ini, patutnya lebih terbuka dan anjal dalam menerima teguran dan saranan untuk kebaikan parti. Saya tidak bermaksud, tulisan WM Web Antu dan Marhain Tua sebagai mewakili Pas tetapi, ahli-ahli Pas tidak sepatutnya terasa, marah, melatah ataupun muak dengan kritikan yang dihadapkan kepada partinya ataupun kepada pemimpinnya.

Tok Misai ketika memberi komen, telah menyimpulkan bahawa ahli-ahli ataupun para pemimpin Pas bukanlah maksum, yang terlepas dari dosa. Sebagai manusia, kita terikat sebagai sifat manusia yang berdosa dan melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tidak bererti, menjadi ahli Pas kita terlepas dari semuanya ini. Anggapan kononnya Tarmizi menulis dengan menyimbah minyak kepada api, rasanya tidak tepat. Ini lebih merupakan tembok untuk menyembunyikan diri dari hal sebenar yang berlaku.

Acapkali, di mana-manapun, ahli-ahli atupun pemimpin Pas menggunakan istilah “rahsia jamaah” tidak boleh dihamburkan keluar. Kelak musuh tahu.

Maka, apabila wujud sindrom ini, bermaharajalelalah “pelbagai cerita dan berita” yang sukar ditepis dalam parti. Yang berlaku, hanya yang kukuh pengaruhnya akan kekal dan yang lemah pendindingnya akan kecundang.

Lazimnya, yang kukuh ialah “ustaz-ustaz” dan yang kecundang terdiri dari kaum secular ynag berada dalam parti. Imuniti “ustaz-ustaz” ini lebih kebal, kerana tiada siapa berani menegur mereka kerana mereka adalah “ustaz” atau “tuan-tuan guru”. Akibatnya, ketidak telusan itu, menjadi khabar angin yang tidak pasti.

Apabila budaya menegur diutamakan, maka si penegur seringkali dihakimi terlebih dahulu. Fitnahpun dihampurkan kepada si penegur dengan pelbagai lebel; orang sekular, SB, tak ada tarbiyyah, tak ikut usrah dan sebagainya.

Apabila mereka ada tarbiyyah dan kumpulan usrah sendiri pula, tuduhan lain dihadapkan; tak taat pada pimpinan, tak ada siqah, membocorkan masalah dalaman pada musuh, tak sepatutnya buat begitu dan sebagainya.

“Sungutan” ini berterusan dari hri ke hari. Apabila ditegur dalam surat atau sekarang emeil dan laman web, juga dituduh “teguran” itu tidak bertempat. Pernah di Kuala Lumpur, beberapa masalah timbul. Teguran dibuat melalui surat. Didiamkan sahaja. Teguran di buat melalui fax. Didiamkan sahaja.

Kemudian perwakilan membawanya ke Muktamar, ia dijawab untuk melepaskan batuk ditangga. “Patutnya, buat surat atau jumpa sendiri, bukan sebut dalam muktamar. Press ramai. Orang luarpun ramai” – itulah kenyataan yang sering didengar.

Bukanlah untuk kita menggalakkan para penulis lain “membocorkan” secara detail masalah dalaman yang menyelubungi Pas. Tetapi, tulisan Tarmizi itu, cukup berhati-hati dan tidak menyebut YB mana? Exco mana? Kawasan mana? Ataupun mencatatkan nama si polan bin si polan…

Secara umumnya, ia boleh dibuat iktibar. Pas sudah sampai masanya menerima teguran dengan hati yang terbuka. Alaf baru tentunya lebih mencabar. Hanya Tarmizi yang berani menegur Pas dengan namanya sendiri, sedangkan yang mengkritiknya menggunakan nama palsu.

Ini sudah mencerminkan keikhlasan beliau untuk meminta Pas tidak serupa Umno, pada kaca mata orang kampung ayng melihatnya. Ia juga mencerminkan “keinginannya” melihat Pas menjadi parti yang lebih telus dalam menggunakan sebarang kemudahan kerajaan dan lebih telus dalam mengendalikan sebarang masalah dalaman yang melanda parti.

Ustaz Abdul Hadi sering dan acapkali mempertegaskan kepada ahli-ahli Pas. Bahawa perjuangan Pas ialah untuk “meruntuhkan” jahiliyyah dan menegakkan Islam diatas keruntuhan jahiliyyah itu.

Ini membawa makna, setelah kita menumbangkan Umno dan BN di Kelantan dan Terengganu, maka Islam menjadi agenda penting untuk dilaksanakan bukan sahaja diperingkat negeri, malah meliputi keluarga dan diri sendiri.

Ustaz-Ustaz dan Tuan Guru-Tuan Guru Pas juga sering mengambil kisah iktibar sebagai teladan dalam ceramah-ceramah mereka atau usrah-usrah yang dikendalikan, mengaitkan kisah Syadina Umar Abdul Aziz yang “terpaksa” memadankan api lilin milik kerajaannya, apabila datang seorang sahabat ke pejabatnya.

Lalu Umar bertanya, “kamu datang ni atas urusana negara atau peribadi…?”. Umar memadankan api lilin itu kerana sahabat berkenaan datang untuk tujuan peribadi yang tidak ada kena mengena dengan negara.

Saya tidak tahu, kalau ada versi baru cerita ini. Kerana “politik” seringkali memiliki seribu satu jenis “maslahat”. Ada sahaja “cara” mengelak dan menghelah. Dulu, sebelum kerjasama Pas dalam APU (Semangat 46), hampir muktamad seolah-olah msulimat tidak boleh bertanding dalam pilihanraya.

Kemudian muncul pula, Semangat 46, Pas berfikir ianya boleh sebab yang bertanding itu Semangat 46. Dan sekarang, permohonan Dewan Muslimat Pas sendiri, meminta Majlis Syura dan Dewan Ulamanya membuat keputusan, sama ada mulsimat boleh bertanding atau tidak.

Isunya sekarang, “ketelusan” dari Pas amat diperlukan. Ahli-ahli dan para pendokong parti mesti sabar dan berlapang dada menerima teguran atau menerima berita tidak elok yang dilakukan oleh pimpinan dan kerajaan. “Baik-Buruk” Pas sebenarnya tidak ada pada Pas, tetapi ada pada orang yang melihat Pas itu sendiri!

Fathi Baihaqitullah
Bukit Damansara,
Kuala Lumpur 16 Jun 2000