KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 19, 2008

PAS Bukan "Sleeping Partner" Tetapi Rakan Kongsi Yang Aktif

By ROSLAN SHAHIR

PAS menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 8 Mac, 2008 lalu dalam keadaan memiliki kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Barisan Alternatif. Disamping itu ia juga memiliki persefahaman politik dengan DAP khasnya dalam mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

PRU ke 12 telah menunjukkan semangat tolak-ansur dan diplomasi politik PAS ditahap yang sangat matang dan membanggakan. Dengan takdir Allah SWT, PAS dan rakan-rakan dikurniakan kemenangan bukan hanya berjaya mempertahankan Kelantan yang merupakan kubu PAS sejak tahun 1990 malah berjaya juga menguasai negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Hasil dari kemenangan luar biasa inilah maka disepakati pula dan ditubuhkan Pakatan Rakyat iaitu gabungan kerjasama politik antara parti-parti PAS, DAP dan PKR untuk mentadbir dan menguruskan keempat-empat negeri baru ini bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

Bagi PAS sendiri bertapak sebagai kerajaan khasnya di Kedah, Perak dan Selangor walaupun atas nama gabungan ini, merupakan suatu saat yang sangat bersejarah dan bermakna kerana PAS telah bertempur dan berkorban sejak awal tahun 50an lagi di negeri-negeri berkenaan. Sudah tentulah pengorbanan, air mata dan doa mereka yang terdahulu menyumbang ke arah kejayaan ini, dan ianya jangan sekali-kali dilupakan oleh seluruh ahli parti.

PAS kini bukan lagi pembangkang di negeri-negeri baru ini, tetapi PAS sudah menjadi sebahagian dari kerajaan. Di Kedah dan Perak contohnya, PAS memegang jawatan Ketua Eksekutif negeri iaitu Menteri Besar manakala di Selangor tiga orang pemimpin kanan PAS memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

Oleh itu pendekatan PAS di negeri-negeri ini perlulah melalui transformasi, bukan lagi sebagai pembangkang seperti dahulu tetapi kini sebagai kerajaan dan pemerintah. Usaha dan tindakan PAS selama menjadi pembangkang sebelum ini kini perlu diterjemahkan kepada perlaksanaan dan gerakerja.

Kerana itu diperingkat ini, dengan kemenangan yang diberikan Allah SWT, PAS perlu mengembelingkan tenaga dalamannya untuk memperteguhkan kedudukan disamping memantapkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat ini.

Usaha-usaha menambahkan keahlian dan cawangan-cawangan perlu menjadi keutamaan dan dipertingkatkan berlipat kali ganda lagi agar parti menjadi semakin mantap dan menyeluruh pengaruhnya dan terus boleh menyumbangkan ke arah penguasaan yang lebih besar selepas ini.

Selain itu PAS perlu menyumbang secara efektif di dalam negeri-negeri yang diwakilinya agar mesej perjuangan PAS tidak luput atau dikompromi dengan kemenangan sementara yang dikurniakan Allah SWT ini.

PAS bukan "sleeping partner" tetapi PAS adalah rakan kongsi yang aktif dan berperanan. Wakil-wakil PAS di dalam kerajaan dari Menteri-menteri Besar ke ahli-ahli Exco, ADUN-ADUN, ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung dan JKKK jangan lupa akan tanggungjawab dakwah mereka dan syarat serta batasan ikatan tahaluf siyasi yang ditarbiyahkan oleh jamaah.

Prinsip perjuangan yang dipertahankan dengan darah dan air mata oleh para pejuang PAS sejak awal penubuhannya, terus-menerus sehingga kini, wajarlah terus menjadi matlamat perjuangan kita dan sentiasa dipertahankan. Di sinilah semua pihak dituntut agar bijaksana dan berhemah dalam memimpin dan memegang amanah agar kerajaan ini dapat terus kekal dan dalam waktu yang sama matlamat perjuangan parti sentiasa terpelihara.

Dari situlah nanti kita akan dapat menambat hati dan minat rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam dan yang bukan Islam agar memandang tinggi dan menghormati kita sehingga terdorong untuk menyokong kita di masa-masa yang akan datang.

PAS ditubuhkan sebagai sebuah parti Islam dengan dasar dan matlamat yang jelas dan ia akan terus kekal demikian jika pemimpin dan ahli-ahlinya istiqomah dalam perjuangannya.

Kini PAS dikurniakan Allah SWT peningkatan dengan kejayaan di negeri-negeri yang dimaksudkan, disamping harapan positif di negeri-negeri lain termasuklah Terengganu, Pahang, Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Lantas melalui Pakatan Rakyat, PAS perlu bebas terus memacu mesejnya, dengan menyumbang secara positif ke arah pentadbiran yang telus, bersih dan bertaqwa di negeri-negeri baru ini, semoga nanti yang telah ada terus dikuasai manakala yang baru pula jatuh satu-persatu ke dalam genggamannya.

Dipetik dari ISU KHAS HARAKAH (18 Jun 2008)

Tiada ulasan: