KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Dr Halimah sifatkan "gagal tadbir Selangor" hanya tuduhan Umno

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal mentadbir selepas timbul kekecohan sejak akhir-akhir ini.

Beliau mendakwa segala kekecohan tersebut merupakan perancangan Umno bagi menunjukkan kononnya Pakatan Rakyat tidak mampu menguruskan negeri yang kaya dengan hasil itu.

"Kekecohan tersebut adalah perancangan pihak Umno-BN yang sengaja direka-reka dengan tujuan untuk menggugat kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakah.

Kerajaan negeri Selangor sejak berubah tampuk pentadbiran ujarnya telah melaksanakan pelbagai program menerusi misi merakyatkan ekonomi bagi mengubah nasib rakyat negeri itu.

Walau bagaimana pun kata Dr Halimah, pelbagai agenda dirangka Umno bagi menutup segala kebaikan yang dibuat Pakatan Rakyat.

"Mereka sengaja membuat isu-isu untuk menimbulkan keadaan yang tidak stabil bagi menggambarkan kegagalan kita.

"Ini semua didalangi Umno-BN sehingga ia dilihat seperti sebuah drama tetapi saya yakin rakyat Selangor bijak menilai kebenaran," ujarnya yang juga AJK Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre, majoriti rakyat Selangor gembira dengan pentadbiran Pakatan Rakyat. Dalam kajian yang dijalankan antara 5 dan 15 Jun baru-baru ini menunjukkan 60 peratus daripada rakyat Selangor merasakan kerajaan negeri kini menuju ke arah yang betul dalam membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.

Kira-kira 63 peratus melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim manakala 19 peratus merasakan sebaliknya.

Sementara itu, 64 peratus rakyat Selangor berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selepas memenangi pilihan raya Umum ke-12 Mac 2008 lalu , manakala 22 peratus tidak berpuas hati.

Jika dapatan kajian tersebut dihuraikan dalam bentuk pecahan kaum, menunjukkan 59 peratus rakyat berbangsa Melayu, 69 peratus bangsa Cina dan 69 peratus penduduk kaum India menyatakan rasa puas hati tersebut.

Manakala berdasarkan maklum balas responden, faktor yang didapati menyumbang kepada keputusan itu termasuklah program kebajikan yang dijalankan, pentadbiran yang telus dan berkesan serta terhakisnya amalan korupsi.

Tiada ulasan: