KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Isu Kuil Seksyen 23: Ia dilulus dalam mesyuarat MTES - Exco

MUQADIMAH: Ikuti penjelasan ringkas Dr. Xavier Jayakumar, EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor berhubung isu pembinaan kuil.

Apakah hasrat sebenar disebalik pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23?

Kita mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Seksyen 19 dan Jawatankuasa Kuil berkenaan. Kedua-dua pihak ingin satu penyelesaian yang wajar bagi pihak masing-masing.
Penduduk Seksyen 19 berhak untuk mendapat apa yang dijanjikan selama ini kerana kedudukan kuil tersebut terlalu dekat rumah dan tiada infra yang sesuai untuk kuil tersebut. Bila ada upacara keagamaan, habis sesak di kawasan itu.
Begitu juga pihak kuil. Mereka berhak mendapat tempat yang berdekatan. Kuil tersebut dah lama wujud, sebelum wujudnya Shah Alam sendiri. Ianya memenuhi keperluan masyarakat India beragama Hindu dari Seksyen 19, 20, 23 dan yang lain-lain Seksyen yang berhampiran.
Kerajaan Pakatan Rakyat ingin memenuhi hak kedua-dua pihak. Hakikatnya Shah Alam telah tepu disebabkan pembangunan. Tiada banyak pilihan kerana semua kawasan telah didirikan rumah dan sebagainya. Kawasan Industri Seksyen 23 dianggap yang terbaik. Jarak tapak cadangan jauh dari rumah, bukan macam di Seksyen 19.

Adakah tapak cadangan diluluskan oleh YB tanpa merujuk kepada Mesyuarat Exco?

Tidak. Sebenarnya PKNS diminta untuk mencari tapak ganti. Ini adalah kerana kuil Seksyen 19 terletak di atas tanah PKNS. Sepatutnya PKNS menangani masalah ini 26 tahun dahulu tetapi pemimpin pada masa itu tidak ambil berat persoalan ini. Apabila kuil dipindahkan, PKNS akan membina rumah teres dua tingkat di tanah tersebut.
Tapak cadangan di Seksyen 23 adalah milik PKNS. Kawasan Industri. PKNS cadangkan, MBSA melihat dan menganggap bersesuaian, AJK kuil setuju maka ianya dibawa ke kerajaan negeri. Ianya diluluskan di mesyuarat MTES. Bukan saya seorang. Mesyuarat MTES dihadiri semua exco dan pegawai utama kerajaan Negeri.
Setelah semua dah setuju maka kita akan bawa untuk perbincangan dengan penduduk. Kalau semua pihak tersebut belum setuju, kita nak bincang apa dengan penduduk? Tiada cadangan yang dipersetujui lagi untuk dikemukakan.

Apa harapan dan saranan YB kepada penduduk Seksyen 23?

Harapan saya ialah mereka memahami hasrat kerajaan ia itu untuk memenuhi hak semua pihak, termasuk pihak minoriti. Keadilan menuntut hak minoriti juga dihormati, bukan sejadar hak majoriti. Kalau hanya majoriti sahaja yang berhak maka inilah yang dinamakan ’dictatorship of the majority’.
Saya harap penduduk di Seksyen 23 menilai cadangan ini dengan semangat muhibbah, saling hormat menghormati dan mengakui hak golongan minoriti. Sekiranya cadangan yang dikemukakan tidak sesuai, harap beri alasan dan sebab, jangan menolak atas dasar prejudis dan perkauman.
Kita bersedia untuk menerima apa-apa cadangan yang boleh menjayakan rancangan ini asalkan ianya munasabah.

Tiada ulasan: