KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

PAS tetap meragui undi pos di Bagan Pinang - Presiden PAS

IPOH: PAS tetap meragui undi pos dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa dalam dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau ketika ditemui semasa pertemuan dengan pemimpin PAS Perak di sini.

Berikutan itu, beliau menggesa SPR membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa dalam pilihan raya kecil itu yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu dari Barisan Nasional (BN), Azman Mohd Noor.

Bagan Pinang mempunyai 4,925 pengundi yang mengundi melalui undi pos. Selain menuntut pengundi yang mengundi melalui undi pos itu dibenarkan mengundi seperti pengundi lain, Presiden PAS juga mahu para pengundi pos itu mendapat peluang yang saksama untuk mendengar penjelasan dari semua pihak yang bertanding.

"Kami juga mahukan mereka (pengundi pos ) diberi kebenaran untuk menghadiri kempen politik dan ceramah tanpa dihalang oleh pihak tertentu. "Jika boleh, kami mahu wakil parti politik dibenarkan hadir dan memantau ke atas proses pengundian dan kami mahu undi mereka benar-benar dirahsiakan," kata beliau.

Pengundi pos tidak harus berada di bawah tekanan, diugut atau berasa bimbang dan tertekan apabila mereka membuang undi untuk calon yang benar-benar mereka sokong, katanya. Bagi beliau, sistem undi pos sebelum ini perlu diubah untuk bagi memulihkan kepercayaan terhadap sistem yang begitu diragui itu.

"Saya menggesa Pengerusi SPR yang baru supaya melakukan beberapa perubahan keatas sistem tersebut dan saya bukan bercakap mengenai perbahan kosmetik sahaja," tegas beliau. Beliau juga menyifatkan jumlah pengundi yang mengundi melalui undi pos di Bagan Pinang terlalu tinggi jumlahnya.

"Ini adalah sangat tinggi bilangannya. Pilihanraya yang lalu, BN menang dengan 6,000 lebih undi sementara calon kami mendapat lebih kurang 4,000 undi. "Siapa tahu, jika bukan disebabkan undi pos, jurang mungkin sekitar 1,000? Atau mungkin kurang dari itu?" katanya.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, calon PAS Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi, hampir kesemuanya dipercayai dari 9,267 pengundi yang tidak mengundi melalui undi pos.
Calon BN, Allahyarham Azman memenangi kerusi itu dengan mendapat 6,430 undi dengan majoriti 2,333 undi.

Dengan tuntutan supaya dilakukan perubahan terhadap sistem undi pos itu, Presiden PAS menegaskan PAS akan tetap bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. "Kami akan mengadakan mesyuarat pada Isnin akan datang ini untuk mendengat taklimat oleh PAS Negeri Sembilan. Insya Allah, kami akan bertanding," tegas beliau.

Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Tiada ulasan: