KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Isu Kuil Seksyen 23: Islam larang kecam anutan agama lain


SHAH ALAM: Isu perpindahan Kuil Hindu Seksyen 19 ke Seksyen 23 tiba-tiba menggemparkan seluruh negara tatkala Malaysia menyambut Ramadhan bersekali dengan sambutan hari kemerdekaan ke-52.

Tanggal 28 Ogos, tiga hari sebelum sambutan hari kemerdekaan, Shah Alam sebuah kota elit di Selangor dicemarkan dengan insiden perarakan 'kepala lembu' berdarah oleh sekumpulan 50 orang yang mengaku NGO yang mewakili penduduk Seksyen 23 bagi membantah perpindahan kuil ke kawasan mereka.

Jumaat lepas, sekumpulan NGO Melayu yang mendakwa mewakili penduduk Seksyen 23 Shah Alam berarak dari Masjid Negeri ke Pejabat SUK Selangor yang menempatkan Pejabat MB, dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah.

Sambil mengarak, mereka menyepak-nyepak kepala lembu itu dan memaki serta mengutuk tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk memindah Kuil Hindu di Seksyen 19 ke satu tapak industri di Seksyen 23.

Demonstran menyasarkan kutukan ke atas tiga pemimpin iaitu, Adun Batu Tiga yang juga Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Islam larang kecam anutan agama lain

Mengulas isu itu dari sudut pro dan kontranya, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad menyimpulkan isu ini satu isu yang langsung tidak wajar malah Islam mengecam penghinaan ke atas agama atau anutan lain.

Beliau lebih melihat ada pihak di belakang semua rencana bantahan ini yang menyaksikan semacam provokasi perkauman yang mahu menggusarkan keadaan.

Ia juga katanya, adalah satu bentuk ancaman dan ugutan untuk memusnahkan Kerajaan Selangor yang kini dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

"Sangat tidak wajar tindakan ini dalam usaha pendemokrasian kerana ia lebih berupa tindakan provokasi yang mahu membangkitkan api perkauman seterusnya memusnahkan kesejahteraan yang terbina di Selangor ini," katanya.

Dzulkkifli melahirkan kebimbangan tindakan ini adalah siri rentetan perjuangan parti politik tertentu yang telah tidak diterima majoriti masyarakat pelbagai lapisan hari ini yang mahu menumbangkan kerajaan yang sah yang dipilih rakyat.

"Ini satu tindakan yang tidak waras tambahan lagi kita dalam bulan kemerdekaan," katanya ketika dihubungi.

Ujar beliau lagi, 'trend' mengapikan isu perkauman ini semakin menjadi-jadi malah ia bebas dilaporkan dalam media berbahasa Melayu kuasaan Umno/BN.

Beliau bimbang dengan kaedah ini, tragedi Ops Lalang akan kembali berulang - pihak lain yang mencetus api perkauman, dan pihak lain terutamanya pimpinan NGO dan Pakatan Rakyat akan ditahan.

Mengulas mengenai bantahan kononnya kuil itu hanya untuk kegunaan kaum minoriti, Dr Dzulkifly menyifatkan ia satu pandangan yang salah kerana Islam sendiri melarang umatnya mendiskriminasi kaum minoriti.

"Jika kita kata di sini tak boleh buat rumah ibadah kaum lain kerana ia bersifat minoriti, apa pula perasaan rakan seagama kita yang hidup selaku minoriti di kawasan atau negara lain? Islam sendiri melarang kita menghina atau menidakkan kepercayaan, anutan atau budaya orang minoriti," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut kecewa dengan sikap polis yang enggan bertindak meskipun mereka melihat kejadian itu di hadapan mata mereka.

Polis tidak seharusnya menunggu ada laporan dibuat atau sehingga keadaan menjadi parah, sebaliknya bertindak ketika kejadian berlaku, ujarnya.

Justeru beliau menyimpulkan bahawa Pakatan Rakyat sendiri menolak dan mengecam himpunan bantahan ini selain melihat ia sebagai satu rencana pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan isu perkauman sempit.

MB kesal tindakan demonstran

Sementara itu, Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataannya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan menghina, menghasut dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan penganut agama lain yang diapi-apikan oleh segelintir kumpulan pembantah yang berarak membawa kepala lembu sebagai protes pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23.

Pada ketika rakyat Selangor sedang bersiap-sedia untuk menyambut hari kemerdekaan ke-52, sikap tidak bertolak ansur terhadap agama orang lain yang masih wujud dalam kalangan segelintir warganegara Malaysia itu, sangatlah dikesali.

"Kejadian dan tindakan menghina agama orang lain itu menyebabkan seluruh negara ini dilihat undur kebelakang dalam usaha mewujudkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan adat resam dalam kalangan penduduk pelbagai keturunan. Walhal usaha tersebut, sebenarnya sudah dilakukan sejak kemerdekaan tahun 1957 lagi, demi pembinaan satu negara bangsa yang memperlihatkan persamaan visi dan identiti," kata Abdul Khalid.

Beliau mengharapkan seluruh rakyat supaya bersikap matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pembantah tersebut kerana ia dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.

"Dalam hal ini, walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun kita lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan," katanya.

Abdul Khalid juga mahu polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut para pemimpin kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mengadakan perbincangan terbuka pada Sabtu, 5 September 2009, yang akan dihadiri oleh penduduk sebenar Seksyen 23, pegawai-pegawai MBSA dan pegawai-pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)," katanya.

Perbincangan itu nanti bukan sahaja mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada pihak kerajaan negeri untuk menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula Kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23, katanya.

Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan 50 orang mengadakan demonstrasi membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, dengan mengarak kepala lembu ke bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Kerajaan Selangor 29 Ogos lalu telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan perbincangan terbuka pada 5 September depan antara penduduk sebenar Seksyen 23, Shah Alam, pegawai MBSA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Perbincangan berkenaan bertujuan mendengar luahan pendapat masyarakat setempat selain memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan rasional di sebalik penempatan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Tiada ulasan: