KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 24, 2010

Benarkah slogan 1Msia suatu rahmat? Tapi Najib dan BN masih terkial-kial hadapi Pakatan Rakyat


DUDUK tak duduk penggal pilihan raya ke-12 telah pun memasuki tahun ketiga. Isnin (8 Mac) lalu menandakan genap dua tahun berlalunya tarikh keramat yang kerap dirujuk sebagai ‘tsunami politik’ itu.

Tarikh itu mencatatkan buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara kita, parti pemerintah gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Barisan Nasional (BN) yang dianggotai berbelas parti komponen mengalami kekalahan paling mengaibkan apabila hanya mampu menang di 140 daripada 222 kerusi Parlimen. Manakala baki 82 disapu tiga parti pembangkang, masing-masing 31 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), DAP (28) dan PAS (23).

Kegagalan itu sekaligus menjadikannya pengalaman paling pahit buat BN. Ia bahkan lebih mengejutkan berbanding catatan pilihan raya umum ke-3 pada 1969, apabila buat pertama kali BN (ketika itu bernama Perikatan) disentak oleh kebangkitan mendadak parti-parti pembangkang.

Untuk rekod, pilihan raya 1969 menyaksikan perebutan 144 kerusi, iaitu masing-masing 104 di Semenanjung, 16 di Sabah dan 24 di Sarawak. Meski pun berjaya menyapu bersih kesemua 16 kerusi di Sabah menerusi komponennya, USNO (13) dan SCA (3), maruah Perikatan di seluruh negara, terutama di Semenanjung agak tercalar.

Perikatan Sarawak menang hanya tujuh daripada 24 kerusi. Bakinya dikongsi masing-masing oleh SUPP (5), Parti Pesaka Sarawak (2), SNAP (9) dan Bebas (1). Di Semenanjung pula, Perikatan menang hanya di 67 kerusi. Baki 37 kerusi lagi ditakluki DAP (13), PAS (12), Gerakan (8) dan PPP (4).

Terdapat beberapa persamaan yang dapat diperhatikan antara ‘tragedi 1969’ dan ‘tsunami 2008’ lalu. Pertama, ia keputusan mengejutkan buat parti pemerintah apabila jumlah kerusi yang jatuh ke tangan parti-parti pembangkang di luar dugaan Perikatan/BN. Dalam kedua-dua pilihan raya itu parti pemerintah itu dinafikan majoriti dua pertiga.

Kedua, faktor utama penolakan rakyat terhadap Perikatan/BN dalam kedua-dua pilihan raya itu juga ada persamaan. Paling ketara ialah membabitkan protes undi bukan Melayu terhadap parti komponen pemerintah. Jika dalam kes 1969, undi Cina beralih daripada MCA kepada Gerakan dan DAP (kedua-duanya pembangkang), maka pada 2008 lalu pula undi mereka beralih daripada MCA dan Gerakan kepada DAP dan Keadilan.

Ketiga, dalam kedua-dua pilihan raya itu Sabah kekal sebagai saham utama Perikatan/BN mengekalkan kuasa di peringkat Pusat.

Pun begitu, dua pilihan raya paling buruk buat Perikatan/BN itu juga memiliki perbezaan. Di antara perbezaan paling ketara ialah pada 1969 Perikatan berhadapan banyak parti saingan di pihak pembangkang, sedangkan pada 2008 pihak pembangkang hanya dianggotai tiga parti utama, iaitu PAS, DAP dan Keadilan.

Tidak syak lagi Perikatan cepat belajar daripada ‘tragedi 1969’. Strategi utamanya menyelesaikan kemerosotan kuasanya ialah dengan memaut hampir semua parti lawannya ketika itu untuk duduk bernaung di bawahnya. Hasilnya, daripada kesemua parti yang memenangi kerusi Parlimen pada 1969 tadi, hanya DAP yang kekal di luar gabungan pemerintah apabila BN ditubuhkan pada 1971.

Pembentukan BN berjaya mengembalikan hegemoni kuasa dimiliki Perikatan sebelumnya. Ia berupaya memulihkan kuasa majoriti dua pertiganya di Parlimen sebelum sempat separuh penggal berlalu.

Sejak itu juga BN berjaya mengubah Sarawak daripada gugatan parti-parti pembangkang lebih empat dekad lalu menjadi milik hampir mutlak BN hingga kini. Manakala Pulau Pinang yang jatuh ke tangan Gerakan (sebagai pembangkang) juga kembali sebagai negeri diperintah komponen BN. Sebahagian sokongan undi Cina berjaya dipaut kembali memihak BN.

Namun tidak semua kejayaan pasca 1969 itu memberikan kelegaan dan keselesaan buat BN. Apa yang jelas setelah dua tahun dilanda trauma ‘tsunami 2008’, BN hingga kini masih terkial-kila mencari formula terbaik. Luka parahnya akibat kejutan dua tahun lalu amat sukar diubati. Ramuan penyelesaiannya sukar difikirkan.

Formula bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1969 nampaknya tidak kesemuanya masih revelan untuk dilaksanakan anaknya kini. Apatah lagi jumlah parti lawan ketika itu sangat berbeza berbanding sekarang.

Justeru, jika dulu lebih mudah bagi BN memujuk parti-parti kecil bergabung di bawahnya, taktik serupa hampir mustahil diulangi lagi. PAS sudah tentu telah banyak belajar dari pengalaman menyertai BN. Keadilan pula tentu tidak pelahap atau tersangat tebal muka untuk kembali ke pangkuan BN.

Manakala DAP memang dijangkakan tidak akan mudah terpesona dengan ajakan dan pujukan parti itu. Sebaliknya, pengalaman beberapa parti komponen BN menerima layanan buruk dari Umno selaku parti dominan menyukarkan usaha BN memaut parti lain. Siapa tidak tahu apa sudah jadi dengan SAPP? Apa pula nasib PPP, MIC dan Gerakan selepas kalah teruk pada 2008?

Lebih menyulitkan usaha pemulihan imej dan maruah BN ialah apabila parti-parti komponen utamanya, seperti MCA, MIC dan Gerakan juga berhadapan masalahan dalaman yang serius. Setakat ini belum nampak tanda-tanda sokongan dan undi kaum Cina dan India yang bangkit menolak BN dua tahun lalu akan kembali ke pangkuannya. Entah apa pula taktik BN selepas ini? - Mohd Nasir Awang

Tiada ulasan: