KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 25, 2010

Mugilan lancar Gerakan Anti Samy (GAS) dan nafi Umno beri RM3 juta gerakan kempen

Sejak sehari dua ini, kelihatan Samy sedang dilondehkan media dan Mugilan bersama GASnya bakal menjatuhkan ketua nombor satu MIC itu.

BEKAS Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menafikan mendapat sokongan moral dan bantuan kewangan daripada Umno dalam melancarkan kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) untuk mendesak Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu berundur segera.

“Tidak, tidak, tidak... ini ada inisiatif saya sendiri. Ini bukan program Umno, tidak dibantu oleh Umno,” kata Mugilan sambil mendakwa Samy Vellu dan puaknya membuat dakwaan sedemikian kerana semakin terdesak.

“Mereka (kumpulan penyokong Samy Vellu) mahu memanipulasikan keadaan sebenar dengan tujuan mahu mencetuskan kemarahan di kalangan orang India khususnya ahli MIC,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor dipecat Khamis lalu. Mugilan menambah, inisaitif beliau itu mendapat sokongan masyarakat India dari seluruh negara dan tidak perlu mendapatkan sokongan kaum lain.

“Tarikh 30 Mei adalah hari pengadilan ke atas kepimpinan Samy Vellu,” katanya lagi.

Mugilan menambah, beliau mendapatkan sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan termasuk kira-kira 230 peguam. Ketika mengumumkan kempennya kelmarin, Mugilan mengakui usaha itu mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum yang tidak gembira dengan kepimpinan Samy Vellu termasuk ketika menjadi anggota Kabinet.

Sabtu lalu, Setiausaha Pemuda MIC C. Sivarraajh menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyiasat dakwaan Mugilan bahawa beliau mendapat sokongan kewangan daripada Umno untuk kempen GAS.

“Ketika hendak meraih sokongan, dia (Mugilan) memberitahu ahli-ahli saya bahawa mereka diberikan RM3 juta oleh Umno untuk kempen ini,” kata Sivaraajh. Mugilan juga mengulangi bahawa beliau tidak pernah mengkhianati Barisan sNasional (BN) dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

“Saya tidak pernah mengkhianati ataupun bertentangan dengan kepentingan MIC dan Umno-BN ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor malah saya sentiasa bersama untuk membantu berkempen. Itu cuma Datuk Seri S. Samy Vellu (Presiden MIC) yang cakap tetapi sebenarnya tidak pernah berlaku,” katanya. Beliau berkata Samy Vellu menggunakan kuasa presiden untuk memecatnya dengan alasan yang tidak logik.

“Beliau (Samy Vellu) pecat saya kerana saya beri cadangan supaya beliau berundur daripada MIC, itu sahaja. Tetapi beliau cakap saya desak supaya beliau letak jawatan, beliau macam budak kecil tidak tahu apa yang beliau buat. Saya memang tidak boleh terima kerana dipecat dengan alasan sebegitu,” katanya. Mugilan akan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut pada Isnin depan.

“Saya akan membuat rayuan pada Isnin depan kerana sekarang saya sedang sibuk dengan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS). Lagipun saya mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat persiapan terlebih dahulu,” katanya. - G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra.

Tiada ulasan: