KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 28, 2010

Cita-cita Prof Dr Zulkifli Muhammad mahu bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS kini hampir jadi realiti, tertubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS

BUKAN mudah untuk PAS mengorak langkah bersejarah sebagai sebuah parti Islam menghadapi cabaran getir oleh masyarakat bukan Islam di negara ini. Dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pada 23 Mei lalu, sekali gus meletakkan nama PAS satu-satunya parti politik Islam yang diterima oleh bukan Islam di peringkat antarabangsa.

Pelancaran DHPP yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang itu cukup bermakna buat parti Islam itu dengan kehadiran ahli dari pelbagai kaum antaranya Cina, India dan Orang Asli mencecah hampir 1,500 orang. Majlis yang bermula seawal jam sembilan pagi itu, cukup meriah apabila ramai anggata DHPP dari seluruh Malaysia mendaftar diri dan terus menyarungkan 't-shirt' berwarna putih hijau tertera DHPP.

Lagu Kebangsaan "Negaraku" bergema di dalam dewan itu sebagai pembuka majlis serta diikuti lagu rasmi PAS Berjihadlah yang turut dinyanyikan hampir semua ahli yang bukan Islam. Pelbagai acara menarik diaturkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat sepanjang majlis berlangsung.

Kehadiran Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disambut dengan paluan Conga dan gendang India oleh empat anak muda India menjadikan suasana bertambah meriah. Sebagai gimik pelancaran, Ustaz Abdul Hadi menyentuh sebuah glob bertulis DHPP.

Para pimpinan tertinggi PAS tidak melepaskan peluang bersama-sama menjayakan majlis itu antaranya, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar, Ketua Penerangan, Idris Ahmad, Bendahari, Dr Hatta Mohd Ramli, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh serta EXCOnya, Ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun PAS.

Pimpinan PAs yang lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Hassan Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum, Dr. Mujahid Yusof, timbalannya, Dr. Halimah Ali yang juga pengarah program serta pengerusi dan timbalan pengerusi DHPP, Hu Pang Chaw dan N Balasubramaniam. Suasana di dalam dewan bertambah gamat dengan persembahan citrawarna dan pelbagai budaya dari anak-anak muda Melayu, Cina dan India yang berpadu tenaga bermain alat muzik tradisi masing-masing dengan melodi "Rasa Sayang".

Persembahan unik itu, turut mendapat perhatian ahli DHPP yang sama-sama bertepuk tangan sambil menyanyikan lagu itu. Terdahulu, anak-anak muda Melayu mempersembahkan nasyid, diikuti paluan Conga dan gendang India oleh remaja India dan anak muda kaum Cina pula menghidangkan tarian singa.

Ustaz Abdul Hadi turut menyampaikan watikah kepada setiap wakil DHPP negeri di samping lima orang yang dipilih menerima hadiah Jasamu Dikenang antaranya, Ang Teik Hock, Yaw Con Seng, M Nadarajah, Ong Choi Ee dan Puan Kala. Naib Ketua Pemuda DHPP, Balendran dijemput ke pentas untuk melafazkan ikrar taat setia kepada PAS sambil diikuti oleh setiap ahlinya.

Para hadirin cukup terharu apabila ada ahli DHPP yang paling tua, Sow Ah Bau berusia 84 tahun dari Bagan Serai menyerahkan cenderahati kepada Presiden PAS sebagai tanda sokongan beliau kepada parti itu. Pelancaran DHPP yang cukup bersejarah ini berakhir dengan penyerahan Warkah Time Capsule oleh sekumpulan kanak-kanak yang terdiri daripada Melayu, India dan Cina kepada Ustaz Abdul Hadi.

Warkah yang berwarna biru itu kemudian dimasukkan ke dalam Time Capsule yang akan dikunci sehinggalah dibuka semula pada Mei 2020 sebagai menilai sama ada hasrat PAS terhadap DHPP tercapai atau sebaliknya.

Tiada ulasan: