KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Januari 22, 2008

Mempertaruhkan PILOT MALAYSIA Yang "KUAT TIDUR"!


“Kuat tidur” anak Badawi yang diperkatakan orang, hanya membuktikan dia malas atau suka "ambil ringan" dalam kerja-kerja sehariannya.

By TARMIZI MOHD JAM

PADA 4 Januari lalu, Perdana Menteri (disebut anak Badawi) telah menerima hadiah paling "istimewa", yang belum pernah dihadiahkan oleh sesiapa kepada PM sebelum ini.

Sekreteriat Bertindak Anak Muda Malaysia menghadiahkan anak Badawi dengan sebuah bantal dan bantal peluk berwarna kuning yang kedua-duanya dibaluti dengan hiasan gambar-gambar bendera Malaysia dan menara kembar Petronas.

Signalnya jelas. Mengingatkan anak Badawi betapa keberkesanan pentadbirannya amat membimbangkan masa depan anak-anak muda kini.

Banyak ingatan, teguran, memorandum dihulurkan kepada PM ke 5 ini, tetapi perangainya tetap tidak berubah dan tiada tindakan diambil untuk mengubah dan mengubah...

Kisah benar anak Badawi tertidur sewaktu sambutan merdeka di Sarawak, tahun lalu tidaklah menyenakkan sangat. Orang sakit darah tinggipun, rasanya tidak terenjat dan melumpuhkan sistem sarafnya bila terdengar cerita yang bukan metos itu.

Pada Sidang Apec di Australia juga, anak Badawi dikatakan terlelap ketika bergambar bersama pemimpin-pemimpin dunia yang lain! (Kalau ada gambar; Lihat gambar, Bush menoleh melihat gelagat Pak Lah).

Bagi saya, kisah benar itu mengesahkan lagi dakwaan nakal dan sumbing sesetengah pihak. Ia membuktikan apa yang diperkatakan selama ini. Tidur bukan suatu yang salah. Tetapi, tidur pada program rasmi cukup memual dan meloyakan.

Kalau ditelaah betul-betul, sarat dakwaan nakal dan sumbing ini dimuatkan pada alam maya siber, “kununnya” anak Badawi seorang Perdana Menteri yang "kuat tidur".

“Kuat tidur” bukanlah “kuat” yang boleh didefinasikan sebagai amalan positif dalam hidup seseorang. Makna asal "kuat" memanglah gagah, perkasa, berkuasa, bertenaga dan sasa.

“Kuat tidur” dalam kes anak Badawi ini, bukannya “kuat” mengikut makna di atas atau kuat kerja berbanding orang-orang lain. Juga bukan “kuat” seperti Ultraman, Spiderman atau Badman.

“Kuat” di sini, tidak elok, hodoh, nagetif, haprak dan entah apa-apa lagi istilah yang boleh disangkutkan bagi menggambarkan betapa “kuat tidur” itu suatu yang mesti ditegah, dihambat, dipasung dan ditalqinkan!

“Kuat tidur” hanya membuktikan sesesorang itu malas atau suka "ambil ringan" dalam kerja-kerja sehariannya.

“Kuat tidur” bererti banyak masa dipunggah secara sia-sia sahaja. Tidakkah anak Badawi takut dan gentar, dengan tabiat buruk itu yang membawa makna dia telah “mencuri masa” atau “curi tulang” atau “mengelat” dalam tugasan yang dibayar gaji kepadanya.

Dengan sendirinya gaji dan elaun yang diterimanya boleh dipersoalkan. Takkan anak Badawi mahu dituduh “makan gaji buta”?

Ini lagi sumbang kalau diperkatakan. Realitinya, orang yang “kuat tidur” akan dipersoalkan duuuuit gaji dan elaunnya. Sebab, kerja tak buat, banyak mengayam, mengelat atas jenama “kuat tidur” tadi.

Masa yang diperuntukkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia cukup adil dan seimbang. 24 jam sehari semalam! Sepatutnya, ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan dan kebajikan.

Anak Badawi mesti menjalankan tugas dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bukannya cemerlang atau gemilang dalam amalan dan tabiat “kuat tidur”. Jika ini berterusan, anak Badawi pastinya akan dinobat dalam lipatan sejarah sebagai PM “terbilang” kerana “kuat tidur”.

Rakyat khuatir, “kuat tidur” anak Badawi itu akan menjurus dan mempengaruhi tindak-tanduk sebagai PM dalam mentadbir negara.

Bimbang PM yang “kuat tidur” akan tidur juga dalam menguruskan dana dan kepentingan rakyat. Jika ini terjadi, maka akan hancurlah negara dan musnahlah rakyat.

Macam, pilot kapal terbang yang “tertidur” atau “kuat tidur” ketika penerbangan, sudah tentu hala tuju kapal terbang akan hilang arah, kelam-kabut dan ketidaktentuan hala; akhirnya penumpang jadi mangsa.

Kapal terbang terhempas, semua penumpang nahas dan mati! Nyawa tercabut sia-sia. Penumpang tidak salah di mana-mana...! Apa dosanya penumpang itu? Yang salah pilot yang “tertidur” atau “kuat tidur” tadi.

Allah berfirman dalam Surah Al-Asr yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Pada hemat saya, dakwaan nakal yang ditalakan kepada anak Badawi, nampaknya tidak meleset. Banyak imej-imej yang menggambarkan dakwaan itu sempat dirakamkan oleh lensa kamera.

Oleh kerana anak Badawi orang nombor satu negara, tiada siapa yang berani menegur perbuatan “tidur dalam kelas” yang dilakukannya.
Bukan setakat dalam Perhimpunan Agung Umno, tetapi sudah meleret-leret ke program-program penting negara dan antarabangsa.

Gambar-gambar yang acap kali tersiar di laman-laman web, mungkin dapat melebarkan maksud anak Badawi, Perdana Menteri yang "kuat tidur"…Perdana Menteri sebelum ini, tiada yang “kuat tidur” macam anak Badawi.

Sebab itu tidak ada siapa mengaitkan beliau atau mengumpamakan beliau dengan Tunku, Tun Razak, Tun Hussein dan Cet Det dalam acara “kuat tidur” ini.

Rasanya, aturcara PM terdahulu sama sahaja dengan PM hari ini. Tetapi, seolah-olah, anak Badawi amat kurang masa tidurnya.

Apakah pada malam hari dia terlalu ketat dan sendat disogokkan dengan program rasmi mahupun tidak rasmi? Barangkali sampai ke subuh?

Itu tidak mungkin! Tidak mungkin!

Malah, PM hari ini barangkali lebih banyak kemudahan dengan pelbagai perkakas multimedia yang canggih, meringkaskan kerja-kerja yang sukar pada PM-PM terdahulu.

Ada kapal terbang jet sendiri, kapal layar dan pelbagai kemudahan kenderaan, yang semuanya mempercepatkan tugasan dalam zon selesa.
Jadi, mengapa anak Badawi ini “kuat tidur”?

Inilah isu dan persoalan yang masih berlegar dibenak kepala saya. Waktu menduda selepas kematian Hendon, pun anak Badawi “kuat tidur” hinggalah hidup bersama Jeanne, pun anak Badawi ini masih “kuat tidur”.

Apakah aktiviti sebelah malam beliau?

Pada hemat saya, anak Badawi wajib menepis dakwaan-dakwaan nakal ini sepantas kilat. Buangkan tabiat “kuat tidur” itu kerana ia imej buruk bagi sesiapapun. Apatah lagi bagi seorang PM!

Buktikan mulai hari ini, tiada lensa kamera yang dapat mencekup imej anak Badawi menguap, mengantuk, mata kuyu dan tertidur.

Biarlah gambar-gambar yang sudah masuk lipatan sejarah itu, mewarnai catatan sejarah.

Dalam soal ini, apakah penasihat sekelilingnya juga tidak tahu tabiat "tertidur" seperti mana anak Badawi “tidak tahu” dalam banyak hal, apabila ditanya wartawan.

Atau anak Badawi sendiri “tidak tahu” yang dia “kuat tidur” natijah dari tiada nasihat dari tuan penasihatnya yang barangkali juga “tidak tahu” yang anak Badawi ini "kuat tidur".

Tiada ulasan: