KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Februari 27, 2008

Pusingan Pertama PRU ke 12: SPR Tidak Segan-Segan BANTU BN!

Makin jelas, SPR perkakas BN. Pelbagai tuduhan terhadap SPR ternyata benar. Namun, badan itu keras kepala dan terus berkepala batu tanpa mempedulikan tuntutan rakyat!

By TARMIZI MOHD. JAM

MASALAH dan kekecohan yang timbul di hari penamaan calon pada hari Ahad 24 Februari 2008 begitu menjengkelkan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak konsisten dalam menangani bantahan, khususnya yang dibuat oleh calon-calon parti-parti pembangkang.

Apalagi apabila yang ‘terkena’ dengan dengan halangan-halangan teknikal itu boleh dikatakan kesemua adalah calon-calon Barisan Nasional (BN).

Saya menghubungi Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mendapat komen dan penjelasan mengenai perkara itu.

“Jelas bahawa apa yang dibimbangi dan didakwa selama ini yakni SPR berat sebelah kian terserlah. Dan sebagai rakyat, sebagai pembayar cukai dan pengundi kita mempunyai hak untuk membuat tanggapan dan kesimpulan itu”, komennya tegas dan tanpa berselindung.

“Itu semua dilakukan dengan berselindung di sebalik undang-undang. Sdr tahu sebahagian besar daripada undang-undang yang digunakan dalam pengendalian pilihan raya di Malaysia adalah undang-undang kecil”, jelasnya.

Undang-undang kecil, jelas pakar undang-undang perlembagaan itu lagi, ialah undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa yang diberi kuasa oleh parlimen melalui akta ibu.

“Di sinilah begitu banyak kuasa dalam bentuk budi bicara diberi kepada pihak SPR khususnya pegawai-pegawai pilihan raya (returning officer)” jelas lagi. Sebab itu, katanya, SPR boleh dengan tiba-tiba membuat arahan dan syarat yang kebanyakannya menyulitkan parti-parti pembangkang.

Bagaimanapun, Dr. Abdul Aziz berasa lucu kerana yang banyak melakukan kesilapan ialah calon-calon BN dan mereka terpaksa di selamatkan oleh pihak SPR.

“Dengan kuasa budi bicara yang sifatnya luas dan dalam banyak isu pula mereka tidak punya masalah untuk memberi kelebihan kepada calon-calon BN”, katanya.

Pensyarah undang-undang UIAM itu menjelaskan bahawa sepatutnya mahkamah mengawal penggunaaan budi bicara ini.

Katanya lagi ini dilakukan dengan menggunakan prinsip-prinsip undang-undang pentadbiran yang merupakan sebahagian daripada undang-undang perlembagaan.

“Tetapi seperti yang kita maklum mahkamah, sebagaimana yang didedahkan dalam Klip Video Lingam dan kontroversi Hakim Datuk Kamil Awang pada 2000 dulu, tidak bebas sepenuhnya”, tegas Aziz.

Kalau mahkamah bebas sekalipun Aziz tidak yakin bahawa masalah teknikal itu akan diselesaikan dengan cara yang memuaskan semua pihak. Pilihan raya yang adil dan saksama, katanya lagi, tidak akan membabitkan mahkamah.

Ini terbukti di negara-negara yang maju di mana semua pihak komited dengan ideal untuk mewujudkan sebuah sistem pilihan raya yang adil dan diterima oleh semua pihak. Di Malaysia hanya pembangkang sahaja yang mahukan itu.

“Sebuah pilihan raya yang bebas dan adil adalah yang, antara lain, tidak bergelut dengan soal-soal teknikal seperti yang kita lihat di Malaysia. Dan SPR memainkan peranan yang penting di sini. Tetapi seperti yang kita semua lihat SPR tidak bebas. Selain isu-isu teknikal yang dibangkitkan ini Pengerusi SPR sendiri pernah membayangkan sebelum ini bahawa tangan SPR terikat (atau diikat olehnya sendiri?)” kata Aziz lagi.

Di negara-negara maju pilihan raya membincangkan soal isu, soal program sebagaimana yang kita lihat dalam kempen pilihan raya presiden di Amerika Syarikat sekarang.

“Kita di Malaysia asyik dengan soal-soal remeh yang sepatutnya tidak menjadi isu utama. Prosedur pilihan raya, dari mendaftar sebagai pengundi hingga soal pencalonan seharusnya dipermudahkan. “Tetapi apabila pihak yang diamanahkan untuk mengendalikan pilihan raya bersedia untuk menjadi kuda tunggangan apa boleh buat?” Aziz menyatakan itu semua dilakukan mungkin kerana pihak kerajaan takut untuk berdepan dengan debat yang terbuka dan adil sebagaimana di tempat lain.

Bagaimanapun Aziz mengucapkan tahniah kepada calon-calon pembangkang – kecuali Saiful Izham di Bukit Selambau – yang kesemuanya berjaya melepasi halangan teknikal oleh SPR dan mampu menunjukkan kesilapan calon-calon BN sendiri.

“Adalah sesuatu yang lucu apabila menteri salah isi borang, terlupa menurunkan tanda tangan dan menyangka yang mereka masih lagi menteri kabinet.

“Sebab itu susah hendak melaksanakan konsep dan tuntutan kerajaan sementara di Malaysia”, ujarnya.

Apakah ini bermakna mustahil untuk pembangkang menang? Aziz berpendapat pembangkang masih boleh memenangi pilihan raya.

Tetapi, jelasnya, itu memerlukan mereka bekerja 150 peratus. “Berbalik kepada SPR hanya kerana Pas menang di Kelantan dan pernah memerintah Terengganu tidak bermakna bahawa SPR bebas. Kita tahu SPR dah buat macam-macam tapi pengundi di negeri-negeri itu bijak”, katanya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan: