Menjadi harapan sebenar rakyat bahawa prosiding siasatan ini dijalankan supaya keadilan dapat dicapai secara meyakinkan.
By ANWAR IBRAHIM
SURUHANJAYA Haidar di dalam memutuskan untuk tidak menerima bukti wujudnya konspirasi menetapkan keputusan mahkamah telah menghakis keyakinan orang ramai bahawa kerajaan hari ini serius di dalam mengembalikan kedaulatan undang-undang di Malaysia.
Saya amat kecewa bahawa Suruhanjaya Haidar telah memutuskan bahawa saya tidak perlu dipanggil untuk memberikan bukti wujudnya rasuah sebagaimana disebutkan di dalam petikan kenyataan saya yang diserahkan kepadada Suruhanjaya Haidar.
Saya yakin bukti yang saya dapat berikan mampu membantu Suruhanjaya Haidar untuk mendapatkan kebenaran disebalik kemelut yang melanda sejarah kehakiman Malaysia ini.
Keputusan Suruhanjaya untuk tidak membenarkan saya memberi keterangan sudah semestinya akan menimbulkan tanggapan ada kuasa-kuasa di belakang tabir yang menentukan keputusan tersebut.
Kuasa-kuasa ini cukup berpengaruh sehinggakan Suruhanjaya ini tidak akan teragak-agak untuk berbuat apa sahaja bagi menafikan saya memberikan bukti, meskipun bukti tersebut sudah semestinya akan membantu menjelaskan keterangan-keterangan lain yang telah diberikan selama ini.
Namun, para pesuruhjaya (terutamanya Tan Sri Haidar) tidak mengambil peluang ini untuk mencari punca sebenar skandal ini, tetapi menghabiskan masa mereka dengan isu-isu prosedur dan tafsiran yang terhad tentang bidangkuasa mereka.
Tujuan dan matlamat siasatan ini ialah untuk memastikan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa hakim-hakim di negara kita boleh menjunjung keadilan tanpa kecuali.
Malangnya, para pesuruhjaya mengambil tafsiran yang terhad terhadap terma-terma rujukan dan sekaligus mengelak dari menyiasat rasuah yang paling jijik sekali bahawa keputusan di dalam mahkamah kita boleh diatur, dan bukannya mengapuskan barah rasuah ke akar umbinya.
Secara asasnya, video Lingam menunjukkan pihak yang berkemungkinan terjebak atau sememangnya terlibat dengan rasuah dilantik ataupun dinaikkan pangkat sebagai hakim.
Para pesuruhjaya tersilap di dalam hanya membenarkan bukti penetapan perlantikan hakim tanpa membenarkan bukti rasuah diambilkira.
Sebelum penubuhan Suruhanjaya DiRaja ini saya sudah mendesak agar terma rujukan siasatan ini mestilah cukup luas dan jelas bagi memastikan kemaslahatan umum dipelihara.
Jelas, perkara ini tidak berlaku. Akibat dari terma rujukan yang tidak dihurai dengan baik dan terma rujukan yang terhad, para pesuruhjaya kini telah membuat ralat yang nyata.
Justeru, di dalam pendekatan yang teramat pincang ini, Suruhanjaya bukan sahaja gagal mendapat gambaran sebenar situasi ini tetapi sama ada secara sedar atau tidak terlibat di dalam menghalang penegakan undang-undang.
Saya tidak menggunakan istilah ini dalam konteks perundangan yang terhad tetapi konteks etika dan moral yang lebih luas bagai mengambilkira harapan tulen rakyat.
Dan menjadi harapan sebenar rakyat bahawa prosiding siasatan ini dijalankan supaya keadilan dapat dicapai secara meyakinkan.
Saya juga menyeru Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil tindakan segera bagi menjelaskan terma rujukan bagi memastikan bukti rasuah termasuk penetapan keputusan mahkamah bermula dengan penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas diterimapakai di dalam siasatan ini.
Sekiranya kerajaan benar-benar serius di dalam memerangi rasuah serta mengembalikan keyakinan terhadap institusi kehakiman, inilah peluang untuk mereka membuktikan komitmen mereka.
Sudah sampai masanya Perdana Menteri mengambil tindakan tegas bagi membawa mereka yang merosakkan institusi kehakiman, tidak kira apa jawatan mereka ke muka pengadilan, bukan dengan hanya melaungkan slogan muluk-muluk tentang prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Saya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertindak segera bagi memastikan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa dapat diyakinkan bahawa kerajaan beliau serius di dalam memerangi rasuah dan benar-benar mahu menegakkan kedaulatan undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan