Shahidan makin berani main sandiwara dan meletakkan Azmi Khalid dan Radzi Ahmad betul-betul di bawah ehsan telunjuknya untuk bertanding di Perlis dalam PRU 12 ini!
By BERITA HARIAN
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, mendakwa maruah dan imejnya tercemar berikutan kenyataan kononnya namanya tidak disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau mempertikaikan kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim, kerana keputusan undian bagi pemilihan calon di bahagian Padang Besar dilakukan secara tertutup sebelum diserahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya dimaklumkan undian pemilihan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Padang Besar dilakukan secara sulit dan semua ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian yang menghadiri mesyuarat berkenaan tidak memperoleh keputusannya.
"Justeru, saya mempertikaikan ketelusan mesyuarat itu kerana Umno bahagian membuat keputusan untuk menyerahkan nama mereka yang dicalonkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman," katanya pada sidang media di Kaki Bukit, dekat sini, semalam.
Azmi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar tidak hadiri mesyuarat itu kerana bukan lagi AJK bahagian selepas menawarkan diri untuk tidak bertanding pada pemilihan bahagian 2004.
Azim berkata, ramai AJK yang menghadiri mesyuarat dipengerusikan Ketua bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, memaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa mereka mengundinya.
"Bahagian Padang Besar memutuskan untuk mencalonkan lima nama bagi setiap DUN dan saya difahamkan nama saya adalah antara terbanyak memperoleh pencalonan untuk bertanding di Parlimen dan satu DUN," katanya.
Beliau berkata, walaupun keputusan mutlak pemilihan calon dibuat Perdana Menteri, tetapi maruah dan imejnya tercemar selepas tersiar berita namanya tidak disenaraikan sebagai calon.
"Saya bersedia bertanding mana-mana kerusi sama ada di Parlimen atau DUN di bahagian Padang Besar mengikut kemahuan Presiden Umno yang berkuasa menentukan senarai calon pilihan raya umum.
"Jika Pak Lah hendak saya pencen (bersara), saya tetap akur," katanya.
Kelmarin, Shahidan menyatakan kesediaannya mencalonkan nama Azmi dan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai calon untuk bertanding di kawasan Parlimen masing-masing.
"Saya mempunyai kuasa untuk mencalonkan Azmi dan Radzi sebagai calon mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing memandangkan mereka tidak disenaraikan sebagai calon oleh bahagian masing-masing," katanya.
Sementara itu, Umno bahagian Kangar turut mempertikaikan kenyataan Shahidan kerana mendakwa Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, memperoleh pencalonan terbanyak untuk bertanding di Parlimen Kangar dan satu kerusi DUN di bahagian berkenaan.
Setiausahanya, Aziz Had, berkata mesyuarat bahagian pada 30 Disember lalu memutuskan menyenaraikan lima calon di setiap DUN dan Parlimen.
Mesyuarat dipengerusikan ketua bahagian, Ahmad Bakri Ali dan pengundian dilakukan secara terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan