KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 18, 2008

MIKE TYSON Ke Kuala Selangor, 20 DIGUGUR, 5 Lagi Ketua Pemuda Jadi Calon?

Nampaknya, harapan untuk terkeluar dari tapisan BPR kian manis, hanya Parlimen Shah Alam menoloknya ke Kuala Selangor. Itupun tak apa, janji boleh bertanding, Tok Mat?


By ROSLAN BIAN

SEKURANG-kurangnya 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk tiga anggota Exco dan lapan ahli Parlimen kemungkinan besar tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) negeri Selangor dalam pilihan raya umum ke 12 kali ini.

Sebaliknya, lima Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian, dua Ketua Wanita serta sekurang-kurangnya seorang Ketua Puteri Bahagian dijangka dalam senarai yang akan diumumkan BN Selangor, selewat-lewatnya Rabu ini.

Antara Exco disebut-sebut akan digugurkan ialah Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan (Adun Kota Damansara), Datuk Raja Ideris Raja Ahmad (Adun Sabak) dan Tang See Hang (Adun Rawang).

Seorang lagi Exco, Adun Kuala Kubu Bharu, Datuk Ch’ng Toh Eng disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen Klang manakala Datuk Ahmad Nawawi M.Zin, Adun Kota Anggerik juga dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen Shah Alam.

Adun Taman Templer, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman, Datuk Mad Aris Mad Yusof (Adun Chempaka), Datuk Salamon Selamat (Adun Batu Tiga), Datuk Zainal Abidin Sakom (Adun Batang Kali), Datuk Mohamad Ideris Abu Bakar (Adun Hulu Bernam) dan Abdul Wahab Ibrahim (Adun Taman Medan) kemungkinan besar turut tidak disenaraikan lagi.

Begitu juga dengan Adun Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros, Datuk Abdul Aziz Md Noh (Permatang) dan Adun Batu Caves, Datuk V.Jagarasah. Selain itu, Adun Dusun Tua, Rahmad Musa dan Adun Kuang Soohaimi Abdul Rahman juga dikatakan antara tidak dipilih lagi.

Difahamkan, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, Datuk Mat Yasir Ikhsan (Sabak Bernam), Dr Rozaidah Talib (Ampang) dan ahli Parlimen Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep antara digugurkan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin antara yang pasti tidak bertanding lagi termasuk Datuk Yap Pian Hon (Serdang) dan Tan Sri Dr. K.S.Ninjar, ahli Parlimen Subang.

AgendaSelangor.com difahamkan, BN Selangor mengugurkan kira-kira 30 peratus wakil rakyat daripada 54 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan 22 kerusi Parlimen.

Dua kerusi DUN, Sungai Pinang dan Sekinchan dimenangi calon DAP pada pilihan raya umum lalu.

Dalam senarai calon-calon kali ini, BN Selangor dijangka memberi peluang kepada muka-muka baru antaranya Ketua Pemuda Umno Selangor, Ab. Shukor Idrus yang akan bertanding di DUN Taman Templer, Ketua Pemuda Hulu Selangor, Mohd Isa Abu Kasim (DUN Batang Kali), Ketua Pemuda Hulu Langat Johan Abdul Aziz di DUN Dusun Tua.

Kemungkinan besar turut terpilih calon Ketua Pemuda Klang dan Kapar, Faizal Abdullah dan Zainuri Datuk Zakaria.

Puteri Selangor turut mendapat tempat dengan kemungkinan seorang daripada mereka dicalonkan sama ada Ketua Pergerakan itu, Noraazmin Radzuan atau Ketua Puteri Bahagian Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim.

Ketua Wanita Pandan, Norshimah Hashim disebut-sebut akan bertanding di DUN Chempaka dan seorang lagi calon wanita dikatakan akan diletakkan di DUN Taman Medan.

Calon-calon baru lain disebut-sebut ialah Datuk Warno Dogol yang akan bertanding di DUN Sabak, Datuk Zein Ismail di DUN Kota Damansara dan Sulaiman Razak di DUN Permatang dan Datuk Subhan Kamal di Kuang.

Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang diuar-uarkan bertanding kerusi Parlimen Shah Alam kemungkinan besar dicalonkan di parlimen Kuala Selangor.

Bagaimanapun, senarai sebenar calon-calon yang digugurkan serta akan mewakili BN Selangor pada pilihan raya kali ini hanya diketahui selepas Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada Isnin ini.

Apa yang jelas, BN Selangor berharap gandingan calon lama dan baru ini akan memberi kejayaan besar dalam pilihan raya pada 8 Mac ini terutama bagi memastikan Pembangkang Sifar tercapai.

Tiada ulasan: