KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 04, 2008

Prof. Dr Syed Hussein Kata KEPIMPINAN Ulama PAS TIDAK SESUAI!

"Saya lihat PAS akan mengubah gaya kepimpinannya pada masa depan. Golongan yang bukan ulama akan memimpin PAS, bukan sekarang tetapi mungkin dalam jangka waktu yang dekat, kalau ada pemimpinnya yang muncul" - Dr. Syed Hussein

BERIKUT cabutan interbiu ringkas Mingguan Malaysia bersama Prof. Datuk Dr. Syed Hussein pada 18 April 2004 yang memberikan pandangan berhubung dengan "Kepimpinan Ulama PAS":

Syed Hussein: Rakyat menolak Pas bukan kerana ia mengemukakan dasar Islam sebagai perjuangannya; bukan itu yang menyebabkan ia tidak berkesan. Ia tidak berkesan kerana sifat pimpinan Pas itu. Parti itu dipimpin bukan oleh mereka yang ahli dalam masalah politik zaman sekarang. Dalam gerakan Islam yang sangat berkesan di mana-mana pun di dunia ini, pimpinannya bukan daripada golongan yang tidak ada latar belakang pendidikan zaman sekarang. Ambil kelahiran negara Pakistan sebagai contoh. Kita boleh melihat bagaimana rakyatnya termasuk para pemimpin madrasah dan lebai-lebai yang menyokong kelahiran Pakistan itu mengangkat Muhammad Ali Jinnah sebagai pemimpin. Ketika itu ada banyak pemimpin yang berpengaruh di Pakistan tetapi mereka mengangkat Jinnah.

Mingguan Malaysia: Adakah maksudnya kepimpinan ulama tidak sesuai dalam politik zaman ini?

Syed Hussein: Betul. Kepimpinan ulama tidak sesuai kerana bukan matlamat ulama untuk mencurahkan pemikirannya di situ. Lagi pula, latar belakang ulama tradisi tidak cukup memahami masalah dunia dan langsung tidak ada latihan ke arah itu. Gerakan Islam di Indonesia umpamanya bermula pada tahun 1912 melalui Sarekat Islam (SI) tetapi ia dipimpin oleh Haji Omar Said Tjokroaminoto, dan bukannya tokoh-tokoh dari pesantren. Namun SI mendapat sokongan kuat daripada pesantren. Selepas Indonesia merdeka, gerakan Islamnya dipimpin oleh Masyumi. Para pemimpin Nahdatul Ulama sekarang juga banyak yang mempunyai pendidikan moden. Kalau kita lihat Revolusi Iran digerakkan oleh Imam Khomenei. Tetapi sebaik saja berjaya, tokoh yang dilantik sebagai Perdana Menteri ialah Mehdi Bazargan, seorang jurutera dan bukannya ayatollah. Menteri-menteri yang lain juga begitu, ada doktor, jurutera dan sebagainya. Saya katakan begini saja. Pada zaman ini, kita tidak boleh mencari nakhoda yang mengikuti latihan zaman lampau, latihan zaman kapal layar. Sudah tentu kita memerlukan nakhoda yang boleh melayarkan kapal zaman sekarang.

Mingguan Malaysia: Adakah Pas sedar masalah ini kerana pada tahun 1999 itulah juga nakhodanya dan mereka mendapat sokongan yang besar ketika itu?

Syed Hussein: Kalau kita hendak menentukan sejauh mana kita boleh melompat, kita tidak melihat kepada lompatan pertama atau kedua. Soalnya, setinggi mana dia boleh melompat pada kali ketiga? Mereka boleh menang pilihan raya di Kelantan dan Terengganu sekali atau dua kali tetapi tidak lebih daripada itu. Mereka mesti boleh mencapai lebih jauh daripada pencapaian sebelumnya.

Mingguan Malaysia: Prof. menyebut tentang latar belakang yang tidak lagi sesuai. Untuk mereka itu faham, keadaan zaman sekarang ini sebenarnya bagaimana?

Syed Hussein: Saya tidak mahu menyebut nama. Di kalangan ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pas, ada beberapa orang yang boleh kita anggap menepati kehendak zaman ini. Tetapi kebanyakan wakil rakyatnya tidak dapat mengambil bahagian dengan berkesan dalam perbahasan di Dewan. Saya hendak tanya: Apakah pemikiran yang sudah mereka keluarkan di Parlimen atau di DUN? Ada kekecualian pada dua tiga orang yang dapat memahami dan mengulas sesuatu isu dengan berkesan tetapi kebanyakannya tidak dapat. Kalau kita kumpulkan perbahasan wakil rakyat Pas semenjak parti itu masuk Parlimen pada tahun 1955 sehingga sekarang, jelas bahawa mereka tidak dapat mengupas isu-isu ekonomi, sumber manusia, pembangunan, pendidikan dan soal-soal pengangkutan. Pendek kata, mereka tidak menguasai isu-isu yang ada kena-mengena dengan kehidupan dan nasib masyarakat. Apa yang diperlukan daripada mereka bukannya keahlian membaca al-Quran atau hadis tetapi memimpin negara. Rasulullah sendiri sewaktu mengangkat petugas-petugasnya bukan melihat kepada keahlian mereka dalam agama serta watak ibadahnya. Lihat dalam sejarah Islam bagaimana Rasulullah tidak melantik Abu Dzar untuk tugas-tugas demikian sedangkan dia itu paling rapat, paling disayangi dan paling setia dengan baginda. Dari segi keimanan, jarang ada sahabat yang boleh dibandingkan dengan Abu Dzar tetapi Rasulullah tidak menyuruhnya memimpin perang. Malah tugas itu diberikan kepada Khalid ibnu Walid kerana keahliannya memang dalam berperang walaupun dia tidak masuk Islam dari awal. Itu juga yang berlaku kepada Usamah bin Zaid yang walaupun masih muda remaja tetapi dilantik oleh Rasulullah memimpin perang melawan tentera Rom. Itulah yang seharusnya berlaku dalam politik. Kita mesti melantik mereka yang mahir dalam bidang itu.

Mingguan Malaysia: Tetapi kita diberitahu bahawa kepimpinan Pas adalah kesinambungan pewaris nabi.

Syed Hussein: Itu hanya kata-kata yang tidak ada dukungan daripada sejarah. Di mana pernah ada kepimpinan ulama dalam sejarah Islam sehingga sekarang? Apa yang dimaksudkan dengan hadis itu ialah kepimpinan ulama dalam pemikiran dan masalah agama, bukannya kepimpinan negara. Semua imam mazhab dalam Islam juga malah mengelak daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan. Inilah yang dimaksudkan dengan kepimpinan ulama. Ini kembali kepada masalah Pas; pengertian dan pemikirannya tentang Islam pun tidak tepat apalagi tentang hal-hal yang lain. Ucapan-ucapan pemimpinnya seperti mengundi Pas dapat pahala dan masuk syurga, apa itu? Begitu juga dengan konsep negara Islam yang dimajukannya. Itu bukan konsep. Itu hanya susunan ayat-ayat al-Quran. Mereka pun tidak faham apa maknanya konsep negara Islam. Mereka tidak mengaitkannya dengan permasalahan sekitar; bagaimana kaitannya dengan sistem ekonomi dan pendidikan? Tidak ada di situ. Apa yang ada hanyalah dasar-dasar. Banyak lagi aspek negara Islam yang tidak ada dalam dokumen itu. Sebelum 1987, Pas tidak ada pengaruh. Ia menang di Kelantan kerana adanya krisis dalam UMNO, adanya Semangat 46. Itu juga yang berlaku pada 1999 kerana adanya Keadilan.

Mingguan Malaysia: Bagaimanakah keadaan sekarang ini ketika Keadilan sendiri semakin lemah?

Syed Hussein: Pas bermula sendiri, telah bergerak sendiri sejak lama dulu sehingga menjadi besar kerana ada pengikutnya yang setia. Saya lihat Pas akan mengubah gaya kepimpinannya pada masa depan. Golongan yang bukan ulama akan memimpin Pas, bukan sekarang tetapi mungkin dalam jangka waktu yang dekat, kalau ada pemimpinnya yang muncul.

Mingguan Malaysia: Apakah sudah ada pemimpinnya?

Syed Hussein: Bakat-bakatnya ada tetapi sejauh mana mereka itu boleh berhasil kita tidak tahu.

Mingguan Malaysia: Tetapi golongan ulama itu dilihat akan terus cuba bertahan.

Syed Hussein: Memang betul tetapi kalau masa perubahan itu sudah datang, ia dengan sendirinya akan terjadi.

Tiada ulasan: