Mengenai alasan kenapa Yang di Pertuan Agong boleh menolak permintaan Perdana Menteri membubarkan dewan, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa Perlembagaan menyerahkan soal itu kepada kebijaksanaan baginda.
By TARMIZI MOHD JAM
By TARMIZI MOHD JAM
KUNCI atau kata putus dalam pembubaran parlimen – atau lebih tepat lagi Dewan Rakyat – terletak di tangan Yang di Pertuan Agong. Ini jelas disebut oleh Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dan dijelaskan oleh Suruhanjaya Reid dalam laporan mereka pada 1957,” demikian ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang mengajar Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak memberi reaksi terhadap tulisan seorang penganalisa politik, Kim Quek dalam satu artikelnya yang tersiar di Malaysiakini.Com minggu lalu.
Dalam artikel tersebut, Kim Quek menanyakan soalan sama ada Yang di Pertuan Agong boleh menolak atau tidak permintaan membubarkan dewan oleh Perdana Menteri.
“Soalan itu sebenarnya tidak berbangkit langsung kerana perlembagaan sendiri dengan jelas mengatakan ia budi bicara Yang di Pertuan Agong”, tegas Dr. Abdul Aziz.
Pakar perlembagaan itu seterusnya menyatakan bahawa kuasa itu adalah kuasa budi bicara atau prerogatif yang lazim di semua negara Westminster di seluruh dunia termasuk Australia dan India dan juga di negara asalnya United Kingdom.
Kuasa berkenaan juga, katanya disebut dalam Perlembagaan-Perlembagaan Negeri dan ini bermakna Raja-Raja dan para Yang di Pertua Negeri juga boleh menolak permintaan untuk membubarkan dewan.
Setakat ini tegas Dr. Abdul Aziz, tidak pernah berlaku penolakan seperti itu di peringkat Persekutuan.
“Bagaimanapun di peringkat negeri telah beberapa kali permintaan untuk membubarkan dewan yang dibuat oleh kerajaan negeri ditolak,” ujar beliau lagi.
Penolakan ini terjadi kali pertamanya pada tahun 1962 di Terengganu, kemudian di Kelantan pada 1977 dan akhir sekali di Sabah pada 1994.
Di sisi Perlembagaan, ujarnya, pembubaran dewan di peringkat pusat dan negeri-negeri tidak ada kaitan; ertinya pembubaran di peringkat Persekutuan tidak semestinya diikuti oleh pembubaran di negeri-negeri.
“Itu adalah urusan antara Raja atau Yang di Pertua Negeri dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri berkenaan.”
Mengenai alasan kenapa Yang di Pertuan Agong boleh menolak permintaan Perdana Menteri, Dr Abdul Aziz menyatakan bahawa Perlembagaan menyerahkan soal itu kepada kebijaksanaan baginda.
“Itulah yang disyorkan oleh Suruhanjaya Reid dalam laporan mereka. Tetapi pengalaman di banyak negara Komanwel dalam isu ini boleh dirujuk. Perlembagaan sendiri tidak memberi sebarang petunjuk,” tegasnya.
Tentang kerajaan sementara yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dua hari lalu, pensyarah kristis itu menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut dengan jelas tentang soal itu.
Bagaimanapun, katanya, Perlembagaan ada membayangkan konsep itu dalam Perkara 43(2) tatkala menyebut perlantikan Perdana Menteri ketika dewan sudah dibubarkan.
Walau apa pun, konsepnya jelas dan negara-negara yang komited dengan demokrasi tulen seperti Britain, Australia dan India mengamalkan konsep itu tanpa soal.
Adalah tidak logik bagi sesebuah kerajaan yang bergantung kepada mandat sebuah dewan yang sudah pun dibubarkan untuk membuat janji dan dasar yang hebat-hebat, tegasnya.
Dalam soal-soal ini, kata Dr Abdul Aziz lagi, perlu ada golongan yang komited dan terus memperjuangkannya. Ini kerana pihak-pihak yang sepatutnya berada di hadapan seperti kerajaan yang ada dan pihak SPR sendiri sengaja memutarbelit konsep berkenaan.
Selain itu, tegasnya mahkamah juga tidak berbuat apa-apa; ia malah membenarkan menteri berkempen dan membuat janji semasa kempen pilihan raya dalam satu pilihan raya kecil pada 1981.
Bagi Dr. Abdul Aziz, kes ini jelas menunjukkan bahawa hakim sendiri gagal memahami apa itu pilihan raya yang bebas dan adil.
“Bagaimanapun kita perlu menyokong insiatif dan komitmen Ketua Pembangkang dan BERSIH sendiri yang sebenarnya cuba mendidik rakyat dalam soal ini.
“Saya ingat lagi dalam tahun 1995 Aliran ada menyebut soal ‘kerajaan sementara’ ini dalam penerbitan bulanan mereka,” tegas beliau sambil mengharapkan usaha-usaha seperti ini akan memberi impak besar dalam memperkasa kualiti demokrasi di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan