KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Ogos 21, 2007

Rancangan Apa Sebalik Lina Joy?


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM
KES LINA JOY amat mengesankan. Beliau tidak memohon murtad tetapi mahu nama agamanya (Islam) dalam kad pengenalan dibatalkan.

Secara tidak langsung tindakannya itu mencabar ajaran Islam tentang murtad.Bagitu juga dengan kontroversi ajaran sesat Ayah Pin di Besut.
Ajaran krakpotnya didalangi pihak tertentu yang jelas tidak boleh menerima-nya tetapi semata-mata untuk mencabar Islam.Memorandum Majlis Bukan Islam yang dituju-kan kepada Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001 dulu, jelas memperincikan tuntutan dan desakan yang berbau anti Islam.

Mereka mahu orang Islam diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah.Di era kekuasaan Pak Lah yang lemah, kumpulan ini mendesak agar ditubuhkan satu badan berkanun IFC atau Inter-Faith Commission.

Ia khas untuk menukar ajaran apa sahaja agama yang dirasa menyekat hak asasi manusia terma-suk ajaran Islam berkenaan murtad. Badan ini boleh memutuskan permohonan seseorang Islam yang hendak murtad.
Menurut draf rang undang-undang IFC yang dikemukakan pelopornya yakni Majlis Bukan Islam dalam Majlis Peguam; IFC akan berkuasa melaksanakan beberapa norma undang-undang antarabangsa.

Ini bererti aduan tidak akan dipu-tuskan mengikut acuan agama seseorang atau undang-undang sivil Malaysia yang sedia ada. Antara norma-norma antarabangsa itu adalah Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948.Kes Lina Joy merupakan asakan strategi musuh terhadap Islam.

Era 70an dan selepas itu, mereka mencari orang yang bakal murtad dalam kum-pulan masyarakat yang dhaif seperti anak luar nikah (zina) antara Islam dan bukan Islam.Di Pulau Pinang, terdapat sebuah firma guaman yang aktif mengiklankan peristiharan murtad dalam akhbar The Star.

Mereka mengikut satu ataur cara undang-undang yang dipanggil deed poll. Peristiharan seperti itu adalah cara yang digunakan di England oleh seorang yang hendak mengisytiharkan penukaran namanya. Tetapi, perisytiharan begini tiada kuasa disisi undang-undang di Malaysia.

Maka, dari sinilah muncul idea penukaran nama melalui kad pengenalan.Lina Joy cuba mengambil manfaat dari kelemahan Akta Pendaftaran Negara. Beberapa kes murtad pernah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran seperti kes Kartini.

Apabila JPN sedar kesilapan itu, maka syarat dibuat mana-mana orang Islam yang mahu tukar nama dari nama Islam kepada orang bukan Islam, pemohon hendaklah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.Syarat inilah yang sedang dicabar oleh Lina Joy.

Dalam mendengar hujah di Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Negara, Tun Ahmad Fairuz memberi peluang kepada Majlis Perunding Bukan Islam (pelopor IFC) berhujah bahawa orang Islam berhak untuk murtad.

Peluang dan peranan yang diberikan kepada mereka, mungkin baik bagi mendengar semua pihak yang berminat walaupun sama sekali tidak ada kepentingan dari segi hak mereka mempraktikkan agama mereka seperti yang disyorkan oleh Artikel 11 Perlembagaan.
Namun begitu, tindakan Mahkamah Rayuan Persekutuan boleh dianggap oleh kumpulan ini sebagai mengiktiraf hak mereka dalam kes murtad orang Islam dengan memberi ruang selesa untuk mereka campur tangan dalam urusan Islam.

Ini benar-benar amat mengecewakan!Kes Lina Joy adalah kali pertama membabitkan isu Artikel 11 (1) dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk ditafsirkan. Islam yang menjadi identiti bangsa, kini sedang dirobek-robek. Selama ini ia tetap utuh sekalipun pernah dijajah lebih 500 tahun oleh kuasa besar Kristian di rantau ini.

Definisi Melayu dalam Perlembagaan juga turut terancam dengan bahang panas dari kes Lina Joy ini.Dibawah Akta Pendaftaran, mengkehendaki agama seseorang disebut sebagai satu-satunya ciri pengenalan pemiliknya. Ini menyulitkan Lina Joy memadamkan agama Islam pada kad pengenalannya.

Sebab itu, Lina Joy mencabar kuasa JPN. Jabatan itu diberi kuasa mensyaratkan seorang yang hendak tukar nama Islam asalnya disebabkan murtad hendaklah mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Kes-kes lain seperti kes Moorthy dan Nyonya Tahir, kumpulan Artikel 11 yang seiya dengan IFC mendakwa hak orang bukan Islam di negara ini tidak dilindungi.

Ia dipelopori oleh 14 NGO antaranya Suaram, Awam, Hakam, Sisters in Islam dan WAO. Kumpulan inilah juga yang menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu.
Dan mereka jugalah yang mencadangkan penubuhan IFC!Mereka mempersoalkan mengapa hak murtad diletakkan dibawah undang-undang Syariah?

Fenomena ini ditambah dengan kedangkalan pemimpin Islam Umno dalam kerajaan yang turut memberikan kekuatan kepada kumpulan ini untuk terus menggapai impiannya.Kebebalan Nazri Aziz, Menteri Di JPM dalam isu ini amat membimbangkan.

Beliau bukan sa-haja gagal membela Islam malah turut menyokong kumpulan yang mahu merobek maruah Islam di negara ini.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang kufur dengan Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang, tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” - (An-Nahl:106)

Alahai Kapal Layar Rasuah Pak Lah?



Ini adalah gambar-gambar yang banyak tersebur dalam internet yang dikatakan kapal layar "anugerah" Ananda Krisnan kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia!

PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

TIMBUL tandatanya, apakah Kapal Layar mewah bernilai puluhan juta ringgit yang “hadiahkan” oleh tokoh korporat Ananda Krisnan kepada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi itu bukannya berunsur “rasuah”?

Banyak pihak memberi respon isi khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan kebelakangan ini yang menyentuh darihal produk rasuah yang dinamakan dengan pelbagai istilah antaranya “duit kopi”, “minyak pelincir”, “tumbuk rusuk”, “komisyen” dan banyak lagi.

Tetapi suatu yang menarik “hadiah” untuk sesuatu tujuan juga dikaitkan sebagai rasuah.Persoalannya, jika Ananda Krisnan seorang penoreh getah, apakah mungkin Kapal Layar mewah akan dihadiahkannya kepada Perdana Menteri?

Atau adakah Ananda akan menghadiahkan bot atau kapal untuk mana-mana nelayan terpilih di Kuala Kedah atau Chendering?

Sebagai tokoh korporat, Ananda mempunyai kepentingan tertentu dalam perniagaan mega di negara ini dan sudah tentu “hadiah” kapal layar itu mengandungi signal tersirat yang hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu.

Jadi tidak hairanlah, Ezam Mohd Noor, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar menggunakan Pepatah Cina yang dipopularkan oleh Tun Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA, bahawa “busuknya ikan itu bermula daripada kepala”, patut menjadi iktibar kepada Ketua Pengarah BPR ini dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Datuk Johari Baharom yang kini disiasat kerana tuduhan rasuah.

Pepatah ini, bukan sahaja merujuk isu Ketua Pengarah BPR dan Timbalan Menteri KKDN, tetapi “hadiah” yang diterima oleh Pak Lah itu juga patut dipertegaskan, apakah ianya berupa “rasuah” atau dibenarkan oleh syarak?

Ini kerana, “hadiah” seumpama itu boleh dijadikan tukaran kepada pelbagai tuntutan pihak berkenaan dan kesempatan ini sudah tentunya tiada pada orang lain selain dari Perdana Menteri sendiri.

Interbiu Xklusif: Umno Palsukan Fakta & Nafikan Ibrahim Yaakob. Mereka Talibarut Penjajah!


Muqqadimmah: Nampaknya kerajaan begitu giat berkempen bagi menjayakan sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”. Tiada gerakkan yang menyanggah atau membetulkan fakta palsu yang disogokkan kononnya Tunku dan Umnolah yang menggerakkan usaha kemerdekaan. Bagaimanakah laungan “Merdeka” oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API dan AWAS sebelum diharamkan penjajah? Ikuti pandangan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, CIKGU ISHAK SURIN yang juga antara aktivis yang terlibat diperingkat awal gerakan kemerdekaan, ketika aktif bersama API. Saya sempat mengejar dan mengungkapkan view beliau.

TARMIZI: Kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen tentang sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Walhal faktanya palsu...

CIKGU ISHAK SURIN: Memanglah itu yang sedang berlaku. Usaha ini giat dijalankan untuk menafikan gerakkan awal kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kerajaan cuba menonjolkan Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Bagi saya, usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata-mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan. Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku pada waktu merdeka dulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan? Semuanya ini perlu dikaji semula oleh kita supaya fakta sejarah yang sebenar dapat diketahui oleh genarasi akan datang dan seterusya. Pada saya, Umno begitu takut untuk membongkar rahsia sejarah sebenar berhubung gerakan kemerdekaan ini. Pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boeastamam, Dr. Burhanuddi Helmy dan lain-lain cuba dihapuskan dalam buku-buku dan dokumentasi sejarah. Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.

TARMIZI: Maknanya kita ada pandangan kedua dalam isu ini. Umno bukan pelopor kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Kemerdekaan. Begitu...

Ya. Ini patut di ketengahkan. Ia bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Ia tak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah. Dengan adanya kempen-kempen media cetak dan televisyen ini, kita amat bimbang genarasi muda sekarang dibohongi kerajaan dan Umno khususnya. Mereka mahu fakta sejarah dipesongkan, diseleweng! Dalam hal ini, saya amat bertegas bahawa Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang pembentukan Malayan Union. Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan. Sedangkan sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad. Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Merekalah yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di tanahair kita. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini. Bukannya seperti yag diwar-warkan, Umno atau Tunku Abdul Rahman. Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.

TARMIZI: Jadi, bila Umno muncul dalam catatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan...

Selepas pejuang kemerdekaan tulin macam Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan. Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS. Kita kena tahu, Umno ketika ini adalah anak didik penjajah dan bukan penentang penjajah.

TARMIZI: Tadi disebut kumpulan awal macam KMM, PKMM, API dan AWAS adalah pejuang tulin kemerdekaan. Kemudian ditahan dan pertubuhan mereka diharamkan. Penjajah pula mengetengahkan Umno hasil kekosongan ini sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah. Soalnya, mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Inggeris tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yag tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris. Jika ditakdirkan mereka ini berjaya memerdekakan tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita tidak seperti hari ini. Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah diperkenalkan dan macam-macam lagi. Kita diikat oleh penjajah. Dan yang sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini ialah Umno. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin macam Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tak dapat berjalan.

TARMIZI: Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya. Bagaimana Cikgu melihat, “jenayah” ini boleh dibetulkan?

Perkara ini harus ditangani secara serius. Lihat balik pemalsuan sejarah dan sejarah sebenar. Betulkan fakta dalam buku sejarah yang jadi rujukan sebagai teks bacaan pelajar kita di sekolah-sekolah. Ini penting. Kerana melalui paparan dari buku-buku sejarah inilah, pemalsuan berjalan secara rasmi dan terancang. Pelajar-pelajar kita adalah genarasi akan datang yang bakal mentadbir negara. Tetapi, fakta sejarah yang melekat dalam kepala mereka hanyalah fakta palsu. Mereka tak kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula-mula melaungkan kalimah “merdeka” kepada rakyat untuk mengnyahkan penjajah ketika itu.

TARMIZI: Mengapa Cikgu kata Ibrahim Yaakob yang mempelopori kemerdekaan bukan Tunku Abdul Rahman?

Saya setuju dengan satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor. Buku itu dakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakanya di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim. Bagaimana kita lihat, dia membentuk jaringan dari sini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab. Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, bawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Jadi menyeluruh. Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi saya, Ibrahim Yaakoblah patut dinabatkan Bapa Kemerdekaan sebenar bukan Tunku yang tak tahu apa-apa.

TARMIZI: Jika begitu realitinya, apakah terdapat usaha dari pihak PAS untuk membetulkan senario ini atau menggerakkan suatu penulisan semula sejarah kemerdekaan Malaysia?

Kita kena betulkan fakta palsu Umno itu. Gembelingkan tenaga. Kumpulkan pejuang-pejuang yang terlibat diawal gerakan kemerdekaan tulin. Kumpulkan kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh universiti-universiti. Bagi saya, penulisan semula sejarah kemerdekaan wajib dibuat. Kita jangan asyik menyanggah soal kemerdekaan ini dalam tulisan-tulisan picisan ketika menjelang setiap kali sambutan hari kemerdekaan. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan. Semuanya ini kita mesti persoalkan semula secara serius. Bukan main-main. Kita kena buat satu jawatankuasa khusus untuk tujuan ini. Saya percaya, semua tokoh-tokoh sejarah dalam negara kita akan bersama dengan kita jika usaha terancang dibuat untuk membetulkan fakta sejarah ini. Tidak mengikut acuan sejarah yang disediakan oleh Inggeris dan dipekik-pekikkan oleh Umno. Saya yakin, fakta yang ada adalah fakta orientalis Barat yang mahu dilihat sebagai tiadanya penentangan serius dari rakyat terhadap penjajahan mereka. Pemerintahan diberi secara aman kepada Umno bagi menunjukkan baik dan bijaknya Inggeris pada mata dunia. Saya setuju, PAS mesti mempelopori usaha ini kerana ia penting untuk genarasi akan datang. Ia tak boleh tunggu lebih lama lagi. Kalau lebih lama, maka banyaklah penyelewengan sejarah akan dilakukan oleh Umno.

TARMIZI: Apa kata PAS buat road show menentang kempen tajaan kerajaan sempena 50 Tahun Kemerdekaan Negara...

Insya-Allah. Itu satu cadangan yang baik. Saya akan cuba ke tengahkan dalam mesyuarat Badan Perhubungan untuk dibincangkan. Kempen oleh kerajaan ini, sebenarnya telah membuka ruang untuk kita mempersoalkan isu ini. Diperingkat Wilayah Persekutuan, mungkin road show ini boleh dilakukan tetapi di seluruh negara, ia kena dibincangkan di peringkat Pusat.

Komentar: Kenapa Bini Pak Lah Tak Bertudung?




PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SABTU, 9hb. Jun 2007, Pak Lah telahpun melangsungkan perkahwinan kali kedua. Calon isterinya adalah adik ipar isterinya, Allahyarhamah Hindon Mahmood.

Rupa dan gayanya saling tidak tumpah seperti Hindon. Mungkin itu daya pikat yang menyebabkan terburai isi hati Pak Lah untuk melamarnya.Pak Lah nampaknya punyai citarasa tersendiri. Beliau lebih gemar memilih perempuan yang tidak bertudung.
Dulunya, Hendon juga tidak bertudung dan kini Jeanne Abdullah juga melangsungkan gaya yang sama - tidak bertudung.Apakah pegangan Pak Lah terhadap perempuan muslim yang bertudung, kurang diketahui.

Tetapi, anaknya Nori Abdullah yang juga isteri kepada Khairi Jamaluddin juga memilih gaya tidak bertudung, dengan fesyen rambut sama seperti ibunya Hendon.Entah kenapa agaknya, mungkin untuk memikat Pak Lah atau memang Pak Lah punyai citarasa begitu, Jeanne Abdullah juga memilih fesyen rambut sama seperti Hendon.
Jika digandingkan gambar Hendon dan gambar Jeanne yang diedarkan kepada media hari ini (6hb. Jun 2007), ia menjelaskan lagi keinginan Pak Lah kepada citarasa tersebut.Apapun niat Pak Lah bukan soalnya. Pak Lah sendiri menafikan bahawa pemilihan Jeanne bukannya wasiat dari Hendon.

Hendon katanya dalam satu sidang media, tidak pernah berpesan ataupun berwasiat. Tetapi, Pak Lah mengakui Jeanne adalah adik ipar yang sangat disayangi oleh Hendon.Apakah sikap Jeanne terhadap Islam Hadhari Pak Lah? Tidaklah diketahui.

Namun, Nori dan Marina anak Mahathir telah menunjukkan minat yang serius dalam Sister in Islam, sebuah NGO yang menyokong Islam Hadhari yang liberal.Kecenderungan Jeanne terhadap pertubuhan NGO itu belum diketahui lagi. Apa yang jelas, bertudung bukan menjadi budaya dalam keluarga baru Pak Lah dengan Hendon dan Jeanne.

Mungkin bertudung hanya jadi budaya dalam keluarga Pak Lah di Kepala Batas sahaja.Soalnya mengapa Pak Lah tidak mendidik isterinya dulu, Hendon dan anaknya Nori agar menutup aurat?

Ini bermakna “cucu ulama” tidak pernah menjadi tiket untuk Pak Lah menghayati Islam sebenar, jika soal menutup aurat dipandang remeh kerana kononnya ada perkara yang lebih besar dari isu titik bengit itu.

Ilmu yang Pak Lah tuntut sewaktu di Universiti Malaya dalam jurusan Pengajian Islam dan pendidikan Islam yang diterima dari keluargannya di Kepala Batas juga tidak banyak membantu untuk beliau menyedarkan isterinya dulu, Hendon dan anaknya Nori untuk menutup aurat atau memakai tudung.

Ini adalah satu lagi mercu tanda Islam Hadhari yang sudah didirikan. Jika tudung dicampakkan ke tepi, bagaimana nasib anak-anak muda (remaja) kita yang seluar ketat, sendat, nampak pusat mampu kembali menghayati Islam hakiki. Sudah tentulah Islam yang mereka nampak ialah Islam yang sedang dicipta Pak Lah, Islam Hadhari!

Dan merekapun (anak remaja) agaknya tidak faham siapakah itu As-Shafie dan Al-Ghazali, yang dipuja dan dipuji, yang dicari-cari Pak Lah dalam puisi. Dikhuatiri juga ulama-ulama dan mufti-mufti keliling kelalang Pak Lah juga tumpang keliru, benarkah Pak Lah sedang mencari al-Ghazali dan As-Shafie?

Jutaan tahniah kepada Raja Permaisuri Agong yang baru, kerana menutup aurat dan mantan Raja Permaisuri Agong terdahulu, Aishah yang juga menutup aurat. Satu contoh kepimpinan melalui teladan yang cukup karismatik untuk dihayati rakyat.

Harapan saya, Pak Lah kali ini boleh mentarbiyah isteri barunya, Jeanne Abdullah agar menutup aurat dan bertudung selaras dengan tuntutan agama Islam dan seiring dengan teladan yang ditunjukkan oleh Raja Permaisuri Agong. Barulah, nilai Jeanne Abdullah sebagai wanita nombor satu negara bererti dan bermakna!

Sabtu, Ogos 18, 2007

Cerpen: Haji Godak "Mengodak" Partai Ketayap Putih Sarat Dengan Masej & Istiqammah

Nukilan ABDUL HADI TULIS
Plaza Hotel, Kuala Lumpur

MALAM itu, hujan turun macam muntah-muntah katak. Jam didinding sudah menujah angka 8.00 malam. Pak Aji Godak membelek-belek surat undangan dari Lajnah Kemasyarakatan & Kejiranan Parti Ketayap Putih Kawasan Halilintar. Dikelihnya satu persatu agenda.

“Kena pergi ni. Nanti apa kata Ustaz Fisolullah. Penat dia hantar surat,” bisik hati kecil Pak Aji Godak tak sampai hati. Dicapainya kunci kereta Gen 2 yang baru dibelinya bulan lepas. Memang niat Pak Aji beli kereta untuk memudahnya ke program parti dan ke markaz kawasan.

Dia tahu, kalau dia tak pergi mesyuarat, siapa lagi yang boleh diharap Ustaz Fisollullah. Pak Aji Godaklah yang mengodak ahli-ahli cawangan supaya bangkit dan datang mengimarahkan program anjuran Kawasan Halilintar.

Pernah dulu, Pak Aji ditangkap polis kerana mempengerusikan Ceramah Tok Guru Haji Dollah yang begitu tersohor. Dia tidak mengalah! Dia yang bagi kata dua pada polis. Pasal permit, kata Pak Aji, partinya telah mohon tapi pihak polis tak respon. Soal polis tak bagi, itu bukan urusan dia. Begitulah tegasnya Pak Aji Godak.

Hingga Inspektor Ali Keramat terkumat-kamit menepis hujah Pak Aji. Akhirnya ceramah itu diteruskan. Kalau tak silap, Haji Mahfuzah jadi penceramah keduanya. Sebab dia yang pam semangat orang-ramai bagi derma. Banyak juga dikutip malam itu. Agaknya lebih RM13,000.00.

Mesyuarat sudah bermula. Al-Fatihah sudah dibaca. Ustaz Fisollullah minta Pak Aji bentang laporan macam mana Unit Kejiranan Taman Dato’ Memanda Menteri yang diketuai beliau boleh anjur Karnival Kesihatan dengan kerjasama Hospital Tongkah Pecah dan Klinik Kelubi Segar.

Macam biasa. Suara garau ala-ala Mohd Saqun memecah kesunyian mesyuarat itu. Ringkasnya, Ustaz Fisollullah memuji penglibatan Pak Aji dengan masyarakat sekelilingnya. Pak Aji memang menjadi tempat rujukan penduduk taman itu sejak delapan tahun lalu.

Jika ada kenduri-kendara atau kematian, Pak Ajilah orang nombor wahid yang dicari. Kalau balik kampong, maka “pening lalatlah” orang taman itu. Bukan orang taman itu tidak tahu, Pak Aji orang kuat Partai Kopiah Putih. Tahuuuu!

Orang Parti Keris Telanjang tahu. Orang Parti Bintang 14 tahu. Malah Dato’ Hitam Kelabu yang jadi Ketua Cawangan Parti Keris Telanjang yang tinggal tepi penjuru atap Surau Al-Kitabun pun kagum dengan Pak Aji Godak.

Pak Aji Godak boleh diterima oleh semua. Tapi dia tak pernah berkompromi dalam soal dasar parti. Pak Aji bukan hidupan dua alam. Dia ada prinsip. Dia tegas! Soal parti katanya, soal aqidah!

“Agak ana, orang hospital dan klinik tu bagi kerjasama sebab kita mampu kumpulkan masyarakat taman tu. Ana tak dapat rekemen Dato’ Susuk atau Dato’ Hitam Kelabu. Yang ana tahu, Dato’ Hitam cuba ganggu. Dia bagi tahu orang Surau Kitabun, yang Karnival itu program Partai Kopiah Putih. Parti pembangkang katanya,” tegas Pak Aji memulakan bicara.

Karnival itu, betul-betul berjaya. Hampir 80% orang taman itu turun. Walhal, yang mengendalikan Karnival terdiri dari YDP Haji Is, TYDP Ustaz Suhai, Naibnya, Haji Jam dan ramai lagi. Merekalah yang ke hulu dan ke hilir. Ke tengah ke tepi!

Pak Aji Godak mengundang YB Tok Guru Haji Azhari merasmi dan melancarkan Karnival yang julung-julung kali diadakan itu. Entah berapa ribu orang taman itu keluar, susah dibilang dengan jari. Tetapi masa derma darah, Dato’ Hitam kelihatan makin kelabu raut mukanya. Ingat dia, tak dapat sambutan.

“Aku ingat kecik. Beso program tuuu! Yang hospital dan klinik datang buat binatang apa? Aku mesti report dekat Tan Sri Kurap Panau. Tak boleh jadi macam ni. Lambat laun, kalah Keris Telanjang,” bentak Dato’ Hitam kepada dua tiga orang pengampu Cawangan Parti Keris Telanjang, yang melepak kat kedai kopi Tok Mok.

Sejak Parti Kopiah Putih menganjurkan Karnival Kesihatan di taman itu, nama harum Pak Aji terus menyakitkan mata dan telinga Dato’ Hitam dan Dato’ Susuk. Partai Kopiah Putih mula jadi sebutan. Kaunter Borang Ahli yang terletak dekat Gerai Briani Kambing Tok Dol, sebaris Mini Market Kohilal mula jadi perhatian.

Kata Bong Ramli, Setiausaha Pak Aji dalam Unit Kejiranan, sejak karnival sudah 1,231 penduduk taman itu jadi ahli Partai Kopiah Putih. Lebih kurang lima bulan selepas karnival.

YDP, Haji Is telah menyampaikan sijil keahlian kepada ahli-ahli baru kira-kira seminggu lalu. Di PASTI Padang Lalang, sebelah Taman Memanda Menteri. Ramai juga yang turun. TYDP, Haji Suhai, SU Haji Maellah yang beriya-iya menjamu mereka dengan briani kambing kurma. Aqiqah, katanya.

Sejak itu, Pak Aji Godak tidak serik-serik menganjurkan program kemasyarakatan. Dibuatnya ceramah kesihatan “Bahaya Barah Payu Dara” di kalangan kaum ibu di rumah Mak Timah. Dianjurkanya “Kursus Memasak Puding Gula Hangit”. Di rumah dia sendiri, pernah diadakan “Motivasi Keibubapaan”. Diundangnya Dato’ Husin Ali yang tersohor kat tv tiga suku.

Satu ketika, dikumpulnya mat rempit taman itu, dianjurnya sukaneka dan pertandingan motorsikal paling kreatif. Penyertaan percuma. Hadiahnya lumayan juga. Duit RM500. Dia dapat tajaan dari Syarikat Tenggelam Timbul, milik Tok Ngah Jering.

Paling menarik, Pak Aji pernah buat demontrasi memadam api di Tapak Pasar Malam Taman Memanda Menteri. Bomba datang. Apa lagi, pening kepalalah Dato’ Hitam dan suku sakatnya, bila tengok ramai penyokong kuat Parti Keris Telanjang, mengerumun program itu.

Hendak jadi cerita, hari Ahad ini, Pemadam dan Polis sanggup mengadakan Pameran dan Ceramah Anti Dadah kat Surau Kitabun, yang Pak Aji Godak jadi Imam dan jadi Pengerusinya. Maka pening kepala dan muntah tahilah Dato’ Hitam dan Dato’ Susuk berdepan dengan kebijaksanaan pemimpin Parti Kopiah Putih itu, Pak Aji Godak!

Sanggah Apa? Pasal Apa? Blog Apa?


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM


TELAH lama berlegar dalam kepala untuk membina blog sendiri. Jam 11.40 malam tadi, Dr. Mohd Hasyim menghubungi saya di rumah. Katanya, nak jumpa sekejap. Saya bergegas menuju Danau Kota. Dr. Mohd Hasyim adalah kenalan lama saya sejak hujung 80an.

Buku pertama saya, suatu cacatan tentang Pilihan Raya Umum 1990 berjudul "Mampukah Ulama Mentadbir?" telah diterbitkan oleh beliau. Seorang yang idealis dan bersahaja. Beliau mengasaskan Gedung Gua, Ad-Dakwah dan G.G Edar. Suatu industri minda yang hebat, pernah diteroka pada waktu itu.

Hampir tiga jam kami berbual. Dr. Mohd Hasyim akan berangkat ke Sarawak. Barangkali, sekarang sudah berada di Kuching. Katanya, untuk meninjau politik di sana dan bertemu beberapa orang kenalan.

Saya begitu tertarik dengan blogibnuhasyim, yang digenyehnya setiap hari bagi memuntahkan idea dan sanggahannya berkenaan politik tanahair. Dr. Mohd Hasyim membina blog itu untuk menajamkan kreativiti mindanya. Begitulah katanya dulu. Saya fikir, menarik juga, pandangan dan ulasannya berkenaan pelbagai isu.

Hajat saya untuk membina blog kembali ghairah. Saya pulang jam 3.15 pagi tadi. Terfikir untuk mengodek-godek internet, bikin blog sendiri. Duduk tak diam, saya mulakannya secara merangkak-rangkak.

Akhirnya, saya kata saya telah berjaya buat blog.... maka menetaslah blog sanggahtoksago.com. Saya harap ianya sarat dengan sanggahan membina untuk ummah sejagat! Moga-moga inisiatif ini akan diberkati Allah Azawajjala. Amin!