KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

Bapa mendiang Teoh tidak percaya, anaknya bunuh diri di Pejabat SPRM itu!

Teoh Leong Hwee, 62, ayah Teoh Beng Hock

Soh Cher Wei, 28, tunang Teoh Beng Hock

MELAKA:
Teoh Leong Hwee, bapa kepada Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, 30, yang ditemui mati secara misteri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan kematian penuh misteri anaknya itu disebabkan penganiayaan dan bukannya terjatuh atau bunuh diri, lapor Zaili Muhammad.

Menurut Leong Hwee, pemandu teksi, 62, beliau tidak dapat menerima tuduhan yang mengatakan anaknya terjatuh atau bunuh diri kerana Beng Hock sebelum itu kelihatan begitu gembira sekali menguruskan persiapan perkahwinan bersama tunangnya.

"Saya tak boleh terima! Dia kata anak saya terjatuh atau bunuh diri kerana beliau dijadualkan mendaftarkan perkahwinannya pada hari Jumaat (17 Julai) tetapi dia ditemui mati pada hari Khamis di pejabat SPRM.

"Mereka (SPRM) tahan anak saya. Kami sekeluarga pun tak tahu. Pada hari kejadian saya ada telefon dia tapi tak jawab. Biasanya dia akan telefon semula.

"Dia ditahan langsung tak ada berita. Hari Sabtu janji mahu kahwin dan barang-barang semua dah beli tiba-tiba kami dapat tahu dia meninggal dunia. Itupun hanya tahu dia mati melalui suratkhabar," kata Leong Hwee kepada Harakah.

Beliau mengakui Beng Hock merupakan seorang anak yang baik, selalu bertanya khabar dengan ibunya dan dia tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapapun.

"Saya marah! hati pun banyak sakit, kalau tuan punya anak jadi ini macam! apahal? Saya minta Yang Dipertuan Agong tubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat secara telus dan terbuka kes ini. Kerana kami sekeluarga ingin tahu punca sebenar kematian mendiang," ujarnya.

Harakah sempat menemui tunang mendiang, Beng Hock, Soh Cher Wei, 28, seorang guru, memberitahu beliau pun tidak dimaklumkan oleh sesiapa sewaktu Beng Hock ditahan dan hanya mengetahui kematiannya melalui suratkhabar.

"Kami berkenalan sejak lima tahun lepas ketika sama-sama belajar di UKM tetapi perhubungan kami mula serius sejak dua tahun kebelakangan ini. Kami mengambil keputusan bertunang pada minggu lepas dan dijangka berkahwin Jumaat lalu.

"Saya harap kerajaan buat siasatan secara menyeluruh berhubung kematian Beng Hock yang menimbulkan tanda-tanya kepada orang-ramai," tegasnya penuh hiba.

Beng Hock merupakan anak ke empat daripada lima adik-beradik sebelum ini bekerja di Sin Chew Daily sejak 2004 dan meletak jawatan selepas Pilihan Raya Umum ke 12 apabila ditawarkan sebagai Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Suasana sedih iringi perarakan Teoh, lebih 1000 penyokong hadir


MELAKA: Orang-ramai dari pelbagai lapisan masyarakat mula berhimpun di depan rumah keluarga Teoh Beng Hock, Taman Seri Kelemak, Alor Gajah, di sini, bagi menghadiri upacara pengkebumian mendiang seawal jam 8.30 pagi, lapor ZAILI MUHAMAD.

Upacara keagamaan bermula jam 9.00 pagi dan mendiang Teoh dibawa dari Taman Seri Kelemak kira-kira jam 11 pagi, untuk dikebumikan di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Antara yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar; Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari, Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Khalid Jaafar, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Dato' Chua Jui Meng.

Mereka kemudiannya berarak beramai-ramai dengan berjalan kaki sejauh satu km sambil membawa poster dan kain rentang yang antara lain berbunyi "jangan biarkan Beng Hock mati sia-sia" dan "Keadilan untuk Beng Hock, jawapan untuk rakyat" di mana kemudiannya mereka menyambung perarakan itu menggunakan kenderaan terus ke Semenyih

Perarakan pengkebumian tersebut bermula jam 10.45 pagi dengan mengiringi kenderaan yang membawa keranda mendiang yang dihiasi ikatan kain merah sebagai tanda kematiannya secara mengejut, di samping itu turut sama dalam perarakan ialah beberapa persatuan dan pertubuhan Cina.

Menurut Salahuddin Ayub, bahawa beliau hadir sebagai wakil daripada PAS bagi melahirkan rasa sedih terhadap tragedi yang menimpa keluarga Teoh dan kami mengucapkan takziah di atas apa yang berlaku.

"Saya harap keluarganya dapat menerima apa yang telah terjadi dan bersabar sehingga tertubuhnya nanti satu suruhanjaya bagi menyiasat kejadian tersebut dengan telus dan adil.

"PAS merakamkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku ke atas Beng Hock dan apa yang penting kita mengharapkan satu siasatan yang berintegriti dari pihak terbabit supaya insiden seperti ini tidak berlaku lagi," kata beliau.

Beliau turut melahirkan rasa dukacitanya terhadap pendekatan siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperlihatkan sikap pilih-kasih terhadap Adun-Adun Pakatan Rakyat dan ianya dilihat semacam dipergunakan Bn bagi mengambil-alih kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Sedangkan bagi saya isu yang lebih besar seperti pembinaan mahligai oleh mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo langsung tidak diberi perhatian oleh SPRM.

"Kita mahu satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan segera untuk menyiasat insiden ini kerana ianya melibatkan kepentingan awam yang mahu melihat siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa campur-tangan pihak-pihak yang berkepentingan," ujarnya.

Perlu ada undang-undang jelas kaedah siasat SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu ada undang-undang yang jelas berhubung kaedah penyiasatan yang dijalankan ke atas saksi, seperti mana prosedur yang dijelaskan dalam pasukan polis iaitu undang-undang lokap yang hanya membenarkan soal siasat dijalankan pada jam enam pagi hingga enam petang.

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, mendiang Teoh Beng Hock adalah seorang saksi sudah pasti cara soal siasat berbeza dengan suspek dan keadaan ini harus dijelaskan oleh SPRM.

Katanya, kaedah penyiasatan itu haruslah dijelaskan sama ada ia mematuhi ukuran hak asasi manusia antarabangsa atau tidak.

"SPRM harus jelaskan apa kaedah atau undang-undang yang dipakai berkaitan soal siasat, jika tidak ia akan menimbulkan keresahan rakyat memandangkan sekarang ini bukan kezaliman berlaku tetapi membabitkan kematian," katanya semasa dihubungi.

Sebab itulah, jelas beliau Pakatan Rakyat mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini termasuklah memperhalusi semula siasatan.

"Sudah sampai masanya satu suruhanjaya penambahbaikan pasukan rasuah ini diwujudkan,"katanya.

Mengulas tempoh penyiasatan terhadap saksi Beng Hock berhubung penyalahgunaan peruntukkan Adun Selangor sehingga 3.45 pagi, bagi beliau ianya satu kaedah yang kejam.

"Jadi kalau kita hukum dia dan menyiasat sehingga 4 pagi itu sudah satu hukuman terhadap beliau, kerana apabila seseorang itu tidak bersalah dia sepatutnya bebas," katanya.

Tambahnya, mereka yang dikatakan saksi dibolehkan untuk tidak menghadirkan diri dalam sesi soal siasat, SPRM pula tidak boleh memaksa saksi itu untuk tampil.

"Kita adalah saksi dan SPRM kenalah layan kita sebagai saksi
pada saya layanan saksi adalah layanan sebagai seorang manusia apatah lagi dia bukannya susupek," katanya.

Justeru, kata Shamsul kenyataan rasmi daripada SPRM bahawa penyiasatan ke atas Beng Hock sehingga waktu pagi adalah satu pengakuan bersalah kerana tidak ada mana-mana badan penguatkuasa di dunia yang menggunaakan pendekatan penyiasatan seperti itu.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan prosedur yang dijalankan oleh SPRM selama ini telah digunakan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

PAS dah tutup buku tentang soal Kerajaan Perpaduan - Mustafa Ali

MUQADIMMAH: Retreat PAS yang diadakan di Kedah pada 18, 19 dan 20 Julai lalu telah menyelesaikan salah faham tentang Kerajaan Perpaduan selain membincangkan isu munaqasyah ucapan dasar Presiden. Perbincangan penuh kekeluargaan itu dilihat bakal melajukan ayunan PAS bergerak ke hadapan. Ikuti Interbiu Eksklusif WAN NORDIN WAN YAACOB dengan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali di Pejabat Urusan Harakah pada 21 Julai lalu mengenai hasil retreat di Kedah baru-baru ini.

Pertamanya boleh Dato' ulas perkembangan sewaktu 'retreat' PAS di Kedah baru-baru ini, apa hasilnya dan apa permbaharuan yang dibuat PAS sebaik selesai permukiman tersebut?

DATO' MUSTAFA ALI: Tujuan utama 'retreat' ialah untuk membincangkan ucapan dasar Presiden PAS sewaktu Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Ia sememangnya satu program yang tiap-tiap kali kita adakan selepas muktamar. Tentang munaqasyah ucapan dasar dan kemudian ketua penerangan akan membuat satu perbincangan untuk kita jelaskan kepada ahli di bawah.
Soal munaqasyah ini dibuat dalam retreat supaya perbincanagn mengenai apa yang kita follow up untuk diperturunkan ke bawah dari segi pelan bertindaknya. Biasanya ada satu semacam seminar atau munaqasyah di peringkat pusat tentang ucapan dasar itu, tetapi kali ini kita tak buat ini kerana kita bincangkan pada retreat di Kedah.
Apa yang perlu kita lakukan itu akan disusuli dengan perbincangan atau munaqasyah di peringkat negeri-negeri selepas ini bermula Ogos nanti dengan kehadiran pimpinan PAS Pusat.
Mereka akan diisi dengan program ini secara berjadual, Ogos ini akan lengkaplah di setiap negeri. Kita angggap ucapan dasar ini sebagai satu pandangan menyeluruh pendirian parti, hala tuju parti yang diucapkan sewaktu muktamar.
Apakah ia dapat difahami secara mendalam jika tanpa sebarang penjelasan lebih lanjut di peringkat negeri dan seterusnya? Apakah ia dapat benar-benar sampai ke bawah untuk dilaksanakan? Inilah yang mahu lakukan dari segi pelan pelaksanaan itu di peringkat negeri, dan diteruskan di peringkat bawah termasuk dewan-dewan negeri dan kawasan, itu antara yang utama kita bincangkan.

Adakah isu Manek Urai turut dibincangkan?

Retreat ini secara kebetulanlah dibuat selepas Pilihan Raya Kecil Manik Urai. Sebenarnya kita telah lama membincangkan retreat ini, sebelum pilihan raya Manik Urai lagi. Maknanya sebaik habis muktamar kita dah rancang.
Memanglah pilihan raya itu berjalan tetapi retreat ini bukanlah wadah utama untuk membincangkan Manik Urai. Tetapi kita mendapat laporan di retreat itu awal daripada Pengarah JPP, Ustaz Halim Abdul Rahman berkait dengan perjalanan penilaiannya, tetapi itu sebagai satu laporan awal. Jadi kita buat keputusan satu post mortem di peringkat pusat akan diadakan untuk lihat dari pelbagai sudutlah. Sebab post mortem ini memang kita kena lihat dari pelbagai sudut.

Apa faktor yang menyebabkan PAS menang tipis?

Memang kita alami kemenangan yang tipis di Manek Urai tetapi kita perlu juga melhat apa faktor-faktor yang mungkin sebabkan hal demikian itu. Biasanya berdasarkan pengalaman saya, sebagai yang pernah buat post mortem dia tak boleh lari dari dua faktor iaitu faktor dalaman dan luaran.
Luaran ini kalau kita kata ada dari sudut BN ini lumrah. Mereka gunakan agensi kerajaan dan rasuah. Ini sebagai satu lumrah dalam mana-mana pilihan raya kecil atau umum. Ia bukan rahsia umum, cuma faktor luaran ini faktor yang didatangkan oleh lawan kita di luar dari kemampuan untuk menyekatinya. Dikatakan misalnya janji nak buat macam-macam, ini luar kemampuan untuk kita atasinya.
Namun, persoalannya apakah janji-janji ini mampu untuk ditunaikan itu yang kita kena perhatikan, atau berkesan kepada pengundi. Ini kita kena lihat apakah ia menyebabkan pengundi tertarik dengan janji itu sedangkan janji-janji seperti ini biasa ditabur BN dalam pilihan raya.
Jadi ada banyak sudut yang kita kena lihat. Dalam laporan awal Manek Urai, ada menyatakan sokongan pengundi muda yang agak beralih. Adakah berlaku perubahan besar? Pengundi luar bagaimana? Ini faktor yang perlu dilihat. Dalam waktu singkat selepas pilihan raya ini kita tak boleh buat laporan serta-merta. Kita tak akan dapat satu keputusan yang lengkap, yang menyeluruh dan objektif. Justeru perlu kepada satu post mortem.

Apa pula faktor dalaman yang Dato' boleh kaitkan?

Faktor dalaman pula, PAS kena lihat kalau ada faktor yang boleh melemahkan jentera kita sendiri, yang disebabkan oleh kita yang bukan kerana orang lain. Tetapi kelemahan yang berlaku dalam PAS itu sendiri, ini kita kena lihat adakah ia faktor yang menyebabkan kemenangan tipis ini perlu dilihat oleh jawatankuasa ini.
Jadi kita dah lantik pengerusi iaitu Naib Presiden, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man untuk ketuai post mortem ini dan beliau sendiri akan membentuk kumpulan bedah siasat. Di peringkat Kelantan sendiri juga akan buat post mortemnya sendiri. Kita akan lihatlah apa hasil yang akan diperolehi nanti.

Selaku bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, tentunya Dato' ada pengalaman mengenai post mortem ini. Apakah mungkin pandangan awal Dato' tentang punca menang tipis di Manik Urai?

Pertamanya tak adil nak buat satu penilaian yang objektif sebab PRK kali ini mungkin secara kebetulan saya tak terlibat secara lansung sebagaimana pilihan raya sebelum ini. Kita ada dua jentera. Satu di peringkat negeri dan satu di Pusat.
Biasanya jentara Pusat itu JPP selaku Pengarah Pilihana Raya memainkan peranan yang pentinglah, bersama-sama dengan negeri mengatur strategi dan jentera. Kita putuskan jentera hanya di peringkat negeri tiada dua lapis, yang biasa kita buat seperti di Bukit Gantang dan Kuala Terengganu.
PAS ada dua peringkat sebagaimana BN ada pengarah negeri dan pusat. Kita kali ini tiada di pusat yang ada di negeri. Keterlibatan saya itu tak mungkinkan saya buat penilaian yang mendalam dan adil. Kita tunggu hasil laporan post mortem itu.

Berbalik kepada retreat, apakah agenda PAS dari sudut pemerkasaan parti?

Pemerkasaan dalam parti ini banyak perkara. Dalam retreat ini kita ada banyak komponen pertamanya munaqasyah ucapan dasar Presiden. Sebelum itu dimulakan dengan Mesyuarat PAS Pusat itu sendiri.
Dalam mesyuarat itu beberapa program parti telah dikemuka dan diluluskan, antaranya yang telah dikemukakan oleh Lajnah Pemerkasaan Parti yang diketuai, Salahuddin Ayub (Naib Presiden). Apa yang dicadangkan untuk dilakukan berhubung pemerkasaan parti, kita boleh lihat banyak sudut pemerkasaan, persoalan organisasi dan keterlibatan tenaga yang gerakan perjuangan untuk dimantapkan. Itu pemerkasaannya.
Saya sendiri secara konseptualnya melihat parti ini ada empat komponen. Pertama dasar parti dari dasar ini, saya lihat dah jelas dan dah difahami semua. Dasar kita dahulu hingga kini tak berubah.
Kedua, organisasi bagaimana is disusun bermula dari Majlis Syura, Jawatankuasa Pusat, dewan-dewan di peringkat Pusat, dan perhubungan negeri seterusnya dewan-dewan di negeri dan kawasan serta cawangan. Ini organisasi, kalau pemerkasaan itu untuk organisasi inilah ruang lingkupnya.
Ketiga, soal tenaga yang akan menggerakkan PAS samada bermula dari atasnya iaitu Mursyidul Am hingga Presiden dan hingga ke bawah bergerak cergas dan mantap. Seterusnya soal taktik dan strategi. Bagaimana kita teruskan dalam perjuangan ini. Tiga benda boleh berubah, organisasi, tenaga, taktik dan strategi tetapi dasar kita tetap tak berubah dan sejak dahulu hingga kini PAS terus dengan dasarnya.
Taktiknya, kita kena tahu PAS ini sebagai satu parti yang bukan sahaja politik tetapi dakwah. Semasa pilihan raya kita jalankan kedua-duanya. Jika tiada pilihan raya pun kita akan terus bergerak dengan dakwah ini. Kita bukan sahaja berpolitik dalam pilihan raya, kita juga berdakwah untuk menjelaskan Islam. Dakwah dan politik sekali jalanlah.

Dalam konteks politik pula bagaimana?

Soal masuk pilihan raya, adakah kita masuk sendirian, atau masuk dengan kerjasama politik Pakatan Rakyat atau sebelum ini dengan Semangat 46. Ini satu startegi. Akhirnya dalam retreat kita putuskan terus bersama Pakatan Rakyat. Ini tiada berubahlah, tiada khilaf lagi.
Ini perlu dikukuhkan dan perkasakan. Memperkasakan parti, kita bukan sahaja perkasakan organisasi dan jentera, tetapi kita juga memperkasakan Pakatan Rakyat itu sendiri terutamanya dalam menghadapi pilihan raya ke-13 ini.
Tak berbangkit lagilah, ada juga yang tanya pasal Kerajaan Perpaduan. Tetapi ini telah dijelaskan dan telah diselesaikan. Menghadapi Pilihan Raya ke-13 ini kita akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat. Tentang Kerajaan Perpaduan ini kita dah tutup buku. Sudah selesai dalam retreat baru ini, masing-masing boleh bercakap secara terbuka dalam retreat baru ini. Pimpinan pun telah jelaskan.

Soal Kerajaan Perpaduan telah selesailah?

Salah tanggapan kita telah selesaikan, bincang secara terus. Kita dah bincangkan.

Adakah satu jawatankuasa yang dibuat untuk memantau perjalanan negeri-negeri yang ditadbir PAS?

Kita ada semacam satu jawatankuasa penyelaras negeri Pakatan Rakyat, parti-parti tetapi oleh kerana ini baharu, ia belum lagi dibuat. Dalam suasana yang sepatutnya kita akan lihat fungsinya berjalan sejauhmana berkesan atau tidak.
Tetapi jika ada masalah berbangkit, pimpinan negeri itu akan bincang dengan pimpinan komponen Pakatan Rakyat di negerilah. Sepanjang 16 bulan dapat selesaikan masalah ini, isu babi di Kedah telah selesai oleh kerana ditangani baik oleh Ustaz Azizan.
Isu dalam negeri tak libatkan komponen. Isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang tak libatkan parti komponen. Itu mereka selesaikanlah. Yang lain dari semasa ke semasa kita kena lihat.

Hubungan Pakatan Rakyat setakat ini bagaimana?

Saya rasa pada waktu ini hubungan baik, tetapi perlu diperkemaskan kerana saya lihat hubungan ini diperingkat Pusat kerana kita selalu bertemu antara pimpinan Pakatan, tetapi di negeri mungkin belum semantap yang perlu diwujudkan justeru kena mantapkan lagi.

Hujjah Umno menyeleweng dari Islam! - Dato' Harun Taib

DALAM satu wawancara di antara Rasulullah SAW dengan setiausaha sulitnya Huzaifah Al-Yamani antara lain, berkata Huzaifah: "Orang selalu bertanya nabi akan kebaikan tetapi aku bertanya baginda tentang keburukan, kerana aku bimbang akan terjerumus kedalamnya. Aku (Huzaifah) bertanya: "Wahai Rasulullah kami dahulu nya berada dalam kejahilan dan keburukan, maka lalu Allah mendatangkan kami kebaikan ini (Islam). Maka apakah selepas kebaikan ini akan berlaku keburukan pula?" Rasulullah saw menjawab: "Ya (berlaku pula keburukan)", Maka aku bertanya lagi: "Apakah selepas keburukan itu ada pula kebaikan?" Rasulullah saw menjawab: "Ya, akan tetapi di dalamnya (kebaikan itu) ada lagi keburukan yang terpendam". Huzaifah bertanya lagi: "Apakah yang dikatakan keburukan yang terpendam itu wahai Rasuluilah?". Rasulullah bersabda: "Terdapatnya suatu kaum yang tidak lagi mengikuti sunnah aku dan tidak pula menerima pakai hidayah dan petunjuk yang aku bawa. Kamu kenal mereka dan kamu mencegahnya", Huzaifah bertanya lagi: "Apakah selepas kebaikan itu berlaku pula keburukan?", Rasulullah saw menjawab: "Ya, Kamu akan dapati para pejuang yang sedang berada diambang pintu neraka jahanam. Sesiapa yang mengikut mereka akan diheret ke dalam neraka", Huzaifah berkata lagi: "Beritahu kami ya Rasulullah apakah sifat sifat mereka itu?". Rasulullah SAW menjawab: "Mereka dari keturunan kita dan bercakap dalam bahasa kita", Huzaifah bertanya lagi: "Apakah arahan kamu kepada kami jika keadaan itu menimpa kami?", Rasulullah saw bersabda: "Kamu wajib bersama-sama jemaah muslimin dan kepimpinan mereka". Huzaifah bertanya lagi: "Jika pada waktu itu tidak ada jemaah muslimin dan tidak ada pula pimpinan mereka?". Rasulullah SAW pula bersabda: "Maka hendaklah kamu mengasingkan diri daripada kumpulan-kumpulan itu semuanya (kumpulan yang tidak menerima pakai sunnah Rasulullah saw dan kumpulan yang sedang berada diambang pintu neraka jahanam) walaupun (dengan sebab itu) kamu terpaksa memakan akar-akar kayu sehingga kamu mati dalam keadaan begitu. - (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Satu pertanyaan, apakah keburukan yang disebut oleh nabi SAW benar benar berlaku pada hari ini? Sebelum saya menjawab soalan ini, ingin saya menarik perhatian bahawa Allah SWT bukan sahaja menjadikan kita, tetapi ia juga menciptakan segala yang diperlukan oleh kita untuk kita hidup di atas dunia ini.

Allah SWT lah yang mencipta udara, matahari, bulan, bintang, air, api, tanah, sumber makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya adalah untuk keperluan hidup jasmani kita.

Sementara itu, Allah SWT juga telah mengariskan panduan bagi kehidupan kita di atas muka bumi ini. la tidak membiarkan kita hidup di bumi ini secara meraba-raba samada cara menghubung diri dengan Allah SWT sebagai pencipta mahupun dalam hubungan sesama makhluk iaitu hubungan dengan manusia, hubungan dengan haiwan, dengan tumbuh tumbuhan dan sekelian makhluk yang lain. Apakah yang wajib kita lakukan, manakah yang wajib kita jauhkan diri daripada melakukan dan apa puia yang hamu kita lakukan.

Dalam perkara wajib, haram, harus dan Iain-lain tidak boleh kita mencari secara meraba raba. Malah Allah SWT telah memberi panduan supaya kita merujuk kepada al-Quran dan Sunnah RasulNya (SAW).

Perkara ini jelas apabila kita rujuk kepada ayat yang pertama daripada surah al-Hujurat yeang bermaksud: "Wahai orang orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu amat mendengar lagi amat mengetahui". - (Al-Hujarat:1)

Begitu juga keadaannya bila kita merujuk kepada sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud: "Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selama lamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-dua nya itu. Iaitu kitab Allah dan Sunnah RasulNya". - (Hadis riwayat Imam Malik)

Di dalam surah Al-Imran ayat 110 antara lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu adalah sebaik baik ummat yang diwujudkan oleh Allah dikalangan manusia, kamu menyuruh berbuat yang maaruf, kamu mencegah melakukan yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah". - (Ali Imran: 110)

Melalui ayat-ayat tersebut Allah SWT dengan jelasnya menyatakan bahawa kita umat Muhammad saw ini dikira sebaik baik umat atas tiga faktor: Beriman kepada Allah, menegakkan yang maaruf dan mencegah yang mungkar.

Sementara yang maaruf itu ialah yang dikira baik oleh Allah manakala yang mungkar pula ialah yang dikira mungkar oleh Allah. Tetapi masih terdapat kaum yang tidak menerima pakai lagi sunnah nabi dan pertunjuk yang dibawa oleh baginda.

Sebagai contoh, jelas kepada kita di mana Umno tidak mengambil dan menggunapakai sunnah dan petunjuk yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW dalam bidang ekonomi, pendidikan, undang undang, sosial, pemerintahan dan sebagainya.

Oleh kerana itu jelas sekali perjuangan di dalam UMNO adalah bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW. Di dalam Al-Quran Allah swt berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah adalah Islam,..." - (Ali Imran: 19)

Tidak pemah berlaku di dalam sirah perjuangan para Nabi dan para Rasul AS. tindakan seperti yang dilakukan kerajaan hari ini yang diterajui oleh Umno di mana pemimpinya menahan dan memenjarakan sebahagian daripada rakyat Malaysia dengan sewenang wenangnya dibawah akta ISA tanpa sebarang pembicaraan dan pembelaan diri.

Dalam hal ini kerajaan yang dipimpin Umno tidak melaksanakan hukum Allah dalam banyak perkara. Tidak melaksanakan hukum Allah itu adalah sebahagian daripada kezaliman. Firman Allah Yang bermaksud: "dan sesiapa yang tidak menjalankan hukum Allah maka ia adalah tergolong ke dalam golongan orang-orang yang zalim". - (Al-Maidah: 45)

Adapun kenapa kita mesti menolak Umno, berdasarkan hadis yang saya utarakan di awal bicara ini dengan jelas menyatakan "kamu hendaklah memisahkan diri kamu dari kumpulan-kumpulan itu (kumpulan yang tidak lagi menghayati sunnah dan hidayahku). Dalam hadis yang lain nabi juga bersabda yang bermaksud: "Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt". - (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Ditulis Oleh DATO' HARUN TAIB
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat

ISA sudah jadi undang-undang keselamatan pemerintah, lapuk & tidak merdeka

ALOR SETAR: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.

"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini 20 Julai lalu.

Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.

"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.

"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Ustaz Idris bidas "terompah kayu" BN tentang fatwa 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Baharom yang menyifatkan gagasan 1Malaysia menepati kehendak Islam kononnya, dianggap Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sebagai kenyataan yang keluar dari ulama yang dianggap 'kuda tunggangan' serta 'terompah kayu' kepada Barisan Nasional (BN).

Ustaz Idris berpendapat kenyataan tersebut menggambarkan wajah 'orang agama' yang digunakan oleh pemimpin sekular di Malaysia untuk menghalalkan tindakan yang dilakukan BN walaupun ia bertentangan dengan syariat Islam.

Jelas Idris, jika Jamil Khir hanya merujuk kepada soal konsep dalam dalam 1Malaysia dikatakan selari dengan tuntutan Islam, ia merupakan satu lumrah biasa yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

"Sebelum ini pihak kerajaan telah mendakwa Malaysia juga menepati dengan kehendak sebuah negara Islam walaupun daripada segi praktikal ia tidak menggambarkan selari dengan tuntutan syarak dan tuntutan Islam.

"Dan konsep Satu Malaysia yang dianggap selari dengan tuntutan syarak kerana hendak mewujudkan kesamarataan hanya retorik yang telah diuar-uarkan dalam rukun negara. Begitu juga dengan slogan yang sering kali digunakan BN iaitu "selamat, makmur dan aman". walaupun negara kita tidak aman dan jenayah sering berlaku," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Kenyataan yang diutarakan Jamil Khir juga bertentangan dengan apa yang diaplikasi kerajaan terhadap rakyat. Sebaliknya jelas Ustaz Idris, apa yang berlaku adalah hak kesaksamaan sesama BN untuk pemimpin serta kroni BN semata-mata.

Jamil Khir dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan Gagasan 1Malaysia yang membentuk pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini menepati kehendak dalam tuntutan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, Islam menyatakan manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa bangsa, kulit yang berbeza, budaya serta bahasa dengan matlamat saling berkenalan antara satu sama yang lain.

Katanya lagi, 1Malaysia yang berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian adalah satu perkara yang menepati tuntutan Islam.

Pemuda PAS kutuk pembunuhan wanita Islam di Jerman

DEWAN Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Marwa al-Sherbini, seorang muslimat warga Mesir yang mati ditikam oleh seorang pemuda di sebuah mahkamah di Jerman.

DPP Pusat mempersoalkan bagaimanakah insiden ini boleh berlaku di mahkamah, tempat keadilan ditegakkan. Dimanakah kawalan keselamatan terhadap mangsa dan suaminya. Mengapa semudah itu pembunuh menikam mangsa sebanyak 18 tikaman serta suaminya tanpa apa-apa tindakan pantas pihak keselamatan bagi menghalang tindakan tersebut.

DPP Pusat juga mengutuk tindakan pihak keselamatan menembak suami mangsa yang cuba menyelamatkan isterinya dari serangan pemuda tersebut.

Umat Islam melihat kes ini bersifat rasis (perkauman) dan cubaan menghidupkan sentimen anti Islam (Islamfobia). Sebelumnya, pembunuh tersebut telah didakwa di mahkamah kerana menghina wanita terbabit dengan mengaitkannya dengan pengganas. Apabila dia didapati bersalah, dengan sewenang-wenangnya pembunuh tersebut bertindak ganas dengan menikam mangsa bertubi-tubi tanpa apa-apa halangan dari pihak berkuasa.

Lebih menyedihkan suaminya pula ditembak oleh pengawal keselamatan hanya kerana menyelamatkan nyawa isterinya. Seolah-olah pihak berkuasa meredai tindakan pembunuhan ini!

Bagi mendapatkan keadilan, di samping menuruti hak asasi manusia, DPP Pusat mendesak kerajaan Jerman memohon maaf kepada umat Islam di atas insiden yang berlaku. Pembunuh tersebut mesti dihadapkan ke mahkamah dan dihakimi dengan seadilnya.

DPP Pusat menegaskan kejadian seumpama ini tidak harus berulang. Umat Islam tidak meredai tindakan zalim dan ganas ke atas sesiapa pun, justeru hargailah nilai kemanusiaan ini.

HJ NASRUDIN BIN HJ. HASSAN At TANTAWI
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

PAS tidak mahu jadi Suruhanjaya video Linggam


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mahu Suruhanjaya DiRaja yang dicadangkan banyak pihak, diletakkan di bawah kuasa Parlimen dan bukan di bawah kuasa Perdana Menteri untuk menasihatkan Yang DiPertuan Agung, lapor TARMIZI MOHD JAM
dan WAN NORDIN WAN YAACOB

Ini penting, kata beliau, ia diluluskan oleh Parlimen dan keanggotaannya boleh dicadangkan oleh anggota Parlimen Pakatan Rakyat dan BN secara telus tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan perkara ini di hadapan lebih 10,000 penyokong Pakatan Rakyat di Dewan Serbaguna, Geogrtown, dekat sini pada ceramah perdana memperingati kematian Teoh Beng Hock.

Turut berceramah, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Dato' Salahuddin Hasyim, Senator Tunku Aziz, Dr Mansor Osman, P Ramasamy, Dr Muhajid dan beberapa pimpinan DAP negeri.

Mahfuz berkata, oleh kerana SPRM itu berada di bawah Najib, maka Najib tidak boleh untuk membentuk atau mencadangkan keanggotaan suruhanjaya itu kerana beliau berkepentingan.

"Kita tidak mahu suruhanjaya ini nanti jadi macam suruhanjaya bebas video Linggam. Akhirnya tiada apa keputusan diumumkan. Tiada tindakan diambil," tegasnya.

Beliau juga hairan, mengapa Polis tidak menahan reman pegawai SPRM yang menyiasat Teoh untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pada 21 Julai lalu, kira-kira 20 wakil Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak mendesak supaya menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teo Beng Hock yang penuh misteri.

Memorandum yang ditandatangani oleh tiga pimpinan pemuda Pakatan Rakyat iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Loke Siew Fook diserahkan kepada pagawai Najib di Jabatan Perdana Menteri Putrajaya.

Najib baru sahaja tiba di negara ini selepas menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-15 di bandar peranginan Sharm El-Sheikh, Mesir.

Menurut Pemuda Pakatan Rakyat kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia bukan sahaja kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi juga institusi penguatkuasa kerajaan secara keseluruhannya.

Oleh itu, mereka mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera dan sebaik-baiknya dalam mesyuarat Kabinet 22 Julai 2009 kerana kelewatan tindakan dari pihak Kerajaan hanya akan menimbulkan lebih banyak persepsi yang negatif terhadap pentadbiran Najib.

Sehubungan itu, Ketua Dapsy, Loke berkata, polis tidak mempunyai akauntabiliti untuk menyiasat kes kematian Teoh kerana mereka sendiri berdepan dengan masalah kematian tahanan dalam lokap polis.

Oleh itu, katanya, hanya Suruhanjaya DiRaja sahaja yang boleh menyiasat kes kematian Teoh secara bebas. Malah, katanya, menteri dari Umno, Dato' Seri Rais Yatim dan pemimpin Pemuda MCA turut menyokong desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu.

Tegasnya, ini menunjukkan menteri-menteri BN sendiri tidak mempunyai 100 peratus keyakinan terhadap siasatan polis.

"Ini menyokong lagi desakan kami (ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja)," kata Loke.

Sementara itu, Rais dalam satu kenyataannya menyebut penubuhan Suruhanjaya Diraja boleh menghilangkan keraguan rakyat memandangkan keputusan siasatannya akan dinilai lebih tinggi daripada siasatan pihak lain.

Rais berkata, permohonan untuk diadakan Siasatan Diraja itu seharusnya disokong oleh semua pihak.

"Saya tidak akan membantah cadangan ini kerana berpendapat mungkin inilah satu daripada bidang pentadbiran yang adil," katanya.

Beliau mengulas permintaan keluarga mendiang Beng Hock dan gesaan pembangkang dan beberapa parti politik termasuk MCA dan MIC supaya ditubuhkan suruhanjaya itu bagi memastikan penyiasatan kes kematian Teoh dilakukan secara telus.

Berhubung tindakan sesetengah pihak yang cuba mensensasikan kes itu, Rais berkata, mereka seharusnya memberi peluang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

PAS beri amaran, jangan 'Melayu'kan SPRM dan Polis

KUALA LUMPUR: PAS memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin Umno agar tidak 'Melayu'kan Suruhanjaya Pencegahan Rasauh Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) lapor Irwan Muhd Zain.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayob menegaskan, pemimpin Umno sepatutnya menjaga imej dan integriti SPRM dan Polis bukannya menjadikan kedua-dua institusi tersebut kuda tunggangan mereka.

Beliau juga menegaskan, pemimpin Umno sepatutnya tidak menjadikan kematian misteri Teoh Beng Hock di pejabat SPRM Selangor sebagai isu perkauman kerana tidak kira Melayu, Cina atau India jika berlaku kematian ia melibatkan kehilangan nyawa rakyat Malaysia.

"Kita (PAS) beri amaran kepada pihak-pihak tertentu agar tidak 'Melayu'kan SPRM dan Polis dan jangan jadikan kematian Teoh sebagai isu perkauman. Pemimpin Umno dan BN sepatutnya menjaga imej dan integriti SPRM dan polis dan tidak menjadikan kedua institusi ini kuda tunggangan mereka," tegas Salahuddin.

Beliau seterusnya menegaskan, usaha beberapa pihak yang cuba menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai melemahkan orang Melayu bila menuntut keadilan diatas kematian Teoh, sebenarnya telah menjatuhkan maruah orang Melayu.

Lebih buruk lagi, tegas Salahuddin bila ada pihak yang cuba menjadikan isu ini sebagai isu perkauman.

Beliau menyifatkan usaha menjadikan kematian Teoh sebagai isu perkauman dengan tujuan membangkitkan kemarahan kaum Cina terhadap orang Melayu sebagai satu tindakan terdesak BN yang semakin hilang sokongan.

Umno-BN, tegas beliau masih lagi leka dengan budaya politik perkauman yang lapuk sedangkan rakyat sudah pun beralih ke politik baru yang tidak membezakan mana-mana kaum sebaliknya lebh mementingkan kesejakteraan seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Isu kematian Teoh mantapkan Pakatan Rakyat - Presiden PAS


ALOR SETAR: PAS bersama-sama rakan Pakatan Rakyat sepakat mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja supaya satu penyiasatan yang bebas, adil dan telus dapat dilakukan terhadap kematian Teoh Beng Hock ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Sebelum ini bukan sahaja orang Cina, orang Melayu dan India pun pernah mati, sama sahaja, melibatkan mati dalam penyiasatan. Di sana adanya kelemahan-kelemahan dalam jentera kerajaan yang perlu disiasat dengan teliti dan adil. Kerana keadilan adalah untuk semua rakyat," ujarnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini 20 Julai lalu.

Terdahulu, beliau menyangkal pertanyaan wartawan mengenai dakwaan dipihak Umno kononnya isu dalam Pakatan Rakyat baru-baru ini adalah taktik PAS dan DAP.

"Itu kena tanya Umnolah, kita tak ada taktik apa, kita terbuka. Keterbukaan dan ketelusan inilah menjalinkan hubungan yang baik antara Pakatan Rakyat. Dan isu terkini yang dapat menyatukan kita ialah dalam menangani isu kematian Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor.

"Walaupun mendiang bukan Islam, tetapi isu kezaliman, isu hendak menegakkan hak dan keadilan tanpa mengira kaum dan agama," ujarnya yang turut menegaskan bahawa isu tersebut antara yang boleh menyatukan Pakatan Rakyat.

Malah, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut serta menyangkal dakwaan tersebut.

"Mereka ingat kita macam dia (Umno) dengan MCA? PAS dengan DAP lain, ingat kita macam dia?" tempelaknya. Beliau turut diminta pihak media mengulas mengenai penyertaan bekas pimpinan MCA, Dato’ Dr Chua Jui Meng ke dalam KeADILan.

"Itu menandakan bahtera BN sudah bocor dan beliau telah bertindak untuk menyelamatkan diri, itu yang sebaik-baiknya. Kita berharap akan banyak lagi tokoh-tokoh yang lain datang kepada kita," katanya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat di sini itu.

Ditanya wartawan kemungkinan perkara itu bertujuan menarik sokongan pengundi Cina, Ustaz Hadi menegaskan Pakatan Rakyat bukan sahaja menang dengan undi Cina tetapi termasuk juga dari pengundi India dan Melayu.

Terdahulu dalam sidang medianya itu, beliau menjelaskan bahawa Retreat yang diadakan itu khusus memberi fokus terhadap dua perkara.

Dua perkara itu terang beliau ialah membincangkan perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan ucapan dasar melibatkan mengukuhkan parti, mengemaskini jentera parti dan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang serta mendengar taklimat daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Ustaz Hadi mengakui, telah banyak kejayaan dicapai walaupun dalam tempoh singkat pemerintahan.

"Alhamdulillah kita mendapat maklumat, banyak kejayaan yang dicapai walaupun dalam tempoh yang begitu pendek. Contohnya program-program yang turun kepada rakyat dan banyak perkara yang ketinggalan di zaman BN dapat kita laksanakan walaupun kita memerintah dalam tempoh yang terlalu terdekat," terangnya.

Melanjutkan penjelasan, Ustaz Azizan memperincikan antara kejayaan tersebut ialah Kedah Sungai Limau Hydrocarbon Hub (SULIHH), tender terbuka yang meningkatkan hasil negeri antaranya pembalakan, pengembangan kampus dan pengajian di Kolej Universiti Insaniah, konsep perbelanjaan berhemah dan tidak rasuah.

DAP tak pernah halang SPRM siasat, tapi mesti telus! - Teng Chang Khim


MUQADIMMAH: Kematian Teo Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah yang dipercayai terjatuh dari bangunan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan beliau merupakan antara saksi penting yang dipanggil berikutan siasatan ke atas tujuh Adun DAP di Selangor. Justeru, Wartawan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan pandangan Ahli Jawatankuasa DAP, Teng Chang Kim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, 20 Julai lalu bagi memperkatakan isu ini.

Apakah sikap DAP dan persepsi masyarakat Cina terhadap kematian Teoh Beng Hock?

TENG CHANG KHIM: Memang masyarakat Cina amat terkilan dengan kematian mendiang Beng Hock. Ini kerana tidak ada penjelasan kepada umum bagaimana punca kematian beliau dari tingkat 14. Dan kita dimaklumkan beliau membunuh diri.
Kemudian versi daripada pihak kerajaan juga berubah-ubah. Dan yang terkini, kita diberitahu melalui laporan bedah siasat mengatakan beliau telah meninggal dunia pada jam 8 pagi. Kenyataan ini bukan sahaja menyebabkan masyarakat Cina bahkan masyarakat umum juga tidak boleh menerima cerita yang bertukar-tukar daripada pihak kerajaan mengenai kes kematian ini.
Pada mulanya kita dimaklumkan beliau membunuh diri. Dan kemudiannya dimaklumkan beliau dijumpai dalam keadaan terlantar pada jam 1.30 tengahari. Dan laporan daripada pakar pula mengesahkan beliau telah meninggal pada jam 8 pagi. Dan ada mengatakan kali terakhir beliau dijumpai pada jam 8 pagi.

Banyak tanda tanya berkaitan kematian Beng Hock belum terjawab. Apa yang saudara harapkan agar pihak kerajaan menyelesaikan isu ini?

Sepatutnya pihak kerajaan mengumumkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes kematian ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mulanya menyatakan tidak akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Tetapi sehari kemudian lain pula ceritanya yang menyatakan kabinet akan membincangkan perkara ini.
Jadi, ini yang menyebabkan masyarakat umum tidak berpuas hati. Bayangkan di Malaysia ini tidak ada tempat yang selamat. Kalau kita berjalan di tepi jalan, berkemungkinan akan diragut. Dan terdapat kes jika masuk dalam lokap ada yang mati. Ditahan dalam SPRM pun mati.
Barangkali kalau kena tahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pun boleh mati juga. Perkara inilah yang kita semua amat tidak puas hati. Untuk kes seperti ini sepatutnya Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menubuhkan pasukan siasatan khas yang dianggotai pakar-pakar yang bebas untuk menyiasat secara menyeluruh kes ini.
Kita tidak boleh benarkan perkara yang sama berlaku. Jika tidak diambil tindakan yang serius oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, masyarakat umum tidak akan berasa puas hati. Selain siasatan segera, sudah tentu Suruhanjaya Siasatan DiRaja perlu ditubuhkan segera.

Kalau Perdana Menteri pulang dari luar negara...

Saya berharap Perdana Menteri akan membuat pengumuman tanpa menunggu mesyuarat kabinet. Sebelum ini terdapat kes seorang tahanan wanita dibogelkan. Pada masa itu, Perdana Menteri sebelum itu membuat pengumuman sewaktu mempunyai tugasan di luar negara. Dan saya rasakan kes Beng Hock ini lebih serius kerana melibatkan nyawa. Jadi sudah tentu ia lebih serius daripada kes tersebut. Dan tidak ada sebab untuk kerajaan melengahkan siasatan ke atas kes ini.

Ini bermakna, saudara tidak menolak kematian beliau satu kes khianat?

Tan Bong Hua merupakan orang yang terakhir menjumpai mendiang Beng Hock di tempat Beng Hock tidur. Dan beliau telah memaklumkan bahawa pegawai penyiasat telah memukul beliau. Kita tidak dapat siasatan daripada pihak polis.
Jadi apabila berlaku kes kematian di pejabat SPRM, pegawai yang terlibat harus ditahan polis untuk siasatan lanjut. Tetapi tidak ada seorang pun yang ditahan polis untuk siasatan. Selain itu, baru hari ini kita mendengar pihak polis dan forensik menyerbu pejabat SPRM. Ini bermakna selepas empat hari kejadian baru pihak polis ke tempat kejadian. Sepatutnya pada hari pertama bukan selepas beberapa hari yang mana bukti-bukti tertentu telah hilang daripada tempat tersebut.
Bagi saya, siasatan pihak polis amat tidak profesional. Sepatutnya seluruh kawasan kejadian dikepung untuk siasatan. Tetapi selepas empat hari baru kita dapati pihak polis menghantar forensik ke tempat tersebut. Sebab itu banyak pihak meragui penyiasatan polis dalam kes ini.

Apakah saudara berpuas hati dengan tindakan drastik SPRM menyiasat tujuh orang Adun DAP yang dikatakan terlibat dengan rasuah?

Kami tidak menghalang SPRM daripada menjalankan tugasnya mengikut lunas undang-undang. Tetapi nampaknya SPRM tidak profesional dalam keadaan seperti ini. Saya cuba kaitkan dengan beberapa kes. Dahulu terdapat kes ada pemimpin yang membawa duit tunai RM20.4 juta ke Australia dan beliau ditangkap.
Kita tidak nampak siasatan dilakukan atau hasil siasatan untuk diumumkan kepada orang ramai. Kemudian kita dengar pula bekas Menteri Besar mempunyai rumah bernilai RM24 juta. Kita tidak nampak kenyataan yang tepat, tegas dan serius.
Tetapi bagi siasatan rasuah tujuh orang Adun ini hanya melibatkan RM2,400 yang mana menyebabkan kematian seorang yang bukan dituduh, yang mana cuma seorang saksi. Daripada keterangan yang diberikan oleh seorang lagi saksi iaitu Tan Bong Hua, beliau menyatakan beliau telah dihukum semasa dalam siasatan yang mana beliau telah disuruh berdiri selama empat jam dan diugut dengan cara yang ganas. Jadi kami juga mempercayai mendiang Beng Hock juga mengalami perkara yang sama.

Apakah tuduhan sebenar SPRM terhadap tujuh orang Adun Pakatan Rakyat ini?

Kita tidak tahu apa tuduhan sebenar SPRM. Bermakna kita belum tahu sama ada mereka telah menemui bukti yang dicari. Sudah tentu SPRM mendapat aduan pihak tertentu sebelum menjalankan serbuan ke Pejabat Exco. Jadi, jika tidak ada bukti yang asas, caranya sedemikian untuk 'memancing' keterangan, saya rasa bukan dengan cara yang begitu.

Cara siasatan SPRM selama 10 jam 45 minit bertentangan dengan etika penyiasatan. Apa yang saudara boleh katakan tentang 'penderaan' ini?

Saya kira selepas SPRM ditubuhkan, terdapat banyak mekanisma yang dapat memperbaiki siasatan. Sepatutnya mereka menggunakan mekanisma tersebut dan bukan hanya menggunakan sebagai 'kosmetik' semata-mata yang mana hanya untuk menunjukkan mereka mempunyai mekanisma untuk mempertingkatkan SPRM. Tetapi sebenarnya mekanisma ini hanya hiasan luaran tetapi tidak ada isi.

SPRM dilihat sedang bertindak untuk membantu Barisan Nasional merampas kerajaan Selangor. Bagaimana kecenderungan ini?

SPRM daripada segi undang-undang mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan. Tetapi siasatan tersebut hendaklah siasatan yang bebas daripada sebarang gangguan dan pengaruh politik.
Sekarang ini dilihat SPRM sebagai satu badan yang memilih bulu. Ia menjejaskan nama baik SPRM dan kerosakan imej SPRM akibat daripada kematian mendiang Beng Hock ini memerlukan masa yang agak panjang untuk memulihkan semula imej SPRM.
Mungkin satu rombakan harus dilakukan. Setidak-tidaknya Ketua Pengarah SPRM, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan meletak jawatan yang menunjukkan bahawa SPRM berhajat membuat pembaharuan.

Warkah Takziah Tok Guru Nik Aziz kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock

27 Rejab 1430 / 20 Julai 2009

Ibu bapa kepada
Mendiang Teoh Beng Hock
D/a Pejabat YAB Menteri Besar Selangor
Tingkat 21, Bangunan SSAAS
40502 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan.

Warkah Takziah

Saya cukup tergamam apabila menerima berita penuh misteri di hari pemergian mendiang Teoh Beng Hock pada awal petang 16 Julai 2009. Lebih tragik apabila bencana yang menimpa mendiang, berlaku sewaktu beliau sedang menjadi tetamu kepada SPRM; ketika beliau sedang memberikan kerjasama ke atas sebuah kes dalam siasatan.

Dalam Islam, tidak syak lagi tetamu wajib dihormati, bahkan dilindungi. Tidak boleh sekali-kali timbul sebarang syak akan status keselamatan tetamu dalam apa jua keadaan kerana sebaik-baik tetamu diterima sebagai tetamu maka Islam secara otomatik mewajibkan jaminan perlindungan diberi oleh tuan rumah. Jaminan perlindungan ini meliputi soal maruah, air muka, keturunan, harta benda dan nyawa. Ini soal hak asasi yang dijamin oleh Islam. Ini konsepnya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku di Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis yang sugul itu cukup-cukup membuatkan saya menjadi terkejut. Hati saya sebak, enggan menerima dan tidak dapat menahan kesedihan. Saya sungguh-sungguh tidak dapat membayangkan bagaimana ini semua boleh terjadi.

Saya cukup yakin, untuk dilantik ke jawatan Setiausaha Politik, sudah tentu mendiang adalah seorang yang terdidik, telah melalui liku-liku pengalaman, dan terdedah dengan pelbagai rancah kehidupan. Bukan senang untuk melahirkan satu-satu bakat, kebolehan dan ketokohan.

Kepada kedua ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mendiang, saya mohonlah berpesan supaya teruskan bersabar. Tabahkan hati sewaktu mengharungi ujian yang segenting ini. Di sisi Islam, jika Allah menguji kita dengan sesuatu musibah nescaya di sana akan ada kebaikan yang akan menanti kita. Terus bersangka baiklah.

Sementara menantikan sebuah Suruhanjaya Bebas di Raja yang perlu di lantik dalam tempoh terdekat, izinkan saya mengangkat sekawat nota takziah buat Tuan , Puan serta seluruh ahli keluarga.

Insya-Allah, kita akan dapat mengetahui punca sebenar yang telah meragut nyawa mendiang melalui siasatan yang sehabis telus dengan pembentukan Suruhanjaya yang sangat diperlukan ketika ini. Jika dalam banyak hal kita sering bercakap tentang integriti dan ketelusan , maka inilah ketika untuk membuktikannya.

Dari siasatan Suruhanjaya itu, rakyat berhak untuk mendapat maklumat penuh tentang apa yang sebenarnya telah terjadi. Sudah tentu andaian-andaian longgar yang sekadar mengesahkan, “mendiang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi” tidak boleh diterima. Saya berharap, jangan ada satupun fakta biarpun sejarum patah, yang sengaja ditinggalkan di dalam peti siasatan sewaktu mengendalikan pos mortem ke atas tragedi ini.

Dalam hal ini, semua pihak harus sedar bahawa melakukan siasatan dan bercakap benar adalah menjadi kewajipan. Jika tidak, di akhirat kelak, dari segi Islam semua orang akan tetap diheret juga untuk dipaksa bercakap benar.

Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “pada hari (itu) dibukakan segala rahsia. Maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu satu kekuatanpun dan tidak (pula) seorang penolong”- [ on the day when men’s consciences are searched (for belief, intention etc.) (at the moment) men shall have no power (to defend himself) and no helper.”] - ( Surah Ath Thaariq: Ayat 9 dan 10).

Sementara itu, teruskan bersabar dan kuatkanlah kesabaran.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS merangkap
Menteri Besar Kelantan

Apabila SPRM jadi sayap baru Umno untuk rampas Selangor?



AHLI Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato' Husam Musa dalam ucapannya ketika Perhimpunan Solidariti Terhadap Teoh Beng Hock di Stadium Kelana Jaya pada 19 Julai lalu mengingatkan hadirin tentang peranan yang dimainkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) - kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak bermula suku tahun terakhir 2008.

Ketika itu, pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh bakal diadakan. Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan kembali bertanding setelah sekian lama terpaksa berada di luar politik negara akibat pertuduhan liwat dan rasuah teknikal yang dikaitkan dengan beliau oleh rejim Tun Mahathir Mohamad.

BPR memerangkap dua orang Adun Pakatan Rakyat Perak dengan mengaitkan mereka cuba menerima sogokan untuk sebuah projek di negeri tersebut. Kedua mereka dituduh meminta wang untuk sebuah projek yang tidak wujud di Perak.

Ramai yang berpendapat, kedua-dua Adun tersebut Jamaluddin Mohd Radzi (KeADILan-Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (KeADILan-Changkat Jering) ditekan dan diugut sehingga mengambil keputusan untuk meninggalkan KeADILan dan menjadi Adun bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Selepas keduanya mengisytiharkan sebagai Adun bebas yang menyokong BN, pertuduhan rasuah terhadap keduanya digugurkan. Situasi ini menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat, kenapa tiba-tiba sahaja tuduhan terhadap kedua Adun tersebut digugurkan selepas keluar dari KeADILan.

Rakyat juga mula ragu dengan peranan yang dimainkan oleh SPRM dalam usaha mencegah rasuah. Apakah sungguh suruhanjaya tersebut benar-benar mahu mencegah rasuah atau menjadi alat BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai lima buah negeri selepas Pilihanraya Umum ke-12 2008.

Selain Perak, Umno-BN juga kecewa bila Selangor turut menjadi milik Pakatan Rakyat. Kerana itu, mereka berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan Selangor kembali ke pangkuan BN.

Modus operandi yang digunakan di Perak turut dilakukan di Selangor dengan menggunakan SPRM untuk menyiasat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikaitkan dengan rasuah kerana menghadiahkan 46 ekor lembu sempena Hari Raya Korban tahun 2008 untuk penduduk Bandar Tun Razak.

Selain tuduhan itu, Khalid juga cuba dikaitkan dengan salahguna kuasa bila menggunakan kereta peribadinya, Lexus sebagai kediaman rasmi menteri besar. Khalid dituduh menggunakan wang kerajaan negeri untuk penyelenggaran kenderaan tersebut.

Namun, SPRM sebagai ejen BN gagal untuk mengaitkan Khalid dengan salahguna kuasa seterusnya tidak berjaya dalam misi mereka membantu BN menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tegas Husam, SPRM sebagai ejen BN tidak pernah berputus asa. Mereka cuba mencari jalan lain bagi memastikan cita-cita untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tercapai. Kerana itu mereka cuba mengaitkan exco dan Adun Pakatan Rakyat dengan tuduhan salahguna dana kerajaan negeri.

Siasatan segera dilakukan. Keterangan mereka yang dituduh diambil dengan secepat mungkin bagi memastikan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tumbang dalam tempoh terdekat. Teoh Beng Hock antara yang dipanggil sebagai saksi untuk disoal siasat. Sasaran mereka Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Teoh digunakan sebagai umpan untuk mensabitkan majikannya dengan rasuah.

Namun, Teoh yang memandu keretanya sendiri ke pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam bersebelahan Hotel Concorde untuk memberikan kerjasama sebagai saksi pada 15 Julai lalu akhirnya ditemui mati keesokan harinya.

Kematian penuh misteri yang menimbulkan banyak persoalan antaranya kenapa SPRM menyoal siasat hingga ke pukul 3.45 pagi dan kenapa mendiang tidak terus balik biarpun memandu sendiri sebaliknya Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Shukri Abdull mengatakan Teoh meminta untuk berehat di Pejabat SPRM selepas disoal siasat.

Kerana itu, Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan itu menyifatkan SPRM sebagai ejen BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sepertimana yang dilakukan di Perak tahun lepas.

Kematian Beng Hock, tegas Husam membuktikan lagi SPRM sebagai ejen Barisan Nasional (BN) dan sanggup melakukan apa saja demi memastikan cita-cita pemimpin BN untuk kembali menguasai Selangor tercapai.

"SPRM kini menjadi ejen BN untuk memastikan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tumbang dan kembali diperintah oleh BN. Apa yang berlaku di Perak tahun lepas sekarang berulang di Selangor dengan cuba mengaitkan exco dan Adun Pakatan Rakyat dengan tuduhan rasuah setelah cubaan untuk mengaitkan menteri besar dengan tuduhan yang sama tidak berjaya.

"Setelah rakyat tidak yakin dengan polis, kini mereka meragui SPRM dengan kematian Teoh Beng Hock dan kita juga ingin bertanya kenapa aduan terhadap pemimpin BN biarpun mempunyai cukup bukti tidak segera disiasat oleh SPRM?" soal Husam.

Sebelum Husam menegaskan demikian, Exco Kerajaan Pakatan rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataannya kepada Harakah, mempertikaikan tindakan SPRM yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Adun-Adun BN yang telah membelanjakan hampir kesemua peruntukan RM500,000 setiap Adun dalam masa satu bulan setengah sebelum pilihan raya umum ke-12 lalu.

Perkara itu bukan rahsia kerana selepas PRU-12, terdapat Adun Pakatan Rakyat yang mendedahkan peruntukan untuk Dun mereka hanya tinggal kurang dari RM500 sahaja sedangkan RM500,000 diperuntukkan untuk setiap Dun. Ke mana habis dibelanjakan wang peruntukan tersebut sedangkan tiada apa-apa projek pembangunan dijalankan dalam tempoh sebulan setengah sebelum 8 Mac 2008?

Tetapi kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh Adun BN maka SPRM tidak segera bertindak malah setelah setahun lebih tiada apa-apa keterangan atau pengumuman tentang kes tersebut.

"Saya tidak dengar ada Adun BN yang disoalsiasat atau pejabat mereka digeledah oleh pegawai SPRM. Dan ini jelas merupakan tindakan 'double standard' SPRM terhadap Adun Pakatan Rakyat berbanding Adun BN," tegas beliau.

Tambah Iskandar lagi, bukan hanya kes melibatkan peruntukan berjumlah RM500,000 yang dibelanjakan oleh Adun-Adun BN dalam tempoh sebulan setengah tetapi aduan mengenai pembinaan mahligai Khir Toyo yang dianggarkan berjumlah RM24 juta juga tidak mendapat perhatian SPRM.

Sebaliknya, ejen BN itu lebih berminat dengan kes yang melibatkan penggunaan RM2,400 untuk membeli bendera kebangsaan kerana ia melibatkan Adun Pakatan Rakyat berbanding kes-kes besar yang melibatkan wang rakyat berjumlah hingga ratusan juta ringgit.

Kematian Teoh memungkinkan usaha SPRM sebagai ejen BN untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan mengalami sedikit kesukaran tetapi itu tidak bermakna mereka akan berhenti setakat itu sahaja.

Pemimpin Umno-BN begitu inginkan Selangor kerana ia merupakan antara negeri terkaya di negara ini. Memiliki kembali Selangor membolehkan banyak lagi wang rakyat boleh dirompak oleh pemimpin BN setelah setahun lebih terpaksa melihat Tan Sri Khalid merakyatkan ekonomi Selangor bukan menambah kekayaan peribadi.

Usaha pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan mengembalikan hak rakyat dengan cara seperti memberikan air percuma amat tidak disenangi oleh pemimpin BN kerana bagi mereka, rakyat tidak seharusnya diberikan kesenangan sebaliknya perlu dibebankan dengan segala macam kesengsaraan agar pemimpin terus menerus hidup dalam kesenangan.

Ditulis Oleh IRWAN MUHAMAD ZAIN

Pelbagai isu, SPRM gagal bebaskan diri jadi alat BN

MUQADIMMAH: Imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) semakin tercalar bukan sahaja dilabelkan gagal dalam menjalankan tanggungjawab membanteras rasuah di peringkat pimpinan Umno dan BN. Terkini imej suruhanjaya itu lebih buruk apabila saksi dalam kawalan mereka terbunuh sehingga menimbulkan tanda tanya. Sejauhmana rakyat boleh menilai kredibiliti SPRM, ikuti pandangan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar ketika diwawancara oleh Wartawan SALMIYAH HARON.

Tidak sampai setahun SPRM menggantikan Badan Pencengah Rasuah (BPR) tapi nampaknya tidak juga menonjolkan ketelusan dalam membanteras gejala rasuah. Mutakhir ini ia dilihat sebagai ancaman kepada Pakatan Rakyat. Betulkan dakwaan ini Dato'?

Saya melihat kewujudan SPRM dengan akta baru dan memansuhkan akta yang lama adalah bertujuan untuk memulihkan imej kerajaan yang selama ini proses pencegahan rasuah dilihat tidak berjalan dengan baik. Berat sebelah dan pilih bulu.
Rupa-rupanya tak menjadi. SPRM ini masih lagi bergelar sebagai "perkakas" yang ditentukan oleh parti yang memerintah iaitu Perdana Menteri. Akta itu dimansuhkan kemudian diwujudkan akta baru yang seharusnya ia lebih memperlihatkan kebebasan dan mesti keluar daripada tunggangan kepentingan politik parti yang memerintah.
Sebaliknya apa yang berlaku dari Januari 2009 hingga kini, ternyata belum sampai setahun kita lihat kes-kes yang dikendalikan oleh SPRM ini hanya membabitkan kes terpilih. Yang jelas tindakan SPRM kali ini seolah-olah memperlihatkan tujuannya untuk merosakkan imej Pakatan Rakyat yang sudah diterima rakyat kerana agenda utama Pakatan Rakyat mahu merealisasikan sebuah negara yang bebas daripada rasuah.
Oleh itu, SPRM ditunggangi oleh BN memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat juga sebuah parti yang mengamalkan rasuah. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak berasas.

Rasuah terus menyelubungi para pimpinan Umno dan BN, bahkan ianya terbukti dalam pemilihan Umno lepas. Bagaimanapun SPRM tidak mengambil tindakan terhadap pimpin Umno sebaliknya lebih memilih dalam melaksanakan tanggungjawabnya...

Apa yang jelas pada hari ini, rasuah bermaharajalela di kalangan pemimpin BN malangnya SPRM tidak mengambil tindakan sebagaimana mereka bertindak ke atas pemimpin Pakatan Rakyat. SPRM tidak siasat pimpinan BN walaupun melibatkan rasuah berjuta-juta ringgit, tetapi apabila ia membabitkan Pakatan Rakyat mereka akan siasat sehingga lubang cacing.
Biarpun ia melibatkan kes kecil dan remeh-temeh yang tidak menggambarkan penyalahgunaan kuasa seperti kes lembu dan kereta. Sedangkan kes mahligai Khir Toyo yang didakwa bernilai RM24 juta tidak diambil tindakan sewajarnya.
Ini jelas! Begitu juga kita lihat SPRM juga gagal mengambil tindakan berapa banyak pemimpin Umno yang terlibat dengan rasuah politik wang dalam pemilihan Umno yang lalu. Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa sebahagian ahli kebinet kerajaan Najib Tun Razak terdiri daripada mereka pengamal rasuah. Jadi macam mana SPRM boleh melepaskan mereka begitu sahaja, tanpa sebarang tindakan. Ini sangat memalukan kerajaan.

SPRM diperkenan oleh Yang DiPertuan Agong. Apakah tindakan badan ini yang tidak menjalankan peranannya sebaik mungkin boleh dianggap satu penghinaan kepada isntitusi raja?

Perbuatan SPRM bagi saya ia sudah menghina Parlimen Malaysia yang telah meluluskan akta ini sehingga wujudnnya SPRM. Bukan sahaja satu penghinaan kepada parlimen bahkan ianya juga satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang bertanggungjawab untuk membuat perlantikan terhadap anggota SPRM termasuklah Ketua Pengarah SPRM Dato' Seri Ahmad Said Hamdan.

Misalnya apa yang berlaku di Selangor, SPRM dilihat mempunyai agenda untuk memberi laluan mudah kepada BN mengambil alih kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Apa pandangan Dato'?

Dakwaan ke atas beberapa orang Exco Kerajaan Selangor adalah tidak berasas, kononnya ada penyalahgunaan wang peruntukan Dewan Undangan Negeri (Dun). Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab Adun untuk menjustifikasikan apa perkara yang dibuat. Kemudiannya seluruh pembayaran itu dibuat oleh pejabat daerah.
Saya faham mekanisma itu, dan itulah yang diguna pakai di mana-mana negeri. Kalau kita lihat sepatutnya SPRM harus mengambil tindakan terhadap Adun BN di Selangor yang sah menggunakan wang peruntukan RM500,000 dalam masa tiga bulan. Hairan peruntukan 2008 habis dalam masa tiga bulan, bagitu juga di Kedah. Dalam tempoh tiga bulan hanya tinggal RM30,000 sahaja untuk Adun Pakatan Rakyat yang baru ambil alih pentadbiran. Kenapa tidak diambil tindakan oleh SPRM dalam kes ini? Nampak jelas SPRM adalah komponen baru BN.

Sehingga kini tidak ada pun siasatan terhadap pimpinan Umno Selangor baik kes yang Dato' sebutkan itu mahupun kes melibatkan rumah agam ala Bali milik Khir Toyo...

SPRM duduk diatas kemahuan politik Umno. Kalau betul mereka hendak bebaskan SPRM mereka kena benar-benar bebas bukannya masih duduk dalam kongkongan parti pemerintah. Ketua Pengarah SPRM dan pegawai-pegawai mereka tidak seharusnya membiarkan mereka ditunggangi oleh kepentingan politik BN.
Mereka harus sedar bahawa gaji mereka dibayar oleh rakyat dan pembayar cukai. Mereka harus rasa malu apabila membiarkan diri mereka menjadi kuda tunggangan sedangkan mereka mempunyai kuasa yang cukup besar menyelamatkan negara kita daripada terjerumus bankrup dengan amalan rasuah.
Sekali gus negara ini akan kehilangan kewangan. Merekalah sepatutnya menjadi penyelamat negara daripada tergadai kepada kepentingan kuasa asing akibat daripada pengamal-pengamal rasuah yang menganggotai kerajaan. SPRM harus sedar fungsi mereka sekarang ini.

Jadi, bagaimana cara untuk kerajaan mengembalikan kuasa sebenar SPRM tanpa dipengaruhi oleh kerajaan yang memerintah?

Saya harap harus ada campurtangan Yang DiPertuan Agong, mahu tidak mahu bagindalah melantik Ketua Pengarah SPRM, Dato' Mohd Said Hamdan. Bagi saya campurtangan Agong sangat penting untuk membolehkan satu rombakan, dari segi keanggotaan SPRM.
Agong harus memanggil Perdana Menteri untuk memberikan amaran ini. Seterusnya, dalam SPRM ini ada satu jawatankuasa khas misalnya aduan, haruslah berfungsi dan bermesyuarat dengan segera untuk meneliti perkara seperti ini. Mereka juga perlu membuat syor-syor tertentu supaya proses pembaikan harus dilakukan.
Saya juga melihat perlu ada jawatankuasa dalam SPRM ini terdiri dari anggota profesional, ahli politik yang pelbagai latar belakang. Seharusnya mereka mengambil tindakan segera kerana hal ini akan membabitkan imej jawatankuasa ini.
Kalau dibiarkan keadaan ini berterusan jawatankuasa ini juga akan dipandangan rendah oleh rakyat. Kecuali mereka yang menggotai SPRM melepaskan jawatan kerana hilang keyakinan akibat daripada pegawai-pegawai di peringkat operasi ini terus ditunggangi kepentingan politik BN.

Sesetengah pihak tidak menolak kemungkinan itu adalah tindakan ganas SPRM dalam menjalankan penyiasatan sebagaimana kes kematian Teoh Beng Hock 16 Julai lalu. Bagaimana Dato' melihat isu ini?

Apa pun bagi saya SPRM harus bertanggungjawab kerana Beng Hock masih dalam kawalan mereka. Ketua Pengarah SPRM tidak boleh melepaskan tangan walaupun 3.45 pagi Beng Hock sudah bebas daripada soal siasat.
Mereka yang membenarkan Beng Hock tidur di situ selepas soal siasat. Ini bermakna mereka masih dalam kawalan SPRM. Mana ada orang boleh masuk dan menceroboh sesuatu tempat kecuali orang yang ada autoriti untuk masuk ke dalam pejabat SPRM. Orang luar tidak ada akses kad masuk.
Dalam kes Dato' Norza yang disiasat bersama beberapa orang beliau turut disiasat, dan membuat laporan polis selepas disiasat oleh pegawai SPRM kerana mendera dan menyiksa mereka.
Bagi saya ini satu perbuatan yang sangat berat, apabila ada dakwaan yang mengatakan ada unsur penderaan sewaktu sesi soal siasat. Kes Beng Hock yang disiasat selama 11 jam dari 5 petang sampai jam 3.45 pagi... sangat keterlaluan.

Wajarkah sehingga 3.45 pagi?

Tidak wajar! Tidak wajar! Maknanya 11 jam satu masa yang cukup mendera dan menafikan amalan dan etika manusia. Dia (Beng Hock) perlu berehat. Jam 3.45 pagi adalah waktu tidur bukannya waktu menyiasat. Kenapa SPRM tidak boleh menyiasat pada waktu siang. Bagi saya ia mempunyai tujuan untuk mendera psikologi dan akhirnya apabila di dera sekali gus fizikal kita juga akan menjadi lemah.

Kreadibiliti SPRM cukup jijik, wajar Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan


BELUM selesai soal kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkatakan, kejadian terbaru membabitkan Setiausaha Politik seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, di bangunan agensi tersebut menghangatkan lagi perbincangan ramai.

Apatah lagi, kematian Teoh Beng Hock, 30 dilihat penuh misteri apabila Teoh telah disoal siasat agensi terbabit dan merupakan tempat terakhir mendiang dilihat sebelum ditemui mati keesokan harinya.

Pelbagai spekulasi timbul. Terjatuh, bunuh diri atau dibunuh. Dengan kredibiliti SPRM sebelum ini, sudah tentu pemimpin Pakatan Rakyat, mahupun rakyat ingin mendapatkan jawapan yang sebenar-benarnya jujur dan telus bagi merungkai segala kekaburan yang wujud.

Dulu dalam tahanan polis, kini SPRM

Jika sebelum ini banyak berlaku kematian ketika dalam tahanan polis, wabak itu kini menular pula ke Pejabat SPRM. Dalam soal ketelusan polis dipertikai, juga SPRM yang dikatakan mengamalkan 'double standard', sudah tentu kejadian seperti ini tidak boleh dianggap 'kematian biasa-biasa'.

Kebimbangan pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat ada asasnya. Ini kerana kejadian menyayat hati itu berlaku di Pejabat SPRM, yang menempatkan sesi soal siasat Teoh yang merupakan saksi bagi dakwaan salahguna dana peruntukan Exco Kerajaan Pakatan Rakyat.

Lebih-lebih lagi, kematian Teoh itu ketika berada di bawah pengawasan pihak SPRM. Biarpun SPRM menyatakan bahawa mereka telah selesai menyoal siasat Teoh pada pagi sebelum kejadian, namun penjelasan itu tidak boleh diterima bulat-bulat masyarakat, apatah lagi Teoh disahkan mati empat hingga lima jam sebelum mayatnya ditemui.

Timbul spekulasi negatif

Permintaan para menteri, pihak polis dan SPRM sendiri supaya tidak menuding jari sebelum hasil siasatan selesai dilakukan memang wajar, biarpun akan menimbulkan lebih banyak spekulasi negatif mengenainya.

Beberapa cadangan seperti penubuhan Suruhanjaya Diraja, dan penggantungan tugas Ketua Pengarah SPRM wajar dilihat secara positif bagi mengelakkan segala kerumitan dan kekaburan yang menyelubungi dapat dijawab secara telus.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu sememangnya dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat 17 Julai lalu, dengan menyatakan kebimbangan terhadap SPRM yang dilihat secara berterusan menjalankan siasatan dan ancaman kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh, selain meneliti kembali teknik dan prosedur siasatan yang dijalankan SPRM.

Kemungkinan cadangan supaya meneliti kembali teknik siasatan itu dibangkitkan apabila sejurus selepas kematian Teoh, Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes sama mendakwa dirinya dipukul dan didera SPRM.

Kematian pertama bawah PM

Selain Pakatan Rakyat, Majlis Peguam serta 16 NGO lain turut mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh melalui Pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Wong Chin Huat.

Mereka yang menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan kematian Teoh berasa kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku dan malangnya, Teoh sekarang adalah mangsa kematian pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan di bawah SPRM.

Desakan demi desakan disuarakan, termasuk ahli keluarga mendiang sendiri - satu pihak yang sewajarnya dilayani kehendak mereka kerana kematian ahli keluarga mereka begitu mengejutkan dan penuh tanda-tanya.

Apatah lagi, apabila ada pihak yang cuba mengklasifikasikan kematian Teoh itu sebagai 'bunuh diri', sedangkan mendiang sedang dalam rangka mendaftarkan perkahwinannya dalam masa terdekat, juga bakal menimang cahaya matanya.

Apa yang diharapkan, jika suruhanjaya akan dibentuk, biarlah yang mengendalikannya terdiri daripada kalangan mereka yang benar-benar mempunyai niat dan hasrat untuk merungkai segala kekaburan. Bukan hanya sekadar menyedapkan hati keluarga mendiang, apatah lagi sekadar untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

Gantung tugas SPRM

Sementara menunggu keputusan sama ada suruhanjaya diraja akan ditubuhkan atau sebaliknya, wujud pula cadangan supaya Ketua Pengarah SPRM digantung tugas serta-merta sehingga siasatan terperinci selesai.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam kenyataannya berkata penggantungan tugas Dato' Seri Ahmad Said Hamdan itu sebagai satu tindakan tanggungjawab beliau memandangkan kejadian berlaku ketika mendiang dalam siasatan agensi berkenaan.

Penggantungan itu pula perlu dikuatkuasakan serta-merta bagi memastikan siasatan secara menyeluruh dapat diadakan. Bukan sekadar Ahmad Said, tetapi ia patut melibatkan Pengarah Siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas-yang terlibat dalam proses siasatan ke atas Teoh.

Kepentingan sidang khas parlimen

Malah, tidak cukup dengan cadangan penggantungan Ahmad Said, Mahfuz turut mendesak satu sidang khas parlimen diadakan bagi membincangkan integriti SPRM yang dilihat terlalu buruk dan menjijikkan.

Lebih-lebih lagi, penubuhan SPRM ini berada di bawah perkenan Yang Dipertuan Agong dan Parlimen, satu institusi yang benar-benar mulia dan bermaruah di negara ini dan menjadi satu keperluan untuk sidang itu dilakukan segera.

'Efisyen'nya SPRM

Sebelum kematian mengejut Teoh, SPRM sendiri sering dipertikaikan apabila dilihat lebih 'efisyen' menjalankan tugas apabila berkaitan pemimpin Pakatan Rakyat. Jika diulang 'drama' SPRM beberapa hari sebelum kematian mendiang, isu agam ala Bali milik Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo menjadi bualan hangat.

Namun, SPRM tidak pula bertindak efisyen seperti yang berlaku dalam kes dakwaan salahguna peruntukan dana beberapa Adun Pakatan Rakyat, serta beberapa lagi kes membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Sudah sampai masanya rakyat diberi hak untuk mendapatkan maklumat dan keputusan siasatan secara jujur, telus dan terbuka. Maklumat tersebut dilihat penting bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap mana-mana institusi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), SPRM, dan berbagai lagi agensi kerajaan lain yang berada di kedudukan terendah!

Ditulis Oleh ANIS NAZRI

Adun Hulu Klang tidak puas hati peruntukan Kerajaan Selangor

MUQADIMMAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib secara terus-terang melahirkan rasa tidak puas hati beliau dengan peruntukkan yang diberikan Kerajaan Selangor kepada Dun seluruh negeri itu. Dalam hal ini biarpun sebagai Adun Pakatan Rakyat beliau tidak menyembunyikan rasa hatinya demi kesejahteraan rakyat yang diwakilinya. Suara hatinya diluahkan kepada wartawan ROY RASUL dalam satu temubual yang dilangsungkan baru-baru ini bagi menyingkap permasalahan beliau menguruskan Dun Hulu Klang.

Bagaimana saudara hadapi kerenah rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kelang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

SAARI SUNGIP: Saya tidak sebut kerenah tetapi saya panggil isu. Peluang untuk saya berkhidmat dengan rakyat memang ada pelbagai isu. Itu realiti kehidupan rakyat kita sama ada berpendapatan tinggi atau rendah.
Jadi semua isu yang ditangani dalam konteks mendekatkan mereka dengan keadilan dan kebenaran. Ini termasuk isu tanah, kebun, isu lesen semuanya saya ambil peluang untuk bertemu dengan dia orang bagi menyelesai dan membantu mereka untuk mereka melihat keadilan Islam.
Itu pendekatan saya. Jadi setiap kali ada orang kahwin, orang sakit, ditimpa bencana seperti banjir dan ribut, sya mendekati mereka dengan pendekatan agar mereka melihat wakil rakyat mereka menjiwai masalah rakyat dan cuba sedaya upaya untuk membantu dan sekaligus menampikan imej positif Islam kepada mereka.

Adakah terdapat perbezaan antara Dun di bandar seperti yang saudara wakili sekarang dengan Dun di luar bandar seperti di Manek Urai.

Bagi saya di Ulu Kelang pun, mempunyai kampung, setinggan, kampung orang Asli, penduduk bandar pun perlu diselesaikan. Kita juga berhadapan dengan rakyat ynag terpinggir, rakyat miskin dengan pendapatan tidak sampai RM200 sebulan.
Walaupun suasananya mungkin nampak macam bandar, kesempitan hidup rakyat itu makin gawat. Maknanya kita berhadapan dengan orang yang ada banglo bernilai RM3 hingga 4 juta dengan orang yang tidak ada rumah.
Jadi masalah itu saya rasa sama ada di Manek Urai atau di Ulu Kelang, apabila turun kita turun kepada rakyat, ia sangat unik dengan masalahnya sendiri. Susah untuk kita hendak jelaskan kampung itu susah ataupun bandar itu susah. Ini kerana kita menangani rakyat secara individu.
Orang yang berpendapatan tinggi ada masalahnya dan orang yang miskin pun ada masalahnya. Setiap kali kita menangani unik dan specifik itu akan membantu mereka untuk menghadapi realiti kehidupan masing-masing.

Apa isu yang paling dominan yang sering saudara hadapi?

Isu kehidupan maknanya isu yang berkaitan dengan kehidupan. Jika kita sebagai orang yang menghayati Islam kita kenal masalah mereka itu jauh daripada Tuhan. Hubungan mereka Tuhan itu terlalu renggang yang menjadikan mereka tidak dapat menangani penyelesaian biarpun kadang-kadang perkara yang kecil.
Oleh kerana mereka tidak bersandar dan mendapat pertolongan daripada Allah jadi ia menjadi besar. Jadinya, ia menjadi besar tetapi kita tidak boleh katakan kepada mereka, mesti balik kepada Tuhan. Kita kena membantu mereka 'step by step' dan nasihat mereka dan akhirnya bagi yang Islam itu bersolat dan sebagainya.

Yang bukan islam macam mana pula?

Yang bukan Islam pula kita suruh mereka berjuang atas agama masing-masing. Back to religion. Kebanyakannya apabila saya berhadapan dengan orang Islam mendapati masalah kesempitan mereka ialah hujung pangkalnya jauh dengan Allah SWT.
Bagaimana pula dengan masyarakat bukan Islam kerana di sana pun ad juga kaum Cina, India dan lain-lain. Masalah masyarakat India hidup daif di segi pendidikan tetapi bagi masyarakat Cina lebih positif dari segi kehidupan kerana mereka hidup berdikari dan tanggungjawabnya.
Mungkin mereka tahu hak mereka dan tahu hendak hubungi siapa dan mereka ada badan-badan NGO dan badan kebajikan yang boleh mereka hubungi. Tetapi orang India seperti di Selangor ini, mereka sudah lama di bawah Barisan Nasional.
Jadi mentaliti subsidi, tongkat dan sokongan bantuan membuatkan mereka tidak berusaha untuk menjadi insan berdikari. Itu yang kita dapati gap masyarakat Cina dan India. Bagaimanapun saya dekati setiap individu dan tidak kira siapa mereka. Saya cuba tangani mereka seadilnya.

Dalam kawasan saudara terdapat ramai pendatang-pendatang asing khususnya dari Indonesia. Bagaimana saudara menangani masalah mereka?

Setakat ini masalah tersebut belum begitu berjaya lagi. Saya tidak mahu berjumpa mereka secara perantaraan tetapi mahu direct dengan mereka. Saya hendak kenal secara peribadi dan dapat jumpa dengan ketua dan hadapi secara terus terang.
Sekarang ini walaupun isu ini besar tetapi tidak banyak progres yang saya capai termasuk tinggal dalam hutan, ladang, setinggan, menyewa di kedai-kedai ataupun pondok-pondok tinggal.
Masalah lain pula masalah penempatan, tapak-tapak perniagaan yang tidak sah dan ini juga menyumbang kepada kekotoran sungai dan longkang-longkang. Begitu juga bengkel-bengkel yang tidak sah. Itu masalah besar yang perlu saya tangani secara kritikal.

Bagaimana pula dengan status setinggan di Kampung Pasir berhampiran Zoo Negara. Mereka mendirikan khemah-khemah apabila rumah mereka diroboh semasa kerajaan Barisan Nasional memerintah Selangor dahulu?

Kita telah selesai masalah tersebut pada bulan November lalu. Mereka membuat rundingan dan mendapat pampasan tanah daripada pemaju dan bayaran wang tunai bagi mereka membeli satu tapak tanah.
Tapak tanah itu mereka akan kongsi bersama. Kawasan yang mereka tinggal dulu sudah dikosongkan dan pembangunan sudah bermula dengan membina rumah kedai.

Saudara menerajui kawasan di bawah negeri Pakatan Rakyat. Adakah saudara berpuas hati dengan peruntukkan yang diberi kerajaan negeri kepada Dun Hulu Kelang?

Ia sebenarnya kembali kepada satu dasar iaitu peranan Adun, Menteri Besar dan Exco. Jadi amalannya konsep kita dinamakan Menteri Besar dan Exco ahli mesyuarat tidak seperti ada kabinet negeri.
Hari itu kami sudah bincang maknanya di peringkat negeri ini sepatutnya setiap exco mempunyai kuasa yang lebih luas, bukan sebagai ahli mesyuarat saja. Oleh kerana itu peranan Adun tidak begitu jelas. Kuasa dan segalanya berada di bawah pengawasan Menteri Besar. Pentadbiran kerajaan negeri, pejabat daerah dan sebagainya di bawah Menteri Besar.

Maksud saudara peranan Adun terpinggir?

Ya. Peranan Adun agak terpinggir dan kecil. Maknanya jika betul-betul untuk percepatkan proses perubahan pentadbiran negeri yang di bawah pentadbiran daerah itu perlu diolah semula.
Pentadbiran negeri terus kepada Dun di samping pejabat daerah. Dun dan daerah yang menjadi masalah. Kita tidak dapat fokus kepada pembangunan Dun yang kita menjadi wakil rakyat.

Saudari masih tak puas hati? Begitu?

Belum berpuas hati. Saya lebih suka bidang kuasa Adun untuk membangunkan penduduk dan pengundi yang dia wakili. Dengan itu dia sebagai agensi kerajaan negeri yang diberikan peruntukan yang lebih besar.
Ini kerana setakat ini apa-apa peruntukkan disalurkan oleh pejabat daerah iaitu melalui kuasa Menteri Besar. Pejabat daerah pula ada sebelas zon dan enam Dun. Bagi Gombak pula ada sembilan Dun.
Jadi semua belanjawan yang diluluskan kerajaan negeri disalurankan kepada jabatan-jabatan dan pejabat daerah. Sebahagiannya pula, misalnya Pejabat Daerah Gombak ada sembilan Dun salah satunya Hulu Kelang.
Jadi apabila hendak diagih-agih tidak mencukupi. Dia sepatutnya Dun mempunyai bajetnya sendiri, apa keperluan tahunan. kemudian baru diturunkan kepada daerah. Maknanya sebahagiannya diuruskan pejabat daerah dan sebahagiannya lagi oleh Dun.
Tentunya Adun mempunyai bajet yang cukup untuk atasi masalah seperti perparitan, jalan, longkang dan sungai. Mungkin RM4 juta atau RM5 juta setahun. Kalau RM500 ribu itu hanya untuk program-program kemasyaratan dan kita pula tidak berani untuk membuat program-program pembangunan yang besar.

Adakah masalah ini sudah bawa ke Sidang Dun?

Telah dan akan terus dibawa.

Apakah pembangunan yang dibawa kerajaan negeri di Hulu Klang?

Masih terpacar-pacar. Yang dapat kepada Hulu Kelang tidak nampak kesannya lagi. Maknanya sebagai wakil rakyat tak akan bertindak seperti itu. Tidak boleh. Ia mesti bertindak dengan bajet yang memang fokus kepada menjaga kepentingan rakyat dan penduduk yang diwakilinya.
Sekarang ini bajet tidak turun ke bawah. Bajet itu difikirkan oleh Pejabat Menteri Besar oleh jabatan-jabatan tanpa mengira keperluan Dun dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bagaimana pula dengan isu sosial di sini?

Masalah ini kita tangani dengan cara politik iaitu mendekati kanak-kanak sekolah. Contohnya kita berkempen di sekolah, dengan mengadakan pengajian-pengajian Islam dan juga fardu ain. Belia pula kita buat program sukan. Kita hendak membanyakkan kerja-kerja makruf untuk menentang kemungkaran.

Isnin, Julai 20, 2009

Misteri kematian Teoh: Tubuh Suruhanjaya DiRaja segera dan gantung semua pegawai SPR terbabit! - Mahfuz Omar


KUALA LUMPUR: PAS menuntut pengantungan tugas Ketua Pengarah, Pengarah siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas dalam siasatan ke atas mendiang Teoh Beng Hock, 30, sepanjang siasatan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar juga mahu satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat kes kematian mendiang Teoh yang berada dalam siasatan dan jagaan SPRM mesti ditubuhkan segera.

Katanya, siasatan ini perlu di buat oleh suruhanjaya bebas dan bukannya Polis kerana banyak kes kematian didalam lokap polis yang masih belum terjawab dan antaranya kes kematian A Kugan. SPRM perlu disiasat oleh suruhanjaya bebas ini dan penyiasatan yang meliputi seluruh aspek mesti dilakukan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan satu sidang khas Parlimen mesti diadakan segera untuk membincangkan intigriti SPRM yang terlalu buruk dan menjijikkan. Ini kerana ianya adalah satu keperluan yang mendesak disebabkan belum sampai setahun rang undang-undang SPRM berjalan dengan harapan imej negara akan pulih.

"Ini juga menunjukkan amalan rasuah amat meluas oleh kerana BPR ketika itu telah dilihat ditunggangi oleh parti pemerintah. Dakwaan tidak berasas dikenakan apabila melibatkan ahli politik dari pembangkang, tetapi kes seperti Dato' Seri Mohd Khir Toyo dilihat SPRM tidak langsung menyiasat.

"Dengan apa yang berlaku telah memalukan Yang DiPertua Agong dan juga Parlimen yang telah meluluskan bidang kuasa baru SPRM. Oleh sebab itu sidang khas parlimen perlu diadakan segera dan Dato' Seri Mohd Najib Razak perlu juga segera balik untuk membuat keputusan terhadap sidang khas tersebut," tegas beliau kepada Harakah.

Jelas Mahfuz lagi, tindakkan SPRM menyoal siasat dalam tempoh waktu yang panjang dan hingga ke awal pagi adalah satu penderaan mental yang membawa kesan pada fizikal menjadi lemah dan tindakan ini menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia.

PAS katanya, tidak menolak kemungkinan penderaan itu memandangkan sebelum ini beberapa orang penyokong Dato' Norza Zakaria, calon Majlis Tertinggi Umno telah membuat laporan polis bahawa mereka telah didera dan diseksa oleh SPRM semasa disoalsiasat dilakukan ke atas mereka berkaitan kes rasuah melibatakan Norza.

"Dengan kes kematian Teoh, telah menimbulkan banyak persoalan intigriti SPRM apatah lagi siasatan itu dibuat dalam kes yang berkaitan dengan politik.

PAS juga menyifatkan kematian Teoh menunjukkan SPRM tidak memberikan perlindungan keselamatan ke atas mendiang dan satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan secara bebas.

PAS memandang serius isu kematian Teoh, Setiausaha Politik Exco Kerajaaan Negeri Selangor 16 Julai lalu parti itu mahu SPRM dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kematian Teoh.

Sementara itu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Majlis Peguam serta 16 NGO juga menuntut Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu.

Mereka turut mendesak supaya pengerusi SPRM, Datuk Ahmad Said dan semua pegawai SPRM yang menyoal siasat Teo digantung serta-merta sehingga selesai siasatan Suruhanjaya DiRaja tersebut.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh. Gesaan yang sama turut dibuat oleh Kerajaan Selangor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dalam satu kenyataan bersama 17 Julai lalu, Majlis Peguam dan NGO berkenaan juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya memohon maaf kepada keluarga Teoh berhubung kenyataannya yang bersifat spekulatif seolah-olah mangsa mati kerana terjun dari bangunan.

Pak Lah mahu BN lebih berani hapuskan ISA


KUALA LUMPUR: Dua minggu sebelum demonstrasi besar dirancang bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mantan perdana menteri berkata kerajaan wajar "berani memansuhkannya."

Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan, lapor Bernama.

"Sebagai (bekas) menteri dalam negeri, saya telah menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA dan dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji semula keberkesanan serta impak ISA, saya berasa terpanggil untuk memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini.

"Perlu ditegaskan bahawa Malaysia masih memerlukan suatu mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara kerana cabaran yang kita hadapi seperti ancaman keganasan yang merentasi sempadan menuntut perundangan yang membolehkan
kerajaan mengambil tindakan pencegahan," beliau dipetik berkata.

Abdullah mengulas isu ISA sewaktu berucap sempena majlis konvokesyen khas penganugerahan ijazah kehormat Doktor Falsafah Demokrasi kepadanya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.

Abdullah menambah, sama ada suka mahupun tidak, ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk
melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

Abdullah dilaporkan berkata beliau percaya "kerajaan berani melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA" sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara.

"Inilah transformasi yang saya percaya rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Mungkin satu contoh adalah untuk menghadkan skop penahanan pencegahan kepada ancaman tertentu atau akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja sekaligus mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya seperti dilaporkan.

Kelmarin, PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai demonstrasi membantah akta kontroversi untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara, 1 Ogos ini.

Parti itu juga mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.

Pada 13 Julai, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap - dan turut serta dalam - demonstrasi itu yang dianjurkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang disertai pembangkang dan NGO hak asasi.

Pada 22 Jun lalu, GMI secara rasmi mengumumkan perhimpunan itu dengan mensasarkan jumlah "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang. Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.