KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Salah SPRM juga, rakyat makin curiga dengan badan bebas itu

KUALA LUMPUR: Kematian misteri Teo Beng Hock di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, pada 16 Julai lalu menyebabkan rakyat semakin curiga terhadap SPRM yang telah lama prestasi mereka dipertikaikan.

Demikian dakwa Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob sewaktu mengulas isu kontroversi yang mencetuskan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat.

PAS tegasnya, mendesak supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat kematian misteri Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah perlu siasatan rapi dan penjelasan daripada pihak berkuasa.

"Agak pelik bila selesai siasatan kira-kira pukul 3.45 pagi, mendiang enggan pulang ke rumah sebaliknya meminta untuk berehat di pejabat SPRM.

"Kebiasaannya sesiapa saja yang dipanggil untuk siasatan akan segera pulang bila sudah selesai disoal siasat tetapi kali ini agak pelik bila Pengarah Siasatan SPRM Dato' Shukri Abdull mengatakan mendiang minta untuk berehat di pejabat SPRM.

"Kematian ini penuh misteri dan kerana itu, PAS mendesak agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes ini agar rakyat dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," tegas beliau.

Tambah beliau lagi, Teo menemui ajal ketika masih dibawah pengawasan SPRM dan kerana itu suruhajaya tersebut perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian mendiang.

Salahuddin juga menjelaskan bagi pihak PAS, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dan tunang mediang Teo.

Pada 15 Julai, lima anggota SPRM menyerbu pejabat salah seorang daripada anggota exco negeri itu serta merampas beberapa dokumen termasuk sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU).

Hari yang sama juga, Teo telah dibawa ke pejabat SPRM Selangor untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat negeri itu.

Peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM pada hari tersebut berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.

Kejadian terbaru ini telah menambahkan keraguan rakyat terhadap SPRM kerana sebelum ini terdapat individu yang mendakwa dikasari oleh pegawai-pegawai suruhanjaya tersebut.

Pada Januari lepas, individu bernama Halimi Bin Kamaruzzaman membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya dan mendakwa dirinya telah didera dan dipaksa oleh pegawai-pegawai SPRM supaya mengakui Dato' Norza Zakaria terbabit dengan politik wang.