KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Itu bukan mansuh tapi tangguh, kita demo lagi! - A Samad Said


MUQADIMMAH: Sasterawan negara yang juga Penasihat Gerakan mansuh PPSMI (GMP), Dato' A Samad Said belum berpuashati lagi dengan keputusan samar Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Jasin yang mengumumkan pemansuhan PPSMI bermula 2012. Itu hanya penangguhan bukan pemansuhan, kata Pak Samad. Beliau mahu rakyat turun ke jalan raya sekali lagi, jika perlu desak kerajaan hapuskan terus. Ikuti wawancara ANIS NAZRI dan IRWAN MUHAMAD ZAIN bersama beliau di Rumah Pena, 9 Julai lalu.

Pada 8 Julai lalu, kerajaan mengumumkan keputusan memansuhkan Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepenuhnya pada tahun 2012. Apa pandangan Dato' berhubung keputusan itu?

DATO' A SAMAD SAID: Bagi saya, ia bererti tidak memansuhkan, tetapi menangguhkan PPSMI. Itu intepretasi sayalah. Tapi kalau 2012 akhirnya, ertinya mulai tahun depan sudah mula belajar dalam bahasa Melayu dan ibunda. Kalau 2012 bermula, ia menangguhkan bukan mansuh.
Bagi kita, andaian Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) 2012 sudah lengkap, sudah selesai. Bermula sesi persekolahan tahun depan untuk menuju ke proses itu. Itu fahaman saya dan GMP, sedangkan tiada dalam pengumuman kerajaan seperti itu.

Menurut Dato', apa sebabnya kerajaan tidak memansuhkan terus dasar itu, tetapi membawa ke tahun 2012?

Sebab kalau tarik ke 2012, ertinya kerajaan tarik ke pilihan raya umum. Ia boleh disifatkan sebagai umpan pilihan raya. Lepas pilihan raya, macam-macam boleh berlaku.
Sebab itu perlunya 'government in waiting' menang kerana akan automatik mansuh. Kalau Barisan Nasional (BN) menang, belum tentu. Dalam dunia politik, macam-macam boleh jadi.

Mungkinkah Dato' melihat antara sebab ia 'ditangguh' ke 2012 itu untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam projek PPSMI seperti yang didakwa sebelum ini?

Saya harap tidak begitu kerana ini bukan kerja main-main. Perkara ini memang melibatkan masa depan anak-anak. Kalau rakyat diutamakan, seperti yang dislogankan, inilah (mansuh) yang harus dilihat kerajaan.

Tidak rasa lama sangat tempoh untuk memansuhkan dasar yang ditentang ini - membawa ke 2012?

Ada beberapa hal latar yang saya tidak tahu. Mungkin kesulitan untuk melaksanakan secara mendadak. Mungkin masalah gurunya atau lain-lain. Tapi saya fikir kalau Perdana Menteri keempat (Tun Dr Mahathir Mohamad) boleh lakukan dalam enam bulan (laksana PPSMI), anehlah kalau PM sekarang tidak boleh buat dalam tempoh dua tahun, apatah lagi dengan slogannya 'rakyat diutamakan'.

Jadi, boleh dikatakan Dato' masih belum berpuashati dengan keputusan kabinet ini?

Saya lega sahaja. Tidak bererti senang hati sebab memandangkan yang berjuang itu ramai. Kalau saya seorang, itu yang saya rasa. Mungkin ada cerita lain yang saya tidak tahu. Yang berjuang bukan saya seorang. Saya yakin bahawasanya kita bersetuju sampai 2012 ianya sudah selesai, mulai tahun depan.

Melihatkan kemungkinan dasar ini belum tentu dihapuskan pada 2012 nanti, dengan suasana politik yang boleh mengubah segala-galanya, mungkinkah Dato' atau GMP sendiri mempunyai langkah tertentu jika benar tidak berlaku pemansuhan?

Saya ini 'advisor' GMP saja. Tapi saya percaya, memang ada langkah-langkah yang boleh jadi drastik. Mungkin kembali semula ke jalanan. Saya fikir ada perancangan itu. Segala yang tidak selesai di dewan (Dewan Negara), kena perlu selesai di jalan dan demonstrasi jalanan sebenarnya halal, malah mesti digerakkan dengan lebih ramai lagi berbanding perhimpunan sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa GMP tidak main-main sebab ia berkaitan dengan harapan masa depan.

Sejak PPSMI ini dilaksanakan, terdapat beberapa rundingan meja bulat kerajaan dengan NGO dan tokoh-tokoh bahasa. Sebelum membuat keputusan mansuh ini, adakah kerajaan memanggil wakil GMP untuk berbincang?

Itu tidak ada. Setahu saya tidak ada. Keputusan yang dibuat ini tanpa rundingan GMP. Ialah, GMP ini berada di luar, bukan dalam kelompok parti mereka. Tapi GMP ada cadangan untuk meminta kepastian atas beberapa perkara yang agak samar berhubung keputusan ini.

Apa yang Dato' fikirkan ada kesamaran mengenai keputusan tersebut?

Cara pelaksanaan itu yang bagi kami jelas bermula tahun depan, supaya aliran itu berakhir 2012. Tapi, dalam pengumuman kerajaan saya fikir itu tidak dijelaskan. Itu yang saya katakan tadi, intepretasi saya, ia menangguh dan menghampiri pilihan raya yang sudah tentu ada agenda lain. Yang boleh jadi lain pula.
Katakanlah BN menang, dia boleh jadi lain. Itu yang perlu sangat 'government in waiting' memang.

Maknanya, Dato' belum yakin sepenuhnya dasar ini dimansuhkan?

Keputusan ini melegakan, tetapi tentu sahaja dalam pengumuman itu ada 'bilik rahsia' dan saya tidak sempat masuk dalam bilik rahsia itu (Ketawa). Tidak salah kalau mereka tahu, itu pendirian saya.

Dalam isu PPSMI ini, apa seruan Dato' kepada pengundi di Manek Urai yang majoritinya adalah pengundi Melayu, yang mungkin akan terpengaruh dengan keputusan kerajaan ini?

Mereka tidak harus dengar apa yang dipaparkan dalam media utama, juga media elektronik kerana ia memang 'one-sided'. Bagi keperluan dan kepentingan masyarakat Manek Urai itu jangan mudah menerima janji.
Janji itu sebenarnya rasuah, misalannya janji untuk menjadikan masyarakat Manek Urai sebagai anak angkat. Tentu di sebaliknya ada janji. Sebab itu saya menterjemahkan rasuah ini bukan bererti wang tapi juga peluang. Itu rasuah yang belum diterjemahkan kepada wang.
Masyarakat perlu mendapat info yang jujur dan tidak berniat jahat. Saya memang percaya tidak banyak sedikit ada kebenarannya pengumuman PPSMI ini akan mempengaruhi pengundi, tetapi tidak banyaklah.
Tapi terpulang kepada kebijaksanaan masyarakat Manek Urai untuk menerima info tersebut. Jika media alternatif boleh percaya sebab dia media yang terdera. Media yang terdera ini biasanya lebih jujur, benar dan tidak memanipulasi yang keterlaluan, manipulasi itu ada tapi tidak keterlaluan. Itu pendapat saya.

Tiada ulasan: