KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

PAS tidak mahu jadi Suruhanjaya video Linggam


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mahu Suruhanjaya DiRaja yang dicadangkan banyak pihak, diletakkan di bawah kuasa Parlimen dan bukan di bawah kuasa Perdana Menteri untuk menasihatkan Yang DiPertuan Agung, lapor TARMIZI MOHD JAM
dan WAN NORDIN WAN YAACOB

Ini penting, kata beliau, ia diluluskan oleh Parlimen dan keanggotaannya boleh dicadangkan oleh anggota Parlimen Pakatan Rakyat dan BN secara telus tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan perkara ini di hadapan lebih 10,000 penyokong Pakatan Rakyat di Dewan Serbaguna, Geogrtown, dekat sini pada ceramah perdana memperingati kematian Teoh Beng Hock.

Turut berceramah, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Dato' Salahuddin Hasyim, Senator Tunku Aziz, Dr Mansor Osman, P Ramasamy, Dr Muhajid dan beberapa pimpinan DAP negeri.

Mahfuz berkata, oleh kerana SPRM itu berada di bawah Najib, maka Najib tidak boleh untuk membentuk atau mencadangkan keanggotaan suruhanjaya itu kerana beliau berkepentingan.

"Kita tidak mahu suruhanjaya ini nanti jadi macam suruhanjaya bebas video Linggam. Akhirnya tiada apa keputusan diumumkan. Tiada tindakan diambil," tegasnya.

Beliau juga hairan, mengapa Polis tidak menahan reman pegawai SPRM yang menyiasat Teoh untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pada 21 Julai lalu, kira-kira 20 wakil Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak mendesak supaya menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teo Beng Hock yang penuh misteri.

Memorandum yang ditandatangani oleh tiga pimpinan pemuda Pakatan Rakyat iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Loke Siew Fook diserahkan kepada pagawai Najib di Jabatan Perdana Menteri Putrajaya.

Najib baru sahaja tiba di negara ini selepas menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-15 di bandar peranginan Sharm El-Sheikh, Mesir.

Menurut Pemuda Pakatan Rakyat kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia bukan sahaja kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi juga institusi penguatkuasa kerajaan secara keseluruhannya.

Oleh itu, mereka mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera dan sebaik-baiknya dalam mesyuarat Kabinet 22 Julai 2009 kerana kelewatan tindakan dari pihak Kerajaan hanya akan menimbulkan lebih banyak persepsi yang negatif terhadap pentadbiran Najib.

Sehubungan itu, Ketua Dapsy, Loke berkata, polis tidak mempunyai akauntabiliti untuk menyiasat kes kematian Teoh kerana mereka sendiri berdepan dengan masalah kematian tahanan dalam lokap polis.

Oleh itu, katanya, hanya Suruhanjaya DiRaja sahaja yang boleh menyiasat kes kematian Teoh secara bebas. Malah, katanya, menteri dari Umno, Dato' Seri Rais Yatim dan pemimpin Pemuda MCA turut menyokong desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu.

Tegasnya, ini menunjukkan menteri-menteri BN sendiri tidak mempunyai 100 peratus keyakinan terhadap siasatan polis.

"Ini menyokong lagi desakan kami (ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja)," kata Loke.

Sementara itu, Rais dalam satu kenyataannya menyebut penubuhan Suruhanjaya Diraja boleh menghilangkan keraguan rakyat memandangkan keputusan siasatannya akan dinilai lebih tinggi daripada siasatan pihak lain.

Rais berkata, permohonan untuk diadakan Siasatan Diraja itu seharusnya disokong oleh semua pihak.

"Saya tidak akan membantah cadangan ini kerana berpendapat mungkin inilah satu daripada bidang pentadbiran yang adil," katanya.

Beliau mengulas permintaan keluarga mendiang Beng Hock dan gesaan pembangkang dan beberapa parti politik termasuk MCA dan MIC supaya ditubuhkan suruhanjaya itu bagi memastikan penyiasatan kes kematian Teoh dilakukan secara telus.

Berhubung tindakan sesetengah pihak yang cuba mensensasikan kes itu, Rais berkata, mereka seharusnya memberi peluang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Tiada ulasan: