KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Hapus PPSMI belum boleh dipercayai 100 peratus

ALOR SETAR: Keputusan yang diambil kerajaan Umno/BN memansuhkan PPSMI hanya berkuatkuasa 2012 ini menunjukkan mereka lembab berfikir, bermotifkan politik dan belum boleh dipercayai sertaus peratus.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar semasa mengulas keputusan kerajaan yang mengumumkan pemansuhan PPSMI.

Beliau ditemui Harakah di Alor Setar sebaik pulang dari kempen Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai (Kelantan). Keputusan ini katanya adalah kejayaan rakyat menekan kerakusan dasar kerajaan yang hanya mementingkan soal keuntungan sebilangan kecil kroni, walhal dasar itu adalah memangsakan rakyat.

"Semasa Tun Mahathir Mohamad mengumumkan dasar itu dahulu, merekalah (Dato' Seri Najib, Muhyiddin Yassin, Hishamuddin Tun Hussien dan semua pemimpin BN yang buat keputusan memansuhkan PPSMI) juga yang mengampu dan mencanangkan bahawa dasar PPSMI itu baik," katanya.

Mereka juga kata Mahfuz yang menyokong betrsungguh-sungguh dan mempertahankan satu dasar yang merugikan rakyat dan menggadai masa depan anak bangsa. Ketika itu mereka ini lambat berfikir, tidak mempertimbangkan kesan buruk, akhirnya selepas enam tahun barulah dasar itu hendak dimansuhkan.

Lebih malang lagi, pemansuhan yang hanya akan berlaku tiga tahun lagi akan terus memangsakan lebih ramai pelajar yang kini sedang mengalami masalah kerana dasar yang 'tidak bijak' ini, ujarnya.

Walhal, ketika dasar itu diumumkan Tun Mahathir, pemimpin PAS, ahli bahasa dan kalangan pembangkang telah membantah keras pelaksanaannya dan pendirian itu konsisten hingga kini.

Beliau melihat, tindakan kerajaan yang hanya mahu memansuhkan PPSMI pada tahun 2012 adalah bermotifkan politik semata, walhal sepatutnya ia dihentikan segera pada tahun hadapan.

"Patutnya ia dimansuhkan hingga tamatnya persekolah akhir tahun ini. Maknanya tahun hadapan dasar itu tidak perlu lagi dilaksanakan. Kenapa mereka tidak mansuh segera, jawapannya ialah kerana masih ada projek termasuk membekal buku, laptop dan peralatan sebagainya yang diberi kepada kroni dalam dasar PPSMI ini," katanya.

Katanya, keputusan ini juga tidak boleh dipercayai akan pelaksanaannya tiga tahun lagi memandangkan dasar kerajaan sering bertukar.

Beliau bimbang, jika BN berjaya kekalkan kemenangan Kerajaan Pusat pada pilihan raya akan datang (ke-13), keputusan pemansuhan pastinya boleh berubah dengan pelbagai alasan.

"Ini sering berlaku kerana pemimpin yang ada hari ini jugalah yang mengampu dasar PPSMI ini semasa ia diumumkan Tun Mahathir enam tahun lalu," ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan Tun Mahathir yang menyelar keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI, Mahfuz berkata ia bukanlah selaran tetapi ia signal kepada rakyat yang dilontarkan bekas Presiden Umno itu yang menyatakan bahawa pemimpin kerajaan hari ini hipokrit.

Beliau menasihatkan rakyat terutamanya pengundi di Manek Urai yang akan membuang undi pada 14 Julai ini agar memberi signal kepada BN menolak hipokrasi kerajaan ini.

"Kena bagi signal bukan sahaja kita menolak PPSMI, kita juga menolak pemimpin yang hipokrit dan kerajaan yang tidak memikirkan kepentingan, masa depan rakyat," ujarnya.

Beliau percaya rakyat hari ini sudah tahu akan tembelang kerajaan Umno/BN, dan pastinya keputusan ini (memansuhkan PPSMI) tidak akan dilihat rakyat sebagai sumbangan kerajaan, sebaliknya ia adalah kegagalan kerajaan sejak dahulu dalam memikirkan masa depan rakyat secara serius.

Tiada ulasan: