KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Apa nak jadi dengan Mufti berpolitik Tan Sri Harussani Zakaria?

SAYA tercari-cari kalau-kalau Mufti Perak, Dato’ Harussani Zakaria sewaktu memegang jawatan dalam kerajaan, atas sifatnya sebagai ulamak, pernah mengkritik kerajaan BN atau mana-mana tokoh politik dari parti komponen BN atas apa-apa isu yang bersangkut paut dengan Islam.

Sewaktu BN dengan rakus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Memali pada tahun 1985 kita tidak mendengar barang sepatahpun kata-kata kecaman dari Harussani terhadap tindakan zalim golongan yang berhati binatang itu.

Apabila kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu meluluskan kanun jenayah syariah yang di dalamnya terkandung hukum hudud, PAS telah diserang di segenap penjuru oleh pemimpin-pemimpin BN, termasuk pemimpin Umno. Bukan setakat PAS dibelasah, tetapi Islam diperlekehkan. Apa yang Dr. Mahathir tidak kata mengenai hukum hudud di perhimpunan agung Umno. Perwakilan Umno bertepuk mengejek setiap kali hudud dipersenda. Apa yang Harussani buat masa itu?

Bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom antara ulamak yang berani bersama dengan kebenaran, menyatakan bantahan terhadap golongan penentang hukum Allah sehingga dia dipecat. Mengapa Mufti Perak tidak bersama Mufti Selangor masa itu?

Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dan dihadapkan dengan konspirasi tuduhan liwat dan zina sehingga menimbulkan kegawatan politik dan ‘perpecahan besar’ (mengikut persepsi Umno yang Harussani mungkin berkongsi tafsiran mengenainya) Harussani hanya membisu. Mengapa dia tidak lantang menyatakan tentangan terhadap perbuatan khazaf yang dilakukan oleh penguasa? Anwar dibelasah dalam penjara hingga hampir maut, mengapa Harussani tidak mengeluarkan ayat-ayat Quran mahupun Hadis kepada pemerintah bahawa haram melakukan kezaliman?

Apabila kerajaan BN menarik balik bantuan kepada sekolah agama rakyat di seluruh negara sambil menuduh institusi pengajian tersebut hanya melahirkan golongan pelampau yang menyelewengkan ajaran Islam, mengapa Harussani tidak berkata apa-apa?

Tetapi sejak dahulu dan kini, Harussani cukup berselera untuk menyindir mahupun mengkritik PAS. Bekas Presiden PAS, Almarhum Dato’ Fadzil Noor pernah tersinggung dengan sindiran Harussani yang menasihatkan umat Islam (jelas ditujukan kepada ahli-ahli PAS) suapaya menanggalkan pakaian politik dan menyangkutnya di pagar masjid. Dato’ Fadzil menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang syumul, tidak salah membawa politik ke dalam masjid.

Apabila BN hilang kuasa di Perak, Harussani dikatakan orang yang dipergunakan oleh Umno Perak untuk memujuk PAS membentuk kerajaan perpaduan Melayu/Islam. Ditakdirkan Umno berkuasa semula di Perak melalui penculikan dan rasuah, Harussani dikatakan antara orang yang cukup gembira kerana kerajaan dominasi Melayu/Islam kembali berkuasa. Sejak itu dia lebih selesa untuk mengeluarkan kenyataan demi kenyataan membidas PAS yang kadang-kadang dilihat lebih Umno dari Umno.

Terbaru beliau kononnya kecewa dengan sesetengah parti poltik yang didakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik.

Katanya, parti yang mendakwa Islam ini (sebut sajalah PAS) bertindak tidak seperti mana DAP yang tidak bergaduh sesama parti Cina lain malah sanggup pula bersatu demi kejayaan kaum sendiri.

Ucapannya yang senada dengan pejuang asobiyah kaumiyah Melayu itu dijadikan tajuk utama sebuah akhbar talibarut BN.

Kerajaan Perpaduan adalah jenama baru yang disensasikan oleh media-media propaganda BN dalam usaha memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat sebagai gabungan yang dilihat hampir pasti menumbangkan BN dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Ia juga dijadikan ‘bahan bukti’ di kalangan orang Melayu bahawa kononnya PAS lebih menerima bukan Melayu dari menjalin perpaduan sesama Melayu/Islam.

Agak sukar untuk memahamkan Harussani dan ulamak-ulamak makan gaji semacamnya bahawa isu perpaduan Melayu akan muncul setiap kali Umno ditolak oleh pengundi. PAS pernah mengusulkan muzakarah dengan Umno sewaktu parti rasuah itu kuat. Dr. Mahathir yang jadi Presiden Umno ketika itu dengan angkuh berkata, “Sejak bila pula PAS tahu erti muzakarah?”

Tetapi muzakarah isu muncul selepas pilihanraya umum 1999 apabila Umno kehilangan banyak kerusi. Semua masih ingat bahawa usaha muzakarah itu hingga ke peringkat pertemuan antara Setiausaha Agung PAS dan Umno. Gagal juga akhirnya apabila beberapa permintaan PAS sebelum muzakarah diadakan gagal ditunaikan Umno. Apabila diusulkan semula muzakarah Umno-PAS selepas pilihanraya umum 2004, hanya dua patah perkataan yang diucapkan Pak Lah, “Tak perlu!”. Tak semua Melayu mudah lupa catatan sejarah itu.

Harussani dilaporkan berkata, “Saya amat berharap mereka yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan tetapi kembali menidakkannya, kembali mematangkan fikiran dan perasaan tanggungjawab kepada Allah untuk menyatupadukan umat Melayu dan Islam.”

Ruangan ini terlalu terhad untuk memahamkan Harussani bahawa Umno adalah sebuah parti yang telah banyak mengkhianati Melayu dan Islam. Bersekongkol memanjangkan hayat Umno bererti meneruskan kezaliman, rasuah yang berakar umbi, salah guna kuasa demi kroni, penyalahgunaan wang dan khazanah kekayaan negara, lambakan budaya maksiat dan penyuburan hedonisme serta penolakan terhadap hukum Allah dan syariatnya. Aulawiyatnya ialah mengalahkan Umno di Pusat. Biar runtuh ibu kemungkaran itu.

Lepas itu, baru kita boleh berkira-kira untuk berbincang isu perpaduan. Itu pun kalau masih ada benih Umno.

Ditulis Oleh ZULKIFLI YAHYA

1 ulasan:

Tuk Ketuo berkata...

Tan sri Harusana sini tu mufti ko? ingat mau ufti silap la den...