KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan mendesak penulis, Zaini Hassan memohon maaf kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap Menteri Besar Kelantan itu seorang pengamal 'political animal'.
Beliau menyifatkan istilah 'political animal' yang digunakan oleh penulis tersebut dalam ruangan rencana Utusan Malaysia adalah berniat jahat untuk merendahkan kewibawaan Tuan Guru, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dalam kenyataannya kepada Harakah, beliau berpendapat adalah tidak wajar penulis tersebut merendahkan kewibawaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah terbukti berjaya mendidik dan memimpin masyarakat dan rakyat di negeri Kelantan, juga Malaysia seluruhnya.
"Kesediaan Tuan Guru menarik balik kenyataannya sebelum ini menandakan sikap rendah diri serta ketinggian budi beliau selaku seorang ulama dan pemimpin Islam yang baik.
"Sebagai manusia biasa yang tidak lepas daripada salah dan silap, beliau (Tok Guru Nik Aziz) bersedia diperbetul dan diperbaiki dari masa ke semasa. Salah faham yang berlaku dalam PAS sebelum ini telah berjaya diselesaikan dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang dengan baik tanpa sebarang dendam dan sengketa," tegasnya.
Apa yang berlaku katanya adalah satu hikmah yang memerlukan semua pihak mengambil pengajaran di sebaliknya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan mana-mana pihak yang tidak memahami kedudukan sebenar apa yang berlaku dalam PAS tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum mendapat penjelasan dan gambaran tepat apa yang terjadi bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah anggap.
1 ulasan:
zaini mohd said ke zaini hassan?? mana satu nie?? dua individu berbeza nama... jgn main bantai je sebut!
Catat Ulasan