KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 21, 2014

Kerajaan Umno-BN halau Melayu bertopengkan Akta Tanah


Pemimpin Umno-BN menjadi dalang utama merampas sejumlah besar tanah kampung Melayu warisan bukan sahaja di Lembah Klang juga seluruh negara dengan bertopengkan Akta Pengambilan Tanah. Pengerusi Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin berkata, perkampungan Melayu di ibu negara seperti Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum pada masa ini hanya tinggal nama di atas kertas yang dirampas dengan topeng pembangunan.

Menurutnya, pengambilan tanah juga tidak mengikut prosedur undang-undang apabila Tanah Rizab Melayu semakin mengecil tanpa berganti akibat dijual kepada pihak pemaju. "Warga kota sendiri dapat lihat depan mata bagaimana rumah penduduk Kampung Chubadak Tambahan dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun mendapat pengiktirafan milikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1998," ujarnya kepada Harakah. 

Katanya, walaupun ada perintah mahkamah, tetapi orang-orang Melayu di situ tetap dihalau oleh pemaju dengan menggunakan penguatkuasa Kerajaan BN. Mengulas sikap Kerajaan Umno-BN yang beria-ia kononnya mahu membangunkan Kampung Baru, Ishak berkata, tindakan itu hanya muslihat untuk menghalalkan niat tertunda mereka untuk mengaut keuntungan di atas pengusiran Melayu di ibu negara.

"Apa makna pembangunan Kampung Baru kalau hanya dibina bangunan bertingkat yang kemudiannya gagal dimiliki Melayu? Paling penting, roh hidup bermasyarakat dalam persekitaran kampung yang sedia ada akan pupus apabila hak milik warisan bertukar tangan menjadi projek mewah," ujarnya lagi yang juga Ketua Kampung Bandar Dalam.

PAS lancar BATIN untuk membela nasib Orang Asal di Malaysia


Menyedari ancaman penerokaan kawasan hutan dan pedalaman ke atas lebih 150,000 masyarakat Orang Asal di seluruh Semenanjung, NGO Badan Prihatin Hal Ehwal Orang Asal (Batin) yang baharu ditubuhkan di bawah Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka  Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat  bersedia tampil menghulurkan bantuan. Pengerusinya, Dr Ungku Mohd Nor Ungku Mahmood berkata, NGO ini akan dilancarkan pada 2 Mei depan dan bakal menjadi suara hati nurani golongan yang selama ini ditindas Kerajaan BN.

"Batin telah mengenal pasti bentuk pencerobohan tanah didiami Orang Asal seperti untuk projek empangan, perladangan dan pembangunan di kawasan sumber air serta penambakan laut yang menjejaskan kehidupan mereka. Jumlah Orang Asal yang terus bertambah jika diabaikan dibimbangi lambat-laun akan memberi kesan sosial kepada masyarakat negara ini keseluruhannya," jelasnya yang juga AJK Lajnah Tanah PAS Pusat ketika dihubungi Harakah.

Menurut Ungku Mohd, pelancaran NGO itu yang bakal disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob dan akan menjadi titik tolak untuk memasyarakatkan Orang Asal termasuk melalui program sosio-ekonomi dan pendidikan. 

"Masalah pemilikan tanah, kemudahan pertanian, kemiskinan dan pengangguran dalam generasi muda Orang Asal perlu diberi perhatian serius. Batin dengan Jabatan Amal juga berhasrat untuk melatih kepimpinan dan pelapis dakwah dalam kalangan Orang Asal sendiri," ujar Ungku yang juga calon Dun Pulai Sebatang, Johor pada PRU13 lalu. 

Sebelum ini ada pihak sering menggunakan masyarakat Orang Asal yang tinggal di pedalaman Kelantan bagi menghodohkan kerajaan negeri termasuk isu berkaitan tanah. Sedangkan Kelantan merupakan negeri pertama di Malaysia mewartakan penempatan untuk Orang Asal di Gua Musang. Malah sekarang sedang dikenalpasti lagi kawasan lain yang akan diwartakan.

--------
FOTO: Ustaz Aris Fezul Ismail mewakili Lajnah Tanah PAS Pusat menyantuni masyarakat Orang Asal di Penderas dan Kg Pasu Kuala Krau, Pahang bersama Ustaz Sharil Azman.

Lajnah Tanah PAS Pusat gigih bela nasib orang Melayu


Mukadimah: Wawancara Wartawan Harakah, NYZA AYOB bersama Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Mazlan Aliman pada 17 April lalu, bagi menjelaskan objektif lajnah dalam membela nasib rakyat di negara ini.

HARAKAH: Apa peranan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal dalam membela nasib orang Melayu?

MAZLAN ALIMAN: Sebenarnya lajnah ini tidak tertentu kepada orang Melayu sahaja. Lajnah ini fokus kepada seluruh rakyat. Mereka ini dikelilingi pelbagai masalah. Kalau boleh saya katakan isu yang berkaitan dengan tanah ini amat luas. Kalau saya nak pecahkan, satu berkaitan agensi pembangunan tanah seperti Felda, Felcra, Kesedar dan Kejora. Yang keduanya, membabitkan tanah-tanah umum yang terdapat di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang berdepan dengan ancaman terhadap tanah adat mereka yang kebanyakan dimiliki kerajaan negeri. Secara kebetulan berdasarkan data-data yang lajnah ada, lebih daripada 70 peratus ancaman terhadap pengambilan tanah adalah melibatkan orang Melayu. Jadi, tidak dapat dinafikan pelan bertindak lajnah ini dengan keperluan mendesak bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi masyarakat lain juga.  

Keberkesanan NGO di bawah Lajnah Tanah selama ini...

Lajnah Tanah telah menubuhkan beberapa NGO, dan pada Mei ini, lajnah akan menubuhkan lagi dua NGO baru apabila bidang Lajnah Tanah diperbesarkan. Lajnah telah dipertanggungjawabkan untuk menangani isu-isu peneroka bandar dan hal ehwal Orang Asal. Di peringkat lajnah tentulah "man power" kita tidak mencukupi.Jadi, lajnah fokuskan kepada dua kumpulan ini. Kita tubuhkan NGO supaya mempunyai peranan spesifik untuk menangani golongan sasar ini. Walaupun kelompok Orang Asal ini golongan minoriti, lajnah tidak harus mengasingkan atau meminggirkan mereka. 
Pelancaran NGO berkenaan dikenali Badan Prihatin Hal Ehwal Orang Asal (Batin) pada 3 dan 4 Mei oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob di sebuah perkampungan Orang Asal di Gua Musang. Satu lagi, lajnah juga telah menubuhkan NGO dikenali Anak Warisan yang berpusat di Kuala Lumpur. Ia untuk menangani isu-isu membabitkan peneroka bandar dan kampung-kampung tradisi. NGO ini akan dilancarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 11 Mei di Kampung Puah Seberang. Ini bermakna Lajnah Tanah kini mempunyai 10 badan NGO yang berperanan dalam kalangan 40 orang Jawatan Kuasa Lajnah Tanah. Lajnah akan agihkan tugas kepada semua NGO yang ada. 

Menyentuh tentang peneroka bandar, apa yang mampu Lajnah Tanah lakukan dalam membela nasib mereka daripada diperkotak-katikkan Kerajaan BN yang berselindungi di sebalik nama pemaju?

Paling kritikal pada waktu ini ialah mengenai tanah-tanah melibatkan peneroka bandar samada yang terletak di bandar-bandar mahupun di pinggir bandar yang dahulunya dikenali sebagai setinggan. Ketika ini banyak kawasan peneroka bandar terancam. Sama ada tanah itu milik kerajaan atau milik individu yang mereka ambil balik tanah mereka. 
Mereka ini diusir melalui notis mahkamah dan tidak mendapat apa-apa pampasan melainkan ehsan daripada tuan tanah. Selain itu, walaupun penduduk kampung tradisi, mereka juga menjadi mangsa pengambilan tanah melibatkan pembangunan kampung baharu. Mereka sedang menerima ancaman terhadap proses pembangunan pembandaran di tempat mereka.

Kes Pengerang di Johor tidak menyebelahi penduduk. Bagaimana Lajnah Tanah membantu mereka?

Lajnah Tanah punyai NGO dikenali sebagai Badan Menyelamat Tanah Pengerang (Mantap). Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bharu pada 30 Mac lalu tidak memihak kepada penduduk untuk membatalkan projek Pengerang, tetapi lajnah tidak duduk diam. Kami akan bertemu NGO Pengerang dan wakil-wakil NGO pada 25 April ini untuk membincangkan masa depan penduduk Pengerang. Ini disusuli bengkel meja bulat dalam kalangan kumpulan hak asasi. 
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Seri Nazri Aziz telah bersetuju untuk bertemu rombongan Lajnah Tanah pada 22 April ini jam 2.30 petang di pejabat kementerian berkenaan. Lajnah akan menyerahkan memorandum berkenaan kampung-kampung warisan di Pulau Pinang, rumah ibadat dan tanah kubur di Pengerang dan memohon Menteri supaya kampung warisan, rumah ibadat  dan tanah perkuburan yang berusia lebih 80 tahun mesti dikekalkan sebagai warisan. Ini antara usaha yang akan terus lajnah lakukan. 

Baru-baru ini Lajnah Tanah menerjah Pulau Pinang. Ada cadangan kepada MAINPP agar badan itu memajukan tanah wakaf. Boleh jelaskan?

Lajnah Tanah baharu pulang daripada lawatan kerja ke Pulau Pinang. Kami telah bertemu Timbalan Ketua Menteri I, Pulau Pinang, Dato' Mohd Rashid Hasnon. Juga bertukar-tukar fikiran dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang menjaga kepentingan tanah wakaf. Lajnah kemukakan pandangan di bawah Akta Pengambilan Tanah, tanah-tanah orang Melayu di Pulau Pinang itu harus dikekalkan hak kepada orang Melayu. Ada beberapa cara. Pertama, kerajaan negeri melalui anak syarikat boleh beli tanah tersebut supaya proses mengekalkan tanah itu kepada orang Melayu dan menaik taraf pembangunan di situ yang kekal kepada orang Melayu. 
Lajnah juga mengesyorkan kepada MAINPP supaya tanah-tanah wakaf itu dimajukan. Apabila dimajukan, ia memberi nilai tambah ekonomi kepada orang Islam. Umum tahu tanah-tanah ini berada di tengah-tengah bandar Pulau Pinang iaitu termasuk dalam empat peratus sahaja baki tanah orang Melayu di tengah-tengah bandar. Jika kerajaan negeri tidak mampu memajukannya, ia boleh mohon dengan Kerajaan Pusat seperti Perbadanan Nasional Berhad dan syarikat besar seperti Lembaga Tabung Haji dan KWSP. Mereka ini mempunyai reserve berbilion ringgit. Apa salahnya kalau mereka tebus.

Mursyidul Am PAS terkilan tidak sempat beri kefahaman hudud pada Karpal Singh


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berasa sedikit terkilan kerana bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman lebih jelas mengenai hukum hudud. Beliau sangat yakin, individu seperti Karpal jika diberikan kefahaman yang sebenarnya, tidak mempunyai sebarang sebab untuk beliau menolak undang-undang hudud.

“Oleh itu saya berharap anggota keluarganya bersabar. Mati sesuatu yang wajib bagi setiap manusia. Yang menghidupkan juga Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakah. Tokoh PAS itu dan Kerajaan Kelantan melahirkan rasa sedih dan terharu di atas kematian Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh akibat kemalangan jalan raya awal pagi 17 April lalu.

Anwar ingatkan Pakatan Permatang Pauh, bersiap hadapi PRK jika beliau disumbat ke penjara


Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi dan rakyat Permatang Pauh supaya bangun menjadi benteng kepada amanah dan ketelusan negara dan tidak mudah menggadaikan prinsip kepada Umno-BN sekiranya beliau dipenjarakan buat kali kedua.

Anwar berpesan, jika ditakdirkan semalam, 17 April, adalah pidato terakhir beliau di Permatang Pauh, Anwar mahu jentera Pakatan Rakyat diperkemaskan bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) kawasan parlimen itu. Berucap di pentas Reformasi 2.0 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, dekat sini, beliau tidak menolak kemungkinan akan dipenjarakan jika rayuannya dalam kes Liwat 2 ditolak Mahkamah Persekutuan.

PAS tetap laksanakan hudud, tidak tunduk dengan DAP, PKR mahupun UMNO-BN


Tuduhan kononnya PAS tunduk kepada desakan dan asakan DAP meleset apabila Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memulangkan kepada mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap usaha perlaksanaan hudud di Kelantan, menyokong atau menolak.

Ini kerana, tidak ada sebarang perjanjian antara parti untuk menghalang PAS daripada mengemukakan Rang Undang-Undang  (RUU) Persedirian berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen. Hudud teleh diperjuangkan PAS sejak 1990 ketika belum muncul Pakatan Rakyat dan ini menyebabkan PAS konsisten dengan usaha murni ini.

PAS Pusat menyokong penuh tindakan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Ustaz Dato' Ahmad Yakob yang mahu mengemukakan RUU Persedirian itu selewat-lewatnya Disember tahun ini. Namun, ada cuba mengambil kesempatan dengan melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya  antara PAS dan DAP.

Ketika isu ini hangat diperkatakan pada 2011 lalu, Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian bersama dalam isu ini melalui satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 29 September di Pejabat Agung PAS.

Dalam sidang media  yang dihadiri bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, mereka mengumumkan mengambil pendirian menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Ia termasuk menghormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan. Mereka juga bersetuju memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang wujud sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat. Keputusan itu menjadi asas dalam membincangkan isu hudud ini dan ianya terus terpakai sehingga sekarang.