KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 18, 2009

Agenda berterusan kuburkan politik Isa Samad di Bagan Pinang

Cadangan Pergerakan Wanita Umno yang mahukan calon Wanita diletakkan bertanding mewakili BN di DUN Bagan Pinang, 3 Oktober ini adalah usaha halus pihak tertentu dalam Umno menyekat bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kembali aktif dalam politik.

Hasrat Wanita disuarakan naib ketuanya, Dato' Kamalia Ibrahim dan kemudian disambut oleh ketuanya, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil – yang secara kebetulan kedua-duanya ini adalah orang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Senada dengan permintaan itu, Muhyiddin juga meminta Umno Negeri Sembilan menghantar lebih dari satu nama untuk memberi peluang pucuk pimpinan parti membuat pilihan, siapakah yang lebih layak diletakkan bertanding di situ, mewakili BN.

Lebih menarik, Menteri Besar Negeri Sembilan yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Mohd Isa tentulah menyambut baik permintaan Muhyiddin itu, kerana inilah masa yang sesuai untuknya memberi alasan kepada Umno Bahagian Teluk Kemang, “bukan saya nak begini tetapi Kuala Lumpur yang tekan”.

Mustahil Mohd Isa sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang tidak tahu secara lazimnya, bahagian perlulah menghantar lebih dari satu nama ke Kuala Lumpur untuk ditapis.

Bukankah Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, yang mana semua yang ingin bertanding mesti melaluinya, sebelum diserahkan ke Kuala Lumpur.

Muhyiddin pula sepatutnya tidak perlu meminta mana-mana pihak bercakap bagi pihak dirinya jika beliau dan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mahukan Mohd Isa disenaraikan.

Kenapa tidak mahu berterus-terang? Kenapa Najib atau Muhyiddin tidak boleh menghubungi Mohd Isa sendiri untuk memaklumkan supaya hantarlah nama sesiapa sahaja asalkan jangan Mohd Isa?

Apakah Najib dan Muhyiddin tidak kenal Mohd Isa? Atau Najib dan Muhyiddin tidak tahu bagaimana untuk menghubungi Mohd Isa?

Umno Bahagian Teluk Kemang tentunya merasakan, meletakkan Mohd Isa pun belum ada kepastian untuk menang, apatah lagi jika nama lain dicalonkan.

Bagi mereka yang menyokong Mohd Isa percaya, dengan pengalaman dan kedudukan Mohd Isa sebagai Ketua Umno Cawangan Bagan Pinang dan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, kerja-kerja berkempen menjadi semakin mudah tetapi jika ada nama baru mahu ditonjolkan, ia akan menghadapi kesukaran.

Isu menamakan hanya Mohd Isa sahaja sebagai calon di DUN Bagan Pinang dibocorkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang Faizal Ramli.

Jika Faizal tidak mendedahkan keputusan mesyuarat AJK Umno bahagian, tiada siapa yang tahu bahawa hanya nama Mohd Isa sahaja dicalonkan.

Apa tujuan Faizal sebenarnya? Adakah dia mahu isu ini menjadi kecoh atau dia takut jika tidak mendedahkannya, Menteri Besar dan Perdana Menteri akan memilih sesiapa sahaja yang mereka tidak memerlukan persetujuan dari Umno Bahagian Teluk Kemang.

Walaupun Muhyiddin mungkin menafikan beliau bermasalah dengan Mohd Isa tetapi permintaannya supaya Umno Teluk Kemang dan Umno Negeri Sembilan mendapatkan lebih dari satu nama sebenarnya mentafsirkan Kuala Lumpur kurang bersedia menerima kembali Mohd Isa untuk aktif berpolitik.

Kemungkinan juga, usaha ini bagi menyelamatkan kedudukan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar dan mungkin juga tidak mahu Mohd Isa muncul semula menjadi orang penting dalam Umno di peringkat negeri dan Pusat.

Ingat! Politik kotor Umno. Hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjadi perwakilan (G7) di Bahagian Kubang Pasu pun disekat dengan pelbagai cara hingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu dikalahkan.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

Khamis, September 17, 2009

Rayakan Aidilfitri ikut acuan Islam - Ustaz Taib Azamuddin


MUQADIMAH: Setiap kali menyambut Aidilfitri, umat Islam dilihat lebih merayakan kegembiraan setelah sebulan menahan lapar dan dahaga. Ada yang terlupa maksud sebenar Aidilfitri. Bagi mengulas perkara ini, wartawan, NYZA AYOB mendapatkan pandangan Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, USTAZ TAIB AZAMUDDIN MOHD TAIB mengenai konsep sebenar Aidilfitri mengikut acuan Islam. Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling merupakan bekas Imam Besar Masjid Negara berkongsi pandangan tentang sambutan yang sewajarnya ketika merayakan Aidilfitri.

Boleh Ustaz jelaskan konsep Aidilfitri seperti mana yang dituntut oleh Islam...

USTAZ TAIB AZAMUDDIN MOHD TAIB: Hadis Nabi yang bermaksud hari raya ialah untuk kamu bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Jadi, daripada hadis tersebut meletakkan keutamaan hari raya ialah hari mengingati Allah.
Dan apabila kita menyebut Aidilfitri, maknanya kita kembali kepada fitrah. Fitrah ialah yang suci bersih, jauh daripada perkara-perkara yang kotor dan buruk serta jahat.
Dengan amal ibadat yang kita telah lakukan di bulan Ramadan, kita ingin membina balik fitrah kita jika ada kemungkinan-kemungkinan kekotoran, keburukan serta kesilapan tersebut.

Jadi Aidilfiti ini untuk kita kembali kepada fitrah tersebut?

Ya! Itu antara yang diangkat oleh para ulama iaitu Aidilfitri kembali kepada fitrah. Oleh itu kepada setiap muslim janganlah kita menyambut Aidilfitri ini dengan cara sambutan yang mencemarkan fitrah kita.
Eloklah sepanjang masa kita berada dalam suasana yang bersih. Jika terbawa-bawa amalan perayaan yang dibawa masuk oleh agama lain, itu akan merosakkan hakikat sebenar perayaan kita.
Terdapat sekarang ini unsur-unsur yang boleh membawa kita kepada kekotoran. Dengan sebab itu kunci kepada hadis Rasulullah tadi supaya kita dapat kawal diri dengan takbir, tasbih dan tahmid.
Dengan sebab itu susun atur perkara-perkara yang dilakukan pada hari raya ialah dengan mempererat silaturrahim. Maknanya hubungan sesama saudara mara dapat dipereratkan lagi di hari mulia ini. Selain itu kita juga digalakkan menziarahi orang yang lebih dekat dengan kita terutama orang-orang tua.

Bagaimana Ustaz melihat amalan umat Islam yang menziarahi kubur pada pagi raya?

Selain itu kita juga mesti pastikan kita mempunyai jadual untuk ziarah kubur. Ziarah kubur ini merupakan pendekatan yang dapat mendekatkan kita ke arah keinsafan serta kesedaran kerana semua orang yang hidup akan menghadapi mati.
Jadi, apabila kita menziarahi kubur, kita akan ingat bahawa kita juga akan mati. Jika kubur yang kita ziarahi itu merupakan kubur ibu bapa kita, kita akan dapat mengingati jerit perih serta jasa yang telah mereka curahkan mereka kepada kita. Segala jasa dan pengorbanan mereka itu tidak boleh kita lupakan.

Apakah amalan yang terbaik kita lakukan pada malam hari raya? Bagaimana pula dengan kelaziman kebanyakan daripada kita, pada malam hari raya itulah sibuk dengan pelbagai persiapan dan hiruk-pikuk?

Itu tidak ada masalah sekiranya kita tidak melampau atau berlebih-lebihan. Seperti biasa pada malam hari raya itu kita digalakkan bertakbir kerana laungan takbir itu adalah syiar kepada kesyukuran umat Islam kerana telah berjaya melatih diri di bulan Ramadan serta berjaya dengan fikrahnya.

Masyarakat kita hari ini jika membuat persiapan hari raya agak keterlaluan sehingga berlaku pembaziran...

Apabila kita kaji hadis Rasulullah itu, hari raya bukanlah suatu hari untuk kita membazir. Apabila kita berlebih-lebihan, itu merupakan bertentangan dengan fitrah kita.
Pembaziran menyebabkan kita tidak mencapai matlamat sebenar Aidilfitri. Keletihan kita berpuasa selama sebulan tiba-tiba kita cemari dengan pembaziran.

Seperti yang Ustaz sebutkan tadi, sewaktu hari raya harus diambil peluang untuk ziarah menziarahi. Bagaimanapun jika kita lihat hari ini, media seolah-olah menyekat masyarakat untuk tujuan tersebut dengan menghidangkan pelbagai rancangan hiburan di kaca televisyen...

Satu kecacatan yang kadang kala tidak disedari. Bahkan sepanjang Ramadan lagi kita 'digalakkan' oleh media untuk meninggalkan kesempatan merebut Lailatulul Qadar.
Sedangkan Lailatul Qadar itu merupakan keutamaan yang harus direbut oleh setiap Muslim. Dan televisyen di Malaysia tidak terdidik dengan pendekatan Islam, maka kita melupakan peluang yang harus kita rebut itu.

Maknanya, media hari ini menyebabkan kita lalai?

Ya! Kita ingat pada sesuatu benda yang kecil menyebabkan kita lupa pada perkara yang lebih besar. Lailatul Qadar ini lebih baik daripada seribu bulan.
Walaupun seseorang itu mendapat satu malam Lailatul Qadar di akhir Ramadan, jadi nilai ibadah pada malam itu lebih baik daripada seribu bulan.
Jadi, mana yang lebih besar apabila mengajak orang kepada sesuatu yang retorik yang akhirnya tidak membawa kita kepada sebarang faedah atau ganjaran.
Siaran televisyen ini lebih kepada bergembira dan berpesta sahaja. Maknanya, televisyen lebih mengajak masyarakat untuk bergembira dan berpesta sebagaiamana agama lain.

Apa nasihat Ustaz terhadap Kementerian Penerangan?

Kita amat mengharapkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Warisan terutama menteri terbabit agar menyedari perkara ini.
Jangan kita dihanyutkan dengan keghairahan tersebut. Bergembira ini ada batasnya. Jika gembira itu boleh menguburkan yang lebih aulawiyat, itu bukan yang dituntut.

Berkenaan dengan konsep rumah terbuka, sejauh mana konsep tersebut menepati kehendak Islam?

Jika kita mengadakan rumah terbuka untuk mengeratkan silaturrahim, ia dibolehkan dan itu lebih baik. Bagaimana pun, janganlah silaturrahim itu sampai menggadaikan yang lebih utama.

Adakah amalan memberi 'angpow' raya digalakkan dalam Islam?

Pemberian duit raya terutama sekali adalah bagi menggalakkan serta mendidik anak-anak dengan amalan bersedekah.
Kita menunjukkan kepadanya keutamaan memberi sedekah kepada orang yang memerlukan diutamakan dalam Islam. Begitu juga kita digalakkan memberi sumbangan tersebut kepada orang-orang tua yang memerlukan.

Kelebihan berpuasa enam di bulan Syawal?

Kita jangan lupa sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut di bulan Syawal. Rasulullah bersabda, apabila kita berpuasa di bulan Syawal, diikuti dengan enam hari di bulan Syawal bersamaan dengan setahun berpuasa.
Dan kepada orang ingin mengadakan majlis rumah terbuka, mereka juga harus menghormati kepada orang yang berpuasa enam.
Jika kita mengadakan rumah terbuka, jangan sampai jiran tetangga kita hingga tidak sempat melaksanakan puasa sunat.
Dengan sebab itu kepada pengunjung rumah terbuka eloklah membuat pertimbangan memberi aulawiyat atau keutamaannya kepada puasa sunat enam. Bukan keutamaan kepada rumah terbuka. Jadi kedua-dua pihak ini kena seimbang sama ada orang yang mengadakan rumah terbuka serta orang yang dijemput.

Akhir sekali Ustaz, mungkin ada nasihat atau peringatan kepada umat Islam dalam merayakan Aidilfitri kali ini...

Nasihat saya, umat Islam harus menghadapi hari raya sebagaimana kita menghadapi Ramadan. Ramadan melatih kita mempunyai pendirian dan prinsip.
Jangan hanya kerana pengaruh-pengaruh lain kita mengabaikan pendirian dan prinsip kita sebagaimana yang telah kita penuhi dalam Ramadan.

Banyakkan sedekah di hujung Ramadan - Ustaz Shah Kirit Kakulal Govindji

KUALA LUMPUR: Walaupun Ramadan menghampiri penghujungnya, umat Islam digalakkan untuk terus bersedekah bagi menambah pahala serta keberkatan di bulan penuh berkat ini.

Pendakwah bagi Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam (IIF), Ustaz Shah Kirit Kakulal Govindji menegaskan, pahala bersedekah di bulan Ramadan akan dilipat gandakan berbanding hari-hari biasa.

Jelasnya, apabila bersedekah di bulan Ramadan, ia akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada individu yang bersedekah.

"Dalam surah Baqarah ayat 261, Allah berfirman yang bermaksud: Bagi mereka yang membelanjakan harta benda mereka di jalan Allah umpama sebutir benih yang tumbuh tujuh tangkai. Setiap tangkai tumbuh seratus butir benih dan Allah akan lipat gandakan lagi kepada sesiapa yang dikehendaki.

"Ini bermaksud satu biji benih akan berubah jadi tujuh ratus biji. Dengan lain perkataan 70,000 peratus keuntungan yang diperolehi. Jika di bulan-bulan biasa kita boleh mendapat pahala sebanyak itu, apatah lagi di bulan puasa ini," katanya.

Bersedekah juga tidak hanya dihadkan pada golongan yang berharta sebaliknya bagi golongan miskin juga boleh bersedekah. Pelbagai peluang dan cara boleh dilakukan untuk bersedekah.

Jelasnya, jika tidak mampu untuk bersedekah dengan wang ringgit, melemparkan senyuman dengan ikhlas juga dikira satu sedekah.

Ustaz Shah Kirit juga menasihatkan agar umat Islam tidak menjadikan Ramadan sebagai alasan untuk 'merencatkan' segala aktiviti serta program di bulan Ramadan.

"Ramadan bukan bulan untuk kita mengurangkan produktiviti. Seharusnya di bulan inilah kita berusaha untuk meningkatkan produktiviti. Sebagai seorang pekerja kita juga boleh bersedekah dengan menyumbang kerja pada waktu yang sebelum ini kita gunakan untuk makan tengahari," tegasnya.

'Malam 7 Likur' amalan bidaah - Dr Abu Hassan Din

KUALA LUMPUR: Amalan 'Malam Tujuh Likur' dengan menyalakan pelita, lilin, panjut dan lampu pada malam 27 Ramadan merupakan amalan bidaah dalam Islam.

Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Dato' Abu Hassan Din Al-Hafiz menegaskan istilah tujuh likur itu sendiri tidak ada di dalam ajaran agama Islam.

Amalan karut tersebut tidak wujud dalam ajaran Islam lebih-lebih lagi mereka yang percaya pada malam 27 itu perlu disinari dengan cahaya lampu.

"Perbuatan memasang lampu pada malam itu adalah bidaah dan tidak ada di dalam Islam. Tidak kira lampu apa pun sama ada pelita, lilin, atau lampu berwarna-warni," katanya ketika dihubungi.

Ustaz Abu Hassan turut mempersoalkan, kenapa malam yang dikatakan tujuh likur itu sahaja lampu mesti dipasang?

Beliau tidak menafikan ada sesetengah umat Islam menganggap pada malam 27 itu adalah malam Lailatul Qadar sebab itulah mereka menerangkan suasana rumah mereka dengan cahaya lampu atau pelita.

"Sebenarnya, Nabi SAW sudah berkata Lailatul Qadar adalah sepuluh malam terakhir yang kita tidak tahu bila malamnya. Bukannya pada malam 27 Ramadan.

"Sebab malam 27 likur itu tidak ada di dalam nas. Kita bukan suruh orang itu hidupkan malam itu dengan lampu, kita suruh hidupkan malam itu dengan amal ibadat, sebab itu malam sepuluh terakhir, jangan tidur!" tegas tokoh agama itu.

Justeru, Ustaz Abu Hassan menegaskan, amalan karut itu wajar dihentikan dengan segera jika masih ada lagi sesetengah umat Islam yang mengamalkannya.

"Bagi saya kalau hendak pasang juga lampu, biarlah ianya dimulakan pada awal Ramadan sehingga akhir bulan itu. Kalau kita hendak muliakan Ramadan awal lagi kita sudah pasang lampu," katanya.

Malam tujuh likur biasanya diamalkan di kampung-kampung yang mana hampir keseluruhan rumah akan disinari dengan cahaya lampu terutama menjelang Syawal, bagaimanapun amalan ini sudah sebati dalam masyarakat Islam pada hari ini.

Elakkan pembaziran anjur rumah terbuka - Ustaz Wan Akashah

KUALA LUMPUR: Rumah terbuka yang sinonim dengan rakyat di negara ini sama ada dianjurkan individu mahupun pertubuhan-pertubuhan, agensi kerajaan, badan swasta ataupun parti-parti politik kadang-kala mengundang kepada pembaziran yang ketara.

Namun, sambutan Aidil Fitri itu bagaikan tidak lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka atau 'open house'.

Sehubungan itu, kata pendakwah bebas, Ustaz Wan Akashah Abdul Hamid, majlis tersebut tidak perlu bermewah-mewah ataupun terlalu banyak dihidangkan makanan.

Tegasnya, banyak berlaku pembaziran ketika menganjurkan rumah terbuka dan ini patut dikawal penganjurnya.

"Jangan berlebih-lebihan dan jangan sampai membazir kerana membazir itu Allah sebut, saudara syaitan," katanya.

"Buatlah berdasarkan jemputan kita, janji sederhana sebab rumah terbuka bukan bertujuan hendak makan tetapi untuk mengeratkan tali persaudaraan atau kekeluargaan.

"Lagi pun makan bila-bila masa boleh tetapi penting sekali kita hendak meningkatkan ukhwah persaudaraan antara kita semua," ujarnya.

Maknanya konsep rumah terbuka mengajar kita makan secara berjemaah. Ia juga katanya dapat merapatkan silaturrahim dengan adik beradik atau sahabat handai.

Ustaz Wan Akashah berkata sekurang-kurangnya mengadakan rumah terbuka menyatukan dan merapatkan balik hubungan silarurahim antara kawan-kawan, jiran tetangga dan adik-beradik.

Dalam pada itu, katanya, sesiapa saja yang menganjurkan rumah terbuka, mesti dengan niat kerana Allah Taala, ini kerana seseorang muslim itu, tidak boleh menunjuk-nunjuk, berbangga-bangga, riak dan sebagainya.

Semasa membuat rumah terbuka seseorang itu katanya, jangan sekali-kali bersikap memilih tetamu sebaliknya perlu mengutamakan orang-orang yang susah dan miskin.

"Jangan hanya menjemput orang-orang yang standard dengan kita saja ataupun orang yang tertentu saja. Kalau itu jamuan yang dibuat yakni memilih-milih orang maka majlis begitu yang tidak disukai Rasulullah SAW," ujarnya.

Dalam waktu yang sama katanya, digalakkan memanggil orang bukan Islam.

Bagaimanapun ujarnya, rumah terbuka tidak boleh dicemari dengan perkara-perkara yang tidak baik. Contohnya, wujud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tidak menutup aurat dan memakai baju yang terdedah sana dan sini.

Ini tegasnya akan mencemarkan kesucian hari raya dan begitu juga ada hiburan-hiburan yang melampau yang bercanggah dengan agama kita.

Ziarahi kubur amalan positif di pagi Syawal

KUALA LUMPUR: Amalan menziarahi kubur di pagi Aidil Fitri merupakan satu amalan yang positif, namun boleh bertukar kepada bida'ah jika ia dijadikan kewajiban kepada seseorang untuk melakukannya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan, berkata amalan menziarahi kubur itu bagi mengingatkan manusia kepada kematian, namun terdapat sebahagian ulama yang meletakkan amalan tersebut sebagai bida'ah apabila mereka mewajibkan diri mereka untuk melakukannya.

"Melainkan jika seseorang itu pulang ke kampung dan mengambil peluang menziarahi kubur orang tuanya, maka ia bukanlah satu bida'ah," jelas beliau ketika dihubungi.

Tambah Ustaz Nasruddin lagi, sudah menjadi kelaziman bagi orang ramai untuk mengenang ketiadaan orang yang disayangi pada pagi raya, dan kemudiannya melanjutkan ingatan tersebut ke tanah perkuburan dengan menziarahi pusara.

Jelas beliau, amalan tersebut bukanlah satu kesalahan memandangkan ia mengingatkan kita semua kepada kematian, selain menjadikan Syawal itu bukanlah waktu bergembira tanpa batasan.

Ustaz Nasruddin turut mengingatkan amalan di hari Aidil Fitri itu lebih baik dan penting dengan membanyakkan takbir, tasbih dan tahmid kerana ia merupakan hari kemenangan melawan nafsu di bulan Ramadan.

Buang butiran pengundi pos , SPR tidak telus! - Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan sikap tidak progresif dan kurang profesional Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf kerana masih lagi mengamalkan budaya double standard dalam melayani pengundi-pengundi pos di seluruh negara berbanding pengundi biasa.

Ketika menegaskan perkara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terus
mendesak SPR agar Borang Lampiran 2 dimansuhkan walaupun badan itu enggan menghentikan amalan yang memuatkan butiran peribadi pengundi pos, yang menjadi kumpulan pemilih terbesar di DUN Bagan Pinang.

Ustaz Idris mempersoalkan, jika pengundi biasa, tiada Borang Lampiran 2 diberikan, malah tiada dalam peraturan sekalipun, mengapa pula tersebut diwajibkan kepada semua pengundi pos, walhal nama-nama dan maklumat mereka sudah ada dalam daftar pengundi.

Tan Sri Abdul Aziz dilaporkan enggan menunaikan tuntutan PAS seperti disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar sebelum ini.

Pengerusi SPR itu memberi reaksi, Borang Lampiran 2 tidak akan dimansuhkan kerana prosedur itu mengikut undang-undang dan butiran peribadi termasuk nama, nombor MyKad dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos tidak pernah didedahkan.

Beliau dipetik berkata, selama ini SPR tidak pernah disoal atau diminta oleh tentera atau polis mengenai undian yang dibuat anggota-anggotanya, melalui pos, bagi tujuan semakan dan sejak undi pos dilaksanakan, tidak pernah ada penjawat awam yang diturunkan pangkat atau dibuang majikan.

Bagaimanapun, Ustaz Idris percaya Borang Lampiran 2 diyakini bertujuan bagi memudahkan semakkan terhadap pengundi-pengundi pos yang pro-Pakatan Rakyat.

Ketidaktelusan dalam menjaga kerahsiaan pengundi ini, katanya, menjadi senjata ampuh SPR dalam membantu kemenangan calon-calon BN kerana calon Pakatan bergantung penuh dengan pengundi biasa, sedangkan BN menguasai pengundi pos secara paksa rela.

Ini terbukti bila mana wujudnya laporan-laporan sebelum ini yang mendakwa bahawa setiap pengundi pos akan disemak kertas undinya dengan merujuk nombor siri kertas undi dan Borang Lampiran 2 itu, ujarnya.

Dakwaan yang mencurigakan ini, tegasnya lagi, membuatkan ramai pihak mempersoalkan kredibiliti SPR dan ketelusan mereka sebagai agen penyelia Pilihan raya.

Seramai 5,171 pemilih pos, atau 37 peratus pengundi, akan menentukan kemenangan calon, antara PAS dan BN, pada pilihan raya kecil DUN tersebut susulan kematian penyandangnya minggu lalu.

Pada pilihan raya umum lalu menunjukkan DUN itu mempunyai 14,192 pemilih, termasuk 4,925 orang melalui pos. Jumlah itu, menjadikan DUN Bagan Pinang mempunyai 1/3 pengundi pos berdaftar.

Ustaz Idris turut mengulangi empat desakan parti itu, sewaktu bergabung dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), kepada SPR, termasuk menggunakan dakwat kekal di jari pengundi dan memansuhkan undi pos.

Gaya hidup sederhana, jangan tiru pemimpin BN - Mohd Sabu

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu mahu pemimpin PAS terutama yang memegang jawatan politik menunjukkan kelainan penampilan gaya hidup dari pemimpin BN bagi membolehkan rakyat terus menyokong perjuangan parti itu.

Tegasnya, Pakatan Rakyat dan PAS terutamanya yang berjaya menguasai negeri Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor mesti perlihatkan kebolehan dalam bidang kebajikan dan kesederhanaan pemimpin-pemimpin.

"Sekarang ini walaupun Umno memancing rakyat dengan pembangunan, rakyat tidak hairan lagi kerana isu tersebut sudah biasa bagi mereka, yang mereka nampak pimpinan BN terlibat dengan rasuah dan hidup di luar daripada kemampuan," katanya kepada Harakah.

Rakyat mahukan pemimpin PAS membuktikan mereka hidup sederhana, peka dan prihatin terhadap masalah mereka, cepat menghulurkan bantuan, pertahankan hak mereka dan didik mereka ke arah kebaikan.

Mohamad mendakwa, gaya politik BN asyik mempromosi pembangunan sedangkan permasalahan rakyat tidak diambil perhatian lagi dan ini menyebabkan BN ditolak oleh mereka selama ini.

"Tetapi masalah berat yang dihadapi BN sebagaimana sering kita kemukakan ialah gejala rasuah dan penyelewengan yang sudah cukup sebati dengan mereka. Yang ini pemimpin PAS kena jaga dan berhati-hati," tegurnya.

Beliau berkata, jika PAS mahu menarik undi pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti mereka perlu lebih peka dengan penilaian rakyat.

Katanya, sifat kesederhanaan pemimpin politik lebih banyak terdapat kepada pemimpin DAP. Mereka lebih peka terhadap masalah dan kritikan rakyat. Kita mahu PAS mengatasi DAP dalam keadaan ini.

Mohamad berkata lagi, jika pemimpin PAS boleh pertahankan sikap kesederhanaan berkemungkinan majoriti undi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 akan meningkat dengan mereka membuat penambahbaikkan terhadap negeri-negeri yang dikuasai.

Keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh mengelirukan, double standard - Edmond Bon

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan saman Speaker Dun Perak, R.Sivakumar ke atas Dato' Ganesan dianggap sebagai suatu penjelasan yang amat mengelirukan.

Pandangan demikian disampaikan Ahli Jawatan Kuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon.

"Keputusan tersebut menunjukkan keadaan undang-undang yang amat tidak jelas terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan krisis pentadbiran Kerajaan Negeri Perak," ujarnya.

Dalam kes saman Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin yang dikendalikannya, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan untuk mengetepikan sebarang keputusan yang dibuat di dalam Dewan Undangan Negeri.

"Sebaliknya dalam kes saman Sivakumar ke atas Ganesan di Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa mahkamah tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan Dun atau dengan makna lain, keputusan Dun tidak boleh dicabar mahkamah," katanya.

Ini bermaksud, perlantikan Ganesan sebagai Speaker itu tidak boleh diketepikan kerana ianya keputusan Dun.

"Alasan yang digunakan dalam kes tersbut ialah perlantikan Ganesan itu kononnya dibuat sebelum Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah berucap merasmikan sidang Dun.

"Tetapi jika ianya dibuat sebelum majlis pembukaan tersebut bermakna keputusan tersebut tidak boleh diambil kira," jelasnya.

Tegasnya, apatah lagi dalam keadaan dewan itu apabila Sivakumar telah dikasari dan diangkat keluar oleh pihak yang tidak diketahui.

"Ini menunjukkan tiada perlantikan yang sah dibuat terhadap Ganesan. Sekali lagi, keadaan ini sangat mengelirukan dan keputusan terbaru Mahkamah Tinggi ini adalah bercanggah dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan sebelum ini," katanya lagi.

Ditanya mengenai terdapat unsur campurtangan politik pihak tertentu terhadap institusi kehakiman, beliau menjelaskan ianya adalah realiti sepertimana yang sedia difahami rakyat secara umum.

"Dalam semua isu, rakyat lebih cenderung untuk menilai keadaan mahkamah sebagai memihak kepada BN berbanding Pakatan Rakyat apabila ianya melibatkan kes politik," ujarnya lagi.

Edmund juga berpendapat, agar Sivakumar perlu meneruskan prosedur rayuan walaupun peluang baginya untuk berjaya agak sukar. Ini adalah disebabkan pada kebiasaannya undang-undang diintepretasikan untuk menyebelahi pihak tertentu sahaja.

Presiden PAS rasmi kereta jenazah Masjid Rusila


MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diberi penghormatan merasmikan Kereta Jenazah Masjid Rusila pada satu majlis ringkas memotong reben di perkarangan masjid berkenaan, pada 11 September lalu.

Kenderaan tersebut berharga RM115,000 hasil sumbangan individu tertentu serta pihak pengurusan Masjid Rusila, Marang.

Secara simboliknya, sebaik sahaja selepas Ustaz Abdul Hadi memotong reben serta bacaan doa selamat beliau turut mencuba menghidupkan kenderaan tersebut.

Beliau diiringi oleh Ketua PAS Cawangan Rusila, Daud Jusoh ketika percubaan membawa kereta jenazah berkenaan.

Orang ramai yang menyaksikan upacara tersebut melahirkan rasa gembira dengan perkhidmatan yang bakal disediakan melalui kenderaan tersebut.

Pendapatan rendah, penderma hati Ahmad Khariri mohon bantuan

KUALA LUMPUR: Lima tahun dahulu nama Ahmad Khariri Al-Hadi Md Yusop, 32, dijulang dan disanjung rakyat Malaysia di atas kesanggupannya menjadi penderma hati kepada seorang bayi yang bernama Mohd Yohitt Mohd Farhan Kutty Krishnan yang meninggal selepas itu.

Atas pengorbanannya itu, beliau dianugerahkan pelbagai pingat antaranya anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan - Tahun 2005
Ahli Mangku Negara (A.M.N.) – Tahun 2006, Anugerah Hari Bapa – Tahun 2006, dan anugerah Belia Selangor – Daya Juang Malaysia Boleh.

Namun anugerah hanya tinggal anugerah kerana hidupnya kini dihimpit kesusahan lebih-lebih lagi isterinya akan bersalin anak ke empat pada bulan Ramadan ini.

Hatinya pula kian digamit resah memikirkan kedatangan Aidil Fitri pada 20 September depan.

"Isteri saya akan lahir bila-bila masa saja, itu yang saya risau kerana hari raya pula minggu depan, mana saya nak cari duit untuk persiapan hari yang mulia ini," ujarnya.

Menurutnya, persediaan untuk hari raya nanti hanya ala kadar dan anak-anaknya hanya mampu dibelikan sepasang baju seorang. Manakala beliau dan isterinya hanya menggunakan pakaian tahun lepas kerana baginya kegembiraan anak-anak lebih penting.

Kata Khariri, beliau tidak mahu lagi kisah sedih semasa isterinya melahirkan anak ketiganya pada Mei 2005 berulang kembali. Ketika itu beliau tiada pendapatan dan pekerjaan.

Ceritanya, selepas menderma hati, beliau kehilangan pekerjaan hampir setahun kerana terpaksa meletakkan jawatan sebagai Penolong Perancang Pengeluaran di sebuah kilang kimia di Shah Alam.

Atas nasihat doktor, beliau dinasihatkan mencari pekerjaan lain kerana dikhuatiri bidang pekerjaannya menjejaskan kesihatannya akibat pembedahan tersebut.

"Walaupun agak berat hati, saya terpaksa meletakkan jawatan demi memastikan kesihatan saya tidak terjejas," ujarnya.

Sekarang beliau bekerja sebagai penyelia asrama tetapi hanya berpendapatan bersih RM748. Itupun katanya beliau tinggal di kuarters kerajaan di Shah Alam Selangor.

Terus terang ujarnya pendapatannya tidak mencukupi untuk menyara seisi keluarga. Setelah beberapa bulan bekerja, beliau membuat pinjaman peribadi bagi membayar kembali wang yang dipinjam dari keluarga, sahabat dan pinjaman bank.

Bagi menambahkan pendapatan beliau membuat pelbagai pekerjaan termasuk berceramah ‘Berkongsi Pengalaman Sebagai Penderma Hati’ itupun katanya, kalau ada pihak yang mengundang.

"Saya tidak boleh membuat pekerjaan yang agak teruk dan berat kerana kesan pembedahan pemindahan hati dijangka benar-benar pulih setelah tujuh hingga sembilan tahun," ujarnya.

Namun cerita Khariri lagi, dari tahun 2005 hingga sekarang belum ada mana-mana individu, Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan korporat dan badan kerajaan sendiri yang sudi membantunya walaupun berkali-kali menghantar surat kepada kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat.

Katanya, semasa zaman pemerintahan kerajaan BN, beliau diarak di hadapan media ketika pilihanraya tahun 2004 kononnya mereka akan membantu beliau sebagai 'hero' di kalangan belia di Selangor.

"Pelbagai janji ditabur seolah-olah mereka cukup prihatin dan penyayang! Mereka berjanji akan membantu sekiranya saya mempunyai masalah tetapi selesai sahaja pilihan raya rupa-rupanya hanya janji kosong.

"Baru saya tahu yang ianya mainan politik yang amat kotor dan memalukan saya dan seluruh keluarga saya," katanya semasa menghubungi Harakah.

Beliau berharap Kerajaan Selangor sudi membantu dan meringankan bebanan yang ditanggungnya memandangkan beliau satu-satunya penderma hati dari Selangor.

Sesiapa yang ingin membantu Khariri, boleh menhubungi beliau di talian 017-6351057 ataupun menyumbang melalui akaun Maybanknya (162106646530).

PAS Sarawak giat persiapan pilihan raya negeri 2010


KUALA LUMPUR: PAS Sarawak akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan akan berusaha keras untuk memenangi pilihan raya umum ke 13 nanti.

Pesuruhjayanya, Ustaz Othman Musthapa berkata, dalam memburu kemenangan tersebut beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dikenal pasti untuk PAS bertanding dalam pilihan raya negeri yang dijangka pada 2010 ini.

"Insya-Allah PAS akan berusaha meletakkan seberapa ramai calon dan kemungkinan besar kita akan letakkan lebih daripada sepuluh calon untuk pilihan raya negeri akan datang," katanya kepada Harakah.

Beliau berkata, bagi merealisasikan kejayaan tersebut, PAS negeri banyak cawangan ditubuhkan di samping menggerakkan jentera pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan menang.

"Antara yang kita target PAS boleh menang seperti Batang Sadung dan Batang Lupar. Tambahan pula melihat kepada sokongan, tsunami politik sekarang ini beralih kepada Pakatan Rakyat," ujarnya mengulas persiapan PAS Sarawak untuk hadapi pilihan raya negeri yang dijangka tahun depan.

Ustaz Othman berkata, mereka juga berjaya menambahkan bilangan ahli setiap hari dan kini berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS dari kalangan orang Iban dan Bidayuh.

Kelab tersebut katanya, ditubuh di Batag Lupar dan setakat ini bilangan ahlinya seramai 170 orang.

Bagi merampas kerusi BN di Sarawak, katanya, mereka tidak keseorangan sebaliknya turut dibantu pimpinan PAS Pusat yang sama-sama turun ke Sarawak dan banyak mengisi program untuk persediaan menghadapi pilihan raya ini.

"Kita adakan khusus dan seminar pilihan raya. Kita jemput pimpinan PAS Pusat untuk hadir bersama-sama bagi memberikan input," katanya.

Antara pimpinan PAS Pusat yang turun ke Sarawak termasuklah Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Razak, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Wahid Endut.

PAS akan temui SPR bincang undi pos 28 Sept ini

KUALA LUMPUR: PAS akan bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 September ini, bagi membincangkan ketelusan prosedur undi pos khususnya dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, mereka akan berbincang dengan SPR tentang kaedah undi pos termasuklah proses pilihan raya itu sendiri.

Beliau juga mengakui untuk menghapuskan undi pos tidak mustahil sekiranya parlimen bersetuju untuk meminda akta itu.

"Undi pos ini sudah termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan ia sukar dihapuskan melainkan parlimen bersetuju untuk meminda akta itu," katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Abdul Halim, PAS akan terus berusaha untuk mendesak kerajaan meminda Akta Pilihan Raya khususnya berkaitan undi pos pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Namun, beliau berpendapat peluang untuk PAS memang di kawasan yang mempunyai undi pos agak tipis termasuklah di Bagan Pinang.

"Di Bagan Pinang kita ada 5,000 lebih undi pos. Kita jangka sebahagian besar undi pos ini akan memihak kepada BN," katanya.

Justeru, beliau meminta agar jentera PAS baik di kawasan tersebut atau dari negeri lain haruslah berkerja kuat untuk memenangi kerusi itu.

Pada pilihan raya umum lalu, Dun Bagan Pinang mempunyai 14,192 pemilih, termasuklah 4,925 orang melalui pos.

PAS mahu tolak pasukan petugas khas siasat skandal PKFZ

KUALA LUMPUR: PAS tidak bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan bagi menyelesaikan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kerana pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif bagi menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pasukan ini tidak mempunyai kredibiliti yang kuat, malah tidak mempunyai kuasa yang luas bagi membuat siasatan.

Diakhir tugas mereka, dakwanya, pasukan ini hanya melapor pada kabinet dan terpulang kepada kabinet untuk memutuskannya.

Paling penting, tegas beliau, pasukan yang diketuai oleh Tan Sri Sidek ini tidak bebas kerana mereka terikat sebagai penjawat awam biasa yang bertugas dibawah arahan menteri. Dalam kes ini, salah seorang yang dilibatkan dalam siasatan adalah Menteri iaitu Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan, Dato' Abdul Rahman Palil (bekas Exco Selangor dari Umno) yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).

Selain itu, turut terlibat adalah Pengerusi Kelab Anggota Parlimen BN, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB dan bekas Bendahari Umno Tan Sri Abdul Azim Mohamad Zabidi merangkap Pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd iaitu anak syarikat KDSB. Timbalan CEO KDSB pula adalah Haji Faizal Abdullah yang sekarang ini adalah Bendahari Umno Selangor.

Ustaz Idris mendakwa, kesemuanya mereka melibatkan orang politik komponen BN yang menerajui kabinet sekarang. Maka tidak mustahil akan berlaku penyalahgunaan kuasa atau campurtangan anggota kabinet terhadap tugas penyiasatan yang dibuat oleh Pasukan Khas ini nanti bagi melindungi orang-orang tertentu.

"Oleh itu, PAS bertegas menuntut satu Suruhanjaya DiRaja yang bebas dengan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen bukan dari komponen parti yang terlibat, wakil badan kehakiman, wakil dari peguam negara, wakil dari Majlis Peguam, wakil Bank Negara, wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan Wakil NGO yang berkaitan," tegasnya.

Sewajarnya kes ini disiasat secara terbuka kata Ustaz Idris, kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah hangus dalam projek PKFZ ini.
Rakyat pastinya ingin tahu ke manakah duit mereka pergi dalam Projek ini dan siapakah dalang utama hingga menyebabkan negara terpaksa mengalami kerugian yang besar, tegasnya lagi.

PKFZ: Siasat pemimpin Umno yang terbabit - Dr Hatta Ramli

KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar siasatan terperinci juga dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin Umno yang turut dikaitkan dalam skandal Zon Perdangangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bendaharinya, Dr Hatta Ramli menegaskan, sejak dari awal lagi penglibatan pemimpin Umno dalam skandal terbesar negara ini didedahkan namun ianya seolah-olah cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu dan hanya menumpukan kepada penglibatan pemimpin MCA sahaja.

Kata beliau, ketika peringkat pembelian dan penjualan tanah tapak projek PKFZ itu, pemimpin Umno peringkat Pusat dan juga Selangor sudah terlibat dan mereka ini tidak boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja.

"Penglibatan pemimpin Umno dalam skandal ini (PKFZ) sudah terbukti ketika proses pembelian dan penjualan tanah tapak projek berkenaan tetapi nama mereka seperti diketepikan sebaliknya nama pemimpin MCA banyak dikaitkan.

"Media pula lebih banyak menyiarkan tentang penglibatan pemimpin MCA dan tidak melibatkan pemimpin Umno sedangkan, MCA tidak mungkin akan berani melakukan kerja-kerja ini tanpa sokongan dan restu 'abang sulong' mereka (Umno)," kata beliau.

Dr Hatta berkata, pemimpin-pemimpin Umno peringkat pusat dan juga Selangor yang terlibat dalam skandal ini perlu diambil tindakan dan tidak seharusnya dibiarkan bebas tanpa sebarang dakwaan.

Isu penglibatan pemimpin Umno dalam skandal PKFZ ini dibangkitkan kembali oleh Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam satu sidang media di Pejabat Agong PAS baru-baru ini.

Mahfuz dalam kenyataan beliau menegaskan Umno lebih banyak mendapat faedah daripada skandal PKFZ itu berbanding MCA.

Beliau mengaitkan nama bekas exco Selangor, Dato' Abdul Rahman Palil. Bekas bendahari Umno, Dato' Seri Abdul Azim Zabidi dan Timbalan Pengerusi Umno Kapar, Faizal Abdullah sebagai antara indivu utama yang terlibat dalam skandal ini.

Persoal RM16j untuk 1 pingat emas Olimpik - Ustaz Nasruddin

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan keperluan Kerajaan Malaysia yang membelanjakan RM 16 juta bagi tempoh 2009 hingga 2012 untuk menjayakan program "Road to London 2012" yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik di London pada 2012.

Menurut Ketuanya, ustaz Nasruddin Hassan, dalam tempoh berkenaan, secara puratanya kerajaan akan membelanjakan RM 5.3 juta setahun bagi 19 atlet yang dipilih dari empat acara sukan iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.

Katanya, PAS tidak menolak jika perbelanjaan itu mempunyai asas yang kuat untuk kebaikkan rakyat diseluruh negara, tetapi berbaloikah RM 16 juta demi seketul pingat emas Olimpik yang berharga kurang dari RM 1 ribu.

Menurut laman web WikiAnswer, seketul pingat emas secara puratanya mempunyai berat sekitar 250 gram dengan kandungan sebenarnya adalah 244 gram perak dan 6 gram emas yang disadur dipermukaannya. Harga antarabangsa pada akhir 2008 hanyalah sekitar USD 300 sahaja.

Mungkin Kerajaan Malaysia, tegasnya, tidak memandang kepada nilai pingat emas itu, tetapi lebih terdorong oleh semangat 'Malaysia Boleh' di mana Kerajaan mengharapkan kemahsyuran negara diperingkat antarabangsa dalam dunia sukan olimpik.

"Tetapi berbaloikah kemahsyuran yang dikejar itu, walhal ianya hanyalah satu catatan sejarah yang belum pasti memberikan impak politik dan moral yang besar kepada negara dan dunia sukan. Malah kemahsyuran itu juga pastinya tidak lama, sama seperti misi-misi 'Malaysia Boleh' sebelum ini," katanya.

Tegasnya, sewajarnya Kerajaan melihat kembali proses pembinaan atlit negara dulu dan sekarang. Pada era Allahyarham Moktar Dahari seluruh negara melihat atlit kita sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk negara walaupun mereka tidak diberikan ganjaran yang besar seperti hari ini.

Berdasarkan pengalaman itu, Pemuda PAS menyedari kejayaan atlit kita dahulu banyak didorong oleh motivatisi diri sendiri dan bukannya dengan pembaziran yang melampau. Mereka juga menghabiskan masa berlatih dalam negara dan hanya keluar negara jika ada pertandingan.

Ustaz Nasruddin berkata, PAS tidak menolak dunia sukan, kerana ianya adalah keperluan jasmaniah yang penting, khususnya dalam memupuk generasi yang cergas dan sihat tetapi, Kerajaan harus beringat demi kebaikan semua pihak terutamanya dalam suasana kegawatan ekonomi ini.

Arak kepala lembu: Pendakwaan bersifat politik - Hanipa Maidin


KUALA LUMPUR: Hukuman yang dijatuhkan kepada peserta yang terlibat dengan perarakan membabitkan kepala lembu berdarah membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam disifatkan sebagai satu diskriminasi.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin berkata tindakan yang diambil Mahkamah Majistret ke atas 12 peserta berkenaan adalah merupakan suatu pendakwaan bersifat politik.

"Ini semua bermotif politik kerana tidak lama lagi kita bakal berdepan dengan pilihan raya kecil, yang mana Umno-BN perlu bekerja keras mempertahankan kerusi mereka," katanya kepada Harakah.

Beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang mempertikaikan proses pengendalian kes tersebut kerana ianya sekadar diuruskan di peringkat Mahkamah Majistret sedangkan kesalahan yang dilakukan melibatkan perkara yang lebih serius daripada itu.

"Kes yang membabitkan masalah ketegangan kaum dan menyentuh sensitiviti agama ini sepatutnya dikendalikan di Mahkamah Sesyen bukannya Mahkamah Majistret," ujarnya.

Hanipa menjelaskan dakwaan beliau mengenai diskriminasi tersebut dengan mengaitkan tindakan yang diambil pihak pendakwa khususnya terhadap kes demonstran sebelum ini seperti perhimpunan 100,000 Bersih November 2007 dan Peristiwa Berdarah Batu Burok tahun lalu.

"Kalau dalam kes Batu Burok, sehingga melibatkan Peguam Negara yang sanggup turun padang bagi membantah jaminan ke atas mereka yang didakwa terlibat dengan insiden terbabit tetapi dalam kes ini lain pula jadinya.

"Tiba-tiba sahaja ianya seperti begitu mudah apabila pendakwa hanya mengambil tindakan membicarakan kes ini di peringkat Mahkamah Majistret dan hanya dikenakan denda maksimum RM500 sahaja," katanya.

Beliau menegaskan apa yang dilakukan menunjukkan seolah-olah kes tersebut tidak serius dan kerajaan mahu segera menutup kes itu daripada terus dibincangkan masyarakat umum.

"Seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana kes ini seolah-olah macam melalui proses yang lebih mudah, menunjukkan kesalahan ini seakan-akan tidak serius," ujarnya lagi.

12 peserta demontrasi kepala lembu dari Seksyen 23 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, 9 September lalu atas tuduhan menghasut dan menyertai himpunan haram di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 28 Ogos lalu.

Mereka terdiri daripada Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40, Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 63, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39.

Enam tertuduh pertama, Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40, dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu dalam demo itu.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hasbi Hasan setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan. Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, bagaimanapun, Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen sebelum itu dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Isu kuil: Xavier bidas kenyataan Khir Toyo

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyangkal kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Khir Toyo kononnya kerajaan negeri tidak mengikut proses sepatutnya dalam melaksanakan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Jelasnya, dalam isu tersebut, Kerajaan Selangor telah mewujudkan satu jawatankuasa yang mempunyai senarai cadangan yang telah diluluskan oleh pihak Exco.

Katanya, dalam jawatankuasa tersebut semua pihak terlibat termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Saya rasa ini bukanlah isu kuil atau rumah ibadat bukan Islam dibina di mana tetapi lebih kepada isu toleransi dan persefahaman antara kaum.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia mestilah membenarkan pembinaan rumah ibadat kepada semua kaum. Sungguhpun kaum itu golongan minoriti, mereka juga berhak diberikan tempat ibadat di tempat yang sesuai," katanya kepada Harakah.

Xavier turut mempersoalkan apakah sewaktu pemerintahan Barisan Nasional dahulu, kerajaan negeri waktu itu mendapatkan pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sesuatu perkara sebagaimana dinyatakan Khir.

Khir dalam kenyataannya juga menyebut dalam pembangunan rumah ibadat bukan Islam di kawasan umat Islam, kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pandangan penduduk berhampiran kawasan itu terlebih dahulu.

Adun Sungai Panjang itu juga menyatakan tapak cadangan asal Kuil Sri Mahariaman itu diputuskan hanya menerusi perbincangan antara kerajaan negeri dengan Jawatankuasa Kuil Seksyen 19, tidak termasuk penduduk Seksyen 23.

Dalam pada itu, Xavier menegaskan, keputusan yang dibuat kerajaan negeri itu satu keputusan yang munasabah bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan boleh memahami antara satu sama lain.

Hakim sahkan pentafsiran Artikel 72 - Pemuda PAS Perak

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tidak terkejut dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Azahar Mohamed yang memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mendengar permohonan Sivakumar kerana ianya melanggar Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah walaupun tidak melihat apakah yang berlaku di dalam DUN.

Menurut Timbalan Ketuanya, Mohd Nur Amin, PAS bersetuju bahawa Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak telah mengikuti semua paraturan di dalam membuat keputusannya terhadap penggantungan dan denda terhadap Zambry dan 6 ‘Exco’nya adalah sah mengikut Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Katanya, perkara ini jelas bertentangan apabila Zambry dan 6 ‘Exco’nya melanggari keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

Beliau yakin Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan itu juga mengesahkan Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sebenar dan sah di sisi Undang-Undang kerana penggugurannya telah di buat di luar DUN Perak.

Pemuda PAS meragui keputusan 3 orang Hakim Mahkamah Rayuan semasa menolak pengesahan Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah tanpa dokumen bertulis amat tidak mempertegaskan Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan ini.

Tegasnya, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut bahawa keputusan kelak akan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

KPI Idris diragui untuk jaga KPI Malaysia - Salahuddin Ayob


KUALA LUMPUR: Kegagalan Dato' Idris Jala mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang telah mengakibatkan Malaysia Airlines (MAS) kerugian sebanyak RM8 bilion pada tahun 2001 menyebabkan Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau diragui.

Keraguan itu menyebabkan timbul persoalan apakah keistimewaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS itu sehingga dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, keberkesanan beliau mengawal pelaksanaan insiatif KPI serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam MAS dibimbangi akan berulang dalam kerajaan Malaysia.

Sebelum dilantik sebagai menteri, Idris adalah Pengarah Urusan dan CEO MAS mulai Disember 2005, selepas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.

"Sepanjang menerajui MAS, keuntungan syarikat itu dicatat hanya pada tahun pertama beliau memegang jawatan tersebut dan itu pun kerana untung menjual bangunan bukan kerana peningkatan perniagaan.

"PAS juga meragui KPI Idris kerana sepanjang menjadi CEO MAS, beliau (Idris) tidak pernah berusaha untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mendakwa pihak yang terlibat dengan kerugian sebesar RM8 bilion yang ditanggung oleh MAS.

"Kegagalan Idris untuk bertindak terhadap pihak yang mengakibatkan kerugian raksaksa kepada syarikat yang diterajuinya adalah tindakan yang tidak sepatutnya (conduct unbecoming) bagi seseorang pengarah urusan," kata Salahuddin ketika menjelaskan mengapa Idris tidak mempunyai KPI yang meyakinkan.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, walaupun Idris pernah bersama-sama mengiringi pihak polis untuk memberikan taklimat mengenai kesalahan yang mengakibatkan MAS mengalami kerugian tersebut kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi, tetapi kegagalam beliau mengambil tindakan mahkamah menyebabkan pihak yang mengakibatkan MAS menanggung kerugian sebegitu besar terlepas begitu sahaja.

"Walaupun dua laporan polis telah dibuat dan siasatan polis juga telah dilaksanakan, mengapa Idris tidak menjalankan tanggungjawab berkanunnya untuk menjaga kepentingan MAS dengan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang mengakibat kerugian besar GLC itu?

"Adakah beliau sengaja enggan mengambil tindakan atau beliau mahu mengambil tindakan tetapi tangannya terikat?

"Jika tangannya terikat untuk melaksanakan tanggungjawab berkanunnya sebagai Pengarah Urusan MAS, apa jaminan tangannya tidak terikat untuk mengawal pelaksanaan insiatif KPI serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi di dalam kerajaan Malaysia?" Salahuddin mempersoalkan.

Beliau juga membangkitkan persoalan adakah peneraju MAS yang mengakibatkan syarikat itu mengalami kerugian besar ketika itu "berani melakukannya seorang diri?"

"Adakah Idris tidak mengambil tindakan mahkamah kerana ada pembesar-pembesar yang terlibat?

"Sukar untuk dipercayai bahawa peneraju MAS ketika itu berani melakukan seorang diri tindakan-tindakan yang menyebabkan GLC itu mengalami kerugian yang amat besar," katanya.

Pada 26 Mac 2007, bersama-sama Pengerusi MAS Dato' Munir Majid dan Pengurus Besar Bahagian Perundangan MAS Dr Wafi Nazrin Abdul Hamid, Idris dilaporkan pernah mengiringi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ketika itu, Dato' Ramli Yusof untuk memberikan taklimat mengenai siasatan kerugian besar MAS itu kepada Abdullah.

Bagaimanapun, tidak ada laporan yang menyatakan bekas Perdana Menteri itu mengarahkan tindakan diambil terhadap pihak yang menyebabkan kerugian besar itu.

Ketika kerajaan membeli balik MAS dengan harga RM600 juta pada tahun 2001 dari Tan Sri Tajuddin Ramli, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu menanggung kerugian sebesar RM8 bilion.

Sebelum itu, pada tahun 1994, Tajuddin membeli MAS melalui syarikatnya, Naluri Berhad.

Siasatan polis mendapati kerugian besar itu diakibatkan oleh transaksi palsu, pelanggaran bidang-bidang tugas fidusiari serta pelanggaran bidang-bidang tugas berkanun.

Menurut laporan yang dibuat kepada pihak polis, Tajuddin dan rakan-rakan niaganya dikaitkan dengan kerugian besar itu.

Antara lain, kontrak-kontrak yang meragukan dilaporkan telah dianugerahkan kepada Edaran Komputer Sdn Bhd, Edar ALS Sdn Bhd, ALS Advanced Logistics System Gmbh dan ACL Gmbh.

Dua laporan polis telah dibuat pada 4 Januari 2002 dan 4 Mei 2005 terhadap Tajuddin dan rakan-rakan niaganya iaitu Raplh Gotz, Wan Aishah Wan Hamid dan Rizana Daud.

Ramadan ajak manusia tunduk perintah Allah - Tok Guru Abdul Hadi


MARANG: Allah SWT menjadikan bulan Ramadan sebagai tempat untuk melatih serta medidik umat Islam menjadi orang yang bertaqwa kepada-Nya dan tanda ketaqwaan seseorang itu apabila tunduk kepada perintah Allah SWT melalui al-Quran.

Oleh itu, Allah Ta’ala tidak memandang serta meletakkan harga diri seseorang itu terhadap paras rupa, harta benda, pangkat, baka dan keturunan sebagai mulia kecuali dengan sifat taqwa.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan perkara itu ketika menyampaikan tazkirah Ramadan sempena majlis berbuka puasa di Masjid Rusila, Marang, 11 September lalu.

"Allah Ta’ala melatih kita, mendidik kita dan mentarbiah kita dibulan Ramadan ini untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Allah Taala tidak meletakkan rupa paras dan harta benda, pangkat, baka dan keturunan tetapi taqwa disisi Allah Ta’ala."

Katanya, bulan Ramadan yang mulia ini diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan petunjuk daripada Allah SWT.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan, petunjuk dari Allah Ta’ala adalah sangat penting agar seiring dengan kurniaan akal fikiran kepada manusia.

Petunjuk daripada Allah SWT adalah sangat penting kerana manusia yang dikurniakan akal fikiran akan diuji dengan ujian-ujian yang hebat.

"Tidak cukup dengan akal fikiran manusia yang cerdik yang ada pada kita. Sekiranya tidak ada petunjuk daripada Allah Taala," jelasnya kepada 500 para hadirin.

Menurutnya, al-Quran mengajar segala-galanya kepada manusia dalam urusan kehidupan di dunia ini dan mengajar bagaimana beribadat, bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji dan sebagainya.

"Al-Quran mengajar bagaimana beribadat, bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji, bagaimana beribadat dengan harta benda, al-Quran mengajar makan minum yang halal, mengajar menutup aurat, berniaga, bermuamalat dengan cara Islam, tidak menipu dan tidak makan riba.

"Al-Quran mengajar kita bercucuk tanam, bagaimana memerintah negara, memilih Perlembagaan, memilih Undang-undang, memilih pemimpin, semuanya ditunjuk dalam al-Quran," ujarnya.

Katanya, jika manusia memilih petunjuk yang lain dari al-Quran dan hadis akan berlakulah kerosakan serta kecelakaan di atas muka bumi ini.

Menurutnya, pada hari kiamat juga manusia akan mengikut agama pemimpin-pemimpin yang dituruti semasa hidup di dunia.

"Sekiranya, kita (umat Islam) menerima petunjuk yang lain dari al-Quran, bukan petunjuk al-Quran akan membawa kepada kemusnahan keseluruhannya dan membawa kecelakaan di akhirat kelak.

"Begitulah mereka (manusia) yang berpolitik mengikut pemimpin-pemimpin mereka masuk neraka jika tidak ikut petunjuk al-Quran dan hadis di hari kiamat," tegasnya.

Pada majlis tersebut turut dihadiri tetamu dari Palestin iaitu bekas Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Mahmood as-Syiam serta menunaikan solat terawih bersamanya.

PAS tolak kerjasama politik dengan Umno - Mustafa Ali


KUALA LUMPUR: Tidak akan ada sebarang kerjasama antara parti melibatkan PAS dan Umno tetapi tidak menolak kerjasama antara kerajaan dan kerajaan atau kerjasama untuk kepentingan ummah.

Demikian tegas Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak pada 8 September lalu yang menyatakan kesanggupun Umno berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini.

Mustafa menegaskan PAS bersedia untuk berbincang dengan Umno jika hubungan yang mahu dibina itu untuk kepentingan masyarakat umum, ummah dan negara serta mengadakan hubungan antara kerajaan dan kerajaan.

"Jika Najib maksudkan mahu berunding dengan PAS untuk mengadakan hubungan dari sudut politik, saya ingin tegaskan kita tolak kerana sejak tahun 1999 hingga 2008 sudah ada hubungan politik antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Hubungan politik yang kita (PAS) bina antara DAP dan PKR dalam konteks demokrasi untuk menghadapi pilihan raya sudah terbukti berjaya hingga membentuk kerajaan di lima buah negeri.

"Selain kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu, hubungan politik antara PAS, DAP dan PKR yang membentuk Pakatan Rakyat juga sudah membuktikan kejayaan dalam tujuh daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2008 hingga kini," tegas Mustafa dalam satu sidang media khas di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi.

Beliau juga menegaskan kerjasama politik dengan pihak selain Pakatan Rakyat - Umno atau pihak-pihak lain - tidak perlu diadakan.

PAS, tegas Mustafa, tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat yang semakin kukuh dan diterima rakyat sebaliknya bersedia untuk menerima Umno jika parti itu mahu bersama menyertai Pakatan Rakyat.

"Apakah Umno sanggup tinggalkan Barisan Nasional (BN) yang semakin rapuh untuk menyertai Pakatan Rakyat yang kian kukuh?" soal beliau.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun)Bagan Pinang yang dijangka akan diadakan selepas Aidil Fitri, Mustafa menjelaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan mengenai tarikh membuang undi dan juga undi pos.

Beliau meminta SPR supaya menetapkan hari pengundian tidak lagi dijalankan pada hari bekerja seperti mana pilihan raya kecil Dun Manek Urai dan Permatang Pasir yang menyaksikan peratusan keluar mengundi turun kerana ramai yang tidak dapat mengundi kerana terikat dengan kerja.

"Kita (PAS) mahu pilihan raya di negara ini telus dan adil dan kerana itu kita mahu SPR menghormati hak-hak pengundi," kata beliau.

Ketika diminta mengulas peluang untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut, Mustafa menjelaskan PAS mempunyai peluang untuk menang tetapi mengakui ia bukan satu perkara yang mudah kerana faktor undi pos yang berjumlah 5,000 di Dun tersebut yang selalunya akan berpihak kepada BN.

Namun kata beliau, calon PKR, Roslan Kasim berjaya memenangi pilihan raya kecil Dun Teluk Kemang pada tahun 2001 biarpun terdapat undi pos.

Mustafa juga menjelaskan, PAS akan memilih calon selepas meneliti senarai yang akan diterima tetapi mengesahkan calon dari Negeri Sembilan akan dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Ketika diminta mengulas berhubung cadangan Umno Bahagian Teluk Kemang yang mahu Tan Sri Isa Samad menjadi calon BN di Bagan Pinang, Mustafa menegaskan, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu akan menjadi liabiliti kepada Umno.

"Isa akan jadi liabiliti kepada Umno jika beliau yang bertanding di Bagan Pinang kerana pernah digantung keahlian dan dilucutkan jawatan kerana terlibat dengan rasuah politik dan (kes itu) disahkan oleh Umno sendiri," tegas beliau.

Kemelut politik Umno Terengganu makin memeningkan Najib


NAMA Dato' Din Adam sebenarnya bukan nama besar di Terengganu. Dalam Umno, Din dikenali kerana dia pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri dan memegang fotfolio Belia dan Sukan, ketika Dato' Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Tahun lalu, dia tewas dalam usahanya merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun dari penyandang, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Hari ini, Din yang merupakan ADUN Bukit Besi menjadi popular seketika, kerana dia dikatakan antara orang yang terkehadapan bersama-sama rakannya Dato' Rosol Wahid, yang juga ADUN Ajil, Hulu Terengganu, kerap bercakap isu kemelut politik Umno Terengganu.

Kedua-duanya bekas Exco. Keduanya tewas di peringkat bahagian. Cuma, Din tewas jawatan ketua, manakala Rosol tewas jawatan timbalan.

Mereka berdua dikenali sebagai anggota Kumpulan 10, iaitu 10 ADUN Terengganu yang pernah memboikot persidangan DUN. Atas perintah Perdana Menteri, akhirnya kesemua 10 ADUN ini hadir ke persidangan hari kedua, April lalu.

Baru-baru ini, mereka juga dikatakan turut hadir ke persidangan DUN tetapi ‘menjahit mulut’ dari berkata-kata kerana mahu memberitahu dunia, bahawa mereka masih tidak bersetuju dengan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said.

Ahad lalu, sebuah akhbar arus perdana melaporkan, Din melahirkan rasa terkilannya kerana Menteri Besar tidak pernah ajak ADUN yang menentangnya, bermesyuarat. Menurut laporan akhbar itu, jawatan Din di Terengganu sekarang ialah Timbalan Pengerusi Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) negeri.

Dalam kemelut politik Umno di Terengganu, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dilihat ‘menyebelahi’ kumpulan 10 ADUN yang menentang Ahmad Said. Itulah sebabnya, Din membidas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein sebagai penyebabkan kepada kemelut menjadi semakin parah.

Kerana apa? Din barangkali hairan mengapa Dato' Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin boleh mendengar cakap Kumpulan 10 ADUN penentang tetapi Hishammuddin tidak mahu mendengar dan memenuhi tuntutan mereka.

Apa yang Kumpulan 10 ADUN seronok sangat dengan Najib dan Muhyiddin? Khabarnya, apabila Kumpulan 10 ADUN mengadu kepada Najib dan Muhyiddin yang Ahmad Said tidak berguna kepada Umno dan kerajaan negeri Terengganu, Najib dan Muhyiddin tidak melantik semula Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Malangnya, hujah serupa digunakan untuk menjatuhkan Ahmad Said dan kawan-kawannya yang menduduki jawatan penting dalam Umno negeri, Din hairan mengapa Hishammuddin tidak melantik Din sebagai Setiausaha tetapi melantik Dato' Tengku Putera Tengku Awang menggantikan Dr. Rosli.

Mungkin Din beranggapan, jika Najib dengar cakap Kumpulan 10 ADUN, dengan tidak mengekalkan Ahmad Said sebagai pengerusi, kenapa pula Hishammuddin tidak melantik setiausaha perhubungan dari kumpulan yang menentang Ahmad Said.

Kata Din, “kita hormat perlantikan Hishammuddin, tetapi kecewa kerana banyak masalah yang kita luahkan pada program khas di Kementerian Dalam Negeri bukan sahaja tidak diselesaikan, malah beliau lantik semula ketua bahagian yang dipecat, Tengku Putera Tengku Awang sebagai setiausaha Umno negeri.”

Dari kata-kata Din ini membuktikan bahawa mereka dari Kumpulan 10 ADUN penentang Dato' Ahmad Said mahu Hishammuddin mendengar dan akur dengan kehendak mereka. Jika Hishammuddin tidak melantik orang mereka, iaitu dari Kumpulan 10 ADUN penentang, maknanya Hishammuddin pun tidak betul sama seperti Ahmad Said.

Umno Pusat tidak mempunyai cukup keberanian untuk mengambil tindakan kepada Kumpulan 10 ADUN ini. Itulah sebabnya mereka boleh mengertak Najib dan Muhyiddin, selain menyerang Hishammuddin. Bagi mereka, bukan sahaja jawatan dalam Umno mesti diserahkan kepada kumpulan mereka, malahan, jawatan Menteri Besar pun mesti diserahkan kepada mereka.

Setakat ini mereka sudah membayangkan, jika tidak mahu Dato' Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar kembali, nama Rosol dan Din adalah keutamaan. Walaupun Rosol sudah menafikan dia kepingin mahu menjadi Menteri Besar tetapi Din belum membuat apa-apa kenyataan.

Menurut cerita Ahmad Said, Din pernah menolak perlawaan menjadi Exco di bawah kepimpinannya kerana dipercayai Din membayangkan, daripada Ahmad menjadi Menteri Besar, lebih baik dia. Setakat ini tiada siapa dapat memberitahu kelulusan pengajian Din, tetapi dari sumber beberapa orang di Bukit Besi memberitahu, Din adalah seorang siswazah dari sebuah universiti di China.

Secara lantang, Din mencerca Ahmad kerana tidak pernah memanggil Kumpulan ADUN yang dilabel sebagai penentang kepimpinannya untuk bermesyuarat atau berbincang sebelum membuat sebarang keputusan sejak mengetuai negeri, Mac tahun lalu.

Dalam perkembangan serupa, Din tidak pula menceritakan bagaimana mereka semuanya merancang untuk memboikot persidangan DUN hingga timbul cerita penghantaran sms bernada ugutan dengan tujuan mahu memfitnah seorang pegawai di pejabat Menteri Besar melakukannya.

Mereka yang menganggotai kumpulan penentang ini tidak pula mahu mendedahkan yang mereka bukan sahaja tidak akan memberi kerjasama dan sokongan dengan program-program yang disertai Menteri Besar walaupun di kawasan DUN mereka sendiri, malahan, beberapa portal berita melaporkan bahawa kedatangan Muhyiddin di Kuala Berang minggu lalu juga ‘tidak mendapat’ sambutan dari kumpulan ADUN penentang.

Sikap beginikah yang mahu dibanggakan oleh Din dan kawan-kawannya dalam Kumpulan 10 ADUN penentang Menteri Besar? Menteri Besar mereka boikot, Timbalan Perdana Menteri mereka tidak hiraukan, jadi dengan siapa lagi yang mereka hormat?

Kata orang Terengganu yang menyukai Ahmad Said, Kumpulan 10 ADUN penentang ini hanya menghormati dan takut yag terlalu sangat kepada bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.

Sejauh mana kebenaran cerita itu, tiada siapa yang dapat mengesahkan tetapi kumpulan 10 ADUN ini masih berkeyakinan bahawa mereka boleh meneruskan ‘geromal’ mereka kepada Najib dan Muhyiddin, walaupun mereka tidak pernah menghormati Muhyiddin.

Seorang tukang kayu yang berminat politik di Ajil memberitahu, punca mereka ini tidak menghormati Muhyiddin ialah kerana Muhyiddin pernah membuat pengumuman bahawa Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar dan tidak ada apa-apa perubahan setakat ini, Mei lalu ketika Muhyiddin ke Terenganu kerana sambutan hari guru.

Bukan main melenting Kumpulan 10 ADUN ini. Mereka hairan bagaimana Muhyiddin boleh mendahului Hishammuddin yang sudah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Najib, selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Bila timbul cerita ada sembilan ADUN membuat pertemuan dengan Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kemaman, Najib menampakkan kerisauannya. Beliau mengulas situasi politik Terengganu dengan kata-kata kesediaannya untuk mententeramkan krisis dalam masa terdekat.

Ketika Muhyiddin menawarkan diri membantu Hishammuddin untuk menyelesaikan masalah politik Terengganu, banyak pihak melihat perkembangan itu sebagai kurang bijaksana. Ini kerana ia seolah-olah Muhyiddin tidak yakin akan kebolehan Hishammuddin dan kemungkinan juga Muhyiddin mendapat maklumat dari Kumpulan 10 ADUN bahawa mereka tidak menyenangi Hishammuddin.

Kenapa tidak Muhyiddin meminta kepada Najib supaya Najib melantiknya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan kepada Hishammuddin?

Kalaulah Najib, Muhyiddin dan Hishammuddin tidak mampu menyelesaikan kemelut politik Terengganu, bagaimanakah mereka mahu menyelesaikan kemelut politik Malaysia? Kalau tingkah laku 10 ADUN penentang Ahmad Said tidak mampu dikenakan tindakan, apakah yang diharapkan kepada Najib dan Muhyiddin untuk berdepan dengan kemelut politik MCA, MIC dan PPP?

Kumpulan 10 ADUN meminta mereka dilantik menjadi penyelaras DUN. Jawatan ini adalah senjata untuk terus mengugut Menteri Besar. Mereka dalam kumpulan penentang tahu, Menteri Besar tidak akan melayan kehendak mereka menyebabkan mereka berarak ke Kuala Lumpur untuk singgah di rumah Muhyiddin dan ke pejabat Perdana Menteri.

Hari ini, Din mengharapkan dia akan dikekalkan sebagai calon BN di DUN Bukit Besi. Begitu juga dengan Rosol, jika boleh mahu terus menjadi ADUN di Ajil tetapi apabila Ketua Umno Bahagian masing-masing, Dungun dan Hulu Terengganu melantik orang lain menjadi Penyelaras DUN Bukit Besi dan Ajil, mereka tidak boleh tidur dibuatnya.

Cerita perlantikan JKKK juga menjadi isu kononnya kuasa melantik itu mesti diberikan kepada ADUN tetapi ia bukanlah satu jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan Umno. Kuasa melantik sebenarnya masih tetap ada pada Menteri Besar dan tentunya Menteri Besar memberi kepercayaan kepada ketua bahagian yang menyokongnya untuk membuat perlantikan.

Ditulis oleh IDRIS SAMAD

Jika kita jadikan 8-0 untuk Bagan Pinang, apa macam? - Anual Bakri


HARI Isnin lalu, dalam keadaan yang paling sederhana (baca murung), seluruh negara menyambut jugalah 31 Ogosnya. Pada keesokan harinya yakni Selasa, sahlah bahawa seluruh warga merdeka di Malaysia mengalami satu lagi sindrom penyakit kemurungan apabila harga RON95 naik 5 sen dari RM1.75 seliter kepada RM1.80 sen seliter.

Katanya RON95 lebih rendah grednya walaupun prestasi bahan api itu, katanya, lebih berkualiti. Hairannya, kenapa dinaikkan juga harganya? Ai? Jika diikutkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, ia perlu dinaikkan kerana meniru kenaikan dalam harga minyak dunia. Oh, begitu pula!

Dalam hal ini, apa sangatlah pilihan yang ada pada rakyat One Malaysia untuk berbeda pendapat. Timun tetaplah timun. Apabila durian sudah mengambil keputusan untuk menindih, maka lukalah si timun.
Walaupun terdapat hanya sebiji durian dalam sekarung penuh timun, durian tetaplah durian. Bisa durinya menikam semua. “Ah, buang saja durian itu!” sampuk kawan saya. “Habis cerita,”.

Dalam hal ini, mustahil kerajaan tidak faham bahawa sejarah mana-mana inflasi sangat bergantung kepada kenaikan dalam harga minyak yang dilakukan sewenang-wenang.

Di peringkat dunia, di tahun 1974 misalnya, kenaikan dalam harga minyak di pasaran antarabangsa sebanyak 252 peratus menyebabkan harga tunjuk pengguna (CPI) meningkat dari purata 6.23 peratus di tahun 1973 kepada 10.97 peratus di tahun 1974.

Ia tetap kekal di paras 9.14 peratus di tahun 1975. Begitu juga apabila harga minyak melonjak dalam fenomena kenaikan dalam tahun 1979. Di mana kenaikan dramatik di dalam harga minyak telah dilakukan sebanyak 121 peratus. Kadar inflasi AS langsung melonjak dari 11.26 peratus di tahun 1979 kepada 13.52 peratus di tahun 1980.

Jika dibaca trend peningkatan inflasi dunia dari tahun 1970-2002, dunia dapat menyaksikan satu saja faktor penyumbang kepada inflasi iaitu peningkatan dalam harga bahan bakar. Menaikannya bermakna kerajaan itu sedang menyiksa rakyat dan rela menyaksikan rakyatnya menderita.

Untuk menyelami kesan keperitan ini cukup mudah. Naiklah mana-mana teksi di Kuala Lumpur. Tambang teksi kelas biasa dari KL Sentral ke Globe Silk Store di Jalan TAR misalnya boleh melambung dari RM 9 kepada RM 14 manakala dari KL Sentral ke TTDI boleh melonjak dari RM14 kepada RM18.

Untuk makluman pihak atasan, kekecohan yang berlaku dalam bekalan gula juga telah berakhir dengan kenaikan harga. Begitu juga dengan kekecohan dalam harga ayam, beras, minyak masak, disel dan susu sebelum ini.

Rakyat terbanyak jugalah pada akhirnya yang terpaksa memikulnya. Atas nama 'OneMalaysia' jugalah, rakyat yang sudah sedia bergerak bagai kura-kura itu sedang ditekan dengan beban batu jongkong tambahan bernama inflasi. Yang untung hanyalah dua tiga kerat kaum pemodal dan orang politik peraih kuasa. Cuba tengok-tengoklah. Mereka kelihatan tetap gemuk; bahkan semakin berseri.

Berbicara tentang 'OneMalaysia' terkini, samalah seperti kita menyaksikan rentetan keputusan gopoh yang dibuat oleh pembuat-pembuat dasar secara salah. Ini cukup ketara.

Dari perkara ekonomi, ia boleh disaksikan pula dalam isu 50 demonstran yang mengarak dan memijak kepala lembu pada Jumaat, 28 Ogos lalu. Anehnya, ia langsung tidak diganggu oleh FRU dan polis walaupun ia jelas menyerlahkan kesalahan dalam seribu satu macam.

Sekurang-kurangnya, ia tiada permit dan membawa satu set tingkah laku yang cukup menghasut tetapi, apa boleh buat. Setakat ini, ia tetaplah dihalalkan. Anehnya, apabila ada orang yang menganjurkan perarakan lilin aman kerana ingin menunjukkan rasa kesal atas insiden "penghinaan" ke atas lembu, tiba-tiba, walaupun mereka tidak memijak sesiapa pun, 16 daripada mereka terpaksa merengkuk di dalam lokap.

Jika rakyat teliti majlis taklimat dan penjelasan yang telah diatur oleh Kerajaan Selangor pada 4 September 2009 atas isu pemindahan tapak kuil ke Seksyen 23, hal yang sama juga turut boleh di rasakan.
Sangat jelas dapat disaksikan bahawa pihak berkuasa keselamatan seakan-akan membiarkan sahaja keadaan hangat di dalam dewan itu untuk terjadi. Sepatutnya, usaha murni untuk memelihara keharmonian majlis penerangan itu antara pimpinan negeri dengan rakyat dikawal, dibantu dan dipantau kelicinan perjalanannya demi meredakan isu dan sekaligus menurunkan suhu.

Dalam semangat 'OneMalaysia', pihak atasan yang lebih atas dari kerajaan negeri harus menunjukkan sifat menghargai komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri untuk meredakan kegelisahan.

Rupanya usaha gigih "kedua-dua Khalid" untuk mencari jalan bagi menyediakan ruang ibadat yang lebih selesa kepada penganut agama Hindu tidak dihargai. Tidakkah isu ini adalah isu tertangguh yang sudah berpanjangan sepanjang 26 tahun yang lalu?

Ini bukan soal menggagalkan agenda siapa demi memalukan sesiapa. Sepatutnya berkerjasamalah demi sebuah perpaduan di Malaysia bagi menghormati hak-hak kehidupan beragama dalam masyarakat plural pelbagai kaum di Selangor. Sebarang kekacauan di Selangor adalah juga sebuah Malaysia yang kotor di mata dunia.

Jika di Kedah kita menyaksikan bagaimana SPR membuat ruling bahawa kerusi Kota Siputeh masih dianggap tetap sah dan tidak memerlukan pilihan raya kecil walaupun ADUNnya sudah dua kali tidak hadir sidang DUN, begitulah juga apa yang telah dilakukan di dua buah kerusi di negeri Perak sebelum ini.

Negeri bijih itu mengalami kekacauan sebaik sahaja berlaku campur tangan liar dari luar; di luar dari batas-batas yang diizinkan oleh demokrasi.

Dalam keadaan kalah tujuh kali pilihan raya kecil yang telah diadakan di Semenanjung Malaysia selepas PRU ke-12, rata-rata rakyat mula bercakap yang Tuhan itu Maha Adil. Walaupun dari satu segi, pihak yang berada di atas telah, sedang dan masih boleh berbuat sesuka hati tetapi pada hakikatnya mereka tetap sedang menerima pembalasan.

"Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?" - (Surah Al-Furqan Ayat 43)

Allah boleh menghantar kudis lain ke tubuh orang yang menghantar kesusahan kepada rakyat yang terbanyak. H1N1, misalnya. Jerebu, misalnya. Atau sepaling tidak, Tuhan boleh membuat pembenihan virus dari kuman porak peranda bernama prejudis dan buruk sangka dalam tubuh mereka.

Di sana, kita sudah boleh saksikan pecahnya perpaduan dalam kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh Umno. Walaupun ditukar nakhoda Pengerusi Badan Perhubungan Umno negerinya yang diambil dari pemain import, kumpulan Ahmad Said masih ditolak dengan kuat oleh kumpulan Rosol.

Walaupun di peringkat mutakhir, Timbalan Presiden Umno telah turun sendiri ke Hulu Terengganu untuk membawa korma madu berkat Ramadan, namun ia masih gagal meredakan api. Boikot masih tidak berganjak. Salah satu pasukan yang berbalah langsung tidak hadir. Sekarang, Terengganu sedang mengalami suasana "deadlock" yang cukup tenat.

Virus nipah seterusnya boleh disaksikan dalam kemelut MCA yang semakin penat. Pengerusi BN dan Presiden Umno manakah yang boleh tidur malam apabila melihat seorang bekas Timbalan Presiden MCA yang bernama Chua Jui Ming menyeberangi jambatan dan memilih untuk beralih khemah sokongan.

Siapa yang tak terkencing malam apabila seorang lagi Chua yang kini telah dipecat jawatan Timbalan Presiden MCA dan kini sedang bersolek untuk tampil bagaikan Bruce Lee.

Dalam skandal PKFZ yang katanya melibatkan berbilion-bilion wang rakyat, siap dengan tukul besi, Chua menghentam balik seorang Ong yang sudah menyarung baju besi demi mempertahankan diri melalui Mesyuarat Agong Luar Biasanya (EGM).

Sementara itu, ada ura-ura pula yang Encik Liow Tiong Lai yang menjadi Naib Presiden MCA sedang mengeluarkan mesin kira-kira; mencongak-congak langkah untuk mengambil alih tempat Chua.

Manakala, di hujung tali boksing sebelah sana pula, tidak semena-mena ditampilkan Tuhan dua regu tinju yakni antara Keveas vs. Murugiah. Bahkan, ada juga teori-teori nakal dari bacaan orang politik bahawa Najib dan Muhyddin sekali pun sedang berada dalam keadaan yang saling mencuriga.

Barangkali, risaukan keadaan inilah, ahli parlimen kalah yang menjadi presiden parti Gerakan dan kini masih dibasuh dan dimandikan untuk menduduki kerusi kabinet; tiba-tiba pula berseru supaya mana-mana pemimpin nasional yang pernah mengguris hati rakyat pelbagai kaum perlu membuat permohonan maaf kepada rakyat.

Tentu sekali kenyataan ini sihat. Mustahil pemimpin Umno/BN mahu menafikan bahawa mereka pernah menghunus keris atau menganggap kaum bukan Melayu sebagai pendatang. Terdapat banyak lagi contoh kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang menyinggung perasaan kaum lain dan bersifat anti perpaduan.

Sebenarnya, masalah utama UBN ialah dosa, ego dan kesombongan. Tiga sifat mulia yang sangat dituntut dalam musim Ramadan yakni, taubat, rendah diri, dan kasihan belas tidak ada dalam perbendaharaan amalan para pemimpin UBN.

Sikit-sikit lagu dan sikit-skit slogan. Itu sajalah yang dia tahu. Mereka hanya percaya dengan kuasa dan keajaiban wang. Seakan-akan kepada mereka wang itulah segala-galanya. Sikit-sikit kita sudah bertaraf dunia dan "ini, satu lagi projek BN!"

Sekarang, ada tanda-tanda bahawa UBN sudah mula membeli sokongan daripada pelajar dengan menghadiahkan saham-saham percuma. Walaupun di sisi para pelajar, mereka layak berterima kasih tetapi dari pandangan intelek muda di rata-rata IPTS dan IPTA termasuklah ibu bapa kepada mereka yang berada di seluruh negara, Umno sudah dilihat cukup terkepit.

Bukankah politik itu pada akhirnya adalah soal pertimbangan persepsi dan perhitungan tanggapan? Berkesankah pancingan ini? Tidakkah seekor kijang, walaupun bertali emas jika terlepas, akan tetap mencari hutan kerana syurga hijau itulah tempat kerinduan dan asal kampung halamannya?

Paling tidak, jika UBN berjaya sekali pun, ia akan menyemai benih generasi muda yang berjiwa hamba dan bermentalitikan subsidi. Sekali lagi, generasi jenis ini tidak mampu untuk bersaing dalam perlawanan merit di pentas global. Sekali lagi, Umno sedang membahayakan masa depan generasinya.

Semalam, saya ada menasihati seorang teman nakal, yang cukup gemar bertaruh wang dalam apa jua perlawanan. Baik dalam perlawanan bola sepak atau pertarungan ayam laga di kawasan sempadan, beliau sering menjadikan aktiviti ini sebagai hobi.

Dalam musim Ramadan yang sudah masuk tempoh 10 hari keberkatan peringkat kedua, saya menasihati beliau supaya berhentilah dari meneruskan kerja yang tidak bermanfaat ini. Cuma apa yang menyentak perhatian saya ialah apabila beliau menyebutkan bahawa, "jika aku perlu bertaruh lagi dan diminta untuk memilih ayam baik yang mana untuk perlawanan di Port Dickson, maka sudah tentu aku tidak akan ambil ayam yang sudah sah kalah di sepanjang tujuh perlawanan".
Melihatkan hari yang sudah berada di hujung, saya langsung mengheret beliau ke Kedai Butuk di Kampung Sireh untuk berbuka. "Dah, dah. Biar aku yang belanja!"

Ditulis oleh ANUAL BAKRI HARON
Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Mengisi ibadat 10 malam terakhir Ramadan - Dato Dr Haron Din


MUQADIMAH: Umat Islam seluruh dunia kini berada dalam 10 malam terakhir Ramadan. masing-masing berebut-rebut menyempurnakan amal ibadat sepanjang malam akhir ini. Ikuti wawancara INTAN ABDULLAH bersama Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang banyak mengupas mengenai amalan terbaik yang dianjurkan menjelang akhir Ramadhan dalam mengejar Lailatul Qadar, 10 malam terakhir.

Dalam persiapan umat Islam untuk menempuh 10 malam terakhir Ramadan kali ini, apakah amalan ibadah yang terbaik dilakukan?

USTAZ DATO' DR HARON DIN: Umat Islam sepatutnya menyedari bahawa Ramadan mempunyai beberapa nama yang di antaranya shahrul maghfirah ataupun bulan yang dijanjikan padanya pengampunan.
Hadis nabi jug amenyebutkan demikian, yang mafhumnya: "Ramadan awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka."
10 hari terakhir adalah paling penting dalam bulan Ramadan kerana bukan sahaja keampunan yang dijanjikan Allah itu sebagai suatu hadiah Allah kepada umat yang taat berpuasa bagi mendapat redha Allah. Akan tetapi dikhususkan suatu anugerah luar biasa yang sepatutnya dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruhnya dengan janji Lailatul Qadar, malam Qadar, malam yang terkenal dengan jaminan sehingga ada satu surah al-Qadar dan disebut secara khusus beribadat pada malam itu lebih baik daripada ibadat seribu bulan.

Apa yang dimaksudkan dengan ibadah malam itu Ustaz?

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan ibadat malam itu memanglah baik kalau sepanjang malam itu dipenuhi dengan ibadat. Tetapi Allah SWT sangat mengetahui lemahnya manusia ini dalam menghadapi kerja-kerja ibadat malam dengan masalah mereka, bebanan-bebanan hidup yang lain dan sebagainya yang memang tidak memungkinkan seorang Islam itu beribadat daripada seawalMaghrib sehingga ke matahari naik.
Maka Allah anugerahkan satu lagi nikmat iaitu ibadat malam ini nabi pernah sebut dalam hadis sahih yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan solat malam (solat tarawih) bersama imam dan dia tidak meninggalkan solat itu atau surau atau tempat yang dia mendirikan solat itu sehinggalah imam selesai solat, maka ditulis baginya seperti beramal sepanjang malam."

Boleh Ustaz jelaskan?

Ertinya dengan menumpukan 10 malam terakhir ini sehingga selesai Ramadan dengan solat tarawih dan membaca al-Quran dan sebagainya di tempat ibadat bersama imam dan dia tidak meninggalkan tempat itu seperti mana jika imam solat 20 rakaat dan dia solat lapan rakaat sahaja dan berhenti, hilang karamah dan sebagainya. Itu rugi kerana dia tidak mendapat ibadat sepanjang malam kerana itu perlu bersama dengan imam sampai imam bagi salam yang terakhir berdoa, selesai.
Maka ibadat yang dilakukan pada mana-mana malam terakhir itu pada kebiasaannya berlakulah Lailatul Qadar. Cuba kita bayangkan kalau dapatlah Lailatul Qadar pada satu malam itu kita beribadat yang pahalanya bersamaan dengan satu ribu bulan atau bersamaan dengan 83 tahun beribadat, maka tentulah satu hasil yang dapat kita perolehi daripada beribadat 10 malam terakhir ini begitu memberangsangkan.

Tapi ada yang tidak menghiraukan itu Ustaz?

Saya berharap supaya tidak sahaja Ramadan ini tidaklah berlalu begitu sahaja tanpa ada sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan seorang muslim seperti siangnya beribadat puasa malamnya sujud menyembah Allah SWT.
Hati berzikir kepada Allah, akal memikirkan kejadian Allah, memerhati ayat-ayat Allah swt melihat sekeliling kita banyak memberi pengajaran betapa kerdilnya manusia di hadapan kebesaran Allah.
Betapa murahnya Allah dengan amalan yang sedikit tetapi pahalanya yang begitu besar, betapa murninya seorang muslim telah memanafaatkan anugerah Allah pada hari yang tiada sesiapapun dalam alam ini boleh melakukan demikian.
Inilah yang dilaporkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu sembah Daku. Inilah jalan yang mustaqim."
Maknanya sembah Allah swt walaupun berlaku sepanjang masa tetapi ada masa-masa yang kualitinya, nilainya jauh lebih besar daripada hari-hari yang lain dan hari itu ialah hari yang kita panggil dengan malam-malam Ramadhan terutama sekali pada waktu yang akhir begini ataupun pada 10 hari yang ketiga dari bulan Ramadan al-mubarak.

Apa yang kita harapkan pada 10 malam terakhir ini?

Semoga Allah menerima amal kita sekalian dan memungkinkan kita bertemu dan melakukan ibadat tahun ini khasnya bertepatan dengan malam Qadar yang dinanti-nantikan oleh seluruh insan yang mengetahui nilainya. Semoga Allah memberkati kita pada bulan yang membawa barakah ini.

Hadis nabi ada menyebut barangsiapa mengerjakan umrah pada bulan Ramadan beroleh ganjaran seumpama mengerjakan haji bersama Rasulullah SAW. Bagaimana pengalaman ustaz mengerjakan umrah pada bulan Ramadan dan adakah ia suatu tuntutan untuk mengerjakan amalan tersebut?

Umrah salah satu daripada suruhan syarak daripada gesaan Allah SWT yang disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah kerja haji dan umrah kerana Allah swt."
Dua kewajipan itu nabi pernah sebut dalam hadis yang sahih: "Haji dan umrah dua kewajipan tidak mengapa mana-mana antara kedua-dua kewajipan itu boleh memulakan haji dahulu, umrah kemudian, boleh umrah dahulu haji kemudian dan boleh dilakukan kedua-duanya sekaligus."
Dalam konteks ini haji hanya setahun sekali boleh dilakukan bermula dengan 9 Zulhijjah berakhir dengan 13 Zulhijjah. Adapun umrah boleh dilakukan di sepanjang tahun.
Rasulullah saw menyebut dalam hadis yang sahih: "Satu pekerjaan umrah atau sekali pekerjaan umrah di dalam bulan Ramadhan adalah menyamai pahalanya dengan sekali mengerjakan haji bersama-sama denganku."
Jadi, haji pahalanya sangat besar lebih-lebih lagi kalau dikerjakan bersama dengan nabi Muhammad saw kerana semuanya kita mendapat panduan secara terus daripada nabi saw.
Maka haji yang paling sempurna dilakukan bersama dengan Rasulullah saw kerana baginda pernah menyebut dalam hadis sahih :"Ambillah daripada aku manasif haji adapun ibadah-ibadah haji, itulah haji yang terbaik."
Kerana itu orang-orang yang menyedari dan mengetahui kelebihan ibadat ini mereka berlumba-lumba mencari peluang untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan.

Bukankah banyak amalan lain yang boleh dilakukan di Masjidil Haram ustaz?

Bukan sahaja umrah, ada amalan-amalan lain yang memang sepatutnya menjadi kegemaran minat yang tinggi umat Islam iaitu beribadat dengan sebanyak-banyaknya di dalam Masjidil Haram terutamanya dalam bulan Ramadan.
Beribadat di Masjidil Haram seperti yang diketahui umum pahalanya berganda sehingga 100 ribu kali ganda. Solat pun gandaannya sama, 100 ribu kali gandaan, puasanya pun sama gandaannya, 100 ribu kali gandaan, baca Quran pun sama dan bersedekah di sana pun sama dan membuat apa sahaja kebaikan pahalanya berganda sampai 100 ribu kali ganda.
Oleh itulah maka ibadat Ramadan ini menjadi kegemaran kerana tawaran Allah swt.

Tentang berulangnya amalan umrah di bulan Ramadan memang ada ditimbulkan keraguan boleh atau tidak umrah yang dilakukan berkali-kali?

Ada hadis yang bermaksud: "Satu umrah ke satu umrah yang lain merupakan kaffarah atau penebus dosa bagi dosa-dosa yang dilakukan antara keduanya."
Hadis ini memberi makna nabi menggalakkan umatnya mengadakan, melaksanakan beberapa kali umrah. Kerana itu maka berulangnya umrah ada hadis yang sahih. Larangan jangan banyakkan umrah itu tiada hadis, sebaliknya yang menggalakkannya ada.
Oleh itu saya rasa majoriti umat yang pada pengalaman saya jumlah pengunjung Baitullah dalam Ramadan ini lebih ramai daripada jumlah umat Islam yang mengerjakan haji pada musim haji.
Atas sebab itulah maka amalan seperti ini termasuk di dalam amalan-amalan yang memberi ruang yang boleh dan ada kemudahan bagi melaksanakannya untuk berlumba-lumba mencari kebaikan itu kerana ada ayat Quran yang menyebutkan: "Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Allah SWT kerana syurga yang dijanjikan kepada mereka itu lebarnya selebar semua langit dan kesemua bumi."
Dan ada ayat Quran lain yang bermaksud: "Maka berlumba-lumbalah kamu untuk menjadi orang yang hampir dengan Allah SWT."
Ini termasuk dalam ajaran-ajaran Islam yang membanyakkan umat Islam mendapat peluang untuk mendapatkan pahala Allah swt sebanyak-banyaknya.

Menekuni ibadat 10 malam terakhir Ramadan - Dato' Abu Hassan Din


KITA berhasrat dan bercita-cita untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, ini berpandu kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Intai-intailah dan cari-carilah pada malam-malam sepuluh yang terakhir".

Daripada hadis ini seolah-olah tidak akan berlaku melainkan pada malam sepuluh yang terakhir. Dalam pada itu disebut pula dalam riwayat lain, yakni Nabi berkata "Lailatul Qadar akan berlaku melainkan pada malam-malam ganjil".

Jadi berdasarkan hadis-hadis ini, Lailatul Qadar tidak akan berlaku melainkan pada malam sepuluh malam terakhir dan malam-malam ganjil.
Janganlah pula kita semata-mata memilih pada malam-malam ganjil sahaja. Jadi ulama-ulama berkata barang siapa hendakkan lailatul qadar maka dia kena berusaha daripada awal Ramadan lagi.

Berpuasa di siang hari, beribadat di malam hari jadi dengan harapan amalan ini diteruskan sehingga malam terakhir insyallah dia akan dapat Lailatul Qadar.

Adapun kelebihan malam itu yang sudah sedia maklumlah, kelebihan dan kebaikan pada malam itu adalah lebih baik dari 1000 bulan. Ertinya, 1000 bulan bersamaan dengan 83 tahun lebih. 83 tahun itu biasanya umur maksimum seorang manusia.

Barang siapa mendapat Lailatul Qadar dengan beribadat iaitu sembahyang, baca al quran, berzikir, qiamulail dan beriktikaf di masjid. Maka ibadat dia pada malam itu dianggap lebih baik daripada ibadat yang dilakukan seumur hidupnya. Maka sebab itulah diletakkan sepuluh malam yang ada kebaikkanya.

Lailatul Qadar akan berlaku malam, sebab itu di sepuluh malam terakhir disuruh berjaga malam kerana beribadat tidak kiralah di rumah atau di masjid tetapi lebih baik di masjid. Malah ini juga menjadi amalan Rasulullah dan para sahabat.

Tetapi malangnya orang kita pada hari ini semakin akhir Ramadan semakin kurang orang beribadat. Kalau di awal Ramadan, masjid-masjid penuh di akhir-akhir sudah berkurangan.

Bagi saya keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Seolah-olah kita menganggap kebaikan Ramadan hanya diawal bulan itu sahaja. Tetapi sebenarnya kelebihan Ramadan adalah di akhirnya lebih-lebih lagi malam sepuluh yang terakhir.

Harapan saya, kita kena faham betul-betul kelebihan lailatul qadar, kebaikannya, ganjaran pahalanya, kita kena cari dalam sepuluh malam terakhir. Jangan cari di awal, tidak ada.

Nabi ada menyebut malam itu berlaku pada malam ganjil tetapi tidak menyebut sebarang tanda. Cuma ada hadis yang di riwayatkan oleh Abdullah Ibni Abbas, "tanda-tanda yang berlaku Lailatul Qadar itu hanya akan diketahui esok paginya. Kalau ada matahari keluar cahayanya lemah", itu sahaja yang diberitahu.

Ada orang kata, air menjadi beku dan pokok sujud, adalah bohong. Itu tidak ada nas.

Harapan saya jangan semata-mata memilih pada malam itu. Sebenarnya siapa yang menentukan ganjil ataupun genap? Sebab itu seelok-eloknya kita ambil sepuluh malam terakhir dan rebut peluang sehingga sehabis-habisnya untuk beribadat.

Kalau kita sudah target pada malam ganjil dibimbangi jika kita ada hal yang boleh membantutkan amal ibadat kita misalnya, sakit perut atau sebagainya akan merugikan kita. Jadi kita digalakkan beriktikad sepuluh malam terakhir.

Insyallah sesiapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadat tiap-tiap malam, pasti dia akan dapat lailatul qadar.

Ditulis oleh DATO' ABU HASSAN DIN AL-HAFEZ
Penulis adalah bekas Pegawai Agama Istana Negara dan bekas Imam Besar Masjid Negara