KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Tidak mustahil BN kalah di Bagan Pinang - Mahfuz

KUALA LUMPUR: Tidak mustahil PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang sekiranya parti itu dan Pakatan Rakyat berjaya menembusi sokongan pengundi pos di kawasan berkenaan.

Berasaskan kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, PAS hanya kalah sebanyak 500 undi jika ditolak undi pos yang hampir 40 peratus bilangannya di kerusi Dun tersebut.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, berkata berdasarkan kajian tersebut, jelas menunjukkan PAS mempunyai kekuatan di kalangan pengundi awam, sekaligus dengan peratusan undi pos kepada Pakatan Rakyat yang turut menyumbang.

"Barisan Nasional (BN) bergantung kepada undi pos yang mempunyai berbagai bentuk 'bantuannya' kepada parti itu, khususnya tentang operasi tentera yang akur dan patuh dengan arahan pihak atasan. Justeru, Pakatan Rakyat perlu berusaha menembusi golongan tersebut untuk meningkatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakah.

Mengulas lanjut kemenangan Pakatan Rakyat dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung sejak Mac lalu dan kemungkinan untuk mengulanginya di Bagan Pinang, Mahfuz berkata biarpun Bagan Pinang merupakan kerusi BN, tidak mustahil Pakatan Rakyat boleh merampas kerusi tersebut sekiranya momentum rakyat yang mahukan perubahan berterusan.

Jika kalah sekalipun, kata beliau Pakatan Rakyat berharap dapat menurunkan majoriti yang diperoleh BN dalam pilihan raya kecil ini, memandangkan PAS terpaksa berdepan dengan pengundi pos yang berjumlah hampir 5000 orang.

"Jika pendekatan dan strategi yang digunakan Pakatan Rakyat, khusus di kalangan pengundi pos berjaya, tidak mustahil PAS akan menang. Jika tidak sekalipun, kita berharap dapat mengurangkan majoriti BN, itu sudah cukup kerana kita berdepan dengan pengundi pos yang ramai," kata beliau lagi.

Tambah Mahfuz, jika dilihat pengalaman pilihan raya kecil di Manek Urai dan Permatang Pasir, BN menggunakan tentera bagi 'menjana' kemenangan, tidak mustahil di Bagan Pinang, undi pengundi tentera akan 'dimanfaat' sepenuhnya BN bagi memastikan kemenangan.

Beliau juga berkata sekiranya BN gagal mengekalkan kemenangan di kerusi Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil akan datang, ia bererti BN akan kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Tiada ulasan: