KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Pelbagai isu berpihak ke Pakatan, peluang PAS di Bagan Pinang cerah


POLITIK Negeri Sembilan sebenarnya tidak stabil seperti politik jirannya, Melaka. Selain dari BN kalah di Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Negeri Sembilan adalah negeri yang berjaya dinafikan majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri oleh Pakatan Rakyat.

Perbalahan antara Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Hassan dengan Tan Sri Isa Samad yang juga Ketua Bahagian Umno Telok Kemang, sudah menjadi rahsia umum.

Mohamad mempunyai reputasi kurang baik dengan Ketua Umno Bahagian Seremban, Dato' Ishak Ismail dan tidak pernah mahu berbaik dengan bekas Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Bibi Shaliza Mohd Khalid.

PRU lalu, Mohamad telah menyingkirkan 13 wakil rakyat yang menjadi proksi Isa walaupun akibatnya, 15 calon dari Pakatan Rakyat berjaya membolos Dun tersebut hingga menyebabkan hilang majoriti 2/3 DUN.

BN yang baru tewas di Permatang Pasir, Pulau Pinang, kini terpaksa berhadapan dengan satu lagi pilihan raya kecil (PRK), DUN Bagan Pinang yang tentunya undi pemilih India menjadi undi penentu.

Dengan mewakili 19.9 peratus pengundi dari 14,192, iaitu sekitar 2,800 undi, menyebabkan BN betul-betul risau jika keputusan PRU ke-12 dijadikan kayu ukur.

DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor, 54 pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Azman menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Pada PRU itu, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain dengan sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan satu campuran Cina serta undi pos.

PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

Berdasarkan post mortem PRU ke-12 lalu, antara punca PAS tewas adalah disebabkan undi pos. Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

Berdasarkan rekod PRK sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor dan perarakan sekumpulan penyokong Umno mengheret kepala lembu berdarah dijangka menarik perhatian.

MIC, PPP dan IPF pula dilihat sedang dilanda masalah. BN tentunya berserabut memikirkan strategi untuk menguasai undi India.

Ini ditambah pula, krisis yang melanda MCA juga menyukarkan Umno untuk memulihkan sokongan masyarakat Cina terhadap BN di DUN tersebut.

Dengan kemenangan Azman sebelum ini, dengan majoriti 2,333 undi, menyebabkan pengundi India akan menjadi ‘anak emas’ di dalam pilihan raya kecil ini.

Perbalahan Isa Samad dengan Mohamad masih belum pulih. Walaupun terdapat cadangan Isa menjadi calon di DUN Bagan Pinang, tetapi tidak semudah itu laluan diberi oleh Mohamad atas banyak sebab yang memungkinkan akhirnya beliau terpelanting dari kerusi Menteri Besar, jika Isa dicuba.

Pada PRU ke-11 (2004), BN menang Parlimen Teluk Kemang diwakili Sothianathan (MIC) dengan majoriti 17, 777 undi tetapi kalah 2,804 di tangan PKR pada pilihan raya lepas. Sothianathan mendapat hanya 20,544 sedangkan Kamarul Baharin mendapat 23,348 undi.

DUN Chuah, calon BN, Foo Ming Chee yang menang dalam PRU 11, 2004 menang kerusi itu dengan majoriti 3234 undi tetapi tewas dalam PRU 12 yang lalu apabila mengutip hanya 3,091 undi sementara Chai Tong Chai dari PKR mendapat 4,415 undi dengan kelebihan 1,324.

Bagi DUN Lukut, kemenangan Dr. Yeow Chai Thiam dalam PRU 11 lalu dengan majoriti 1,504 bukan sahaja gagal dikekalkan calon BN yang baru, Check Leong Huat, malah dia kalah di tangan calon DAP, Ean Yong Tin Sin dengan kekurangan undi 2,418.

Bagi kerusi DUN Port Dickson, Datuk T. Rajagopalu gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU 11, 2004 dengan majoriti 1,893 undi apabila tewas di tangan calon PKR, Ravy Munusamy dengan majoriti 733 undi.

Dua kerusi yang dimenangi BN, Bagan Pinang juga memperlihatkan kemerosotan undi yang pernah dimenangi BN melalui Faizal Ramli dengan majoriti 4,411 tetapi Allahyarham Azman hanya menang dengan majoriti 2,333.

Sementara kerusi DUN Linggi, calon BN, Datuk Ismail Taib hanya menang dengan majoriti 1,575 mengalahkan Ramlan Roes dari PKR sedangkan dalam PRU 11, calon yang sama menang kerusi ini dengan majoriti 5,282 undi.

Siri kemerosotan undi yang dicapai BN di lima kerusi DUN dalam Parlimen Telok Kemang cukup mencemaskan untuk BN hadapi PRK DUN Bagan Pinang kali ini, sekalipun faktor undi pos akan berpihak kepada BN.

Tiada ulasan: