KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Desak Kerajaan BN ajar Sains, Matematik mulai tahun depan, jangan dolak-dalik lagi! - Prof. Dr Nor Hashimah


KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) mendesak agar kerajaan menyegerakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu pada tahun hadapan terutama kepada pelajar-pelajar yang bakal memasuki tahun 1 dan tingkatan 1.

Presiden PLM, Prof. Dr Nor Hashimah Jalaluludin menegaskan, peralihan semula daripada PPSMI kepada pengajaran berbahasa Melayu tidak boleh dikatakan sama seperti peralihan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu seperti pada awal tahun 1970-an dahulu semasa Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan.

Namun katanya, PLM tetap merasakan kesukaran jika pun ada untuk beralih kepada bahasa Melayu tidak sama seperti kesukaran ketika dipaksa beralih kepada PPSMI pada tahun 2003 dahulu.

Jelasnya, beralih kepada keadaan yang “amat sukar” kepada PPSMI pada 2003 itupun cuma diberi masa kira-kira lima bulan sahaja.

"Mengapa untuk kembali menggunakan bahasa Melayu, yang telahpun pernah digunakan selama 20, 30 tahun bukan sekadar di peringkat sekolah menengah malah sehingga di universiti perlu mengambil masa sehingga 6 tahun.

"Melengahkan usaha yang “mudah” ini bermakna menambahkan lagi jumlah pelajar yang menjadi “mangsa” PPSMI yang diakui sendiri oleh Menteri Pelajaran sudah menjangkau angka tiga juta orang. Kita sering mendengar kata-kata, “justice delayed is justice denied” atau keadilan yang ditangguhkan merupakan penafia.n," katanya.

Jelas Nor Hashimah, pelajar tidak akan menghadapi masalah apabila PPSMI dimansuhkan kerana realitinya PPSMI selama ini memang diajar oleh para guru dengan menggunakan Bahasa Melayu secara meluas atau bercampur-campur demi kepentingan pemahaman pelajar.

Malah katanya, banyak sekolah memilih untuk mengajar dalam Bahasa Melayu. Tambahan pula soalan peperiksaan berbentuk dwibahasa.

Beliau menegaskan, mengajar semula dalam Bahasa Melayu menjadi sangat mudah kerana persekitaran pelajar memang membantu pembelajaran tersebut berbanding jika beralih ke dalam bahasa Inggeris.

Ini kerana katanya, Bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami oleh rakyat pelbagai bangsa dan keturunan. PPSMI perlu dimansuhkan sepenuhnya dalam sistem pendidikan di Malaysia termasuk Tingkatan 6 dan Matrikulasi.

"Tiada sebab untuk pengecualian hanya bagi tingkatan 6 dan matrikulasi kerana sekurang-kurangnya selama kira-kira 20 tahun, Bahasa Melayu telah pun digunakan dalam semua mata pelajaran termasuk sains, matematik dan teknologi bukan sahaja di sekolah rendah dan menengah.

"Malah Bahasa Melayu digunakan sehingga di peringkat universiti dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pergigian, kejuruteraan dan sebagainya tanpa menghadapi sebarang masalah besar," katanya kepada Harakah.

Nor Hashimah berpendapat semua pihak perlu proaktif daripada sekarang dengan menghormati “kedaulatan undang-undang” dan “keluhuran Perlembagaan” dengan menjadikan undang-undang dan Perlembagaan Negara tersebut sebagai pegangan seperti yang turut ditekankan dalam gagasan “1Malaysia”.

Katanya, jika bahasa Inggeris diwajibkan kelulusannya dalam SPM, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia perlu diwajibkan lulus peringkat kepujian bagi mendapat sijil SPM.

"Jika tidak tiadalah bezanya taraf bahasa rasmi negara ini dengan bahasa Inggeris walaupun sebagai bahasa asing atau bahasa kedua yang penting."

Beliau juga mengingatkan istilah Bahasa Melayu adalah istilah yang paling tepat, sah dan benar di sisi Perlembagaan, undang-undang dan secara akademik.

Bahasa Melayu tegasnya hanya akan benar-benar bermartabat jika digunakan dalam semua bidang pengajian di negara ini seperti sebelum tahun 2003 dahulu.

"Janganlah membenarkan diri kita menjadi pengkhianat kepada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sendiri dengan menafikan dan menyekat keupayaan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu dan tamadun bagi negara ini," tegas Nor Hashimah lagi.

Tiada ulasan: